SSHP DINAIKKAN DARIPADA RM360 KEPADA RM500 PER TAN METRIK, TINGKAT PENDAPATAN PESAWAH – PM ANWAR


PARIT BUNTAR, 8 Ogos — Perdana Menteri hari ini mengumumkan berita baik buat pesawah negara iaitu kenaikan kadar Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) daripada RM360 per metrik tan kepada RM500 per metrik tan mulai esok.

Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengumumkan perkara itu berkata dengan kenaikan itu pesawah akan menerima sekurang-kurangnya RM1,700 per metrik tan yang akan meningkatkan pendapatan pesawah negara ini.

“Ini kenaikan terbesar dalam sejarah. Anwar Ibrahim dulu ketika jadi menteri kewangan pernah naikkan (kadar).

“Hari ini saya naikkan sekali lagi, hari ini umum, esok naik,” kata beliau semasa berucap pada Majlis Sentuhan Agro Madani Negeri Perak di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.

Perdana Menteri berkata peningkatan itu akan melibatkan perbelanjaan RM1 bilion setahun.

Bagi menyelesaikan masalah pemutuan padi, Anwar berkata perbincangan akan dilakukan dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi menempatkan pegawai pertanian di kilang padi swasta khusus bagi memantau proses tersebut.

Ini katanya bagi mengelak pengilang bertindak sesuka hati tanpa mengikut standard ditetapkan.

Sementara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kementerian itu akan mempertimbang untuk menambah peruntukan bagi pelaksanaan inisiatif tanaman padi lima musim dalam dua tahun.

“Belanja untuk buat tali air dan sebagainya yang RM3 bilion itu tidak cukup, kena tambah lagi, untuk petani ini, kita cuba tambah, kita buat yang sebaiknya,” kata beliau.

Sementara itu, pada majlis sama Anwar turut menyampaikan bantuan berjumlah RM21.8 juta yang memanfaatkan 28,295 pesawah dan peladang negeri Perak.

Bantuan tersebut disampaikan beliau kepada Pengerusi Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Negeri Perak, Datuk Sham Mat Sahat dan wakil-wakil Persatuan Peladang Kawasan (PPK) mengikut daerah.

— BERNAMA

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) — Semua anggota dan pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terlibat dalam pengundian awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) esok diminta menggunakan kuasa dengan baik untuk memilih wakil serta kerajaan negeri yang kukuh.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata mereka juga perlu menggunakan amanah yang diberikan untuk memilih wakil yang lebih menggarap permasalahan rakyat dan kerajaan stabil.

“Saya ucapkan selamat mengundi awal buat semua anggota dan pegawai ATM dan PDRM. Saya mendoakan semoga proses pengundian yang akan berlangsung esok dapat berjalan lancar dan sempurna.

“Buatlah pilihan yang terbaik untuk membela nasib kalian dan keluarga, insya-Allah,” katanya dalam hantaran di laman Facebook malam ini.

Menerusi hantaran video pula, Anwar berharap pengundian esok dapat dilaksanakan dengan niat yang baik untuk menyelamatkan negara dan menjamin kestabilan politik supaya khidmat kepada rakyat dapat disempurnakan dengan baik.

Beliau berkata tujuan undi awal ialah bagi memastikan pasukan keselamatan dapat membantu dan mengawal proses PRN pada 12 Ogos ini berjalan dengan aman serta lancar.

Menurut laman sesawang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pengundian awal membabitkan sejumlah 49,660 anggota ATM dan 47,728 anggota polis bersama pasangan masing-masing di enam negeri yang terlibat dalam PRN kali ini iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu serta Kelantan.

Bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen (PRK) Kuala Terengganu pula, sejumlah 1,362 anggota polis dan 35 anggota tentera bersama pasangan masing-masing terlibat dalam proses pengundian awal.

SPR menetapkan esok sebagai pengundian awal bagi PRN di keenam-enam negeri dan PRK Kuala Terengganu hari mengundi pada 12 Ogos ini dengan tempoh berkempen selama 14 hari iaitu hingga 11.59 malam 11 Ogos.

— BERNAMA

KUALA LUMPUR, 7 Ogos — Cadangan Dasar Gaji Progresif akan dibawa kepada Jemaah Menteri untuk memperhalusi mekanisme pelaksanaan secara berperingkat dan meneroka keperluan bagi memperuntuk dana sebagai insentif berdasarkan kedudukan kewangan kerajaan serta keperluan dasar.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dasar itu dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) hari ini sebagai satu anjakan ke arah memulihkan pasaran pekerja supaya gaji dapat dipertingkat dengan lebih konsisten dan pengagihannya lebih seimbang.

“MTEN berpandangan Dasar Gaji Progresif merupakan antara reformasi pasaran pekerja untuk memastikan pekerja Malaysia tidak dibebankan dengan kos sara hidup dan dapat menikmati pekerjaan dengan gaji yang bermaruah demi kesejahteraan rakyat serta mencapai agenda mengangkat ekonomi negara,” menurutnya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata model dasar itu diusulkan selepas MTEN mengambil kira pandangan serta kepentingan pihak majikan dan pekerja.

Katanya dasar itu, yang bersifat sukarela, berteraskan insentif dan terkait dengan produktiviti, merupakan pelengkap kepada Dasar Gaji Minimum serta akan disusuli dengan garis panduan gaji progresif tahunan bagi setiap sektor, pekerjaan dan peringkat.

Anwar berkata sesi libat urus dan tinjauan awal menunjukkan 62 peratus pekerja serta 80 peratus syarikat menyambut baik cadangan itu dengan ciri yang dinyatakan dan MTEN berharap dasar tersebut akan menerima sambutan serta penyertaan sebanyak mungkin daripada syarikat dan pekerja.

“Langkah selanjutnya adalah sesi perbincangan dan libat urus dengan pihak berkepentingan terutama pemain industri, perniagaan serta pekerja,” katanya sambil menambah isu gaji merupakan perkara pokok yang tidak boleh diabaikan lagi.

Perdana Menteri juga berkata berdasarkan Laporan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal) Suku Pertama 2023 yang dibentangkan minggu lepas, lebih dua juta pekerja Malaysia masih berpendapatan kurang RM2,000 sebulan.

Beliau berkata situasi itu lebih membimbangkan buat golongan muda berumur lingkungan 20 hingga 24 tahun apabila gaji penengah mereka hanyalah RM1,682 sebulan dan bagi kebanyakan pekerja, gaji hanya akan meningkat kepada RM3,500 pada paras tertinggi ketika berusia di antara 40 dan 49 tahun sepanjang kerjaya mereka.

Katanya pada masa sama, memandangkan peratusan pendapatan pekerja Malaysia telah menurun daripada 37.2 peratus pada 2020 kepada 32.4 peratus pada 2022, kerajaan menyasarkan nisbah ini meningkat kepada 45 peratus daripada jumlah keseluruhan pendapatan.

Anwar berkata Gagasan Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat merupakan wadah yang menetapkan hala tuju negara dalam tempoh sederhana terutama untuk meletakkan Malaysia sebagai peneraju ekonomi Asia dan dalam kalangan 30 ekonomi terbesar dunia.

— BERNAMA

KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memaklumkan bahawa Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan akan berkunjung ke Malaysia dalam masa terdekat.

Dalam hantaran menerusi Facebook, Anwar berkata Erdogan telah menyatakan komitmen jelas berhubung kunjungan itu bagi memenuhi undangannya untuk memperkukuh lagi hubungan kedua-dua negara, melalui pertemuan secara maya bersama beliau malam tadi.

“Saya dan Presiden Erdogan turut bersetuju untuk bersemuka semasa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York bulan depan,” menurut hantaran itu.

Turut hadir pada sesi pertemuan itu ialah Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Dalam sesi itu, Anwar berkata beliau dan Erdogan membincangkan tentang kerjasama pertahanan, dengan Agensi Industri Pertahanan Turkiye (SSB) telah menghantar delegasi yang besar untuk menyertai Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA 2023) pada Mei lepas.

Perdana Menteri menzahirkan rasa kagum dengan kemajuan teknologi pertahanan Turkiye dan yakin Malaysia bakal mendapat manfaat besar hasil kerjasama erat antara Malaysia dengan Turkiye.

“Sayugia saya bersetuju secara prinsip untuk memuktamadkan Memorandum Persefahaman dalam kerjasama pertahanan pada masa yang terdekat,” kata Anwar.

Selain itu, Anwar berkata beliau turut menyatakan pendirian tegas Kerajaan Perpaduan yang menolak sebarang unsur keganasan serta tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam keganasan di negara ini.

Beliau juga memaklumkan kepada Erdogan mengenai usaha Malaysia dalam menentang Islamofobia (permusuhan dan benci ke atas Islam) susulan tindakan membakar al-Quran di Sweden dan mengecam sekeras-kerasnya tindakan itu yang berlindung di sebalik hak kebebasan bersuara yang diagungkan oleh barat.

“Lantaran itu, Malaysia menzahirkan komitmen untuk menyumbang satu juta naskhah al-Quran di seluruh dunia termasuk 15,000 naskhah dengan terjemahan dalam bahasa Sweden sebagai satu daripada usaha untuk menangani kedangkalan pemahaman barat terhadap Islam,” katanya.

Beliau berkata dalam sesi itu juga, Erdogan sempat mendoakan kejayaan gabungan perpaduan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos ini.

— BERNAMA

 

TEKS UCAPAN

 

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

SEMPENA

 

MAJLIS PERASMIAN PERSIDANGAN KEBANGSAAN EKONOMI MALAYSIA KE-16 2023

 

5 OGOS 2023  (SABTU)

 

THE LIGHT HOTEL

PULAU PINANG

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Taala Wabarakatuh dan Salam Sejahtera

 

Alhamdulillah, Nahmaduhu Wa Nusalli Ala Rasoolilah Kareem.

 

YB Chow Kon Yeow,

Ketua Menteri Pulau Pinang;

 

YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki bin Ali,

Ketua Setiausaha Negara;

 

Pengerusi Lembaga Universiti dan ahli-ahli Lembaga;

 

Naib Canselor dan tenaga pengajar;

 

Serta pakar-pakar ekonomi yang hadir.

 

 

  1. Alhamdullilah, saya ingin mengucapkan penghargaan dan terima kasih atas inisiatif saudara dalam meneruskan wacana ekonomi yang kian berubah dan mencabar ini. Tidak ketinggalan juga cadangan Naib Canselor untuk menjadikan acara ini sebagai acara nasional yang konsisten dengan Ekonomi MADANI.

 

  1. Saya meminta nasihat Ketua Setiausaha Negara (KSN), bagi yang biasa dengan siri komedi “Yes Minister” di BBC, pastinya maklum bahawa Menteri itu bergantung kepada penasihat. Penasihat saya adalah, Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan kalau KSN kata ya, saya pun kata ya. Kalau saya kata saya kurang bersetuju nanti beliau kata “betul Perdana Menteri benar tetapi kalau kata begitu nanti ada reaksi daripada akademik dan ada bantahan begitu begini.” Jadi maknanya saya mesti jawab ikut saranan dia. Oleh itu, saya bersetuju dan Naib Canselor boleh mengangkat kertas supaya kita dapat jadikannya sebagai yang rasmi (formalize).

 

  1. Persidangan Kebangsaan Ekonomi Malaysia (PERKEM) ada sejarahnya dan beberapa input telah disampaikan oleh beberapa wakil dalam beberapa siri perbincangan dengan saya. Saya memanfaatkan tatkala menggubal dan merangka terutama kerangka dasar ekonomi MADANI. Temanya selari dengan pemikiran MADANI iaitu tentang ketahanan dan keterangkuman.

 

  1. Masalah konvensional mengenai perbahasan pakar ekonomi ialah tentang pemacuan pertumbuhan dan soal pengagihan yang adil dan bagaimana untuk memastikan pembangunan ekonomi itu tidak menyebabkan tersisih atau terpinggir sebahagian masyarakat. Saya selalu ungkapkan pandangan John Rawls dalam soal keadilan ini, di mana perbahasan juga di antara pandangan ekstrem tentang meritokrasi dan tentang tindakan affirmative.

 

  1. Saya rasa pendapat John Rawls adalah tepat iaitu keadilan itu tidak bermakna kalau tidak ada fairness, jadi sementara kita akui negara ini harus dipacu dengan mengambil kira kepentingan meritokrasi, tetapi ia tidak boleh mengetepikan kenyataan sebenar yang berlaku tentang masyarakat yang terpinggir, yang tidak punyai keupayaan bersaing dalam keadaan yang adil.

 

  1. Oleh yang demikian, John Rawls menyebut tentang justice as fairness dan saudara juga biasa dengan pemikiran Michael Sandel yang menyanggah pandangan meritokrasi ekstrem kerana kadang-kadang perbahasan meritokrasi termasuk dalam elit politik dan ekonomi itu mengusulkan suatu hal yang harus berlaku. Maknanya negara ini tidak boleh maju kalau tidak kita mengiktiraf meritokrasi tetapi negara juga akan dianggap tempang dan tidak terangkum sekiranya tidak mengambil kira kesenjangan yang berlaku, peminggiran masyarakat dan pengabaian sebahagian masyarakat.

 

  1. Oleh yang demikian, kalau mengikut ekonomi MADANI adalah selari dengan tema ini iaitu ketahanan itu perlu, tetapi keterangkuman yang melibatkan semua aspek dan bidang serta semua kalangan rakyat termasuk yang tidak mempunyai ruang dan peluang untuk bersaing secara adil.

 

  1. Saya menyingkap sedikit pengalaman yang lalu, saya menggunakan di antara lain kupasan dan analisis Boston Consulting Group (BCG) tentang Sustainable Economic Development Assessment (SEDA) terhadap satu kenyataan yang harus diterima iaitu kita sudah ketinggalan lebih dua dekad dalam persaingan dari segi keseluruhannya iaitu keupayaan membawa pelaburan, pertumbuhan ekonomi, mutu pendidikan, kesihatan, kemudahan asas, dan minat membaca. Keseluruhannya nyata menunjukkan bahawa pertumbuhan itu agak mendatar ketimbang kelajuan pemacuan ekonomi yang berlaku di negara-negara lain terutamanya negara jiran.

 

  1. Tentunya kalau di bandingkan dengan Korea Selatan dan Singapura, jelas perbezaan itu juga sangat ketara tetapi dengan negara yang baru berkembang, umpamanya Vietnam, itu sangat mengesankan saya kerana di antara kepimpinan ASEAN yang awal menganjurkan dalam laporan kecil yang bebas bukan mewakili kerajaan, One Southeast Asia mengusulkan agar Vietnam itu diterima sebagai sebahagian daripada keluarga ASEAN dan kita tidak tunduk kepada tekanan Amerika Syarikat yang pada ketika itu sangat meminggirkan Vietnam.

 

  1. Oleh yang demikian, sebaik sahaja menjadi Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri pada masa itu, saya bawa satu perwakilan yang agak besar untuk berbincang dengan mereka malah mereka memberikan ruang supaya kita mula membuka bank-bank, sekiranya tidak silap saya Maybank dan Public Bank pada ketika itu, sekitar 90-an, tetapi saya berkunjung semula ke Vietnam bulan lalu dan mengambil masa yang agak panjang berbicara dengan Perdana Menterinya yang merupakan mantan Menteri Ekonomi, seorang yang mempunyai kekuatan disiplin ekonomi.
  2. Dalam perbincangan bersamanya, saya melihat angka-angka perubahan yang besar berlaku termasuk beberapa isu yang dekat dengan pandangan kita, umpamanya soal kesenjangan, pemikiran masyarakat, kelompok-kelompok minoriti yang tersisih dan tentunya kemiskinan tegar dan kemiskinan yang ketara dalam semua ukuran. Ternyata mereka telah jauh meninggalkan kita walaupun bermula tahun 90-an dan kita punyai keupayaan memulakan terutama di Pulau Pinang yang lebih awal dari negeri-negeri lain.

 

  1. Ini memberi kesan kepada saya kerana dalam soal kepimpinan, pengarahan negara, tatakelola itu sangat penting dan harus diutamakan. Malaysia punyai keupayaan dan potensi yang luar biasa tetapi ada yang rosak dan tempang, justeru kegagalan kita memberikan suatu pengalaman yang jelas dan mengizinkan ketirisan, kebocoran dalam bentuk rasuah, penyelewengan atau penyalahgunaan kuasa yang berleluasa tanpa ada tekad politik untuk mengawal.

 

  1. Saudara-saudara lihat apa yang berlaku sejak kemerdekaan dan apa yang menyebabkan kita agak muram dari segi ekonomi dan pertumbuhannya sejak tahun 1998. Maknanya kita belum berupaya bangun dari krisis yang melanda negara sejak tahun 1998. Sebab itu dalam ekonomi MADANI, saya menganjurkan suatu anjakan besar. Istilah anjakan yang digunakan ini sudah lama, sebab itu di JPM dan Kementerian Kewangan, Tan Sri dan YBhg. Datuk Johan Mahmood Merican, saya anjurkan supaya mereka membaca semula mengenai Thomas Samuel Kuhn kerana fahaman beliau tentang paradigm shift dengan apa yang diwar-warkan itu tidak sama. Kita membawa perubahan kecil-kecilan.

 

  1. Kita mengatakan paradigm shift itu melibatkan structural, propensity to change, reform yang bermakna dan ini tidak semestinya popular dan menyenangkan kerana ia akan tentunya mengaitkan atau mencabar kedudukan elit politik atau ekonomi yang sudah selesa dengan sistem yang ada. Sebab itu saya menyebut hal ini supaya merayu kepada rakan-rakan berbakat ekonomi untuk membantu.

 

  1. Ini harus ada usaha yang menyeluruh dan ia tidak mudah. Orang yang biasa umpamanya meletakkan setiap pelaburan yang masuk nanti, akan ada agen yang menetapkan sedikit komisen. Setiap kontrak yang diberikan mesti ada peratusan kick-back, setiap penswastaan diberikan mesti ditentukan oleh anak isteri, dan keluarga yang terlibat. Ini sudah menjadi sistemik dan ramai elit politik yang mencabar saya dan bosan apabila mendengar soal rasuah dan tatakelola tetapi bagi saya, selagi tidak ada kekuatan politik menangani isu ini, saya tidak fikir ekonomi MADANI, ketahanan dan keterangkuman itu akan dapat diterjemahkan dalam bentuk yang serius dan bermakna.

 

  1. Sebab itu saya ingin menggesa saudara-saudara, sekurang-kurangnya memahami mengapa saya agak keras dan tidak bertolak ansur dalam soal ini. Ya, kita warisi suatu sistem orang boleh pertikai kedudukan Jemaah Menteri tetapi yang mampu saya lakukan ialah sebaik sahaja pentadbiran ini wujud dan pimpinan baru memberikan perakuannya, saya tidak mungkin mengizinkan keterlanjuran ini berlaku dalam kalangan pimpinan di negara kita.

 

  1. Seandainya berlaku, arahan saya kepada semua agensi penguatkuasaan sama ada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia  (SPRM), siasatan komersial dan jenayah atau Bank Negara untuk terus memaklum kepada saya dan sementara tindakan diambil, saya tidak akan izinkan mereka bertapak dalam barisan pimpinan.
  2. Perkara ini mudah diungkapkan tetapi sukar dilaksanakan kerana kita berdepan dengan realiti politik yang sedia ada. Orang-orang ini tentunya tidak akan berdiam diri dan akan bertempur dengan cara yang ganas dan dengan segala kekuatan sana yang ada.

 

  1. Ini bukan kempen politik bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) tetapi menyatakan bahawa perbicaraan tentang ekonomi makro dan dasar ekonomi tidak mungkin terlepas dari pendirian, pimpinan politik, pengurusan kewangan negara, dan tatakelola.

 

  1. Sebenarnya ekonomi MADANI bagi saya adalah tertakluk kepada isu ini. Malah apabila saya bincang soal MADANI, tentang kemampanan dari sudut medium or long term, kemampanan itu mesti terangkum, tidak ada kemampanan, tidak ada ketahanan dan keterangkuman.

 

  1. Oleh yang demikian, kita tentu akan beroleh manfaat daripada penghujahan pakar-pakar ekonomi dalam bidang masing-masing dengan melihat daripada kerangka besar, hala tuju negara yang cuba kita jelaskan dan cerakinkan dalam bentuk atau format yang tidak semestinya sempurna. Jika ada input yang lebih baik untuk memperkukuh, saya bersedia untuk membawa sedikit sebanyak penyesuaian.

 

  1. Berbalik kepada soal anjakan paradigma seperti yang dibicarakan itu kelihatan lebih mendesak dari tatkala Thomas Samuel Kuhn membicarakan soal anjakan kerana semua orang berbicara tentang Postnormal Times ataupun Era Pasca Normal tetapi pendekatannya masih yang lama. Era Pasca Normal itu menuntut anjakan paradigma, kerana apa? kerana keadaan sekarang ini berlaku, perubahan itu sangat pesat, beberapa perubahan yang tidak mungkin terduga termasuk yang pertama, transformasi digital. Kedua, ancaman persekitaran dan climate change yang disebut dan yang ketiga, migrasi ketentuan geopolitik yang disebut oleh Ketua Menteri  Pulau Pinang sebentar tadi yang juga disebut dalam ungkapan United Nationsspontaneity itu spontaneous dan simultaneity  itu simultaneous.

 

  1. Dalam hal ini, pimpinan atau elit politik dan ekonomi harus melihat semua ini dan meyakinkan kita tentang adakah langkah-langkah yang kita ambil ini dapat membantu membawa perubahan dan mengangkat martabat ekonomi Negara.

 

 

  1. Kalau dilihat umpamanya dalam satu negara, kita lihat semua bidang kita ada masalah. Tentunya minat saya bermula dengan pendidikan, kemudian Kementerian kesihatan kata pendidikan itu tidak terkawal jika kesihatan tidak terurus kemudian Kementerian Kerja Raya menyatakan prasarana pula harus cukup. Kemudiannya, tentu pakar pendidikan mengatakan kurikulum baharu yang jelas mesti ada akses to democratization of access to quality education. Jadi ia dengan sendirinya melebar tetapi apabila saya lihat yang saya selalu cadangkan dan minta tindakan segera ialah hal-hal yang asas yang tidak terurus selama puluhan tahun.

 

  1. Saudara-saudari semuanya berpengalaman dari sekolah. Bila saya tanya secara rambang semalam di Sik, Kedah dan kemudiannya di Baling, kepada ibu bapa dan anak-anak sama ada mereka boleh nyatakan sekolah yang tandasnya rosak dan semua mengangkat tangan. Maknanya hampir setiap sekolah terutama sekolah desa, pinggir bandar atau di kawasan yang diduduki oleh urban poor itu semua tandas sekolahnya rosak. Sewaktu saya turun dari helikopter di Jeneri, Kedah, saya turut bertanya kepada Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Teloi Timur, berapa tandas rosak? Dia berkata empat. Hari ini ada yang mengatakan bahawa perkara ini remeh tetapi bagi saya ini soal asas dan soal anak-anak kita.

 

  1. Saya sebut anak-anak kita kerana kalau nak jadi pemimpin tetapi hanya fikir tentang anaknya di sekolah di Damansara sahaja, maka rosak negara. Pemimpin itu mesti mempunyai satu perasaan passion dalam pendidikan dan merasakan bahawa anak-anak semua rakyat yang itu adalah anak dia.

 

  1. Tiada sesiapa boleh menafikan prasarana sekolah kita itu di antara yang terbaik di negara yang sedang membangun tetapi pengurusan dan maintenance sekolah kita begitu jelek sehingga perkara asas itu tidak dapat di atasi.

 

  1. Jadi saya beritahu saudari YB Fadhlina Sidek dan Ketua Setiausaha tanpa tolak ansur, saya mewajibkan semua tandas di semua sekolah di Malaysia diperbaiki sebelum Disember 2023, menelan belanja sebanyak RM1.4 bilion. Saya kata aneh, inilah satu negara yang membaiki tandas dengan belanja RM1.4 bilion tetapi that is the reality. There is a problem yang di disebut dalam Club of Rome Report sebagai problematic. Itu kenyataannya.

 

  1. Kemudian soal kemiskinan tegar. Saya berterima kasih juga kerana mendapat input daripada rakan-rakan profesor di universiti tentang ukurannya. Kementerian Ekonomi memberikan jumlah lebih kurang 136,000 orang tetapi apabila saya bertemu dengan pegawai-pegawai daerah, mereka akui bahawa ada angka-angka yang tidak dimasukkan. Oleh itu, saya undang bersama Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) serta semua pegawai daerah dan pegawai jajahan Kelantan ke Sungai Petani, dan memberi arahan yang jelas. Pegawai daerah harus bertanggungjawab jika ada keluarga miskin tegar yang tidak dikenal pasti kerana saya juga mahu pastikan sekurang-kurangnya langkah awal menoktahkan kemiskinan tegar tahun ini.

 

  1. Ada yang mengatakan, this is unrealistic economic proposition. I disagree. Malaysia bukan negara yang miskin dan kita mampu. Kita mahu membicarakan soal ekonomi MADANI, mercu tanda, digital teknologi, syarikat Infineon yang membawa masuk pelaburan sebanyak EUR10 bilion tetapi perkara asas iaitu orang paling miskin kita perlu noktahkan, jadi saya tidak fikir saya mahu tolak ansur dalam hal ini. Untuk makluman saudara saudari, yang saya maksudkan orang miskin tegar ini adalah orang yang tidak mampu membeli susu untuk bayi, tidak mampu membeli uniform sekolah untuk anak belajar.

 

  1. Kementerian Ekonomi khususnya Unit Perancang Ekonomi (EPU) membantu memantau pelaksanaannya bersama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) dan saya juga akan menerima baik beberapa pandangan saudara kerana Kementerian Ekonomi menyatakan bahawa harus ada tindakan susulan melalui TEKUN dan Amanah Ikhtiar Malaysia supaya ia tidak dinoktahkan tahun ini dan bersambung pada tahun hadapan melainkan kalau di kalangan orang yang sakit ataupun warga yang betul-betul tua dan uzur atau Orang Kurang Upaya (OKU) itu terkecuali, tetapi yang lain itu harus ada tindakan susulan yang kita uruskan melalui TEKUN dan Amanah Ikhtiar Malaysia dan lain-lain yang bersangkutan.

 

  1. Saya memberi gambaran ini kerana bagi saya hal-hal ini harus diselesaikan, kalau tidak kita tidak dapat meyakinkan, ia tidak ada disconnect tentang economic preposition, teoritikal prepositions yang lunak dan baik tetapi kita hendak meyakinkan rakyat dan ini menjadi masalah kita selama ini. Kita bercakaplah apa pun, tetapi orang di sana akan kata Melayu tidak akan selamat atau penduduk Cina seperti Ketua Menteri dan DAP ini hendak ambil alih negara kita ataupun Islam tidak dapat ditegakkan, jadi wacana itu berbeza sama sekali.

 

  1. Hal-hal ini harus ditangani secara berperingkat dan diselenggarakan. Saya pergi ke Lok Kawi, Kem Tentera di Sabah kemudian Pusat Latihan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Sungai Petani serta juga Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Bagan dan saya lihat perumahan Tentera dan Polis itu dalam keadaan yang sangat tenat dari tandasnya, bumbung, dinding semua mempunyai masalah. Maknanya terabai selama ini.

 

  1. Kita bercakap dari teori Ekonomi Allahyarham Profesor Ungku Aziz tentang labour productivity, irregularities, marketing, infrastructure and neglect itu sekitar tahun 1960 dan 1961. Saya melihat neglect ini bukan sekadar orang miskin tetapi termasuk hal perumahan. Jadi dalam keadaan kekangan ekonomi sekarang dengan hutang RM1.5 trillion ini bagaimana kita nak uruskan? Tetapi saya tidak fikir adil untuk menangguhkan hal mereka walaupun transformasi digital itu sangat mendesak dan latihan TVET yang akan saya singgung sedikit nanti, itu juga sangat mendesak. Jadi oleh yang demikian, saya telah segerakan kelulusan sekurang-kurangnya bagi perbaiki kemudahan asas sebanyak RM200 juta ringgit untuk Polis dan RM200 juta ringgit untuk tentera. Ini juga termasuk perumahan di Penjara Sungai Buloh.

 

  1. Kemudian jika hal-hal ini dapat ditangani dalam masa singkat, barulah kita boleh maju sedikit dengan keyakinan kerana kalau menyebut tentang keterangkuman dari sudut pelbagai bidang, pelbagai kalangan rakyat, kalau ini dibicarakan baru boleh meyakinkan.

 

  1. Saya berbicara dengan Syarikat Infineon sebulan lebih yang lalu, wakil mereka datang minta bertemu saya dengan Menteri MITI untuk beberapa penjelasan sebelum Mesyuarat Lembaga di Jerman. Mesyuarat itu penting kerana ada persaingan permintaan Malaysia dan beberapa Negara termasuk Eropah dan Amerika yang memberikan kemudahan.

 

  1. Saya tidak boleh sebut nama negara kerana ini soal kepentingan korporat syarikat, dan insentif yang sangat baik. Tetapi apabila ditanya tentang keadaan di Malaysia, soal insentif, TVET, anak lulusan TVET dan latihan kejuruteraan, umumnya mengatakan sangat baik sama ada lulusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) atau Universiti Sains Malaysia (USM), umumnya mereka bangga dengan pencapaian kelulusan yang baik. Selain itu, mereka turut menyebut tentang negara aman dan kestabilan politik.

 

  1. Jadi saya tanya “baik, ini akan menyebabkan dia akan membawa usul di Lembaga sama ada memilih Malaysia dalam expansion ini atau beberapa negara Ireland di Eropah ataupun di Amerika. Bab itu selesai, tetapi saya tanya pula apakah kekurangannya? Dia kata memang kelayakan, kepintaran dan disiplin anak-anak kita itu sangat baik, kekurangannya ialah tentang upskilling, niche di peringkat tinggi yang nampaknya tidak dapat dipenuhi dalam sistem pendidikan latihan kita sama ada dari sudut kemahiran, TVET atau universiti.

 

  1. Elon Musk walaupun dalam perbicaraan saya dengan beliau tidak menyentuh hal ini, tetapi beliau menghantar wakil selepas itu bila beliau beritahu yang beliau setuju untuk menjadikan Cyberjaya itu sebagai ibu pejabat bagi rantau ini, dihantar wakil dan menemui saya untuk memberi pandangan yang sama. Tidak dipertikaikan soal disiplin, kecekapan, tetapi kita tidak dapat memenuhi that particular niche of level of specialization that is required to fulfill the requirements of the industry much more sofisticated and changing fast.

 

  1. Pengerusi Syarikat Geely yang saya jumpa di Beijing, China, kemudian datang di sini, masa itu mereka sedang merangka sama ada mahu meneruskan Projek Automatic City di Tanjung malim. Alhamdulillah, di antara perkara yang menarik bagi mereka ialah tentang politik yang stabil dan pengarahan ekonomi yang sangat jelas, tetapi apabila saya bertanya sebanyak dua kali, what else can we do? Mereka menyebut yang sama bahawa lulusan TVET dan universiti, your engineers are the best in their experience, discipline tetapi saya tanya apa yang kurang? Dia jawab hal yang sama, that niche is lacking, cuma saya ada minta agar mereka membantu dan mereka kata semester depan mereka akan menghantar 300 jurutera muda kita untuk dilatih di Universiti Geely di China.

 

  1. Baik, cabaran yang saya nak beri kepada universiti-universiti ialah harus mengambil tahu bahawa tidak munasabah untuk TVET selepas latihan memberi additional training ataupun universiti memberi additional kalau perlu tetapi kita perlu ambil tahu tentang mismatch atau keperluan niche Saya telah sebut kepada Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin supaya berbincang dengan pimpinan universiti tentang keperluan Syarikat Geely, Tesla, Starling dan Space X. Space X ini mempunyai tiga (3) syarikat yang beroperasi di sini yang membantu menyediakan keperluan Space X dan dia ambil sikap terbuka untuk menjadikan Malaysia gelanggang.

 

  1. Kemudian Saudi Aramco dari Arab Saudi yang akan membesarkan operasi di sini yang telah memilih Malaysia sebagai pusat pelaburan Asia Tenggara.

 

  1. Pada petang ini, 7.30 malam insya-Allah, saya akan berbincang dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdoğan kerana beliau berhasrat untuk meletakkan operasi untuk rantau ini terutama dalam beberapa bidang yang negara Turkiye nampak jauh ke hadapan, seperti drones. Drones ini mereka boleh jual ke negara Rusia, Ukraine dan dijual dikebanyakkan negara lain.

 

  1. Jadi sebahagian yang saya sebut tentang syarikat-syarikat besar ini memerlukan puluhan ribu tenaga bukan seperti mana unjuran Perikatan Nasional untuk 30 tahun akan datang, kita lihat untuk tahun ini dan tahun hadapan, itu beza kita dengan mereka. Mereka ada far-sightedness 30 tahun, tetapi kita kata tidak, kita akan buat immediate need kerana pengangguran dan ekonomi harus dipacu sekarang.

 

  1. Baik yang saya kata akhirnya apa? Kita kena bertanya kalau kita buat dan ambil langkah-langkah segera membetulkan kelemahan-kelemahan ini dan dengan syarat politiknya stabil dan tegas soal ketelusan dan tatakelola yang saya inginkan negara ini kembali ke landasan dan mampu diangkat. Sebab itu ada unjuran yang kata tidak realistik, saya tidak bersetuju kerana umpamanya kelemahan kita ini apa? kelemahan kita kebanyakannya adalah tatakelola dan lack of direction. Kalau ini dapat diurus, ada clear direction, the economics bukan Kementerian Kewangan dan Kementerian ekonomi sahaja yang punya kepakaran, kita harus manfaatkan kekuatan yang ada di seluruh negara untuk merumuskan dan dalam ekonomi MADANI Kedua yang saya akan bentangkan pada bulan Oktober, saya jadikan ini sebagai perancangan ekonomi yang dibuat bersama Kerajaan, Kementerian-kementerian, Institusi Pendidikan Negara dan universiti-universiti.

 

  1. Ini adalah major radikal move yang saya cabar YBhg. Datuk Johan Mahmood Merican untuk memimpin dan melaksanakan dan saya percaya dalam Mesyuarat Majlis Sains Negara pada dua bulan yang lalu itu, ada arahan jelas bahawa Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi harus memanfaatkan semua institusi pendidikan dan sains negara dan mesti ada sinergi dengan universiti tanpa kecuali.

 

  1. Sebaik ada kepakaran universiti, mesti dimanfaatkan sepenuhnya kerana ini belum dilakukan dengan sepenuhnya. Ini satu kerugian kepada negara ini. Beberapa penyesuaian saya tidak katakan ini belum berlaku tetapi tidak sepenuhnya, jadi saya sudah meminta laporan secara terperinci tiap-tiap universiti untuk memberikan bidang-bidang yang tenaga akademik, penyelidik yang mampu dan kita boleh sesuaikan di Jabatan dan Kementerian mana supaya ada sinergi ini dan dimanfaatkan.

 

  1. Saya lihat di negara China itu lebih aktif memanfaatkan ini tetapi kita masih lagi bekerja secara silo, mengikut pendekatan yang lama. Negeri China umpamanya saya kembali ke Tsinghua University dan tenaga pengajar serta profesor di universiti itu sekitar 82 orang kalau tidak salah saya. Semuanya diterapkan, ada sinergi negeri dengan pusat-pusat penyelidikan sains, matematik, sosial sains dan geopolitik dalam merancang bagi pihak pemerintah.

 

 

  1. Jadi hal ini insya-Allah akan dibetulkan. Andaian ini dapat kita lakukan dalam tempoh yang segera, kita boleh pacu, mencapai pertumbuhan sehingga 6% dalam masa singkat serta pelaburan yang bercambah luar daripada jangkaan. Pelaburan yang datang ini dan menjelang suku tahun akhir dengan pengumuman-pengumuman, sebahagiannya disebut tidak termasuk syarikat Bosch di Pulau Pinang, penambahan dan pelaburan syarikat-syarikat Jepun yang sedia ada.

 

  1. Kadang-kadang kita sibuk ke luar negara untuk tarik pelaburan walhal apabila saya berbicara dengan pelabur Jepun yang sedia ada di Pulau Pinang dan di Lembah Klang serta beberapa negeri seperti di Kulim Hi-Tech, dalam pertemuan itu dengan beberapa jaminan daripada Kerajaan, ada komitmen untuk terus meningkatkan pelaburan sebanyak RM28 bilion.

 

  1. Hal ini yang tentunya juga terlibat yang dipanggil domestic investments, Jadi saya berharap saudara lihat umpamanya apa yang kita unjurkan di negara dan saya minta input daripada saudara dari segi teguran dan kritikan, saya okay, tidak ada masalah. Ada orang itu bimbang kalau-kalau tenaga akademik ini, jika diberi pandangan yang agak sedikit menyimpang, saya tiada masalah itu, tetapi saya mahu kalau boleh kita bekerja sebagai satu pasukan dengan sinergi yang jelas di antara universiti dan Kerajaan dan saya akan minta supaya Kementerian Kewangan memulakan tradisi ini, dan Belanjawan MADANI Kedua pada bulan Oktober ini akan merangkum semua kekuatan yang ada pada kementerian dan Kerajaan dan juga Universiti tempatan awam dan swasta.

 

Terima kasih.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

KEPALA BATAS, 5 Ogos — Kerajaan berhasrat memperkenal sekolah khas untuk anak golongan paling miskin di negara ini supaya mereka tidak tertinggal dalam arus pendidikan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia akan lebih berkonsepkan kepada jenis sekolah menengah sains dan sekolah menengah berasrama penuh.

“Jadi, kita ada sekolah yang memberi ruang kepada anak-anak yang miskin khususnya yang paling miskin serta keputusan (akademik) yang tidak memuaskan. Kita beri mereka peluang untuk belajar,” katanya ketika berucap pada program Temu Anwar Bicara Pendidikan MADANI di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang di sini hari ini.

Beliau berkata peluang pendidikan perlu diberikan secara saksama supaya tiada mana-mana golongan tercicir daripada pendemokrasian mutu pendidikan yang memberikan hak pendidikan kepada semua orang.

Perdana Menteri berkata ketika ini, masih terdapat kesenjangan antara sekolah di kawasan bandar dan luar bandar seperti di Manik Urai, Kelantan serta Kapit, Sarawak.

Mengakui pendidikan antara cara untuk membawa keluar seseorang daripada belenggu kemiskinan, Anwar berkata ia penting dalam usaha meningkatkan mobiliti sosial yang menurut beliau adalah ‘penghijrahan’ bagi golongan miskin.

Justeru, beliau berhasrat untuk membawa perubahan dalam sektor pendidikan Malaysia bagi mempertingkat mutu pendidikan negara.

“Untuk menjayakan perkara ini, kita perlu kerjasama penuh daripada pelajar dan guru serta komitmen pelajar yang harus cemerlang dalam pelajaran mereka,” katanya.

Menjelaskan kepentingan pendidikan bagi sesebuah negara, Anwar berkata anak muda perlu menguasai pembelajaran dan menghidupkan amalan membaca yang semakin pudar dalam kalangan pelajar.

Beliau berkata sehubungan itu, Belanjawan MADANI memperuntuk perbelanjaan yang besar bagi sektor pendidikan kerana percaya negara lebih maju melalui penguasaan pendidikan oleh rakyatnya.

— BERNAMA