TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS PENYERAHAN FELO PERDANA 2023

PUTRAJAYA, 23 Ogos– Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata program Felo Perdana merupakan satu rencana untuk memberi pendedahan kepada anak muda bukan sahaja mengenali sosok pimpinan tetapi memahami budaya kerja, tradisi dan budaya dalam kerajaan.
“Pendedahan ini memberi ruang (peserta felo) memahami dasar dan menimba pengalaman dan dasar kerajaan,” katanya pada majlis penyerahan Felo Perdana di sini hari ini.
Diselaraskan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), seramai 56 orang felo dipilih dan akan memulakan tugas bermula hari ini sehingga 31 Disember.
Anwar berkata felo yang dipilih adalah berdasarkan prestasi cemerlang sebagai persiapan untuk pimpinan masa hadapan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan KBS mengenai Felo Perdana itu, kesemua 56 peserta felo yang terpilih telah melalui sesi orientasi bermula pada 20 hingga 22 Ogos lepas di Institut Semarak Felda, Bangi.
“Peserta felo yang dipilih perlu melalui proses pemilihan yang teliti dan mengikuti sesi orientasi yang telah ditetapkan bagi tujuan pendedahan terutamanya melibatkan tatacara dan peraturan yang perlu dipatuhi oleh seorang pegawai yang berkhidmat dalam perkhidmatan awam,” menurut kenyataan KBS.
Felo Perdana merupakan program berbentuk pementoran dan internship dengan matlamat melahirkan golongan belia yang dinamik, berdaya saing, mempunyai pengetahuan yang relevan berkaitan sistem pentadbiran negara.
Peserta felo yang terpilih akan mendapat bimbingan dan menimba pengalaman berkhidmat secara terus daripada ahli Jemaah Menteri dengan nisbah dua orang bagi setiap menteri dan seorang bagi Ketua Setiausaha Negara (KSN).
Felo akan menerima elaun bulanan sebanyak RM2,000 seorang bagi graduan lepasan universiti dan RM1,000 seorang bagi siswa yang masih menuntut di universiti.
Sejak diperkenalkan pada 2013, seramai 763 felo telah terpilih untuk menyertai program berkenaan.
Majlis penyerahan felo itu turut dihadiri dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, ahli jemaah menteri termasuk Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.
— BERNAMA









UCAPAN KHAS PERDANA MENTERI
SEMPENA
HARI KEBANGSAAN DAN HARI MALAYSIA 2023
22 OGOS 2023 | 8.00 MALAM
BANGUNAN PERDANA PUTRA,
PEJABAT PERDANA MENTERI
PUTRAJAYA, MALAYSIA
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh & Salam Sejahtera.
Saudara saudari rakyat Malaysia yang tercinta.
- 31 ogos 1957 dan 16 September 1963, merupakan dua (2) hari keramat bagi negara kita. Jadi oleh yang demikian, mari kita raikan dan tunjukkan bahawa kita adalah satu generasi rakyat yang faham perjuangan bapa-bapa dan ibu-ibu kita mencapai kemerdekaan.
- Bagaimana harus kita tunjukkan kesetiaan dan kecintaan kita? Tidak lain dan tidak bukan adalah menerusi pamatuhan terhadap semangat dan prinsip perlembagaan, di samping meraikan, menyantuni dan menjayakan hari keramat 31 Ogos.
- Saya syorkan mulai sekarang sehingga 31 Ogos Hari Kemerdekaan Negara dan seterunya Hari Malaysia 16 September, kita kibarkan Jalur Gemilang dengan megah di setiap kenderaan, bangunan pejabat, di rumah dan di mana sahaja untuk menunjukkan bahawa Malaysia sekarang bangkit sebagai sebuah negara yang bersatu padu yang punyai cita-cita dan idealism untuk menghayati semangat kemerdekaan itu.
- Mulai hari ini sehingga 31 Ogos, Hari Kemerdekaan Tanah Melayu dan 16 September, Hari Malaysia kibarkan bendera Malaysia ‘Jalur Gemilang’.
- Insya-Allah, ini merupakan satu cetusan semangat baru dan petanda perubahan dalam negara kita.
Terima kasih.
Wassalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan tidak pernah mengabaikan kebajikan golongan M40.
Beliau berkata dakwaan beberapa pihak bahawa pendekatan kerajaan lebih tertumpu kepada golongan B40 sehingga mengabaikan kumpulan yang berpendapatan sederhana itu adalah tidak tepat.
“Jadi beberapa langkah telah kita ambil tetapi andaian beri lebih kepada B40 itu tidak betul sebagai contoh tengok semua sekolah menengah sains atau MRSM (Maktab Rendah Sains Malaysia) termasuk Kolej Melayu dan lain-lain, manfaatnya kepada golongan paling miskin itu sangat kecil tidak sampai satu atau dua peratus.
“Sebab itu saya usulkan kepada Menteri Pendidikan baru-baru ini, menyatakan bahawa sama ada sekolah khas dicadangkan atau tidakpun mesti diperuntukkan satu hingga lima peratus sahaja bagi yang benar-benar miskin. Kalau tidak kesenjangan itu akan terus berlaku,” kata beliau.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jalinan Kerjasama iTEKAD di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan dan Gabenor Bank Negara Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour.
Sementara itu, menyentuh mengenai meritokrasi dalam pendidikan, Perdana Menteri berkata sistem itu penting tetapi tidak boleh menjadi satu-satunya kriteria bagi memastikan pengurusan dan tata kelola negara yang adil.
“Kalau nak bincang meritokrasi antara sekolah terbaik di Kuala Lumpur dengan sekolah di Kapit, Sarawak, itu maknanya menggagaskan satu formula yang tidak menekankan keadilan.
“Ada satu pihak cakap meritokrasi dan ada satu pihak cakap hanya kuota (bumiputera)…Saya fikir kedua-duanya harus digabungkan, jadi mesti ada juga meritokrasi kalau tidak, kita tidak akan angkat yang terbaik dalam kalangan kita,” kata beliau.
Anwar yang juga Menteri Kewangan, justeru menggesa kepimpinan kementerian, bank serta golongan elit mendekati golongan bawahan yang mempunyai pemikiran serta keluhan berbeza dalam perkara berkenaan.
“Kadang-kadang saya runsing juga, kita sudah merdeka sekian lama dan matang tetapi kadang-kadang wacana kita itu ada dua dan ada pemisahan dalam kalangan atasan dan di bawah.
“Oleh kerana dia (golongan bawahan) tersisih dan terabai maka dia akan lari kepada isu kaum dan agama yang sempit kerana kita (golongan atasan) tidak menyantuni mereka,” kata beliau.
— BERNAMA

KUALA LUMPUR, 22 Ogos — Kerajaan akan menambah peruntukan geran sebanyak RM6 juta untuk program kewangan sosial iTekad bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), khususnya golongan B40, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata ini akan menjadikan jumlah bantuan keseluruhan iTekad untuk tahun ini sebanyak RM10 juta, meningkat daripada RM4 juta yang telah diperuntukkan di dalam Belanjawan 2023.
Katanya kerajaan bertekad untuk menghapuskan kemiskinan negara dan mengurangkan jurang antara golongan kaya dan miskin.
“Kalau (iTekad) sudah berjaya dengan RM4 juta dana awalan Kementerian Kewangan, (beserta) andaian lebih banyak penyertaan bank dan ada lagi dana tambahan dari Bank Negara Malaysia (BNM), maka saya boleh tambah dari RM4 juta kepada RM10 juta untuk tahun ini,” katanya di Majlis Jalinan Kerjasama iTekad di sini hari ini.
iTekad merupakan program penaung yang diwujudkan oleh BNM bagi membantu usahawan mikro berpendapatan rendah memperkukuh pengurusan kewangan dan kepintaran dalam perniagaan ke arah menjana pendapatan yang berterusan.
Setiap program iTekad menggabungkan penyediaan aset perniagaan yang dibiayai oleh instrumen kewangan sosial seperti derma, pelaburan impak sosial, zakat dan wakaf tunai dengan kewangan mikro, berserta latihan kewangan dan perniagaan yang berstruktur.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menyeru lebih banyak institusi perbankan di Malaysia untuk menyertai inisiatif iTekad ini dalam masa terdekat.
“Setakat ini, kita ada 11 bank sahaja yang menyertai program iTekad dan saya harap dalam beberapa bulan ini, angka tersebut dapat mencecah kepada 20 institusi perbankan.
“Kalau tidak, saya hendak minta untuk melihat senarai yang belum masuk dan kemudiannya dikembangkan kepada sektor-sektor swasta,” katanya.
Beliau berkata penglibatan bank adalah penting kerana kerajaan akan lebih yakin dari segi kecekapan, kekerapan dan impaknya apabila bank pusat dan bank lain menguruskan inisiatif itu bersama-sama.
“Saya juga teliti tentang tahap kejayaannya kerana dari segi kos pengurusan, ia lebih rendah daripada beberapa agensi yang dikendali oleh pihak kementerian dan dari segi tekanan kewangan kepada kerajaan juga jauh lebih kurang,” jelas Anwar.
Justeru, beliau menegaskan penyertaan pihak perbankan penting untuk menjadikan inisiatif iTekad sebagai satu tonggak kejayaan sektor perbankan di Malaysia.
— BERNAMA











KUALA LUMPUR, 21 Ogos — Dasar tindakan afirmatif harus dilanjutkan daripada berasaskan kaum kepada berasaskan keperluan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam satu wawancara eksklusif dengan “The CNBC Conversation” Jumaat lepas (18 Ogos), Anwar berkata jika dasar itu dilihat terlalu menumpukan kepada kaum, ia akan menimbulkan kemarahan dan kebimbangan dalam kalangan rakyat.
“Ia bukannya isu untuk memansuhkan (hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera) , ia adalah isu yang menumpukan kepada bidang yang penting untuk mereka. Kami tidak boleh bercakap mengenai meritokrasi tulen antara pedalaman Sarawak kepada sekolah-sekolah utama di Kuala Lumpur.
Saya fikir hujah sama diguna pakai (kepada dasar tindakan afirmatif). Jika anda tumpukan kepada isu keperluan, keadilan dan kesaksamaan maka kami boleh meneruskan dengan dasar tindakan afirmatif ini,” katanya kepada pengacara Martin Soong ketika mengulas mengenai hak keistimewaan orang Melayu.
Mengambil contoh kepada Dasar Ekonomi Baharu yang diperkenalkan kerajaan sebelumnya, Perdana Menteri berkata kritikan yang sering dilemparkan kepada dasar itu ialah ia digunakan oleh rejim sebelum ini untuk mengayakan anak-anak dan keluarga mereka.
“Saya perlu untuk menoktahkan amalan ini … jika dasar ini sebagai contoh untuk menghasilkan usahawan baharu, untuk menyediakan pendidikan berkualiti untuk mereka yang tidak berkemampuan, maka ia merupakan sesuatu yang pada minda saya bukan sahaja munasabah tetapi ia sangat mustahak,” katanya.
— BERNAMA











KUALA LUMPUR, 18 Ogos — Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan tanggungan dapat memanfaatkan sepenuhnya perkhidmatan kesihatan percuma yang ditawarkan kerajaan melalui skim Perubatan MADANI.
Perdana Menteri berkata skim yang bermatlamat untuk menampung keperluan kesihatan golongan B40 boleh didapati secara percuma di klinik perubatan swasta berdaftar di 10 daerah sejak program rintis itu dilancarkan pada 15 Jun lepas.
“Saya amat berharap skim ini dapat memanfaatkan golongan sasar sebagai usaha dan upaya kerajaan mewujudkan akses yang adil kepada khidmat kesihatan yang berkualiti.
Saya mohon teman-teman untuk sebarkan maklumat ini kepada keluarga dan rakan-rakan yang memerlukan,” katanya dalam catatan di Facebooknya hari ini.
Skim Perubatan MADANI diumumkan oleh Perdana Menteri semasa pembentangan Bajet 2023 sebagai antara inisiatif kerajaan bagi mengatasi isu kesesakan pesakit di hospital kerajaan selain membantu golongan B40 mendapatkan perkhidmatan penjagaan primer akut (rawatan pesakit luar kes akut) di klinik pengamal perubatan swasta umum (GP) berhampiran.
Peruntukan bagi setiap isi rumah menerusi skim itu adalah sehingga RM250 bagi setiap isi rumah berkeluarga, RM125 bagi warga emas (tanpa pasangan) dan RM75 bagi kategori bujang yang dijangka memberi manfaat kepada 700,000 isi rumah dengan peruntukan sebanyak RM100 juta.
Pada 8 Ogos lepas Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa dilaporkan berkata Skim Perubatan MADANI telah diperluas ke 11 daerah lain membabitkan Kota Setar dan Kuala Muda di Kedah, Kuala Terengganu dan Kuala Nerus di Terengganu yang akan dilaksanakan bermula minggu kedua bulan Ogos diikuti Kota Bharu dan Pasir Mas di Kelantan; Kuantan, Pahang; Melaka Tengah, Melaka; Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang; Seremban, Negeri Sembilan dan Perlis pada minggu keempat.
Daerah lain yang terlibat dalam projek rintis ini adalah Kuala Lumpur, Klang, Petaling Jaya, Hulu Langat dan Gombak di Selangor; Johor Bahru (Johor); Kinta (Perak); Timur Laut (Pulau Pinang); Kuching (Sarawak) dan Kota Kinabalu di Sabah.
— BERNAMA
