GALERI GAMBAR : MESYUARAT JAWATANKUASA KHAS KABINET TATA KELOLA NASIONAL (JKKTN)





KUALA LUMPUR, 14 Sept — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan hormat Timbalan Speaker Dewan Perwakilan Rakyat Filipina Gloria Macapagal Arroyo di bangunan Parlimen di sini.
Ketibaan Arroyo dan delegasinya pada 11.50 pagi disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said dan timbalannya Ramkarpal Singh.
Semasa pertemuan selama 30 minit itu, Anwar dan Arroyo yang juga Presiden Persidangan Antarabangsa Mengenai Kependudukan dan Pembangunan (ICPD) telah membincangkan isu semasa termasuk mengenai pemansuhan hukuman mati mandatori.
Azalina yang ditemui selepas pertemuan itu berkata Arroyo menyatakan kekaguman mereka terhadap Kerajaan Perpaduan yang mengambil langkah segera dalam menguatkuasakan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 (Akta 846).
“Mereka kagum dengan kecepatan perubahan dasar dibuat dan semuanya kerana Perdana Menteri melihat ia perlu diubah dan Kerajaan Perpaduan MADANI telah berjaya melakukan. Kerajaan sebelum ni banyak bercakap, berbincang tetapi tidak dapat melaksanakan, tapi kita dapat melaksanakan sebagai satu komitmen kita kepada rakyat,” katanya.
April lepas Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 bertujuan memansuhkan hukuman mati mandatori, mengubah hukuman pemenjaraan sepanjang hayat dan sebatan.
Melalui undang-undang itu, mahkamah mempunyai budi bicara untuk menjatuhkan hukuman mati atau pemenjaraan bagi tempoh tidak kurang 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati, hendaklah juga dihukum dengan sebatan tidak kurang 12 kali.
— BERNAMA







SINGAPURA, 13 Sept — Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura adalah antara topik yang disuarakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika perbincangan dua hala secara tidak rasmi bersama rakan sejawatnya Lee Hsien Loong hari ini.
Perdana Menteri berada di sini bagi lawatan kerja sehari, antara lain bagi menghadiri undangan badan pemikir, Milken Institute, untuk berkongsi pandangan dalam usaha menarik pelaburan dari luar negara ke Malaysia.
“Perbincangan secara persahabatan. Tentu kita bincangkan perkara yang menyentuh kedua-dua negara, tetapi tidak rasmi. Saya tentu membangkitkan isu-isu lain termasuk cadangan kawasan khas (di Johor) bagi pengurus syarikat asing yang bekerja di Singapura,” katanya kepada media Malaysia pada akhir lawatan kerja itu.
Anwar berkata pada masa akan datang, kawasan itu akan menjadi alternatif kepada pengurus syarikat global berpangkalan di Singapura untuk menetap.
“Kawasan ini akan memudahkan perjalanan mereka. Hidup dalam keadaan yang lebih selesa, suasana yang lebih baik dengan kemudahan termasuk sekolah antarabangsa, kelab golf dan perjalanan yang mudah melalui Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua),” katanya.
Perdana Menteri menjelaskan, beliau turut menerima banyak pertanyaan mengenai idea zon khas itu dalam perjumpaan terdahulunya bersama pelabur global hari ini.
“Saya telah menyatakan kepada pelabur bahawa kos pengurusan terlalu tinggi (di Singapura). Mereka boleh terus bekerja di Singapura dan menetap di Johor,” katanya.
Malaysia dan Singapura pada Julai telah bersetuju untuk mewujudkan pasukan petugas khas bagi mengkaji penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura.
Pasukan petugas khas itu akan melaporkan perkembangannya kepada para pemimpin apabila mereka mengadakan pertemuan ketika Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura akan datang yang dijadualkan pada Oktober ini.
Kali pertama lawatan Anwar sebagai Perdana Menteri ke Singapura adalah pada Januari lepas.
Ketika ditanya berkenaan lawatan beliau ke New York, Anwar berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan pelabur besar di Amerika Syarikat dan di peringkat global.
Beliau juga akan menemui Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan dalam usaha untuk menangani isu Islamofobia di arena global.
“Mesyuarat bilateral juga saya akan adakan yang akan diumumkan sebelum saya bertolak nanti,” katanya.
— BERNAMA

KUALA LUMPUR, 13 Sept (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan kepada pelabur asing dan peneraju industri dari rantau Asia bahawa isu kestabilan politik di Malaysia tidak berbangkit ketika ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata sekarang merupakan masa yang sesuai untuk melabur di Malaysia, apatah lagi dengan pelbagai petunjuk ekonomi dan dasar-dasar jangka panjang yang diperkenalkan kerajaan termasuklah Ekonomi MADANI, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030.
Dalam catatan di Facebooknya, beliau berkata perkara itu dijelaskan kepada lebih 400 hadirin yang kebanyakannya adalah pelabur pada sesi perbualan tengah hari anjuran badan pemikir, Milken Institute di Singapura hari ini yang turut menganjurkan Sidang Kemuncak Asia ke-10 selama tiga hari di republik itu.
Perdana Menteri yang berada di Singapura dalam lawatan kerja sehari, antara lain menyertai dua sesi khas Sidang Kemuncak Asia Ke-10 Milken Institue itu, A Conversation with the Prime Minister of Malaysia dan Malaysia’s Investment Outlook: A Conversation between YAB Prime Minister and Global Investors.
Menurut catatan itu, Anwar pada sesi berasingan turut bertemu dan berbicara dengan 22 usahawan, ketua organisasi pelaburan dan perbankan di Asia dan menggunakan kesempatan itu menjelaskan mengenai dasar fiskal negara dan makna kelestarian daripada perspektif Malaysia MADANI yang mencakupi pelbagai sudut.
Perdana Menteri berkata pada sesi yang turut disertai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir itu, beliau berkongsi pandangan berkaitan isu dan arah tuju ASEAN terutamanya dalam bidang integrasi ekonomi dan teknologi.
“Saya simpulkan bahawa Malaysia memberi fokus kepada melengkapi serta memberi nilai tambah pertumbuhan ekonomi dan sosial bersama negara-negara jiran,” katanya.
Dalam catatan berasingan, Anwar turut berkongsi detik pertemuan bersama rakan sejawatnya Lee Hsien Loong pada majlis minum petang di Istana dan mereka membincangkan perkembangan semasa dan isu-isu berkepentingan yang sentiasa dekat bagi kedua-dua negara.
“Saya turut ketemu Menteri Luar Singapura Vivian Balakrishnan di Istana. Semoga persahabatan ini terus mekar dan utuh demi rakyat Malaysia dan Singapura,” katanya.
Ini merupakan lawatan kali kedua Anwar sebagai Perdana Menteri ke Singapura selepas kunjungan pertama pada Januari lepas.
— BERNAMA


















KUALA LUMPUR, 12 Sept — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tanah Negara Ke-80 (MTN-80) yang membincangkan komitmen negara untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus kawasan berhutan selaras dengan Sidang Kemuncak Rio De Janeiro pada 1992.
Perdana Menteri menerusi catatan di Facebook malam ini berkata turut dibincangkan ialah dasar pelupusan tanah kepada Tenaga Nasional Bhd (TNB) selaku penyedia perkhidmatan elektrik negara tanpa mengetepikan kuasa yang diperuntukkan oleh Perlembagaan kepada Pihak-pihak Berkuasa Negeri.
“MTN-80 juga bersetuju dengan keputusan Majlis Mineral Negara Ke-2 (MMN2) yang melibatkan kelulusan secara prinsip Dokumen Prosedur Operasi Standard Perlombongan Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) di Malaysia serta syarat kelayakan penyediaan dan perakuan laporan cari gali dan penjelajahan hanya oleh ahli geologi berdaftar, ahli geologi asing berdaftar, pengamal berdaftar atau jurutera profesional dengan perakuan amalan.
Aspek ekonomi dan kemampanan merupakan perkara yang ditekankan dalam kita mentadbir urus soal guna tanah untuk diwarisi generasi akan datang,” kata beliau.
Menurut Perdana Menteri Mesyuarat MTN merupakan suatu wadah bagi Kerajaan Persekutuan berunding dengan kerajaan-kerajaan negeri berkaitan dasar yang menyentuh tata kelola pentadbiran tanah yang konklusif, sejajar dengan Perlembagaan Persekutuan.
— BERNAMA




TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
MAJLIS PERASMIAN GLOBAL HALAL SUMMIT (GHAS)
12 SEPTEMBER 2023
PUSAT PAMERAN DAN PERDAGANGAN ANTARABANGSA MALAYSIA (MITEC),
KUALA LUMPUR
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Alhamdulillah, Nahmaduhu Wa Nusalli Ala Rasoolillah Kareem.
YAB Dato’ Seri Ahmad Zahid bin Hamidi
Timbalan Perdana Menteri
YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri
YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
YAB Dato’ Seri Haji Wan Rosdy Wan Ismail
Menteri besar Pahang
YBhg. Dato’ Seri Reezal Merican biin Naina Merican
Pengerusi MATRADE
Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian.
- Sejak kita umumkan Ekonomi MADANI, kemudiannya Pelan Perindustrian Negara dan semalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), tanpa kecuali kita tekankan keperluan kita meningkatkan keupayaan industri halal. Dalam kunjungan saya baru-baru ini ke negara China, beberapa ketua negara-negara, antaranya Presiden China, Presiden Vietnam, Laos dan Kemboja tanpa kecuali membicarakan soal industri halal. Pertemuan saya dengan Perdana Menteri Jepun danPresiden Korea di Jakarta baru-baru ini turut menyentuh tentang industri halal. Jadi satu kerugian besar kalau kita tidak memberikan perhatian terhadap industri ini kerana pengiktirafan luar telah diberikan kepada Malaysia.
- Saya ucap tahniah kepada JAKIM yang telah mempelopori industri pensijilan halal, kerana dari pengiktirafan itulah maka berkembangnya industri halal. Tidak dilupakan HDC atau Halal Development Corporation dan MATRADE yang telah menyelaras dari sudut industri. Saya juga telah meminta TPM YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi untuk menyelaraskan kegiatan industri ini termasuk pensijilan halal. Issued certification as been largely recognized by the international community. Nations and Malaysia is the epic countries and industries refer to the Malaysian certification as something recognise of a high standard, and we should fully utilize this, not only for halal certification and also for the industry. Sebab itu saya minta Dato’ Seri TPM dan menteri supaya dalam pensijilan ini dipastikan bukan sahaja aspek halal, “Halalan Tayyiban”, tetapi penekanan terhadap urusan berkaitan kelulusan yang lebih cepat dan efisien turut diberi keutamaan.
- Saya singgung tentang institusi instrumen kewangan Islam, bank, takaful dan sebagainya yang diperkenalkan 40 tahun yang lalu. Jika dilihat dari segi maksud maqasid syariah, the higher objective of the shariah mesti sentuh soal keadilan, soal pemerataan ekonomi, soal memberi peluang dan soal memberikan pengenalan instrumen kewangan ini sebagai alternatif yang boleh dipilih bukan hanya memfokus kepada soal halal dan tanpa riba sahaja. Perkara ini pernah dikupas oleh ahli-ahli ekonomi Islam terkemuka seperti Mohammad Nejatullah Siddiqi, yang merupakan pengasas ekonomi kewangan dan perbankan Islam. Beberapa tahun sebelum beliau meninggal dunia, beliau telah menulis satu rencana yang sangat tegas menyatakan bahawa kita harus mengangkat fahaman tentang kewangan dan perbankan Islam ke satu tahap yang lebih tinggi. Bukan sahaja memperkenalkan instrumen-instrumen berkaitan kewangan Islam dalam sistem konvensional, tetapi harus ada keupayaan untuk mengangkatnya sebagai suatu alternatif yang baik kepada kewangan konvensional terutama dalam keadaan keresahan dan keretakan dalam sistem kewangan antarabangsa yang disebut International Financial Architecture yang sangat bergantung kepada Dolar sehingga menyebabkan kejatuhan nilai Yen malah Renmimbi (RMB) dan juga Ringgit.
- Justeru, hal yang sama dalam konteks industri halal. Aspek pertama berkenaan pensijilan, memang kita telah berjaya, tetapi harus diangkat lagi supaya ia menjadi contoh bukan sahaja dari segi halal tetapi dari aspek kecekapan, proses, penyelidikan yang bermutu dan keupayaan memberi kelulusan halal dengan lebih cepat dan pantas.
- Yang kedua adalah industri. Sinergi di antara pensijilan dan promosi perdagangan perniagaan itu penting. Program GHAS ini penting kerana bukan sahaja memberikan ruang untuk memperkenalkan industri halal, tetapi memberikan upaya dan ruang bagi industri tempatan termasuk industri kecil dan sederhana sebagaimana yang disebut mengenai soal adil dan ihsan, bil adli wal ehsan. Iaitu penekanan bukan sahaja berkaitan halal tetapi penekanan juga perlu diberikan kepada peniaga-peniaga kecil dan sederhana dari Tanjong Karang dan Manik Urai misalnya supaya mereka dapat memperkenalkan industri mereka. Ini merupakan satu upaya alternatif ekonomi Islam yang membanggakan.
- Ini merupakan satu cabaran sebab itu saya katakan setiap langkah yang diambil oleh JAKIM dari segi pensijilan halal mesti selari dengan perkembangan industri di luar negara. Selain itu, saya juga telah mengusulkan supaya dalam produk makanan dan minuman, kosmetik, farmaseutikal, barang gunaan perkhidmatan logistik, peranti perubatan, dan pengilangan kontrak diselarikan dengan Halal Development Corporation dan MATRADE khususnya kerana ada pengkhususan dan sinergi dengan industri tempatan.
- Sekiranya perkara ini tidak diberi perhatian, kita hanya berperanan setakat meluluskan pensijilan tetapi tidak mengembangkan industri halal di negara kita. Dengan cara yang sedemikian kita akan mendapat manfaat sebagai negara yang diiktiraf mempunyai sijil halal yang di terima dunia serta berpeluang untuk menjalin kerjasama dengan China, Jepun, Korea atau negara-negara lain, kerana mereka juga melihat pasaran yang besar yang mungkin mencecah sehingga satu trilion.
- Jadi walaupun ada peningkatan 64% seperti yang disebut oleh YB Tengku Zafrul, ia amat membanggakan, namun, kita perlu mengisi ruang dan peluang yang ada dengan kapasiti yang lebih tinggi. Jadi ini cabaran bagi kita untuk mencari pendekatan atau kaedah terbaik. Saya kira pekara ini boleh direalisasikan sekiranya ada sinergi yang kuat dengan gabungan HDC dan MATRADE serta agensi-agensi dan jabatan-jabatan kerajaan yang lain untuk mengenalpasti syarikat-syarikat yang mempunyai potensi termasuklah industri-industri desa, industri kecil dan sederhana serta perusahaan mikro.
- Presiden China, Xi Jinping misalnya, dalam pertemuan-pertemuan turut menekankan soal industri halal. Justeru kita perlu mempertingkatkan pemahaman mengenai aspek halal dan industri halal dengan memberi penerangan lanjut bukan hanya dari aspek pensijilan halal dan indusri tetapi turut menyentuh tentang dakwah. Mengapa dalam Islam soal makanan halal itu ditekankan dan makanan halal itu dalam tafsirannya bukan setakat ianya tidak mengandungi unsur-unsur yang haram tetapi ia juga bersih, tiada elemen bahan kimia dan juga terarah kepada makanan organik yang sihat.
- Jadi saya percaya dengan usaha GHAS ini bersama-sama dengan MATRADE kita berupaya melakukan satu anjakan baharu dalam industri. Saya juga telah putuskan supaya perkara ini dapat di selaraskan di bawah kuasa kabinet yang dipengerusikan oleh TPM Dato’ Seri Zahid serta melibatkan pelbagai kementerian, agensi dan jabatan serta perusahaan-perusahaan mikro, kecil dan sederhana untuk memberi ruang kepada semua terlibat dalam memanfaatkan pensijilan halal dan industri halal ini. Tahniah sekali lagi saya ucapkan kepada GHAS yang saya kira peneraju pameran dunia halal. Dengan lafaz Bismillahirahmanirahim saya rasmikan GHAS 2023. Wassalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
