DASAR PANDANG KE TIMUR KINI TERMASUK CHINA – PM ANWAR


KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia yang sebelum ini hanya menjadikan Jepun dan Korea Selatan sebagai contoh model pembangunan ekonomi, kini turut berminat untuk belajar dari China.

“Kita perlu terbuka untuk menyemak semula sebarang dasar yang telah dilaksanakan selama 40 tahun,” katanya kepada Asahi Shimbun ketika ditemu bual di Tokyo pada 17 Dis.

Beliau merujuk kepada Dasar Pandang Ke Timur yang diperkenalkan Perdana Menteri keempat Tun (ketika itu Datuk Seri) Dr Mahathir Mohamad pada 1982 bagi mempelajari strategi pemodenan ekonomi terutamanya dari Jepun dan Korea Selatan.

“Saya tidak akan kata ‘Timur’ (dalam dasar itu) bermaksud Jepun dan Korea Selatan tanpa China. Sekarang, apabila kita menyebut ‘Pandang ke Timur’ ia adalah Timur (termasuk China),” kata beliau seperti dipetik oleh akhbar Jepun itu.

Anwar berkata teknologi digital, keselamatan siber dan isu-isu lain sedang mengubah dunia dan Malaysia perlu mengembangkan dasar yang telah berusia puluhan tahun itu, sambil memelihara aspek-aspek yang masih memberi manfaat.

Pemimpin itu melakukan lawatan kerja lima hari ke Tokyo mulai 15 Dis bagi menghadiri sidang kemuncak sempena ulang tahun ke-50 persahabatan dan kerjasama antara Jepun dan ASEAN.

Malaysia menyokong dasar luar yang “teguh dan bebas” dan beliau berkata negara akan berurusan dengan China bergantung kepada kepentingan Malaysia.

Anwar berkata ketika beliau melawat Amerika Syarikat (semasa APEC 2023 baru-baru ini), beliau ditanya mengapa Malaysia terarah kepada China.

Beliau menjawab: “Kerana mereka melabur lebih banyak”.

Tetapi Anwar berkata Malaysia akan tetap tegas berunding dengan China berhubung pertikaian wilayah di Laut China Selatan dan tidak membenarkan sebarang tindakan sepihak oleh Beijing.

Perdana Menteri juga menyifatkan Jepun sebagai “rakan strategik yang sangat penting”, sambil menyatakan hubungan Malaysia dengan Jepun harus diperluas di bawah dasar Pandang Ke Timur seperti berkongsi etika dan teknologi Jepun.

Menurut Asahi Shimbun, Jepun pada 16 Dis mengumumkan akan menyediakan peralatan untuk aktiviti amaran dan pengawasan bernilai 400 juta yen (US$2.82 juta), termasuk bot penyelamat dan dron kepada tentera Malaysia di bawah program bantuan keselamatan rasmi.

Anwar menekankan bahawa peralatan pertahanan itu untuk membantu Malaysia melindungi perairan wilayahnya dan ia tidak termasuk mana-mana kapal selam atau pesawat besar.

Menurut beliau lagi bantuan itu adalah untuk keperluan keselamatan.

Semasa lawatan itu, Malaysia dan Jepun telah meningkatkan hubungan dua hala kedua-dua negara kepada Perkongsian Strategik Komprehensif.

— BERNAMA

TOKYO, 16 Dis (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya Fumio Kishida hari ini mengeluarkan kenyataan bersama mengenai peningkatan hubungan Malaysia-Jepun kepada kerjasama komprehensif strategik.

Kenyataan itu diberikan sebelum kedua pemimpin itu menyaksikan majlis menandatangani dan pertukaran nota Program Peningkatan Kapasiti Keselamatan, bersama Jepun akan menyediakan peralatan pemantauan dan pengawasan untuk Malaysia.

Kedua pemimpin juga menyaksikan pertukaran memorandum kerjasama mengenai Pembangunan dan Aplikasi Angkasa Lepas antara Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dan Agensi Penerokaan Aeroangkasa Jepun (JAXA).

Terdahulu Anwar dan Kishida mengadakan pertemuan dua hala ringkas dan mesyuarat.

Anwar berkata Malaysia amat menghargai komitmen Jepun kepada rantau ini termasuk Malaysia sejak 1980-an, yang telah menyumbang kepada pertumbuhan rantau ini dan negara.

“Saya amat menghargai hubungan Malaysia-Jepun dan gembira dengan komitmen dan kerjasama meluas yang ditunjukkan Jepun dalam perdagangan dan pelaburan di rantau ini,” katanya.

Anwar berkata Jepun juga telah memainkan peranan penting dalam pembangunan Malaysia sejak tahun 1980-an, menerusi pelaburan sektor swasta.

Sementara itu, Kishida berterima kasih kepada Malaysia atas layanan yang diberikan ketika lawatan beliau ke Malaysia baru-baru ini, dan peranan penting dimainkannya dalam membentuk ASEAN seperti yang ada sekarang, serta mahu melihat penglibatan yang lebih besar Jepun dalam ASEAN.

Terdahulu pada majlis menandatangani dan pertukaran nota Peningkatan Kapasiti Keselamatan itu, Malaysia diwakili Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan manakala Jepun diwakili Menteri Luarnya Yoko Kamikaway.

Manakala pada pertukaran memorandum kerjasama angkasa Ketua Pengarah MYSA Azlikamil Napiah mewakili Malaysia dan Presiden JAXA Hiroshi Yamakawa bagi pihak Jepun.

— BERNAMA

KUALA LUMPUR, 14 Dis (Bernama) — Entiti di bawah Yayasan Pelaburan Bumiputra (YPB) iaitu Permodalan Nasional Berhad (PNB), Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK) perlu memastikan mandat yang diamanahkan kerajaan dilaksanakan dengan cekap dan mengikut tatakelola yang terbaik.

Perkara itu ditekankan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah YPB pagi tadi.

Selain itu, Anwar berkata fokus dan koordinasi antara agensi berkaitan pembangunan bumiputera juga perlu diperkukuh.

“Di bawah Belanjawan 2024, saya telah umumkan bahawa institusi pelaburan Bumiputera akan dipusatkan di bawah YPB. Antara lain, Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) akan diletakkan di bawah naungan YPB.

“Sehubungan itu, bagi memastikan peralihan ini dapat dilaksanakan dengan segera, saya turut mempengerusi Mesyuarat Agung Luar Biasa Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera (YAHB) dan YPB,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah YPB itu turut dihadiri ahli lain iaitu Pengerusi Kumpulan PNB Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda dan Tan Sri Ambrin Buang.

— BERNAMA

 

TEKS UCAPAN

 YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

SEMPENA

 

MAJLIS PERASMIAN KARNIVAL BARANGAN MALAYSIA 2023

14 DISEMBER 2023 (KHAMIS)

IOI GRAND EXHIBITION & CONVENTION CENTRE, PUTRAJAYA

 

 

 Assalamualaikum Warahmatullahi Taala Wabarakatuh dan Salam Sejahtera

Alhamdulillah, Nahmaduhu Wa Nusalli Ala Rasoolilah Kareem

YB Datuk Armizan Mohd Ali,

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yang baharu mengambil alih tugas;

YB Senator Puan Hajah Fuziah Salleh,

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang memegang tunggak sekian lama dengan ketiadaan menteri;

Ketua Setiausaha,

Timbalan Menteri yang pernah mewakili kawasan parlimen di sini; dan

Rakan-rakan yang saya muliakan.

  1. Syukur Alhamdulillah, kita dapat meneruskan acara yang penting dari sudut pembangunan dan ekonomi negara. Kalau kita tanya rakyat Malaysia, cintakah anda akan Malaysia? Jawabnya ya. Betul taat kepada negara? Jawabnya ya. Tetapi, apabila ditanya beli tidak barangan Malaysia? Jawabnya kurang. Minum kopi dipilih kedai yang mahal-mahal.
  1. Sebab itu sejak saya menjawat jawatan Perdana Menteri acara tetap saya pada setiap hari Jumaat sebelum solat Jumaat adalah saya akan pergi ke warung atau gerai, minum kopi tempatan atau teh dan makan di kedai-kedai tempatan. Ini adalah salah satu juga cara kita mempromosikan barangan Malaysia. Orang-orang ini pendapatannya kecil tetapi terbawa dengan pengiklanan yang kemudian membebankan.
  1. Pagi tadi saya bermesyuarat dengan Yayasan Pelaburan Bumiputera. Kebimbangan saya adalah kesedaran bumiputera untuk menyimpan itu kurang. Beli nak beli barang mewah, pendapatan RM2000 tetapi baju RM400. Ini kalau ikut teori ekonomi, dikupas oleh Thorstein Veblen, seorang pakar ekonomi yang menyebut teori – conspicuous consumption. Maknanya dengan asakan, iklan yang begitu kencang dan hebat – lagi besar syarikat, lagi kaya jaringan syarikat-syarikat peringkat antarabangsa, lagi kuat pengaruhnya untuk membebankan kita dengan pemikiran sehingga apa yang disebut oleh Thorstein Veblen “conspicuous consumption”. Maknanya dia terpaksa membeli walaupun tidak mampu, terpaksa menunjuk hebat ikut trend walaupun membebankan ekonomi sendiri.
  1. Jadi Kempen Beli Barangan Malaysia ini, pertama, harga itu jauh lebih sederhana ketimbang dengan harga import. Kedua, ia sebenarnya membantu menjana pertumbuhan ekonomi, pekerjaan, jaringan kedai-kedai dan menyemarakkan pertumbuhan ekonomi Negara.
  1. Jadi saya harap Kempen Karnival Beli Barangan Malaysia ini dapat dilihat sebagai suatu langkah memenuhi tanggungjawab, bukan setakat batik Malaysia yang kita promosi tetapi lebih daripada itu iaitu untuk memastikan ada dukungan. Faktor yang berikutnya adalah tentang keupayaan kita. Apabila ada dukungan tempatan hebat, maka keupayaan syarikat-syarikat tempatan ini untuk buka jaringan di peringkat antarabangsa juga meluas.
  1. Saudara, puluhan syarikat sekarang telah menerobos ke pasaran antarabangsa bukan sahaja di ASEAN tetapi sehingga ke Amerika Syarikat dan beberapa negara di Eropah. Asas kekuatan itu dibina dalam negara.
  1. Jadi kepada anak muda sekarang, saya ingin menggesa mereka supaya melihat, tentunya mereka mahu mutu. Mutu itu penting, jadi persaingan di kalangan syarikat tempatan mempertahankan mutu tetapi mutu itu bukan pada label, bukan jenama. Mutu itu juga dari pandangan sudut persepsi yang dibina.
  1. Walaubagaimanapun, siapa yang menang untuk membina persepsi? Tentulah syarikat besar, syarikat gergasi, syarikat asing kerana dana pengiklanan mereka tu besar. Jadi kita terperangkap kerana taksub dengan pemikiran asing. Dalam pembangunan pernah seorang sarjana menyebut ‘the captive mind in development studies’, pemikiran yang terperangkap kerana asakan pandangan luar asing.
  1. Kalau ia benar boleh kita terima tetapi dalam banyak keadaan itu tidak benar. Soal mutu, cita rasa, fesyen itu semua ditentukan oleh mereka di New York, Paris, dan Rome, dan kita hanya ikut.
  2. Jadi sebab itu saya lihat ada usaha untuk melawan, menongkah arus ini umpamanya dalam mempromosi batik Malaysia. Sekarang umpamanya, beberapa negara telah melihat keindahan batik kerana dipromosi begitu rupa. Setiap pelawat ke Malaysia apabila kita pakai, yang berminat batik Malaysia, ada yang rasa terpanggil untuk melihat.
  1. Esok petang saya akan ke Tokyo bagi Mesyuarat ASEAN, kesemua 10 negara ASEAN diundang oleh Kerajaan dan Perdana Menteri Jepun. Ada satu malam, dia kata, boleh pakai kot, tali leher atau pakaian rasmi. Jadi saya bagi nota saya kata saya nak pakai batik Malaysia. Walaupun musim sejuk, jadi saya kena pastikan pakaian dalam tu tebal.
  1. Sebabnya? Sebab saya rasa bertanggungjawab untuk mempromosikan barangan buatan Malaysia. Saya akan rasa bangga dan akan beritahu batik Malaysia ini mutu dan rekaannya baik. Menyentuh soal rekaan, saya ada memberikan pandangan, saya juga tidak menafikan keindahan dan corak serta cita rasa yang berbeza, saya unjurkan supaya pengusaha batik tempatan ini juga faham tentang nilai keindahan seni Melayu dan Islam supaya rekaan itu, selain daripada conteng-conteng celoreng juga mengambil kira kekuatan, keaslian dan keindahan seni Melayu Islam tempatan.
  1. Jadi corak-corak itu boleh dibuat dan dikembangkan berdasarkan keaslian dan diindahkan mengikut cita rasa semasa. Itu sebagai satu contoh batik tetapi banyak lagi yang boleh dibeli, Chef Wan pun ada nak bagi makanan. Banyak lagi disini yang boleh dibeli – Ana Muslim, Inas Global dan Bantal Leyna.
  1. Tentunya ada keterangan yang lebih ditekankan dan seperti mana yang disebut oleh YB Datuk Armizan Mohd Ali sebentar tadi dalam belanjawan, kita telah menambah peruntukan supaya ada galakan dan ini termasuk juga dalam PMKS, pengusaha kecil dan sederhana yang kita galakkan tetapi yang penting dan hasrat saya adalah dukungan dan sambutan.
  1. Saya sediakan belanja dana dalam RM20 juta tambahan untuk mempromosikan syarikat-syarikat tempatan. Bayangkan Kerajaan menyediakan dana untuk membantu iklan kerana syarikat-syarikat ini kecil dan nak berlawan iklan syarikat besar, satu halaman panggil model-model yang cantik dari Itali.
  1. Padahal saya lihat anak Melayu, Dayak atau Kadazan pun lebih cantik . Jadi tak payahlah terpegun dengan yang asing. Bukanlah masalah RM20 juta itu nak cari model, tetapi maknanya nak ambil langkah untuk mempromosikan barang tempatan.
  1. Seperti saudara tahu di antara lain adalah Francais. Industri Francais di Malaysia ini kalau yang tempatan itu mencecah RM1.4 bilion. Berapa jumlah pekerja? 80,000 orang pekerja. Jadi kalau ada kesedaran kita untuk dukung, kita bantu. Saya tidak terasa kurang darjat saya atau turun darjat saya kerana makan di gerai dan warung setiap minggu, saya tidak terasa begitu. Malah kopi ataupun makanan yang dihidang di warung itu kadang-kadang lebih enak dari restoran 5 bintang dan lebih murah. Yang pentingnya, tempatan.
  1. Jadi saya harap Menteri, Timbalan Menteri dan KSU serta kawan-kawan lain mengambil langkah-langkah tambahan, ada kesungguhan dan memang tentunya dalam kempen ini bermula dari Menteri, Timbalan Menteri dan KSU. Kalau nampak mereka pakai pakaian jenama luar, saudara boleh tanya, mana mungkin dia akan kempen beli barangan Malaysia.
  1. Akan tetapi, kita tidak mengharamkan pakaian atau makanan luar tetapi harus ada perimbangan dan pertimbangan untuk membantu menjana pertumbuhan ekonomi dan membantu anak kita, saudara kita yang giat berniaga dan mengusahakan syarikat-syarikat tempatan walaupun kecil-kecilan.
  1. Sekali lagi saya rumuskan, jangan kita terutama di kalangan muda, yang pendapatan sangat sederhana terpukau dengan propaganda dan iklan yang sebenarnya di upah untuk memperkuatkan dukungan kepada syarikat yang berkenaan dan tidak bermakna orang yang tidak mampu mengupah model dan iklan besar-besaran itu tidak mempunyai kekuatan. Kalau kita lihat sejarah syarikat-syarikat ini pun mereka mula daripada peringkat awal kemudian tercetus sebagai pengusaha yang berjaya.
  1. Sekali lagi saya ucapkan tahniah, pertamanya kepada pengusaha dan peniaga-peniaga yang turut serta, ada sekitar 150 yang bersama pada hari ini, terima kasih dan tahniah kepada mereka termasuk Solar Save.
  1. Saya juga mengucapkan penghargaan kepada Kementerian yang sangat gigih dalam usaha mereka mempertahankan kos sara hidup yang sangat mencabar. Tetapi kadang ini yang dipilih, dibeli, apabila semua jumpa saya cakap kos dah meningkat, tanya minum kopi di mana? Restoran 5 bintang. Kalau betul kamu berusaha untuk mengurangkan kos, kamu tunjukkan contoh yang baik. Kalau tak minum kopi di rumah, pergilah warung-warung atau kedai-kedai kecil ini, rasanya lebih enak dan harganya lebih rendah. Jadi saya nak nasihat kawan-kawan terutama yang bising itu cuba tanya dia, boleh tidak dia mulakan kerana saya tengok kadang-kadang golongan korporat-korporat dan elit-elit intelektual yang bising-bising ini, mereka tidak pernah pergi ke warung dan gerai pun. Hanya celoteh di luar.
  1. Jadi patut beri contoh yang baik bukanlah semestinya setiap hari, sekali-sekala bantulah syarikat tempatan. Tidak semestinya semua tetapi sebahagiannya, itu sudah memadai.
  1. Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih dan semoga Allah SWT merestui dan memberkati usaha kita dan sama-sama merestui usaha kita untuk mengukuh dan meningkatkan ekonomi negara kita.

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

KUALA LUMPUR, 13 Dis (Bernama) — Kerajaan memberi jaminan akan menokok jumlah pencen pesara penjawat awam bagi memastikan jumlah pencen mereka tidak berkurangan daripada apa yang telah diterima ketika ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Walaupun ada keputusan mahkamah, kerajaan khususnya Perbendaharaan membuat keputusan untuk menokok jumlah yang dianggap kurang itu supaya tidak kurang daripada gaji (pencen) yang sepatutnya (diterima),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam Sumbangan Kasih Persatuan Alumni Pegawai Tadbir dan Diplomatik (Alumni PTD) dan Yayasan Alumni PTD di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini, malam ini.

Pada 27 Jun lepas, Mahkamah Persekutuan membatalkan pindaan kepada undang-undang pencen menjadikan pindaan kepada Akta Pelarasan Pencen (Pindaan) 2013 (PAA) itu tidak lagi terpakai kepada pesara kerajaan.

Pada Julai lepas, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata dalam satu kenyataan bahawa  kerajaan telah memutuskan supaya pencen dan pencen terbitan bagi bulan Julai 2023 hingga Disember 2023 dibayar menggunakan amaun pencen asal.

Ini menyaksikan bayaran pencen bagi pegawai awam yang bersara sebelum 2013 dikembalikan kepada amaun Disember 2012, manakala pegawai awam yang bersara mulai 2013 bayaran pencen dikembalikan kepada amaun asal semasa bersara.

Bagaimanapun, Anwar berkata: “Perbezaan amaun pencen semasa dengan amaun pencen asal terus dibayar dalam bentuk bantuan khas yang dinamakan sebagai Penghargaan Khas Kepada Pesara (PKKP) bagi menjadikan amaun yang diterima oleh pesara sama seperti amaun pencen semasa iaitu amaun pencen pada Jun 2023.

Terdahulu, Presiden Alumni PTD Tan Sri Abdul Halim Ali ketika berucap pada majlis itu menyuarakan  kebimbangan bahawa pencen pesara akan berkurangan pada tahun depan susulan keputusan Mahkamah Persekutuan berkaitan pindaan undang-undang pencen berkenaan.

Sementara itu, menyentuh mengenai kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), Anwar berkata kerajaan komited meneliti perkara itu secara mendalam, namun ia memerlukan sedikit masa.

“Dalam penyelarasan gaji ini, tentu isunya akan diteliti dan dikaji dan saya percaya SSPA ini sudah cecah 11 tahun belum ada (kajian semula). Bukan masalahnya saya hendak memenangi atau memujuk penjawat awam, tetapi ini kenyataannya.

“Sepatutnya ia disemak setiap 10 tahun, namun kerana politik itu tidak berkesudahan jadi tidak sempat fikir masalah penjawat awam. Tetapi sekarang wujudnya Jawatankuasa Semakan Semula Sistem Saraan Perkhidmatan Awam, Insya-Allah, ia akan dapat diatasi,” katanya.

Pada majlis itu juga, Perdana Menteri turut meluluskan peruntukan RM500,000 kepada Alumni PTD bagi meneruskan aktiviti persatuan itu dalam membantu memperkukuh pentadbiran dan perkhidmatan awam.

— BERNAMA

KUALA LUMPUR, 13 Dis (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi peringatan kepada semua anggota Kabinet termasuk yang baharu dilantik bahawa tidak ada tempoh untuk berbulan madu, sebaliknya mereka perlu terus menjalankan tugas menyelesaikan masalah rakyat.

Beliau berkata anggota Kabinet dan kerajaan juga dituntut untuk menoktahkan kemiskinan tegar, menguasai bidang-bidang penting, memacu pertumbuhan ekonomi dan menjamin kemakmuran negara.

Anwar berkata perkara itu antara yang disampaikan beliau dalam mesyuarat pertama Kabinet baharu Jemaah Menteri pagi tadi.

“Dalam mesyuarat ini saya tekankan tentang bidang tugas baharu setiap kementerian masing-masing. Mesyuarat juga mengutus penghargaan buat mantan Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar atas sumbangan yang telah diberikan.

Saya turut titip pesan agar tumpuan dan keutamaan kini mesti lebih terarah dan pantas dalam usaha menterjemah cita dan nurani rakyat,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook hari ini.

Mesyuarat itu turut dihadiri ahli-ahli Jemaah Menteri yang baharu iaitu Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Ghani, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Menteri Digital Gobind Singh Deo dan Menteri Sumber Manusia Steven Sim.

Semalam Anwar mengumumkan rombakan kabinet, yang menyaksikan pelantikan lima muka baharu bagi jawatan menteri dan timbalan menteri.

Rombakan Kabinet dan penyusunan semula kementerian melibatkan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim yang kini dipecahkan kepada Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

Kementerian Komunikasi dan Digital pula diasingkan masing-masing kepada Kementerian Digital dan Kementerian Komunikasi.

Rombakan itu menyaksikan jumlah Ahli Jemaah Menteri meningkat daripada 28 kepada 31, manakala timbalan menteri bertambah daripada 27 kepada 29, sekali gus jumlah keseluruhan anggota pentadbiran Kerajaan Perpaduan kini adalah 60 orang.

— BERNAMA