PEMBANGUNAN ASET ATM, RKAT, PEMANGKIN KETUMBUKAN BADAN PERTAHANAN NEGARA TERUS UTUH – PM ANWAR


KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap pembangunan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) menjadi pemangkin agar ketumbukan badan pertahanan negara terus utuh dalam memastikan keselamatan rakyat berada pada tahap terbaik.

Beliau berkata pembangunan aset ATM dan pembangunan perumahan itu selari dengan matlamat kerajaan untuk menjaga kebajikan bertunjangkan Konsep Malaysia MADANI yang bakal memberikan faedah kepada warga tentera, ahli keluarga dan masyarakat sekitar kem.

Pembangunan aset ATM melibatkan pemindahan Pusat Latihan bagi Kor Polis Tentera Diraja (Pulapot) dan Markas Tim Akrobatik Army Red Warrior (ARW) ke kompleks baharu yang lengkap, moden dan selesa di Mukim Si Rusa, Port Dickson, Negeri Sembilan.

“Kompleks baharu, ditambah kebhinekaan (kepelbagaian) kemudahan-kemudahan yang ada, pastinya membantu warga kerja pertahanan yang terdiri daripada anggota ATM, warga veteran ATM dan warga kerja awam di Kementerian Pertahanan untuk memiliki rumah yang selesa di Kuala Lumpur di bawah harga pasaran,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Terdahulu, Anwar menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Perpindahan dan Pembangunan Semula Kem Pulapot, ARW dan Kem 12 Kompeni Kor Polis Tentera Diraja (12KPTD) serta Pembangunan Perumahan Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) yang berlangsung di Perdana Putra, Putrajaya.

Perjanjian yang melibatkan Kementerian Pertahanan (MINDEF), Syarikat Tanah dan Harta Sdn Bhd, Pesuruhjaya Tanah Persekutuan dan Platinum Victory Development Sdn Bhd itu turut dihadiri, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Kompleks di Mukim Si Rusa, Port Dickson, Negeri Sembilan itu akan dilengkapi Pejabat Markas, Wisma Perwira, Wisma Bintara, dewan serba guna, kemudahan bilik latihan, kemudahan bilik penginapan, padang kawad, sirkit menempuh halangan, lapang sasar pistol dan kemudahan lain yang memberi manfaat kepada Pulapot dan ARW.

Ia merupakan sebahagian daripada pelan pembangunan semula aset ATM iaitu Pulapot, ARW dan RKAT serta kemudahan berkaitan yang kini bertempat di Kem Genting Klang di sini.

— BERNAMA

KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menerima kunjungan hormat bekas Naib Presiden Indonesia Muhammad Jusuf Kalla dan isterinya, Mufidah di Seri Perdana, Putrajaya, malam ini.

Menerusi hantaran di Facebooknya, Anwar berkata mereka membincangkan perkembangan isu Palestin yang menjadi perhatian dan sangat mengesankan Jusuf Kalla.

“Kesempatan yang ada turut kami gunakan untuk menyentuh kepentingan pengukuhan aliran dakwah dan pemikiran Islam yang sederhana di rantau Alam Melayu melalui aktiviti-aktiviti ilmu dan keagamaan.

“Ia juga seiring dengan peranan semasa Bapak Jusuf Kalla sebagai Ketua Dewan Masjid Indonesia (DMI),” katanya.

Perdana Menteri berharap agar pertemuan tersebut akan meneruskan lagi legasi panjang Jusuf Kalla yang sinonim dengan hubungan istimewa Malaysia dan Indonesia.

Anwar turut memuat naik beberapa keping gambar pertemuan itu.

— BERNAMA

KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan adalah penting untuk projek-projek pembangunan dan infrastruktur di negeri-negeri dipercepatkan, termasuk mempermudah proses-proses terlibat antara kerajaan Persekutuan dan negeri seperti pindah milik pemilikan tanah.

“Selain itu, perancangan dan pembangunan koridor juga perlu mengambil kira perancangan dan potensi pembangunan dengan negara-negara jiran,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara, Pihak Berkuasa Wilayah Iskandar dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur, di sini, hari ini.

Mesyuarat pada petang tadi telah dihadiri oleh semua Menteri Besar dan Ketua Menteri selain wakil Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pihak industri.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, selaras dengan agenda Ekonomi MADANI untuk menstrukturkan semula ekonomi negara, kerajaan juga telah memutuskan untuk melaksanakan rasionalisasi agensi galakan pelaburan.

“Aktiviti promosi dan kelulusan insentif pelaburan akan dipusatkan kepada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) melalui Lembaga Pembangunan Industri Malaysia (MIDA).

“Pihak berkuasa koridor pula akan menumpukan peranan untuk menyokong pelaksanaan/merealisasikan pelaburan,” kata beliau menerusi catatan di laman sosial “X” yang dulu dikenali sebagai Twitter.

Mesyuarat berkenaan turut membincangkan status pelaburan masuk dan pembangunan infrastruktur terkait dengan setiap koridor.

Tiga Wilayah Koridor utama catat pelaburan kumulatif, komited RM759.2 bilion

Anwar turut berkongsi pencapaian yang menyaksikan sejumlah RM185 bilion pelaburan kumulatif dicatatkan oleh Wilayah Ekonomi Koridor utara bagi 2022 dan melebihi sasaran RM146.5 bilion bagi tempoh 2021 hingga 2025.

Selain itu, Iskandar Malaysia mencatat pelaburan komited berjumlah RM409.5 bilion berbanding sasaran RM383 bilion untuk dicapai sehingga 2025.

“Wilayah Ekonomi Pantai Timur pula telah menerima pelaburan komited berjumlah RM164.7 bilion,” kata beliau.

— BERNAMA

CYBERJAYA, 25 Okt (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengingatkan jabatan kerajaan untuk tidak melayan atau memulangkan sahaja mana-mana surat yang menggunakan selain bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu.

Berucap merasmikan Karnival Dekad Bahasa Kebangsaan dan Dekad Membaca Kebangsaan di sini, beliau menyedari terdapat sikap yang dirasakan “terlajak” atau “terpesong” oleh beberapa pihak yang sering kali cuba meninggalkan asas Perlembagaan Persekutuan untuk berhubung dengan jabatan kerajaan dalam bahasa kebangsaan.

“Jadi saya ingatkan hal ini, kalau dalam kalangan syarikat tempatan dan universiti tempatan termasuk swasta, arahannya ialah siapa sahaja menulis dalam bahasa lain selain bahasa kebangsaan, surat itu akan dipulangkan.

“Pemerkasaan budaya, bahasa dan sastera itu sesuatu yang integral dalam pembinaan bangsa, jadi jangan kita cuba meremehkan.

“Dan, saya harap peringatan ini diambil kira. Arahan yang jelas, KPPA (Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Dr Zulkapli Mohamed) pun ada … tidak akan melayani sebarang surat yang  disampaikan rakyat atau syarikat tempatan selain daripada bahasa kebangsaan,” katanya.

Anwar berkata tindakan sedemikian tidak akan menjadikan Malaysia “sempit” kerana kerajaan juga tidak meremehkan penguasaan bahasa Inggeris.

“Ini tidak menjadikan kita sempit, kerana saya sering kali mengingatkan rakan-rakan bahawa saya tidak mungkin diminta mengajar di Georgetown University, Washington DC kalau tidak dapat menguasai bahasa Inggeris. Saya tidak remehkan (penguasaan bahasa Inggeris),” katanya.

Sementara itu, Anwar berkata budaya membaca wajar dipraktikkan sejak muda lagi sebagai satu “keghairahan” dan bukan hanya wujud disebabkan mahu lulus peperiksaan.

“Saya harap budaya ini harus dihidupkan kerana sebaik sahaja kita mampu membaca, menelaah dan menghadam barulah kita dapat insya-Allah, menguasai ilmu mendalam dalam semua bidang. Kalau tak kita jadi intelektual picisan,” kata beliau.

Anwar berkata dalam keghairahan meneroka pemikiran dan teknologi baharu, aspek penguasaan bahasa kebangsaan dan pemerkasaan budaya tidak boleh dibelakangkan.

Beliau berkata walaupun aspek penerokaan bidang baharu menjadi fokus dalam kerangka Malaysia MADANI, ia tidak mungkin mematangkan negara tanpa usaha penguasaan bahasa dan pemerkasaan budaya.

“Kita tak nak orang ingat dalam keghairahan teroka pemikiran baharu tetapi kita tinggalkan landasan akar bumi (bahasa dan budaya),” kata Anwar.

— BERNAMA

KUALA LUMPUR, 24 Oktober — Datuk Seri Anwar Ibrahim hari mendedahkan beliau menerima banyak ugutan daripada negara luar, susulan ketegasan Malaysia mempertahankan nasib rakyat Palestin.

Perdana Menteri berkata selagi diberi mandat dan kepercayaan oleh rakyat, beliau selaku ketua kerajaan tidak akan tunduk dan gentar dengan sebarang ugutan.

Beliau berkata sebagai negara berdaulat, Malaysia akan kekal bebas dan akan terus mempertahankan kebebasan negara dan juga memperjuangkan kebebasan rakyat Palestin.

“Saya terima banyak ugutan… dan saya sebut kamu salah pilih orang.

“Selagi saya diberi mandat oleh rakyat, saya tidak akan terima ugutan sebegitu. Bagi kita lawan tetap lawan,” katanya ketika menyampaikan amanat pada Himpunan Malaysia Bersama Palestin di Axiata Arena, Bukit Jalil di sini malam ini.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengkritik sikap berat sebelah Amerika Syarikat yang hanya mengecam Rusia berhubung isu Ukraine, tetapi bertindak menyokong Israel dalam isu pencerobohan Palestin.

PM Anwar berkata sokongan Amerika Syarikat dan Eropah, membuatkan Israel menjadi terlalu angkuh dan seperti satu kegilaan untuk membenarkan pembunuhan bayi dilakukan sedemikian rupa, ketika hospital dan sekolah musnah dibom.

“Ia satu kegilaan untuk membenarkan pembunuhan manusia dan bayi, hospital dibom, sekolah dimusnahkan, ini tindakan kejam. Kita boleh lihat apabila Israel langgar (ceroboh) Palestin, mereka diam. Ini hukum apa? Ini hukum rimba,” katanya.

Perdana Menteri turut berkongsi penghormatan tinggi yang diberikan negara-negara Arab seperti Qatar, Bahrain dan Mesir kepada Malaysia, atas peranan dimainkan dalam mengangkat isu konflik Palestin-Israel.

PM Anwar berkata bagaimanapun kebanyakan pemimpin negara Islam yang beliau temui baru-baru ini, mengakui konflik Palestin ialah satu isu yang sukar ditangani dengan mudah.

Perdana Menteri berkata perkara ini berpunca daripada sikap ego dan sombong Israel yang meraih sokongan kuat Amerika Syarikat dan United Kingdom (UK).

“Masa depan mereka (penduduk Palestin) sangat malap, kemungkinan tentera Israel akan ceroboh Gaza. Keadaan sangat getir dalam beberapa minggu ini, kematian lebih ramai di bawah tangan Israel.

“Kita yakin dengan pertolongan Allah, namun apa yang penting kita perlu terus beri semangat dan apa jua sokongan untuk kebebasan rakyat Palestin,” katanya dan mengakhirinya dengan laungan Hidup Palestin dan Palestin Merdeka.

— BERNAMA