GALERI GAMBAR : ANWAR TIBA DI INDONESIA UNTUK LAWATAN RASMI PERTAMA KE LUAR NEGARA SEBAGAI PM





JAKARTA, 8 Jan (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ahad menyaksikan pertukaran sembilan memorandum persefahaman (MoU) melibatkan syarikat-syarikat Malaysia bagi pelbagai projek dan kerjasama selain sesi penyerahan surat hasrat (LoI).
Ini termasuk MoU antara ASIC Offshore & Marine & Marine Sdn Bhd dan PT Dok dan Perkapalan Kodja Bahari yang dianggarkan bernilai lebih RM500 juta dan melibatkan usaha selama dua tahun.
Dua syarikat terbabit berhasrat mendapatkan bahagian pasaran bagi segmen kejuruteraan, pembinaan kapal, baik pulih kapal, pelaburan kewangan bagi instrumen serta kemudahan pengeluaran, kejuruteraan daratan dan luar pesisir, fabrikasi selain pembinaan kapal perniagaan dan pembaikan kapal dari syarikat perkapalan negara itu dalam rantau Indonesia.
Selain itu, Perjanjian Komitmen Kerjasama antara AIROD Sdn Bhd dan PT Dirgantara Indonesia dengan potensi nilai US$150 juta (RM660 juta) bagi projek pemodenan selama lima tahun yang akan diperincikan kemudian dalam perjanjian berasingan dan/atau menerusi tempahan melibatkan kedua-dua pihak.
Hadir sama dalam majlis pertukaran dokumen MoU itu adalah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir serta rakan sejawatnya dari Indonesia Retno Lestari Priansari Marsudi selain Menteri Pekerjaan Umum dan Perumahan Rakyat Indonesia M Basuki Hadimuljono.
MoU lain melibatkan kerjasama perniagaan antara Export-Import Bank of Malaysia Bhd dan Lembaga Pembiayaan Eksport Indonesia selain Citaglobal Bhd dan Indonesia Battery Corporation, AWC Bhd dan PT GKM (Kek Maloy) dan AWC Bhd dan PT Bintang Timur Investama.
Memorandum kerjasama (MoC) pula membabitkan FGV Holdings dan PT Perkebunan Nusantara Indonesia (PTPN) selain Penjana Kapital Sdn Bhd dan Indies Capital-AC Ventures manakala SIRIM Bhd dengan Agensi Penyelidikan dan Inovasi Kebangsaan Indonesia.
Majlis sama turut menyaksikan sesi pertukaran sejumlah 11 LoI membabitkan masing-masing 10 syarikat Malaysia yang berhasrat menyertai pembangunan Nusantara, ibu negara baharu Indonesia.
Syarikat terbabit adalah Success Electronics & Transformer Manufacturer Sdn Bhd bagi pelaksanaan Pencahayaan Lampu Jalan Pintar LED manakala Carsome merangkumi usaha pendigitalan perdagangan automotif di Nusantara.
Pengeluar kabel aluminium dan tembaga, Olympic Cable Company pula berhasrat mengembangkan produk sedia adanya termasuk kabel kawalan, kabel instrumentasi, kabel pelbagai teras serta telekomunikasi.
Boustead Properties Bhd menawarkan usaha pembangunan hartanah dan perkongsian pengetahuan dalam mewujudkan perbandaran pintar serta lestari.
Selain itu, Berjaya Corporation Bhd akan menawarkan kepakaran dalam pengurusan sisa pepejal, bekalan air minuman, pembangunan hartanah serta perumahan dan teknologi bandar pintar.
Pharmaniaga Bhd pula berhasrat menawarkan produk serta perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti dan berpatutan manakala Alliance MEP (Sarawak) Sdn Bhd pula dari segi penawaran perkhidmatan profesional.
Protasco Bhd (HCM Engineering) menyasarkan untuk membangunkan prasarana serta perumahan kerajaan dan Protasco Bhd (i2 Energy) melibatkan usaha memajukan tenaga boleh baharu dan stesen pengecasan.
Reneuco Berhad pula berhasrat untuk menyediakan perkhidmatan tenaga dan utiliti lestari.
Sementara itu, Tenaga Nasional Bhd yang berharap meneroka serta terbabit dalam pembangunan serta operasi penyelesaian tenaga, telah menyerahkan LoI kepada PT Perusahaan Listrik Negara.
Anwar tiba di Indonesia hari ini bagi memulakan lawatan rasmi pertamanya sejak dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 pada 24 Nov lepas.
— BERNAMA
JAKARTA, 8 Jan (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Indonesia hari ini, dalam lawatan rasmi pertamanya ke luar negara sejak menyandang jawatan itu pada 24 Nov lepas.
Perdana Menteri Malaysia ke-10 yang dikenali rakyat dan dihormati tokoh masyarakat di sini, diiringi isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam lawatan dua hari itu.
Pesawat khas yang membawa Anwar dan isteri mendarat di Terminal 3 Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta pada 2 petang waktu tempatan (3 petang waktu Malaysia).
Ketibaan beliau disambut oleh Menteri Pekerjaan Umum dan Perumahan Rakyat Indonesia Basuki Hadimuljono dan Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono.
Anwar diiringi Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta Adlan Mohd Shaffieq.
Anwar memulakan lawatan dengan tradisi bersongkok yang sering dipakai untuk menghadiri acara tertentu demi martabatkan budaya.
Anwar dijadual mengadakan pertemuan dengan Presiden Indonesia Joko Widodo esok yang memberi peluang kepada Kuala Lumpur dan Jakarta menilai kemajuan kerjasama dua hala, meneroka peluang kerjasama baharu serta menggalakkan usaha bersama untuk menangani cabaran serantau dan global.
Pelbagai isu akan dibincangkan termasuk kerjasama ekonomi serta potensi pelaburan oleh Malaysia di Ibu Kota Negara Nusantara, pembatasan sempadan darat dan maritim, serta pengambilan dan perlindungan pekerja migran dari Indonesia.
Kedua-dua pemimpin juga akan bertukar-tukar pandangan berkenaan perkembangan serantau dan global terutama situasi di Myanmar dan usaha bersama untuk menangani diskriminasi minyak sawit memandangkan Malaysia dan Indonesia merupakan pengeksport terbesar dunia.
Dalam lawatan itu, lapan memorandum persefahaman antara sektor swasta Malaysia dan Indonesia akan dimeterai dengan jumlah projek dianggarkan bernilai RM1.16 bilion.
Selain itu, Anwar dijadual menyampaikan satu syarahan umum mengenai “Hubungan Strategik Malaysia-Indonesia” dan mengadakan sesi ramah mesra bersama diaspora Malaysia di Jakarta.
Pada 2021, Indonesia merupakan rakan dagang global ketujuh terbesar Malaysia dan ketiga terbesar dalam kalangan negara ASEAN dengan jumlah dagangan sebanyak RM95.31 bilion (US$22.98 bilion).
Pada Januari hingga November 2022, Indonesia adalah rakan dagangan global keenam terbesar dan kedua terbesar dalam kalangan negara ASEAN dengan peningkatan jumlah dagangan sebanyak 41.7 peratus dengan jumlah RM120.26 bilion (US$27.31 bilion).
Kunjungan Anwar sangat dinantikan masyarakat di Indonesia, terutamanya untuk mendengar sendiri pembaharuan dasar yang bakal diperkenalkan dalam memperkukuh hubungan negara serumpun Malaysia-Indonesia.
— BERNAMA

KUALA LUMPUR, 5 Jan (Bernama) — Energy Absolute Malaysia Sdn Bhd, peneraju tenaga boleh baharu dan syarikat terkemuka dalam industri teknologi hijau yang berpangkalan di Thailand menyatakan minat untuk meneroka pasaran Malaysia berlandaskan prinsip-prinsip seperti mendukung, melabur dan mengangkat projek pemicu.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata syarikat yang mempunyai kekuatan modal pasaran sebanyak 380 bilion baht bersamaan RM45 bilion itu akan berkolaborasi dengan Computer Forms Malaysia Bhd (CFM) untuk membangunkan industri teknologi hijau di Malaysia dan pemindahan teknologi kenderaan elektrik (EV) ke Malaysia.
Dalam hantaran di laman Facebook beliau hari ini, Perdana Menteri berkata syarikat tersebut turut akan membina kilang pembuatan dan bekalan EV, khususnya dalam sektor pengangkutan seperti bas elektrik, bas sekolah elektrik, bot elektrik, motosikal elektrik, bateri EV, kereta api elektrik, kereta mobil elektrik dan lain-lain dengan nilai keseluruhan RM5 bilion.
“Sebagai anggota Komuniti Ekonomi ASEAN, dengan budaya dan warisan yang hampir sama, kerjasama antara Malaysia dan Thailand terus kukuh dengan semangat kejiranan yang tinggi dengan kerjasama dalam pelbagai lapangan yang relevan,” katanya.
— BERNAMA
PUTRAJAYA, 4 Jan (Bernama) — Malaysia tidak mendiskriminasi mana-mana negara dalam menjalankan pemeriksaan COVID-19 terhadap pelancong yang tiba di negara ini, namun mahu memastikan kesihatan rakyat adalah keutamaan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata kawalan di pintu masuk negara oleh Jabatan Imigresen juga diperketatkan bagi memantau kemasukan rakyat asing ke Malaysia.
“Kalau kita lihat umpamanya kadar jangkitan (COVID-19) di China yang diuar-uarkan, ia tinggi dan kita juga tahu kadar kematian di Amerika Syarikat akibat COVID-19 juga tinggi, dan begitu juga beberapa negara lain.
“Jadi kita ambil tindakan untuk menyelamatkan rakyat kita, jadi sesiapa sahaja yang masuk (ke Malaysia) harus dipantau dan dikenakan syarat yang sama,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet di Bangunan Perdana Putra di sini, hari ini.
Anwar berkata dalam mesyuarat hari ini Jemaah Menteri juga berpendapat urusan pelancongan mahupun ekonomi tidak boleh mengatasi kepentingan negara dalam mengawal jangkitan sebarang wabak terhadap rakyat termasuk COVID-19.
Menurut Perdana Menteri laporan media yang dikeluarkan berkaitan pelancong China juga berbeza dengan fakta sebenar yang berlaku, serta tidak memberi kesan kepada kadar jangkitan di negara ini.
“Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Saifuddin Nasution) berikan jumlah pelawat dari China umpamanya untuk 2022 adalah 336,000 orang dengan majoriti besar adalah pelancong, dan tidak beri kesan sebagaimana yang digembar-gemburkan.
“Disember sahaja pelawat China adalah 53,000 orang, jadi kita tak melihat lonjakan jangkitan yang mengaitkan mana-mana negara,” katanya yang turut menjelaskan angka itu tidak bermakna Malaysia memberi kelonggaran kepada mana-mana negara untuk masuk ke Malaysia.
Penghujung tahun lepas, China melaporkan berlaku lonjakan kes COVID-19 berikutan varian Omicron yang merebak dengan pantas, dan beberapa negara mengambil keputusan untuk menyekat kemasukan pengembara dari China ke negara mereka sebagai langkah menghalang penularan wabak itu.
Anwar seterusnya menasihati orang ramai untuk mendapatkan vaksin penggalak COVID-19 memandangkan hanya 49 peratus rakyat sahaja yang telah mendapatkan dos itu, selain bekalan vaksin juga masih banyak iaitu sekitar enam juta dos.
Anwar berkata disebabkan dos penggalak tidak mendapat sambutan seperti dos pertama dan kedua, banyak bekalan itu sebelum ini sudah dilupuskan.
“Jadi saya usulkan mula dengan wartawan yang belum ambil booster (penggalak) pertama untuk ambil, kerana jangkitan ini ikut unjuran dan kajian Kementerian Kesihatan belum menentu, belum tamat.
“Kalau yang dah ambil dos pertama, dos kedua, booster itu kena ada, kerana vaksin ini masih ada. Jadi untuk bulan Januari ini semua wartawan dikehendaki ambil booster kemudian disusuli dengan rakyat lain kerana kalau wartawan beri contoh teladan yang baik, itu akan diikuti oleh rakyat,” katanya.
Malah Perdana Menteri turut menjelaskan beliau juga telah mendapatkan dos penggalak COVID-19.
“Saya sudah (ambil dos penggalak). Alhamdulillah. Saya boleh tunjuk saya punya MySejahtera,” katanya ketika ditanya pemberita sama ada beliau telah mendapatkan dos penggalak itu.
— BERNAMA
PUTRAJAYA, 4 Jan (Bernama) — Kerajaan menyuntik pinjaman berjumlah RM152.6 juta untuk memastikan projek Kapal Peronda Luar Pesisir pertama (OPV 1) milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) disiapkan tahun ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata projek OPV itu kini diambil alih Kementerian Kewangan daripada syarikat Tabung Haji iaitu Destini Sdn Bhd selepas ia dikesan menghadapi masalah besar.
“Kita terpaksa berikan satu lagi bentuk suntikan pinjaman untuk projek ini siap dan RM152.6 juta pinjaman terpaksa disediakan.
“Dari tinjauan kita projek ini boleh disiapkan iaitu OPV pertama dalam tahun ini,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di sini hari ini.
Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sebelum ini telah memanggil Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan APMM bagi menuntut penjelasan mengenai kelewatan perolehan OPV. APMM dalam kenyataan pada 13 Sept 2022 berkata tiga OPV yang sepatutnya diterima agensi itu pada 2020 masih dalam pembinaan.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som dalam kenyataan sama berkata kapal OPV itu sedang dibina oleh syarikat tempatan iaitu THHE Destini Sdn Bhd yang terletak di Pulau Indah, Selangor.
Anwar berkata masalah berkaitan projek-projek yang melibatkan pasukan keselamatan di KDN dan Kementerian Pertahanan akan cuba diselesaikan.
“Perkara perolehan sama ada KDN dan Kementerian Pertahanan yang sangat penting untuk keselamatan tidak diambil kesempatan, hingga menyebabkan kerugian disebabkan pelaksanaan lemah.
“Tindakan pertama mesti selamatkan dan disiapkan mengikut jadual, dan keduanya tidak lepaskan sesiapa yang salah guna kuasa, kaut kekayaan, tanpa siasatan,” katanya.
— BERNAMA
PUTRAJAYA, 4 Jan (Bernama) — Jumlah peruntukan bagi geran khas kepada Sabah dan Sarawak mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan harus dikaji setiap lima tahun agar jumlahnya lebih munasabah.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Kerajaan Persekutuan akan memastikan terdapat peningkatan jumlah munasabah terhadap geran berkenaan, dan ia adalah berbeza dengan pemberian geran mengikut bilangan penduduk (capitation grant) atau geran Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS).
“Dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) ada peruntukan khas 112D yang menetapkan peruntukan munasabah kepada Sarawak dan Sabah yang mula diberi RM16 juta dan RM26 juta, dan harus dikaji setiap lima tahun, tetapi hal ini tidak berlaku,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet di Bangunan Perdana Putra di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata Kerajaan Persekutuan akan menghidupkan semakan jumlah geran itu dan berharap ia dapat dimuktamadkan dalam pertemuan bersama Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor di Kuching akhir bulan ini.
Selain itu, Anwar berkata Kementerian Kewangan bersetuju supaya pelaksanaan mana-mana projek dengan kos di bawah RM50 juta di Sabah dan Sarawak, diputuskan hampir sepenuhnya oleh kerajaan negeri dengan perlu mematuhi peraturan kewangan.
“Walaupun ada Jabatan Kerja Raya Sabah dan Sarawak, tetapi banyak kata putus dibuat di Putrajaya, dan walaupun peruntukan besar diberikan tetapi tidak dapat dipenuhi kerana karenah pentadbiran serta mengikut peraturan biasa yang terpaksa merujuk kepada Persekutuan,” katanya.
Perdana Menteri berkata pemimpin sekarang perlu mempunyai tekad untuk mempertahankan semangat Malaysia dalam MA63 selain menghormati perjanjian itu yang merupakan keputusan serta cerminan kebijaksanaan kepimpinan terdahulu.
Menjelas lanjut, Anwar berkata Jawatankuasa Teknikal MA63 yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof akan diteruskan untuk memastikan pelbagai isu tertangguh berkaitan MA63 dapat dilaksanakan dengan baik.
Mengenai pembinaan Lebuhraya Pan Borneo, Anwar berkata kemajuan projek itu di Sarawak adalah lebih baik berbanding di Sabah, seterusnya memerlukan peruntukan tambahan yang akan diperincikan oleh Fadillah serta Kementerian Kerja Raya.
Pada masa sama, katanya Dewan Undangan Negeri Sabah akan memuktamadkan mengenai keputusan kerajaan memindahkan kuasa mengawal selia bekalan gas di negeri berkenaan setelah ia diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bulan lepas.
— BERNAMA
KUALA LUMPUR, 4 Jan (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima panggilan telefon daripada Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif pada Rabu.
Menerusi hantaran di laman Facebook, Anwar berkata beliau dan Shehbaz memperbaharui komitmen untuk meneroka potensi kerjasama baharu antara Malaysia dan Pakistan dalam pelbagai lapangan termasuk perdagangan dan pelaburan, pendidikan, pertahanan, kebudayaan serta hubungan antara rakyat.
“Saya turut menzahirkan kesediaan supaya Malaysia meningkatkan hubungan dua hala ke tahap yang lebih tinggi dengan Pakistan termasuk menerusi mekanisme Mesyuarat Suruhanjaya Bersama,” katanya.
Anwar berkata Malaysia dan Pakistan terus memperkukuh kerjasama dua hala sejak peningkatan tahap hubungan antara kedua-dua negara kepada Perkongsian Strategik pada 2019.
Pakistan merupakan rakan dagang penting di Asia Selatan dengan nilai dagang dua hala mencecah US$1.42 bilion pada tahun 2021.
Anwar juga memuat naik video perbualan telefon itu di Facebook, di mana Shehbaz mengucapkan tahniah atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke 15 dan turut menyatakan keyakinannya terhadap kepimpinan Anwar.
“Penghormatan bagi anda bukan sahaja daripada kacamata rakyat Malaysia dan Pakistan tetapi juga dari seluruh dunia, disegani dan memang diketahui,” katanya.
Shehbaz juga mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dan rakyat Malaysia kerana membantu rakyat Pakistan yang terkesan dengan banjir yang melanda negara itu baru-baru ini.
Anwar pula berkata beliau berharap hubungan mesra dan persaudaraan, termasuk hubungan peribadi dan antara kedua-dua negara itu, akan terus berkembang.
“Keutamaan kita adalah hubungan bersejarah antara Malaysia dan Pakistan yang telah lama terjalin…ia bukan sahaja terhad kepada perdagangan dua hala semasa tetapi juga daripada segi budaya, fahaman Islam dan falsafah yang telah banyak memanfaatkan kita,” kata Anwar.
— BERNAMA
