C0VID-19 – 7 INDIKATOR PERKETAT SOP


JAKARTA, 9 Jan (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan lawatan rasmi dua hari beliau ke Indonesia atas undangan Presiden Joko Widodo mencapai objektif.

Beliau yang mengakhiri lawatannya hari ini berkata pelbagai isu berbangkit ditangani dalam pertemuan bersama Joko Widodo di Istana Kepresidenan Bogor dan perbincangan bersama beberapa menteri Indonesia.

Anwar berkata antara perkara yang dibincangkan ialah ekonomi dan pelaburan dua hala, pembangunan ibu negara baharu Indonesia, Nusantara, isu persempadanan yang telah berlarutan selama 60 tahun serta tenaga kerja negara itu di Malaysia.

“Alhamdulillah, kunjungan rasmi ke Indonesia atas undangan Presiden Indonesia mencapai maksud dan tujuan asal,” katanya kepada wartawan Malaysia selepas menyampaikan syarahan umum bertajuk ‘Hubungan Strategik Malaysia Indonesia: Cabaran dan Harapan’ di CTCorp Leadership Forum di sini.

Beliau berkata hati kebanyakan rakyat Indonesia tergores dengan laporan kes penderaan dan sebagainya membabitkan tenaga kerja warganegara itu walaupun jumlahnya sangat kecil.

“Kita beri jaminan bahawa kita ada tindakan tegas oleh pihak berkuasa terutama Polis Diraja Malaysia,” katanya.

Anwar, yang dikenali sebagai tokoh perjuangan dan perubahan di Indonesia, turut menzahirkan rasa gembira apabila dapat bertemu ramai kenalan termasuk tokoh Islam, budayawan dan politik serta bekas menteri.

“Ini menunjukkan persahabatan yang terjalin bukan saja di tingkat atas tetapi sehingga ke peringkat akar umbi,” katanya.

Beliau berkata konglomerat Indonesia yang terlibat dalam bidang kewangan, perladangan dan pembinaan milik Chairul Tanjung akan berkunjung ke Malaysia beberapa minggu lagi untuk meneroka sektor perkhidmatan serta teknologi maklumat.

Dalam sesi bersama ahli perniagaan, Perdana Menteri memberi keyakinan kepada pelabur mengenai perubahan yang sedang berlaku di Malaysia meliputi kemudahan untuk menjalankan perniagaan dan kadar kelulusan pelaburan yang pantas.

Anwar dan delegasi berlepas pulang ke tanah air selepas menamatkan lawatan rasmi pertamanya ke luar negara sejak menyandang jawatan itu pada 24 Nov lepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta pada 6.30 petang waktu tempatan (7.30 petang waktu Malaysia).

Semasa lawatan itu, beliau memulakan tradisi bersongkok dalam acara tertentu demi memartabatkan budaya dan menyaksikan penyerahan 11 surat hasrat (LoI) 10 syarikat Malaysia untuk menyertai pembangunan Nusantara bersama Joko Widodo di Istana Kepresidenan Bogor.

— BERNAMA

JAKARTA, 9 Jan (Bernama) — Cabaran di peringkat pucuk pimpinan ialah memastikan input pakar diambil kira dalam merangka sesuatu dasar namun pada masa yang sama, mereka tidak boleh mengabaikan pandangan rakyat biasa, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata pemimpin harus terus belajar daripada pemerhatian dan pengalaman mereka selain mendengar pendapat pakar serta pandangan rakyat biasa.

“Ada hal yang kita tidak boleh dengar daripada pakar namun kita boleh dengar daripada rakyat,” katanya pada syarahan umum di Forum Kepimpinan CTCorp di sini hari ini.

Anwar, yang dikenali sebagai tokoh perubahan di Indonesia, berkata beliau tidak cenderung semata-mata terhadap angka dan statistik kerana pendekatan manusiawi dengan akademik adalah berbeza.

“Berapa angka kemiskinan? Oh, kemiskinan tegar tinggal 15 peratus, bunyinya indah tapi kalau kamu atau keluarga kamu terbilang dalam itu, kamu tidak bicara begitu,” katanya.

Memetik T.S. Elliot, beliau berkata: “Satu-satunya kebijaksanaan yang kita boleh harapkan ialah kerendahan hati kerana ia tidak berpenghujung.”

Justeru, Anwar berkata kerendahan hati adalah penting untuk pemimpin dalam membuat keputusan dan merangka dasar namun menegaskan bahawa tidak sepatutnya wujud barbarisme pengkhususan.

“Saya telah mengingatkan Menteri Pendidikan bahawa masa depan Malaysia bergantung kepada keupayaan kita untuk menimba ilmu dan memahami pengkhususan namun ia tidak boleh mengorbankan kemanusiaan, belas ihsan dan prinsip keadilan,” katanya.

Menyentuh masalah ekonomi, beliau berkata pemimpin, ahli perniagaan serta konglomerat bertanggungjawab memanfaatkan waktu dan kebijaksanaan dengan maksimum untuk memperbaiki keadaan.

Anwar berkata kemelut ekonomi yang melanda dengan suasana global tidak menentu belum ada kepastian penyelesaiannya selepas COVID-19.

“Tapi saya tidak mewakili pandangan pesimistik dalam politik ataupun ekonomi. Saya mampu bertahan (sebab optimis), kalau tidak sudah pengsan lama dalam penjara. Meskipun berdepan masa paling sukar dalam penjara, saya tetap optimis,” katanya.

Beliau turut menyeru syarikat di kedua-dua negara untuk meneroka bidang baharu seperti ekonomi digital dan kecerdasan buatan dengan lebih pesat.

“Kalau ketinggalan maka seluruh generasi akan ketinggalan. Malaysia, kerana kecelaruan politik yang tidak berkesudahan untuk beberapa tahun ini, hal-hal ini tidak menjadi fokus,” katanya.

Menyentuh hala tuju Malaysia di bawah kepimpinannya semasa sesi soal jawab, Anwar berkata beliau mahu dikenali sebagai tokoh yang berusaha membersihkan negara daripada rasuah, penyelewengan dan ikhlas membela nasib rakyat.

“Sekurang-kurangnya lelaki ini cuba melakukan yang terbaik untuk menyelamatkan negara daripada gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa, dia mungkin berjaya sehingga satu tahap dan mungkin juga tidak berjaya. Secara keseluruhan, saya pasti saya tidak dapat melakukannya namun sekurang-kurangnya ada pengiktirafan bahawa lelaki ini telah mencuba sedaya upaya,” katanya.

— BERNAMA

BOGOR (Jawa Barat), 9 Jan (Bernama) — Malaysia akan mencari jalan terbaik untuk memastikan  pembangunan ibu negara baharu Indonesia, Nusantara, di Kalimantan dapat memberi manfaat kepada wilayah ekonomi di Sabah dan Sarawak, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bercakap dalam sidang media bersama Presiden Indonesia Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi, Anwar berkata pentadbiran Sabah dan Sarawak memuji inisiatif besar Jokowi membangunkan Nusantara.

Sebelum sidang media, kedua-dua pemimpin menyaksikan penyerahan 11 surat hasrat (LoI) 10 syarikat Malaysia untuk menyertai pembangunan Nusantara.

Mengenai tenaga kerja Indonesia di Malaysia, Anwar berkata pendigitalan sistem pengambilan dan penempatan pekerja sangat penting untuk mengurangkan karenah birokrasi dan penggunaan terlalu banyak agensi.

Beliau berkata agensi pekerjaan perlu hanya menjadi sekadar pemudah cara dan tidak mengambil untung berlebihan hingga menekan pekerja.

“Penyelesaian masalah harus lebih menyeluruh supaya nasib pekerja di peringkat bawahan dapat dibela.

“Kita akan menghindari isu-isu yang boleh merenggang dan meretakkan hubungan, kerana saya mahu hubungan Malaysia-Indonesia itu kekal istimewa,” katanya sambil berharap menteri luar kedua-dua negara memahami komitmen kedua-dua pemimpin.

Anwar berkata isu sempadan antara Malaysia-Indonesia tidak sulit dan kerajaan komited untuk menelitinya bersama jemaah menteri dalam masa terdekat.

“Ia hanya memerlukan satu tekad yang jelas dan Insya-Allah dalam masa terdekat saya akan bawa ke jemaah menteri,” katanya.

Dalam pertemuan itu, Anwar berkata Malaysia akan memberi tumpuan kepada program hiliran dan ekonomi digital seperti yang dilaksanakan pentadbiran Jokowi.

“Saya akan manfaatkan pengalaman dan sumbangan beliau (Jokowi) dan kita akan dapat membantu memacu pertumbuhan ekonomi di Malaysia dan pastinya juga bersama dengan Indonesia dengan lebih meyakinkan,” katanya.

— BERNAMA

 

LEADERSHIP SPEECH

 

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PRIME MINISTER

 

AT

 

CT CORP LEADERSHIP FORUM

 

9 JANUARY 2023  (MONDAY)

 

MENARA BANK MEGA, JAKARTA SELATAN,

INDONESIA

 

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Taala Wabarakatuh dan

Salam Sejahtera.

Alhamdulillah, Nahmaduhu Wa Nusalli Ala Rasoolilah Kareem.

 

 

  1. Wah ini luar biasa, saya mahu berbicara sebagai sahabat kerana dalam menghadapi liku-liku hidup, getir, pasang surut walaupun lebih banyak surut dari pasang, saya tidak pernah merasa terasing di Indonesia. Dari tingkat Presidennya sehingga ke rakyat biasa itu menganggap saya seperti yang diungkapkan semasa disambut oleh ketika itu Presiden Susilo Bambang Yudhoyono (SBY) di bawah Fahmi Idris, Adi Sasono, Chairul Tanjung dan teman-teman, mereka mengungkapkan bahawa Perdana Menteri Anwar Ibrahim itu adalah sahabat sejati.
  1. Saya memulakan dengan menyatakan terima kasih dan penghargaan kepada Presiden Ir. H. Joko Widodo yang memberikan sekali lagi penghormatan kepada saya dengan mengundang saya ke sini secara rasmi dan memberi sambutan yang sangat hangat untuk membicarakan dengan terus terang dengan maksud mengangkat, menjayakan dan memastikan hubungan dua hala (bilateral) Malaysia-Indonesia itu cukup berkesan.
  2. Selain itu, menyelesaikan hal-hal yang terbantut sekian lama, termasuk permasalahan yang amat melukai perasaan rakyat Indonesia iaitu soal Tenaga Kerja Indonesia (TKI) dan sebagainya. Saya menjawab kepada Presiden, yang saya ini juga dari orang yang tersisih dan terbuang. Oleh itu, saya lebih mengerti erti keadilan, pemerataan dan keadilan sosial.
  1. Jadi, sekarang jadi tanggungjawab saya, taklif wa la tashrif untuk memastikan bukan soal memihak kepada Indonesia atau Malaysia tetapi memihak kepada prinsip keadilan dan manusiawi atau ‘karamah insaniah’.
  1. Jadi saya ingin memberi jaminan di sini, di depan para Menteri dan juga rakan Menteri-Menteri saya dari Malaysia dan Menteri Besar untuk menyatakan bahawa insya-Allah, dengan perubahan peta politik atau political landscape di Malaysia, saudara akan menyaksikan suatu peningkatan hubungan dua hala negara serumpun, negara jiran yang belum pernah dicapai dan dicatat sebelum ini. Tentunya kita harus berpusat dan berpangkalan pertamanya kepada permasalahan ekonomi, soal yang saya sebut tadi seperti sempadan dan layanan pekerja serta soal kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang itu akan kita teruskan, tetapi tumpuan kita, asasnya tetap ekonomi.
  1. Ini kerana kita berdepan dengan suatu kemelut ekonomi yang belum ada kepastian penyelesaiannya. Seusai COVID-19, kita masih menghadapi suasana global yang belum menentu tetapi saya tidak mewakili pandangan yang pesimis dalam politik atau ekonomi.
  1. Oleh kerana saya tidak mengambil pendekatan yang pesimis dalam politik itu sebab saya survive. Kalau tidak sudah pengsan lama di penjara tetapi walaupun dalam keadaan paling rumit dipenjara dan ini Wan Azizah tahu, saya masih optimis, saya mengatakan insya-Allah dengan masa ‘Nasru min Allahi wa fathun Qareeb’ dengan pertolongan Allah, kemenangan akan tercapai dengan dekat, itu hanya kita mampu berdoa.
  1. Jadi begitu juga ekonomi, seperti yang disebut oleh John Maynard Keynes, kalau diserahkan hanya kepada pakar-pakar ekonomi atau economy experts,  itu tidak semestinya menjawab semua permasalahan. Jadi tanggungjawab kita, sama ada pimpinan atau konglomerat atau ahli perniagaan adalah untuk merencana supaya memanfaatkan waktu dan kebijakan semaksimum untuk memperbaiki keadaan dan saya percaya insya-Allah, pandangan dan skop yang sangat pesimis itu tidak semestinya benar.  
  1. Ia sudah dilihat seperti mana teori Oswald Spengler, The Decline of the West, sesetengah orang itu yang anti-barat, jadi seolah-olah barat itu akan runtuh esok. Itu mengandaikan bahawa orang barat tidak mahu membuat apa-apa secara positif ataupun negara China yang akan menghadapi kemelut dalaman. Jangan kita mengandaikan bahawa pemimpin dan pakar di negara China itu akan diam dan tidak memikirkan hal dan penyelesaian yang baik. Sebab itu saya masih menyatakan bahawa spenglerian pessimism yang disebut itu baik dalam politik atau ekonomi tidak semestinya benar.
  1. Tanggungjawab kita sebagai manusia adalah berikhtiar seperti mana juga Islah Mastata’tu – mencari penyelesaian dan membuat perubahan dengan sedaya upaya kita. Tetapi bagi saya, pokok pangkalnya bermula dari pimpinan.
  1. Sebab itu, saya memilih untuk bermula dengan mengambil sikap sebagai seorang ketua yang lebih bertanggungjawab, berlapang dada, mendengar pandangan dan nasihat, itu ertinya demokrasi. Semalam, di kedutaan Malaysia, saya menyebut tentang apa yang pernah diungkap oleh Francis Fukuyama  tentang demokratik akauntabiliti. Kita ini riuh-rendah, hiruk-pikuk berbicara soal demokrasi tetapi tidak bersifat akauntabiliti. Demokrasi itu tidak dapat ditentukan kewajarannya, kehebatannya semata-mata dalam pemilu tetapi relevannya kepada kita adalah atas pertimbangan nilai dan akhlak, moral and ethics, mesti tentang akauntabiliti.
  1. Apakah benar orang yang memegang tampuk kekuasaan itu, yang menang dengan dukungan rakyat itu menang dengan cara, kaedah dan etika yang dapat dipertahankan? ataupun yang sudah punyai kuasa, apakah mereka jujur dalam melaksanakan amanah itu, membanteras korupsi atau rasuah yang sudah menjadi budaya? Juga di negara-negara Islam yang lebih kuat slogan Islamnya tetapi lebih banyak dana hilang. Kalau di Malaysia itu kadang-kadang jika lebih kuat suara ketuanan melayunya, lebih cepat lesap wangnya.
  1. Oleh yang demikian, kita tidak boleh terpukau dengan slogan janji muluk dan kata-kata. Ia mesti bil amal kerana kalau kita pegang kepada prinsip Islam lebih keras lagi. Lima Taquluna Ma La Taf’alun, itu cercaan yang keras sebab itu saya bermula daripada pangkal, daripada atas menunjukkan kesederhanaan, menunjukkan kebiasaan mempertahankan prinsip, nilai dan akhlak serta tidak menggunakan kuasa untuk memperkayakan sanak saudara dan kroni.
  1. Ini bagi saya permulaan, saya membicarakan soal kerja saya dan ingatan kepada anak-anak saya iaitu saya memegang alhamdulillah sampai ke Pejabat Perdana Menteri dan hebat pejabat itu, saudara-saudara harus berkunjung dan melihat. Wan Azizah pun belum sampai ke situ.
  1. Jadi saya fikir ini ibarat mimpi kerana saya bayangkan, pengalaman saya yang lama lebih daripada 10 tahun di lokap penjara begitu kecil. Sekarang begitu besar tetapi apakah itu harus mempengaruhi saya untuk menjadi takbur dan sombong? Apakah pengalaman diseksa dan derita sekian lama itu harus mengajar kita apa erti derita dan sengsara di kalangan majoriti rakyat kita?
  1. Saya ditanya tentang cerita derita saya. Saya beritahu, derita Perdana Menteri Anwar Ibrahim itu sekalipun penat yang saya hadapi, masih relatif lebih baik dari derita majoriti rakyat Malaysia. Mereka tidak dipenjara, benar tetapi sekurang-kurangnya makan minum Wan Azizah dan anak-anak masih terkawal, pendidikan anak-anak masih baik, tidak ada yang terhambat pendidikannya kerana masih ada rakan-rakan yang membantu. Perjalanan masih terkawal walaupun merasai tekanan tetapi jika majoriti rakyat kita tidak berupaya untuk ke universiti, tidak ada upaya untuk makan cara yang agak selesa setiap hari.
  1. Oleh yang demikian, sementara kita berbicara panjang, dan orang memohon untuk menulis tentang pengalaman saya, saya berasa malu kerana derita saya itu kecil ketimbang yang dirasai oleh majoriti rakyat. Maka, ada hikmahnya dari semua ini iaitu mendewasakan saya. Saya lebih mengerti apa erti bebas dan demokratik kerana saya tahu apa itu pengalaman hidup dalam kongkongan dan dalam sistem yang autokratik.
  1. Jadi ini yang saya fikir harus direnung oleh kita semua kerana saya mewakili satu sosok pandangan bahawa keupayaan Indonesia dan Malaysia terutamanya Indonesia itu luar biasa, saya agak sentimental bicara rakyat Indonesia ini kerana Almarhum ibu saya adalah penggemar karya-karya besar di Indonesia. Semua karya Sutan Takdir Alisjahbana, Armijn Pane dan tentunya HAMKA – tasawuf moden dan falsafah hidup itu bukan sahaja dibaca tetapi dihadamnya. Saya dibesarkan, sehinggakan ramai yang menganggap saya pernah belajar di Indonesia tetapi tidak saya belum pernah belajar di sini. Cewek pun tidak ada disini. Kalau ada saya tidak akan mengaku untuk jaga keharmonian. Kalau ada pun sipi sipinya Diponegoro 16, Kantor HMI.
  1. Jadi saudara, yang ingin saya sampaikan di sini adalah walaupun apabila kita membaca, saya ingat lagi, Mochtar Lubis yang berhujah tentang budaya korupsi dan lemahnya sifat Indonesia terutama kerana Sistem Penguasaan Order Baharu dulunya ataupun puisi Taufik Ismail berjudul “Malu Aku Jadi Orang Indonesia” tetapi itu satu aspek orang seni yang mencurahkan rasa gelisah hati nurani mereka.
  1. Kenyataannya, Indonesia telah melahirkan tokoh-tokoh besar yang tidak ada tolak tandingnya di rantau kita dari pelbagai trend sama ada nasionalisnya seperti Sukarno, Mohammad Hatta atau yang ada kefahaman islam seperti Mohamad Nasir atau kirinya seperti Sutan Syahrir ataupun pemikir kemanusiaan yang kuat seperti Soedjatmoko yang menulis satu teks yang bagi saya sangat berharga dalam merangka belanjawan atau bajet bagi Malaysia, itu merupakan satu dimensi manusiawi dalam pembangunan.
  1. Kalau saudara lihat berbanding dengan beberapa negara rantau kita, itu tokoh-tokoh besar dan hebat dalam generasi awal jadi diteruskan dalam bidang perniagaan, konglomerat, ada yang hebat termasuk Chairul Tanjung di kalangan peribumi yang sukar ditandingi.
  1. Presiden Ir. H. Joko Widodo bertanya forumnya di mana? Saya kata di pejabat Chairul Tanjung tetapi saya bagi alasannya iaitu tatkala saya ada masa terluang, teman-teman berkumpul dan Chairul Tanjung mengatur program besar untuk menyambut teman-teman untuk bersama. Jadi semasa saya susah, dia menyambut saya. Itu berbeza kerana sekarang apabila sudah jadi Perdana Menteri ramai orang sambut, sebab tu saya mengingati teman-teman tatkala saya susah semasa termasuk Anita Ratnasari Tanjung, jadi terima kasih.
  1. Pertama yang ingin saya bicarakan tentang kepimpinan. Jadi dalam pidato saya untuk menyambut tahun Masihi minggu lalu di Masjid Putrajaya, itu dijadikan kontradiksi sambut tahun Masihi di Masjid tetapi ini kepelbagaian kita dan toleransi, ini tasamuhnya, yang penting isinya dan di antara perkara yang saya tekankan ialah warkah Saidina Ali bin Abu Talib R.A kepada Gabenor Mesir, Malik Ashtar tentang soal tatakelola, akhlak, nilai dan keangkuhan itu semua dibicarakan termasuk soal kemanusiaan.
  1. Apabila ditanya tentang hubungan Muslim dengan Muslim dan Muslim dengan bukan Islam itu di Malaysia lebih relevan ketimbang di Indonesia kerana jumlah bukan Islam kita ramai. Maka jawab Saidina Ali bin Abu Talib R.A itu akhuhum fid deen, saudara kamu sesama agama itu saudara dalam Islam tetapi bagaimana hubungan manusia Muslim dengan yang bukan Islam? Akhukum – masih saudara kamu, fil Insaniyah – sesama manusia, jadi humanitarian ideals itu mesti terpahat sebagai salah satu tunggak keyakinan dan kehidupan beragama.
  1. Oleh itu, yang menjadi kayu ukurnya ialah sama ada kita dapat mempertahankan prinsip keadilan dan manusiawi, walaqad karramna banee adam, ‘karamah insaniah itu atau tidak dan ukurannya bukan pada lafazan kata-kata, atau pada ungkapan dan slogannya muluk, tetapi pada amalnya dan ini satu cabaran yang besar.
  1. Siapa kata untuk menolak kebejatan sosial dan korupsi itu mudah? Saya mempunyai pengalaman yang menyebabkan saya kemudian terpelanting masuk penjara, kemudian saya kuat lagi. Perbezaannya dahulu saya adalah wakil Perdana Menteri, sekarang saya Perdana Menteri. Itu pun tidak mudah kerana rasuah itu seperti juga di Malaysia itu sistemik, dari atas hingga ke bawah.
  1. Tidak mungkin kita mudah bertahan tanpa menerima atau bertolak ansur tentang rasuah. Itu cabaran terbesar kita. Bagaimana kita boleh olah satu dasar kemudian menunjukkan contoh dan teladan yang baik? Kita sama-sama doakan mudah-mudahan saya berhasil kerana saya tidak fikir kita boleh mentadbir tanpa akauntabiliti, Kullukum Ra’in Wa Kullukum Mas’ulun An Ra-iyyatihi. demokratik akauntabiliti ini secara asasnya, maknanya selain daripada accountable to the people, kita yakin bahawa ultimately, accountability itu adalah Allah SWT, baru ada real, respect, fear and compassion.
  1. Jadi mudah-mudahan kita dapat tentukan ini kerana jika kita tidak boleh menentukan dasar, mana negara memikir dalam 40-50 tahun dahulu termasuk Indonesia yang tidak ada garis besar haluan negara, rencana 10 tahun, rencana 5 tahun, segala macam kabinet, Ampera, Amanat Penderitaan Rakyat itu hebat, ungkapan Bung Sokarno dahulu, Kabinet Amanat Penderitaan Rakyat. Mungkin ada minat beliau dan keikhlasan beliau tetapi kalau masalah itu sistemik, ia tidak bermula dari atas, ia sukar untuk dilaksanakan.
  1. Itu soal pimpinan, yang keduanya ialah menentukan dasar. Seorang Perdana Menteri atau Menteri tidak semestinya pakar dalam bidangnya. Maka harus ada the humility to acknowledge, dan di sini, saya sering meminjam ungkapan T. S. Eliot, apa makna humility? Kata T. S. Eliot dalam puisinya, The Four Quartets – the only wisdom we can hope to acquire is the wisdom of humility. The wisdom of humanity is endless. Kalau ada satu-satunya hikmah yang mungkin kita kuasai atau garap adalah merendah diri, humility atau tawaduk kerana hikmah tawaduk itu tidak ada batasnya.
  1. Pimpinan ini tentunya akan tertanam dengan mudah keangkuhannya bukan sahaja pimpinan politik tetapi juga pimpinan lain. Siapa yang berani datang bertemu Perdana Menteri mengatakan beliau itu tidak bijak dan tidak kacak? Saya dengar hari-hari kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim ini paling bijak dan paling kacak. Itu mudah diterima, tidak ada tawaduk lagi. Wan Azizah memberitahu betul kacak tetapi kacak for 75 years old, tidak mungkin boleh lawan dengan orang yang berumur 35 tahun.
  1. Kadang-kadang itu adalah sedikit peringatan supaya jangan terlalu ada bibit yang kita menjadi angkuh. Saya katakan begini kerana ini ada kaitan dengan ilmu, soal menimba ilmu sebaiknya. Saya duduk bersama Presiden Ir. H. Joko Widodo  sebentar tadi, agak lama dan panjang dari jadual biasa. Jadi saya lihat protokol ini sudah dua kali gerak-gerak, kita pura-pura tidak melihat. Kok hidup kita mesti dikawal oleh protokol semua? menyeksa begitu. Maaf-maaf.
  1. Saya katakan yang saya mahu ke warung-warung, berjalan-jalan, mahu salam-salam tetapi protokol kita lain, namun ada manfaatnya. Saya tentu lebih tua usianya walaupun kelihatan sekitar 40 tahun tetapi Presiden Ir. H. Joko Widodo itu tentu saja jauh lebih berpengalaman, terpaksa mengurus negara yang jauh lebih kompleks, lebih besar, lebih ramai dan lebih repot.
  1. Saya bertanya tentang beberapa keutamaan beliau tentang pendekatan ekonomi. Beliau menyebut hilirisasi, maknanya itu hiliran jadi saya meminta beliau terangkan. Kalau saya anggap diri saya ini orang yang bijak, membaca ribuan buku semasa dalam penjara kerana di penjara itu tidak ada kerja lain hanya membaca buku, itulah yang boleh ada banyak petikan, hafalan dan sebagainya tetapi bezanya dengan orang yang ada pengalaman dan hilir, beliau sebut, saya tangkap dan saya kata ini satu pendekatan yang baik bahawa bagaimana kita boleh pastikan, semuanya seperti nikel termasuk kelapa sawit punyai rangkaian, pakatan yang sihat di antara dua negara kita untuk mempertahankan kepentingan rakyat.
  1. Kemudian belia menyebut satu lagi tentang digitalization yang kita mahu popularkan dan memang dalam rencana saya juga tetapi dari segi realm of ideas and policies, berbeza dengan pelaksanaannya. Jadi apabila disebut pelaksanaannya itu di peringkat industri kecil dan sederhana, dan bagaimana untuk memastikan ia lebih melebar, saya hanya merumuskan sahaja, tetapi yang saya nak sebut di sini ialah the crave for knowledge and understanding is limitless only if you have acquire this sense of humility and again, I reiterate humanities endless. The challenge for the leadership is to ensure that we continue to learn from our observation, our experience and from listening to the so called experts and to the common men and women.
  1. Kadang-kadang kita tidak mampu hanya mendengar dari pakar-pakar ketimbang apa yang dirasakan di bawah. Saya tidak cenderung dengan angka dan statistik. Berapa angka kemiskinan? Kemiskinan tegar tinggal 15%, bunyinya itu indah tetapi jika kamu atau keluarga kamu tergolong dari 15% ini, kamu tidak akan bercakap begitu.
  1. Ini yang dibezakan dengan pendekatan manusiawi dengan pendekatan yang lebih akademik dan kritis ekonomi. Jadi, knowledge pun ada masalah juga, ada orang yang cenderung untuk mencari specialization dan sekarang ini kerana mismatch pendidikan dan kerja, management leaders memikirkan training yang specialize tetapi kita kena ingat, apa erti hidup tanpa kemanusiaan dan rahmah? Apa erti hidup tanpa nilai dan akhlak? Jadi oleh itu, pendidikan tidak boleh dikesampingkan dari prinsip-prinsip ini.
  1. Akan tetapi, specialization itu penting, digital economy digital technology dan artificial intelligence itu bidang-bidang baharu yang mesti dan wajib diterokai. Kalau ketinggalan, maka seluruh generasi akan ketinggalan. Malaysia kerana terdapat kecelaruan politik itu beberapa tahun itu tidak berkesudahan jadi hal-hal ini tidak menjadi fokus.
  1. Oleh itu, kita harus secara pantas dan cepat memacu pertumbuhan dan memperkenalkan perubahan-perubahan ini dalam kadar yang lebih pesat daripada yang biasa, jika tidak, jauh ketinggalan lagi.
  1. Namun yang demikian, semalam juga saya sebut bahaya over specialization dalam teknologi sekarang. Anak-anak muda kurang membaca, ini media sosial dan tiktok menjadi habit. Ada baiknya dan positif, saya tidak mahu mengambil sikap yang negatif sebab zaman berlalu seperti juga lagu dan muzik, ia beredar mengikut zaman tetapi seorang pemikir sepanyol, José Ortega y Gasset dalam la rebelión de las masas atau Revolt of the Masses menyebut satu hal yang sangat penting bagi kita di kalangan pendidik dan pengurus serta pemimpin.

  1. Sementara kita harus asak supaya ada specialization jangan sampai berlakunya atau terjadinya barbarism of specialization. Itu meminjam ungkapan José Ortega y Gasset maknanya, you are so specialized tetapi tidak ada humanity, tidak ada nilai, you are an expert dalam bidang tetapi tidak melihat secara menyeluruh, tidak menjadikan pendidikan itu seperti mana yang disebut dalam sabda Nabi Muhammad SAW, addabani rabbi fa-ahsana ta’dibi tidak mengangkat pendidikan dan specialization keterampilan sebagai adab.
  1. Maka, dalam merencanakan untuk di Malaysia, saya mengatakan kepada Menteri Pendidikan yang relatif lebih muda dan wanita untuk ingat bahawa the future Malaysia rest to a large extent on our capacity to be able to acquire knowledge, understanding specialization but it cannot be the expense of humanity, compassion and principles of justice. Ini theoretical critis yang menarik tetapi sukar untuk dilaksanakan dengan mudah.
  1. Pengetahuan itu juga mesti juga pemikiran kritikal, saya berbicara juga dengan Presiden Ir. H. Joko Widodo  tentang soal ekstremisme, fanaticism, dan unsur-unsr diperalat agama ke arah terrorism dan sebagainya. Saya pendukung dakwah tetapi saya tidak mengambil sikap yang negatif, namun ada unsur-unsur yang mesti ditangani tetapi ia terkait juga dengan isu pemikiran kritikal dalam pendidikan.
  1. Mana mungkin mempelajari Islam tanpa pemikiran kritikal. Kita mahu terima hadis pun kita harus pastikan sahih daripada sanadnya, sama ada ahad atau tidak. Maknanya Islam itu semua dilatih awal untuk pastikan. Kalau said Al-Quran pun kalau dipertikai, harus sebut ayat berapa dari surah apa dan tidak umpamanya menerima semberono sebarang kenyataan. Kalau petikan yang saya sebut tadi daripada Saidina Ali bin Abu Talib R.A, kamu ada hak untuk bertanya betul, warkahnya dari halaman berapa? Jadi kita dilatih untuk critically analyze, access apa yang dimaksudkan dengan ilmu.

  1. Jadi ini juga satu cabaran bagi kita yang besar dalam merangka dasar pendidikan dan ilmu, tanpa pemikiran kritikal itu, dia menjadi umpamanya walak, patuh sahaja dan semua orang boleh menjadi pakar, menjadi sheikh dan kemudian tidak ada usaha untuk secara critically evaluate and assess, that is not the Islamic tradition.
  1. Islamic tradition itu seperti tokoh-tokoh Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali sendiri dengan Ibn Rusyd, apabila mereka menyerang falsafah dan ada jawapannya, orang memilih setuju atau tidak tetapi maknanya ada Tahāfut Al-Falāsifah dijawab Tahāfut At-Tahāfut atau in coherence of the philosophers tetapi di sini harus diterap di kalangan masyarakat, jika tidak, ilmu agama itu sendiri pun menjadi sangat mendatar dan hambar.
  1. Akhir ini, saya sentuh tentang ekonomi tetapi saya tidak akan sentuh banyak kerana Chairul Tanjung ada di sini. tetapi bagi saya, beliau terikat dengan atau terkait dengan apa yang saya sebutkan tentang justice. Saya tentu setuju dengan peranan moda yang dianggap capitalism tetapi saya juga tahu apa erti unbridled capitalism. Kelompok konglomerat yang menentukan semuanya, itu tidak boleh diterima. Ia mesti ada a firm commitment to the principles of justice dan ini peranan pimpinan.
  1. Kita ini adalah trading nation, lebih Malaysia dari ketimbang Indonesia is a trading nation. Maknanya, kita memerlukan pelaburan domestik dan juga Foreign Direct Investments dan dalam mengundang pelaburan itu kadang-kadang syarat-syaratnya itu tidak semestinya kita senangi semuanya tetapi ada proses yang terpaksa kita tolak ansur. Cuma objektif utama pimpinan itu harus memastikan ada prinsip keadilan sosial.
  1. Saya tidak boleh menerima dari segi ekonomi kalau di Malaysia yang mencatat pertumbuhan disebut dahulu menakjubkan, kalau di sini disebut mukjizat, saya tidak berapa suka istilah mukjizat itu, yang menakjubkan, miraculous tetapi yang mengizinkan umpamanya adalah kesenjangan yang terlalu lebar dan golongan yang terlalu miskin dan miskin tegar. Itu bukan ideal economic policy bagi kita. Jadi saya lontarkan pada hari ini untuk sekadar membantu saya dan saya telah mengundang beberapa rakan-rakan di sini kerana mereka bertanyakan kepada saya senang atau tidak apabila Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri? Mereka katakan senang sekali, baik kalau begitu datang dua tiga hari untuk memberi nasihat kepada saya, apa yang saya harus lakukan.
  1. Jadi sekali lagi saya mengucapkan jazakumullah khairan katsiran, terima kasih tidak terhingga, sentimental sikit dan Wa Azizah tahu bahawa saya sentimental betul di Indonesia. Jadi kadang-kadang apabila saya datang, seringkali ke Indonesia pun dia pun mulai ragu kerana nampaknya itu sentimental tentang Indonesia tetapi ini erti persahabatan walaupun orang boleh singgung dengan beberapa sinis tentang kelemahan-kelemahan yang saya tidak nafikan tetapi saya lihat ada satu kekuatan dalam pengalaman hidup saya dengan rakan-rakan yang dari aktivis ke, dari Menteri ke ataupun sehingga ke Presiden tetapi masih menunjukkan sikap persahabatan yang saya amat hargai.

Terima kasih, Wassalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

BOGOR (Jawa Barat), 9 Jan (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Indonesia, hari ini mengadakan pertemuan bersama Presiden Indonesia Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi di Istana Kepresidenan Bogor.

Sejurus tiba di kompleks pejabat eksekutif dan kediaman rasmi presiden pada hari kedua lawatan, beliau dengan tradisi bersongkok yang sering dipakai untuk menghadiri acara tertentu demi martabatkan budaya, diberikan sambutan karpet merah oleh Jokowi.

Lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan diikuti dengan tembakan meriam, sebelum Anwar sambil diiringi Jokowi memeriksa barisan kawalan kehormat yang terdiri daripada anggota pasukan keselamatan presiden.

Perdana Menteri kemudian diperkenalkan dengan Menteri Kabinet Indonesia, diikuti upacara menanam pokok jenis merawan (hopea odorata) di halaman belakang, dan melawat kawasan istana, sebelum kedua-dua pemimpin meneruskan agenda perbincangan.

Anwar diiringi Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dan Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta Adlan Mohd Shaffieq.

Kedua-dua pemimpin dijangka berbincang dan menilai kerjasama dua hala selain meneroka peluang kerjasama baharu.

Semalam, Anwar berkata ada 12 perkara yang disenarai untuk dibincangkan.

— BERNAMA