KERAJAAN SASAR WILAYAH PERSEKUTUAN JADI BANDAR PINTAR MENJELANG 2030 – PM ANWAR
KUALA LUMPUR, 1 Feb (Bernama) — Kerajaan menyasarkan untuk menjadikan Wilayah Persekutuan sebagai bandar pintar menjelang 2030.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata hasrat itu selari dengan konsep Malaysia Madani yang turut memberi penekanan kepada aspek kemampanan dengan konsep kota hijau dan kota pintar.
“Jabatan Wilayah Persekutuan turut merangka agenda pembangunan untuk masa depan secara mampan, berdaya huni dan pintar.
“Antara program lain yang telah disusun ialah penggunaan bas elektrik Kuala Lumpur, Wangsa Maju sebagai bandar perintis rendah karbon, penambahan pemasangan CCTV (kamera litar tertutup) di Kuala Lumpur dan Putrajaya serta pemasangan Wi-Fi di projek perumahan rakyat dan perumahan awam di Labuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Sembah Ucapan Menjunjung Kasih sempena Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan Tahun 2023 di Istana Negara hari ini.
Anwar berkata berdasarkan pencapaian kemampanan bandar Wilayah Persekutuan yang diukur melalui MURNInets (Jaringan Penunjuk Pembangunan Mampan Bandar Luar Bandar Malaysia) oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia), ketiga-tiga Wilayah Persekutuan mencapai tahap mampan dengan cemerlang pada 2022.
Selain itu, beliau berkata usaha-usaha tebatan banjir akan diteruskan dengan lebih gigih selaras pelan mitigasi banjir yang telah disediakan.
“Patik amat meyakini bahawa Jabatan Wilayah Persekutuan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan agensi akan terus bergerak sederap sebagai satu jentera pasukan perkhidmatan awam untuk mentadbir dan mengurus kemajuan dan pembangunan Wilayah Persekutuan.
“…patik bertekad memastikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan ditadbir dan diterajui dengan sebaiknya agar manfaat kemakmuran dan keamanan dinikmati rakyat jelata yang rencam kaum dan budaya,” katanya.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan kepada 164 penerima sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2023 dalam Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan Tahun 2023.
Pada istiadat pengurniaan kali ini, tujuh individu dianugerahi Darjah Kebesaran Pangkat Kedua iaitu Seri Mahkota Wilayah (SMW) yang membawa gelaran Datuk Seri dan 15 individu pula dianugerahi Darjah Kebesaran Pangkat Ketiga iaitu Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk.
Sementara 16 individu dianugerahkan Johan Mahkota Wilayah (JMW); 19 dikurniakan Kesatria Mahkota Wilayah (KMW); 15 dianugerahkan Ahli Mahkota Wilayah (AMW) dan 92 individu menerima Pingat Pangkuan Mahkota Wilayah (PPW).
— BERNAMA









KUALA LUMPUR, 31 Jan (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar kontinjen Malaysia untuk melakar sejarah dengan membawa pulang pingat emas pertama Sukan Olimpik, pada temasya yang akan berlangsung di Paris tahun hadapan.
Anwar berkata beliau percaya harapan tinggi itu tidak mustahil untuk dicapai, sekiranya semua pihak termasuk Kementerian Belia dan Sukan, persatuan dan badan sukan serta atlet, memainkan peranan masing-masing dan memberikan yang terbaik dalam semua jenis sukan yang disertai.
“Saya mahu sekurang-kurangnya kita kena capai satu pingat emas pada Sukan Olimpik akan datang.
“Ini cabaran saya kepada Menteri (Belia dan Sukan) Hannah Yeoh dan Tan Sri Mohamad Norza Zakaria selaku Presiden Majlis Olimpik Malaysia,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2021 di Dewan Banquet Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil di sini hari ini.
Selain Yeoh dan Mohamad Norza, majlis berprestij itu turut dihadiri Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim, serta kepimpinan persatuan dan badan sukan negara.
Mengulas lanjut, Anwar berkata walaupun boleh dan terbuka menerima apa juga keputusan dalam sebarang pertandingan tetapi apa yang perlu diterapkan kepada atlet adalah mereka perlu berusaha sebaik mungkin.
Perdana Menteri berkata barisan atlet juga perlu ditekankan bahawa tiada tolak ansur dalam soal kerja keras ketika latihan.
“Kita mesti cuba sedaya upaya, usaha dan ikhtiar sebaik mungkin…selebihnya tawakal dan terima keputusan secara terbuka,” katanya.
Mohamad Norza merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pemantauan Program Gold Paris 2024, yang ditubuhkan bagi memantau pelaksanaan dan keberkesanan program itu.
Program Gold Paris 2024 merupakan sebahagian Program Podium sedia ada MSN, yang dikelaskan kepada dua kelompok atlet iaitu yang mampu layak serta berpotensi menyumbangkan pingat emas pada temasya sukan berprestij itu.
— BERNAMA

















KUALA LUMPUR, 30 Jan (Bernama) – Lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Singapura hari ini menyaksikan tiga perjanjian dimeterai antara Putrajaya dan Singapura meliputi aspek ekonomi digital, ekonomi hijau dan keselamatan siber.
Dua rangka kerja melibatkan kerjasama dalam ekonomi digital serta ekonomi hijau ditandatangani Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan rakan sejawatnya Gan Kim Yong bagi pihak Singapura.
“Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Digital Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil pula mewakili Malaysia untuk menandantangani memorandum persefahaman (MoU) bagi mempromosikan kerjasama dari aspek data, keselamatan siber dan ekonomi digital,” kata Anwar menerusi hantaran di laman rasmi Twitter beliau.
Perdana Menteri hari ini mengetuai delegasi Malaysia ke Singapura dalam pertemuan dengan rakan sejawatnya Lee Hsien Loong.
Ia merupakan lawatan rasmi pertama Anwar ke Singapura selepas menyandang jawatan Perdana Menteri Ke-10 Malaysia.
Beliau berkata pertemuan tersebut memberi peluang untuk meneroka bentuk kerjasama bagi meningkatkan lagi hubungan dua hala Malaysia-Singapura selain menjalin bekerjasama secara konstruktif serta menghasilkan situasi menang-menang untuk manfaat kepada rakyat serta perniagaan kedua-dua negara.
“Kami turut berpeluang membincangkan pelbagai isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama,” katanya.
Sebelum ini Tengku Zafrul berkata bahawa perbincangan dengan Singapura mengenai Memorandum Kerjasama (MOC) dalam perdagangan digital dan ekonomi hijau itu bermula pada tahun lepas dan telah diberikan kelulusan oleh kabinet untuk dimuktamadkan tidak lama lagi.
MOC itu adalah susulan rangka kerja kerjasama yang dimuktamadkan oleh kedua-dua negara pada Ogos 2022.
Rangka kerja dalam ekonomi digital akan memudahkan kerjasama dalam bidang seperti pemudahan perdagangan; identiti digital; piawaian; penggalakan pelaburan; pemudahan pendigitalan serta pendigitalan perusahaan mikro, kecil dan sederhana.
Ia bakal membuka peluang yang lebih luas serta memberi manfaat kepada perniagaan, pekerja dan rakyat di kedua-dua negara.
Dari aspek ekonomi hijau pula, kedua-dua negara akan mengukuhkan kerjasama untuk nyahkarbon industri selain membolehkan perniagaan dan pekerja merebut peluang yang muncul.
— BERNAMA












SINGAPURA, 30 Jan (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di sini hari ini untuk lawatan rasmi ke Singapura.
Anwar diiringi isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk lawatan rasmi ketiganya ke luar negara sejak dilantik sebagai perdana menteri.
Pesawat khas yang membawa perdana menteri dan isteri mendarat di Kompleks VIP, Lapangan Terbang Antarabangsa Changi pada 9.40 pagi.
Ketibaan beliau disambut Menteri Luar republik itu Dr Vivian Balakrishnan dan Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia Vanu Gopala Menon.
Turut hadir Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri Datuk Seri Amran Mohamed Zin dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar.
Jadual padat menanti perdana menteri dalam rangka lawatan sehari itu bermula dengan sambutan rasmi yang diadakan di Istana.
Beliau akan membuat kunjungan hormat ke atas Presiden Singapura Halimah Yacob dan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya Lee Hsien Loong yang juga akan menganjurkan majlis makan tengah hari rasmi.
Selepas itu kedua-dua perdana menteri akan menyaksikan pemeteraian tiga perjanjian sebelum Anwar meninggalkan Istana untuk bertemu dengan diaspora Malaysia yang berada di republik itu.
Ini merupakan lawatan rasmi pertama Anwar ke Singapura selepas menyandang jawatan Perdana Menteri.
Delegasi Malaysia juga terdiri daripada Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Komunikasi dan Digital Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil serta para pegawai kerajaan dari kementerian dan agensi berkaitan.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi turut menyertai delegasi itu.
— BERNAMA
PUTRAJAYA, 28 Jan (Bernama) — Malaysia akan mengeluarkan satu juta al-Quran untuk diedarkan segera di seluruh dunia sebagai tindakan balas terhadap insiden membakar naskah Al-Quran di Sweden, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menegaskan bahawa Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ahli politik pelampau kanan Sweden-Denmark, Rasmus Paludan membakar naskhah al-Quran di Sweden baru-baru ini, Anwar berkata ikhtiar yang akan dilaksanakan Yayasan Restu itu adalah cara paling berfaedah untuk menjawab kebiadaban yang dilakukan terhadap kitab suci itu.
“Saya setuju supaya cara paling berfaedah menjawab semua kerja-kerja gila dan biadab (membakar al-Quran) ini ialah untuk teruskan usaha yang telah dimulakan dan bertekad dalam masa singkat untuk cetak dan edar satu juta al-Quran ke seluruh dunia.
“(Ia akan) disusuli dengan beberapa program ke arah penghayatan dan pemahaman al-Quran dengan mesej dengan risalah jelas,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Festival Kesenian al-Quran Sejagat Restu di sini hari ini.
Yayasan Restu terkenal dengan penghasilan mushaf al-Quran dan penerbitan berkaitan al-Quran dengan reka bentuk eksklusif.
Anwar berkata tindakan mengedarkan naskah al-Quran itu juga akan dirujuk dengan negara-negara Islam lain untuk penyelarasan.
Paludan, ketua parti pelampau kanan Denmark Stram Kurs, dibenarkan membakar Al-Quran pada Sabtu lepas di luar Kedutaan Turkiye di Stockholm dan insiden itu mencetuskan kemarahan dunia Islam.
Terdahulu, Anwar meluangkan masa kira-kira 30 minit melawat kilang percetakan al-Quran kedua paling besar di dunia yang terletak di Nasyrul Quran di sini.
Beliau turut menyampaikan sumbangan kerajaan berjumlah RM2 juta kepada Nasyrul Quran.
— BERNAMA
KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) — Nilai import makanan yang tinggi dan isu sekuriti makanan merupakan antara perkara yang diberi tumpuan dalam Belanjawan 2023, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata ia akan turut menumpukan dalam memperkasa peranan syarikat besar dan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di negara ini.
“Ia (syarikat-syarikat besar dan IKS) perlu tumpu dan diberi ruang tingkatkan teknologi dan digitalisasi supaya mampu bersaing dan memberi lebih banyak peluang pekerjaan,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) di sini hari ini.
Turut hadir Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook dan Presiden ACCCIM Tan Sri Low Kian Chuan.
Sementara itu Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pasukannya akan turut meneliti isu alam sekitar dan dasar-dasar ekonomi lebih jelas dan segar serta memberi manfaat kepada semua pihak.
“Melihat kepada kedudukan semasa, pasca-COVID-19, kemelesetan ekonomi di Eropah, kesan perang Ukraine-Rusia yang menuntut kita untuk lebih berani memperkenalkan dasar-dasar yang boleh memberi manfaat kepada semua,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata semua cadangan yang dikemukakan oleh pihak-pihak berkepentingan termasuk ACCCIM akan diteliti dan diberi perhatian bagi membantu pembentangan belanjawan berkenaan.
“Memorandum (dari ACCCIM) yang cukup tebal, banyak isu dibangkitkan. Tetapi membantu kita sebenarnya, dalam dialog yang diadakan baru-baru ini juga kita ambil kira beberapa pandangan dan insya-Allah dalam pembentangan Belanjawan (2023) hal ini akan diberi perhatian, ” katanya.
Anwar dijangka membentangkan Belanjawan 2023 di Parlimen pada 24 Feb.
— BERNAMA
KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima ucapan tahniah daripada Presiden Amerka Syarikat Joe Biden, yang turut memuji kehebatan demokrasi Malaysia yang dipamerkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November lepas.
Anwar berkata Presiden Amerika Syarikat itu turut menyatakan komitmen untuk mengukuhkan hubungan dengan Malaysia, termasuk dalam bidang ekonomi digital, krisis cuaca, dan sekuriti tenaga.
“Saya berharap untuk dapat bekerjasama dengan beliau (Biden) bagi manfaat bersama seluruh rakyat,” katanya dalam catatan di Facebook hari ini, dan beliau yang turut memuat naik ucapan tahniah daripada Biden itu.
Biden dalam nota bertarikh 24 Jan berkata demokrasi di seluruh dunia ketika ini berhadapan dengan cabaran baharu yang belum pernah ditempuhi sebelum ini, dan pilihan raya di Malaysia menunjukkan bahawa demokrasi boleh membawa kejayaan.
“Berjuta-juta rakyat Malaysia telah bangkit bersuara – mengundi dalam pilihan raya umum, ramai juga yang mengundi buat pertama kali.
“Penglibatan sivik adalah asas kepada masyarakat bebas serta terbuka, dan rakyat Malaysia memberi inspirasi kepada orang ramai di seluruh dunia dengan komitmen mereka untuk melaksanakan kebebasan asas yang dinikmati,” katanya.
Biden turut menegaskan bahawa hubungan antara kedua-dua negara dibina di atas asas kukuh ekonomi yang sentiasa berkembang, keselamatan dan hubungan rakyat dengan rakyat, yang turut membantu mengukuhkan kebebasan, keselamatan serta kemakmuran di Indo-Pasifik.
“Pada tahun-tahun akan datang, saya berharap untuk memperkukuhkan lagi perkongsian kami – termasuk bekerjasama untuk membina pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan rantaian bekalan yang berdaya tahan melalui Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik.
“Bersama, kita boleh majukan wilayah yang bebas, terbuka, selamat dan makmur – yang memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara,” tambahnya.
Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada 24 Nov lepas.
— BERNAMA
