PM ANWAR BANGGA DENGAN PASUKAN PENYELAMAT MALAYSIA DI TURKIYE


 

GAZIANTEP (Turkiye), 15 Feb (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan rasa bangga beliau dan rakyat Malaysia di atas kecekapan dan tahap profesionalisme pasukan mencari dan menyelamat (SAR) negara yang bertugas membantu mangsa gempa bumi di Nurdagi di sini.

Beliau berkata pasukan SAR negara yang terdiri daripada anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam dan Kor Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia yang ditempatkan di Nurdagi telah menunjukkan pengorbanan dan keupayaan luar biasa yang boleh dibanggakan.

“Saya bangga sekali dengan pasukan kita yang telah menunjukkan keupayaan yang luar biasa, pengorbanan yang luar biasa.

“Gabenor dan wakil gabenor di sini (Nurdagi) turut menyatakan bahawa pasukan kita menunjukkan dedikasi yang luar biasa. Saya bagi pihak seluruh rakyat ingin mengucapkan penghargaan dan doa kepada Allah SWT, mudah-mudahan beban rakyat di sini diringankan dan kita (Malaysia) akan buat sedaya upaya untuk membantu,” katanya.

Beliau berkata demkian kepada pemberita selepas melawat kem pasukan SAR negara di Stadium Nurdagi di sini, Rabu.

Anwar berkata sehingga semalam (Selasa), Malaysia telah berjaya mengumpul dana bantuan bencana di Turkiye sebanyak RM30 juta dan beliau akan berjumpa dengan Presiden Turkiye Reccep Tayyip Erdogan untuk menyampaikan bantuan berkenaan selain doa dan simpati rakyat Malaysia.

Terdahulu, Anwar meluangkan masa kira-kira 40 minit melawat dan mendengar taklimat operasi pasukan SAR negara.

Ketibaan beliau di sini pada 9 pagi waktu tempatan (2 petang waktu Malaysia) yang diiringi Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali, disambut oleh Timbalan Komander Kontinjen SAR negara DSP Safrizan Suhaini dan Ketua Pasukan MAS-10 Abdul Manaf Che Isa.

Anwar kemudian diberi taklimat ringkas pengoperasian pasukan SAR negara oleh Safizan sebelum dibawa melihat peralatan dan kelengkapan SAR, serta dua anjing pengesan Frankie dan Denti yang dibawa ke sini.

Perdana Menteri kemudian turut berkesempatan memenuhi permintaan anggota pasukan SAR negara untuk duduk di atas padang bagi bergambar beramai-ramai sebagai pemangkin semangat, yang sekali gus menceriakan kem pasukan SAR negara.

Anwar dalam rangka lawatan mengejut ke Turkiye atas dasar persahabatan dan permintaan Erdogan yang telah dua kali menghubunginya meminta beliau ke Turkiye.  

Beliau dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Erdogan di Ankara.

Pada 11 Feb lepas, Anwar telah berhubung dengan Erdogan sejurus tiba daripada lawatan rasmi di Bangkok, Thailand bagi menyampaikan ucapan takziah serta doa atas kejadian bencana itu.

Perdana Menteri telah menunjukkan komitmen dan solidariti kepada rakyat Turkiye dengan menghantar dua pasukan SMART termasuk dua anjing pengesan (K9) serta membina Hospital Medan Malaysia Tahap Tiga yang dikendalikan Angkatan Tentera Malaysia.

Selain bantuan tenaga kerja bagi misi SAR, Malaysia turut menyalurkan bantuan dana kemanusiaan kepada Turkiye dan Syria sebanyak RM20 juta.

Pada 6 Feb lepas, gempa bumi berukuran 7.8 pada skala Ritcher telah melanda kawasan selatan Turkiye serta Syria, dan setakat 13 Feb, dilaporkan bilangan kematian mencecah 31,644 orang, dengan 106,428 lagi cedera, manakala di Syria pula, 5,329 orang maut dan 14,500 orang cedera.

Setakat semalam pasukan SAR negara telah mengeluarkan 47 mayat dan menyelamatkan lima sekeluarga.

— BERNAMA

 

SEPANG, 14 Feb (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berlepas ke Turkiye malam ini bagi menyatakan sokongan moral kepada Presiden Reccep Tayyip Erdogan dan rakyat negara itu yang dilanda gempa bumi awal minggu lepas sehingga mengorbankan puluhan ribu nyawa.

Pesawat khas yang membawa Anwar berlepas kira-kira pukul 11.15 malam dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.

Sebelum berlepas, Penasihat Agama kepada Perdana Menteri Zamri Zainal Abidin membacakan doa bagi memohon keselamatan delegasi Anwar ke Turkiye.

Lawatan sehari Anwar itu turut disertai Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Amrizan Mohd Ali.

Anwar membuat keputusan untuk mengadakan lawatan mengejut itu atas dasar persahabatan dan permintaan Erdogan yang telah dua kali menghubunginya meminta beliau ke Turkiye. 

 

Perdana Menteri dijangka tiba di Gaziantep pada 7.30 pagi esok (waktu tempatan) untuk meninjau lokasi bencana dan bertemu Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) sebelum berlepas ke Ankara bagi mengadakan pertemuan dengan Erdogan.

Beliau dijangka berlepas pulang ke tanah air pada 2 petang (waktu tempatan) dan tiba pada 7 pagi Khamis (waktu Malaysia) sebelum menghadiri sidang Dewan Rakyat di Parlimen dan menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mesyuarat pra-Kabinet.

Pada 11 Feb lepas, Anwar telah berhubung dengan Erdogan sejurus tiba daripada lawatan rasmi di Bangkok, Thailand bagi menyampaikan ucapan takziah serta doa atas kejadian bencana itu.

Anwar telah menunjukkan komitmen dan solidariti kepada rakyat negara itu dengan menghantar dua pasukan SMART termasuk dua anjing pengesan (K9) serta membina Hospital Medan Malaysia Tahap Tiga yang dikendalikan Angkatan Tentera Malaysia.

Selain bantuan tenaga kerja bagi misi mencari dan menyelamat (SAR), Malaysia turut menyalurkan bantuan dana kemanusiaan kepada Turkiye dan Syria sebanyak RM20 juta, manakala Tabung Bencana Kementerian Luar Negeri sehingga kini berjaya mengutip sumbangan mencecah kira-kira RM25 juta.

Pada 6 Feb lepas, gempa bumi berukuran 7.8 pada skala Ritcher telah melanda kawasan selatan Turkiye dan Syria.

Setakat semalam, dilaporkan bilangan kematian mencecah 31,644 orang dan 106,428 lagi cedera manakala di Syria pula, 5,329 orang maut dan 14,500 orang cedera.

— BERNAMA

 

PUTRAJAYA, 14 Feb (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tumpuan khusus yang diberikan Malaysia terhadap bencana gempa bumi di Turkiye dan Syria kerana ia adalah malapetaka paling teruk dalam sejarah selain tsunami di Acheh.

Beliau berkata tumpuan khusus terhadap Turkiye adalah kerana ia banyak membantu negara ini antaranya Malaysia Airports Holdings Bhd yang mengurus Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen Istanbul dengan dana besar susulan kerugian besar yang dialami akibat pandemik COVID-19.

Anwar berkata Turkiye turut membantu dalam beberapa pembelian oleh kerajaan apabila diberikan pertimbangan yang lain daripada komersial serta memberi keistimewaan dan layanan berbeza kepada syarikat Malaysia yang melabur di negara itu.

“Saya mahu rakyat tahu itu bukan hubungan biasa. Pertama adalah sahabat serta sangat dekat dengan kita dan keadaan syarikat kita mengalami permasalahan besar dibantu luar daripada kaedah biasa,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian pada majlis sumbangan dana bencana oleh syarikat swasta kepada Tabung Bencana Kementerian Luar Negeri di sini hari ini.

Anwar berkata sumbangan kepada tabung itu kini mencecah kira-kira RM25 juta dan antara penyumbang ialah Yayasan Al-Bukhary sebanyak RM10 juta, Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (RM4.4 juta), Brahim’s Dewina Group (RM3 juta), YTL Corp Bhd (RM2 juta) serta Sarawak (US$200,000).

Beliau berkata sumbangan pelbagai pihak itu mencerminkan perasaan belas ihsan dan perikemanusiaan yang begitu menebal dalam kalangan masyarakat di Malaysia.

Perdana Menteri, yang akan berlepas ke Turkiye malam ini, berkata pada awalnya beliau keberatan kerana memadai menghantar Pasukan Mencari Dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dan hospital medan namun setelah dihubungi Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan, beliau membuat keputusan untuk ke negara itu kerana dapat membayangkan keresahan pemimpin berkenaan.

“Sebagai sahabat, saya fikir elok saya turun secara peribadi,” katanya yang turut disertai Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Amrizan Mohd Ali.

— BERNAMA

 

KUALA LUMPUR, 14 Feb (Bernama) — Bantuan dana kemanusiaan Malaysia bagi membantu mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria kini berjumlah RM20 juta, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata sumbangan itu adalah daripada beberapa syarikat tempatan dan pelbagai pihak termasuk sebanyak US$1 juta daripada kerajaan Malaysia, manakala US$1 juta lagi adalah sumbangan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

“Bagi bantuan menyelamat kita telah hantar dua pasukan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), dan satu lagi kumpulan akan berlepas ke sana malam ini termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” kata beliau pada Waktu Pertanyaan Menteri semasa persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Anwar menjawab soalan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (PN-Kuala Kangsar) yang meminta Perdana Menteri menyatakan bentuk bantuan yang telah diberikan kerajaan kepada Turkiye dan barat laut Syria susulan bencana gempa bumi yang melanda yang telah mengorbankan begitu banyak nyawa dan mencederakan ribuan rakyat kedua-dua negara berkenaan.

Anwar berkata kos penghantaran SMART banyak dikurangkan kerana kos penerbangan ditanggung sepenuhnya oleh syarikat penerbangan Turkiye menjadikan hanya sekitar RM4 juta dibelanjakan untuk tujuan berkenaan.

Pada 6 Feb lepas, gempa bumi bermagnitud 7.8 pada skala Richter telah melanda kawasan selatan Turkiye serta Syria dan sehingga semalam dilaporkan bilangan kematian mencecah 31,643 orang manakala 106,428 lagi cedera.

Di Syria pula, dilaporkan seramai 5,329 orang maut dan 14,500 orang cedera.

Sementara itu, Anwar berkata beliau sendiri sedang mempertimbang untuk ke Turkiye malam ini bagi memberikan sokongan moral kepada pemimpin negara itu.

Menjawab soalan mengenai pendirian Malaysia melibatkan penghantaran pasukan bantuan ke Syria, Anwar berkata setakat ini bantuan yang akan dihantar ke negara itu adalah dana dan peralatan perubatan termasuk membawa satu kelengkapan hospital daripada ATM untuk dipasang di sana.

“Dana (RM20 juta) itu kita putuskan untuk bantu Syria dan kirim alat ubatan walaupun ketika itu Amerika Syarikat belum memberikan pelepasan,” kata beliau.

— BERNAMA 

 

KUALA LUMPUR, 14 Feb (Bernama) — Kerajaan tidak bercadang untuk memperkenalkan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) serta cukai kepenggunaan berasas luas yang lain bagi menangani isu hutang negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata langkah lain akan diambil dalam usaha mengurangkan perbelanjaan dan menyelesaikan liabiliti dan hutang kerajaan yang kini mencecah RM1.5 trilion, mewakili 82 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

“Apa yang kita akan perketatkan adalah pengurangan subsidi bagi golongan kaya seperti yang dilakukan dalam isu subsidi elektrik.

“Seperti yang saya jelaskan di Dewan ini dalam sesi lalu, walaupun ada keputusan kerajaan sebelum ini untuk menaikkan tarif elektrik, kerajaan sekarang sudah membatalkan rancangan itu dan mengenakannya hanya kepada T20 (berpendapatan tinggi), syarikat multinasional dan syarikat besar, melainkan syarikat yang terbabit dalam keselamatan makanan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Wong Kah Woh (PH-Taiping) sama ada kerajaan bercadang untuk memperkenalkan cukai baharu bagi menangani beban hutang yang dihadapi negara.

Selain itu, Anwar berkata kerajaan juga mengambil langkah dengan memperbaiki jawatan kelola kerana antara perbelanjaan bilion ringgit yang hilang adalah disebabkan pengurusan yang lemah dan ketirisan.

“Disebabkan hutang negara lebih tinggi daripada pertumbuhan negara, langkah lain yang diambil adalah memastikan asas hasil ditambah dan mengkaji semula kaedah perbelanjaan awam tanpa membebankan rakyat terutamanya dalam bidang pendidikan, kesihatan dan keperluan asas.

“Hal-hal ini kita akan cerakin dalam pembentangan Belanjawan 2023 pada 24 haribulan nanti,” tambahnya lagi.

— BERNAMA

 

KUALA LUMPUR, 14 Feb (Bernama) — Kerajaan sedang meneliti peruntukan undang-undang berkaitan bagi memperketat perlindungan terhadap pemberi maklumat yang melaporkan mengenai rasuah dan kesalahan tatakelola.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu merupakan antara fokus utama beliau kerana terdapat ramai pemberi maklumat termasuk penjawat awam berasa tidak selamat untuk melaporkan kes-kes berkenaan kerana mendapat tekanan.

“Cuma ada pandangan daripada pihak perundangan yang menyatakan ini bukan memberi laluan kepada mana-mana pihak untuk membuat tuduhan palsu ataupun fitnah.

“Jadi dibedakan dengan usaha memberikan fakta dan saya setuju dengan gesaan, dan ini akan kita bentangkan, selewat-lewatnya diharap dalam sesi (Parlimen) akan datang,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) berhubung komitmen kerajaan dalam meminda peruntukan berkaitan perlindungan pemberi maklumat yang harus dilaksanakan segera seperti disyor Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) Integriti, Governan dan Anti Rasuah sebelum ini.

Menjawab soalan asal Lo Sui Fui (GRS-Tawau) mengenai strategi penambahbaikan untuk memastikan penyiasatan kes rasuah mendatangkan impak yang nyata, Anwar berkata tumpuan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini, ialah kes rasuah berskala besar.

“Kerana kalau dulu terlalu banyak masa dan tenaga tumpu untuk menangkap ikan-ikan bilis ini yang tak akan banyak membantu kerana  rasuah sudah menjadi sesuatu yang sistemik.

“Saya percaya penumpuan kepada kes skala besar yang telah dan sedang dijalankan akan memastikan bahawa rakyat, penjawat awam dan pimpinan politik bahawa SPRM lebih agresif,” katanya. 

Menurut Anwar antara kes berskala besar yang disiasat ialah skandal Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), sindiket curi elektrik melibatkan lombong bitcoin, tuntutan palsu dana insentif Program Penjana Kerjaya (Penjana Kerjaya) dan sindiket pengurangan saman trafik. 

Menjawab soalan tambahan Lo berkenaan penggubalan undang-undang berkaitan dana politik, Anwar berkata kerajaan komited untuk meneruskannya, namun ia masih di peringkat awal kerana beberapa laporan perlu diteliti sebelum dikemukakan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.

— BERNAMA