TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS PELANCARAN RAKAN MUDA (NAFAS BAHARU)
TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
MAJLIS PELANCARAN
RAKAN MUDA (NAFAS BAHARU)
25 JUN 2023 | 3.00 PETANG
DEWAN CANSELOR TUN ABD RAZAK (DECTAR), UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA, BANGI
Assalamualaikum Warahmatullahi Taala Wabarakatuh dan
Salam Sejahtera
YAB Dato’ Seri Amirudin Shari,
Menteri Besar Selangor;
YB Hannah Yeoh,
Menteri Belia dan Sukan;
YB Adam Adli Abd Halim,
Timbalan Menteri Belia dan Sukan;
YBhg. Tan Sri Dato’ Abdul Ghani Othman,
Mantan Menteri Belia dan Sukan;
Pengerusi dan Naib Canselor Universiti Kebangsaan;
Pegawai, tetamu, ikon; dan
Anak-anak yang saya kasihi sekalian.
- Saya ucap pertamanya syukur kepada Allah SWT kerana Majlis pada hari ini agak istimewa dengan memberi tumpuan, harapan dan menyusun program untuk anak muda. Saudari YB Hannah Yeoh dan pasukannya telah memikirkan semula bagaimana hendak menyuntik semangat dan nafas baharu maka diteruskan sebagai acara kesinambungan Rakan Muda tetapi dengan suntikan nafas baharu.
- Dalam mendepani masalah anak muda ini, bukan sekadar memberi nasihat atau teguran kerana anak-anak muda ini pun akan menjadi lemas dengan leteran orang tua. Mereka mahu supaya Kementerian dan Kerajaan memberi ruang kepada mereka.
- Program apa yang kita hendak adakan? Nafas baharu apa yang hendak kita perkenalkan? Biar anak muda sendiri putuskan dan kita berbincang. Ini Pendekatan Malaysia MADANI, kita tidak mahu pemikiran lapuk dan lama, kita tidak mahu pemikiran yang terkongkong dan jumud, kita tidak mahu ada unsur-unsur yang memecahbelahkan kita. Kita adalah saudara, baik keturunan Melayu, Cina, India, Dayak atau Kadazan. Hari ini, Malaysia sudah menjangkau 6 dasawarsa atau 6 dekad.
- Siapa yang akan menentukan sama ada Malaysia kekal sebagai status negara hebat di dunia? Yang akan menentukan bukan orang-orang tua yang lapuk pemikiran, yang ingin memecahbelahkan rakyat tetapi yang akan tentukan masa depan ini aman dan semua kita bersaudara, bekerja untuk menyelamatkan bangsa dan negara kita adalah anak-anak muda sendiri.
- Ingat, sebagai bapa, ini saranan saya secara serius, who will determine the future of this country? can you decide and affirm that you want a united and strong Malaysia? Kini, saya lega kerana saya mendengar sendiri suara dan semangat serta idealisme anak-anak muda.
- Rakan muda adalah satu program untuk memberi ruang kepada saudara-saudara dan anak-anak memilih tetapi kerangka besarnya apa? Kerangka besarnya adalah mempersiapkan satu generasi yang mempunyai cita-cita murni. Persiapan generasi yang mempunyai nilai kemanusiaan, nilai insan yang hormat di antara satu sama lain, senang dengan kebaikan, persaudaraan, kemajuan, teknologi baharu, senang dengan muzik dan hip hop, benci dengan rasuah, hipokrasi dan salah guna kuasa, benci dengan orang yang menghina kaum-kaum yang lain. Ini gesaan Pak Cik Anwar pada petang ini.
- Saya seperti YB Hannah Yeoh dan saya percaya juga saudara YBhg. Tan Sri Dato’ Abdul Ghani Othman yang mempelopori program ini suatu masa dahulu berasa lega apabila kita melihat semangat anak-anak muda dari pelbagai kaum, agama dan daerah datang dengan satu cita-cita iaitu untuk menyelamatkan generasi ini, memupuk nilai-nilai yang luhur dan seterusnya untuk menyelamatkan negara kita.
- Saudara pilih, kita ada pasukan di Kementerian, Menteri dan Timbalan Menteri yang saya percaya boleh menjadi juru bicara kepada anak-anak muda. Saya lihat program dan keprihatinan mereka bersama-sama penjawat awam yang terlibat nampak menjurus ke arah itu. Bagi pihak Kerajaan Perpaduan, dengan falsafah Malaysia MADANI percayalah, Insya-Allah saya akan memberi apa juga sokongan yang perlu kepada anak-anak muda ini.
- Satu yang saya minta adalah saudara peka dalam dunia yang mencabar, dalam dunia media sosial yang menggugat. Saudara dan anak-anak harus membuat pilihan yang baik kerana satu kesilapan dari satu generasi akan menghukum negara kita ke lembah kehinaan.
- Akan tetapi, satu kekuatan yang bangkit dari generasi baharu ini, kalau mampu saudara-saudara bangkit percayalah, Malaysia akan muncul sebagai negara yang paling hebat di rantau ini.
- Satu berita baik bagi belia terutama yang berumur sekitar 18 dan 20 tahun yang hadir pada hari ini. Mulai jam 8 pagi esok, saudara dan anak-anak seperti mana yang saya janjikan apabila Wawa bertanya kepada saya di Langkawi, Kedah, saya menjawab jam 8 pagi esok, iaitu 26 Jun 2023 akan dimasukkan dana sebanyak RM 200 setiap orang. Gunakanlah dengan sebaik mungkin untuk kebaikan.
- Anak-anak, saya ada satu permintaan, pertama, sebaik keluar dari dewan, jangan lupa teks kepada ibu bapa, ulang semangat kasih sayang kepada mereka. Kedua, teks kepada guru-guru, kenangkan jasa dan sumbangan mereka. Boleh begitu?
- Ini barulah jadi anak muda, rakan muda yang hebat di Malaysia. Bersatu sebagai satu pasukan, semangat yang jitu dengan cita-cita yang murni. Bak kata dalam bahasa Dayak, Iban, “Segulai Sejalai”. Ada orang Sarawak disini?
- Jadi sekali lagi saya mengucapkan penghargaan dan terima kasih. Pada hemat saya YB Hannah Yeoh telah memberikan satu tradisi yang baik dengan memberikan penghormatan kepada saudara YBhg. Tan Sri Dato’ Abdul Ghani Othman, sahabat saya yang juga individu yang mula-mula menerokai program ini, terima kasih saudara YBhg. Tan Sri Dato’ Abdul Ghani Othman.
- Jadi, saya sudahi dengan penghargaan setingginya dan doa kepada Allah SWT kerana apa pun yang kita ikhtiarkan, kita ada rakan muda, kita ada strategi, kita ikhtiar. Jangan lupa apa pun usaha kita, jangan tinggalkan fatawakkal ‘alallah – serah kepada Allah SWT untuk memberikan kesihatan, nikmat dan keberkatan kepada kita kerana sesungguhnya Innallaha yuhibbul mutawakkilin – Allah SWT kasih kepada orang-orang yang menyerah dan tawakal kepadanya.
Terima kasih, Wassalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.





















KUALA LUMPUR, 21 Jun — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendoakan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang berangkat ke Tanah Suci hari ini, memperoleh haji yang mabrur dan segala urusan ibadah haji berjalan lancar.
Anwar yang menghadiri Upacara Keberangkatan Seri Paduka berdua di Istana Negara pagi ini, turut mendoakan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah dikurniakan kesihatan yang baik sepanjang menunaikan ibadah haji di Tanah Suci.
“Mendoakan semoga Tuanku sekalian memperoleh ibadah haji yang mabrur dan diberi kesihatan yang baik serta dilancarkan segala urusan ibadah haji di Tanah Suci Makkah,” katanya menerusi catatan di Facebook.
Seri Paduka berdua dijadual berada di Tanah Suci bermula hari ini hingga 2 Julai.
Kerajaan Arab Saudi mengumumkan hari Wukuf, yang merupakan kemuncak haji, adalah pada Selasa, 27 Jun, manakala Hari Raya Aidiladha disambut pada Rabu, 28 Jun.
Umat Islam di Malaysia pula akan menyambut Aidiladha pada 29 Jun.
— BERNAMA

KUALA LUMPUR, 20 Jun — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin pelantikan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) yang baharu Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour mampu meneruskan kebijakan monetari yang mampan dan stabil.
Perdana Menteri turut menaruh sepenuh kepercayaan kepada Shaik Abdul Rasheed dalam mendepani tantangan semasa lantas mencipta lonjakan yang baharu buat negara tercinta.
Shaik Abdul Rasheed bakal mengambil alih jawatan Gabenor daripada Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus yang dijadual menamatkan khidmatnya pada 30 Jun ini.
“Hari ini, saya telah mengadakan pertemuan dengan Gabenor Bank Negara yang baharu Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour di pejabat.
“Saya menzahirkan rasa keyakinan yang tinggi kepada beliau dalam meneruskan kebijakan monetari yang mampan dan stabil, dan ia pastinya akan ditingkatkan agar kedudukan kewangan negara menjadi lebih baik, kukuh dan stabil,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook hari ini.
Anwar turut mengutuskan penghargaan kepada Nor Shamsiah atas jasa bakti beliau mengemudi BNM terutama ketika negara melalui saat-saat sukar dan getir sepanjang tempoh COVID-19 menyerang.
Sementara itu, menerusi hantaran berasingan di Facebook, Perdana Menteri memaklumkan beliau menerima kunjungan hormat daripada Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Luqman Abdullah di Perdana Putra petang tadi.
Anwar diberikan taklimat mengenai hal ehwal agama berkaitan pertanyaan dan pengurusan fatwa kepada masyarakat selain perkembangan serta penambahbaikan ilmu falak dan kemudahan balai cerap dalam negara.
“Saya juga diberi penerangan mengenai perancangan program sempena sambutan jubli emas pejabat mufti wilayah pada tahun depan,” katanya.
— BERNAMA
KUALA LUMPUR, 20 Jun — Kerajaan akan terus memperkukuh jaringan perniagaan-ke-perniagaan antara Malaysia dan Republik Turkiye dan mengalu-alukan syarikat-syarikat dari negara berkenaan untuk meneroka pelbagai peluang perdagangan di negara ini.
Menerusi catatan di Facebook hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan beliau telah menghadiri Majlis Makan Malam dan Dialog anjuran Independent Industrialists and Businessmen’s Association (MUSIAD) sempena misi perdagangan yang terdiri daripada 41 syarikat dari Turkiye.
Beliau berkata Turkiye kekal menjadi satu daripada rakan dagangan penting Malaysia di rantau Asia Barat dan sehingga kini, enam projek pembuatan dengan pelaburan republik itu telah dilaksanakan di negara ini melibatkan jumlah pelaburan bernilai US$123.2 juta (RM429.2 juta).
“Pada tahun 2022, Turkiye merupakan rakan dagangan ketiga terbesar Malaysia, destinasi eksport terbesar dan sumber import keenam terbesar dalam kalangan negara Asia Barat dengan perdagangan dua hala berjumlah US$4.62 bilion (RM20.25 bilion),” katanya.
Pada majlis itu, Anwar turut bertemu dengan Duta Republik Turkiye ke Malaysia Emir Salim Yuksel, Naib Pengerusi MUSIAD Davut Altunbas dan Pengerusi MUSIAD Malaysia Sabri Yardimci.
Turut hadir, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan wakil daripada agensi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) serta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
— BERNAMA


















KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) – Kerajaan akan melaksanakan semua yang diperlukan untuk memacu pertumbuhan inklusif dan mampan dalam ekonomi terbuka yang menghargai aliran kewangan bebas, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bagi menggalakkan lagi pertumbuhan domestik, beliau berkata Kabinet akan mempercepatkan pelaksanaan projek kerajaan dan memudahkan kelulusan perniagaan seperti permohonan untuk ekspatriat mahir.
Di sebalik pelbagai cabaran yang diwarisi oleh kerajaan, katanya petunjuk ekonomi awal menunjukkan bahawa dasar fiskal kerajaan dan langkah-langkah daripada Belanjawan 2023 membuahkan hasil.
Antaranya ialah Malaysia mencapai pertumbuhan kukuh sebanyak 5.6 peratus pada suku pertama 2023 (berbanding unjuran 2023 sebanyak 4 peratus hingga 5 peratus) dan kadar pengangguran yang berkurangan kepada 3.5 peratus (berbanding paras tertinggi 5.2 peratus pada Mei 2020), katanya pada pelancaran Program Graduan Pasaran Modal (CMGP) di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) di sini hari ini.
Pelaburan Malaysia yang diluluskan pada suku pertama 2023 mencecah RM71 bilion, meningkat 60 peratus daripada RM45 bilion pada suku pertama 2022.
Ini disokong oleh minat pelaburan yang tinggi daripada, antara lainnya, Amazon Web Services, Tesla EV, Geely/Proton Automotive City di Tanjung Malim dan Ronsheng Petrochemicals di Pengerang. Malah, aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) pada 2022 telah naik kepada RM74.6 bilion berbanding RM50.4 bilion pada tahun sebelumnya.
Pengekalan penarafan kredit oleh Fitch dan Moody’s pada awal tahun ini turut mencerminkan keyakinan mereka terhadap kesungguhan kerajaan untuk mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi, kata Anwar, yang juga Menteri Kewangan.
“Fakta ini memberi saya harapan. Kita masih belum keluar daripada kesukaran, terutamanya dengan ketidaktentuan ekonomi global tetapi saya optimis bahawa kita berada di landasan yang tepat untuk pertumbuhan ekonomi,” katanya.
Pertumbuhan bakat penting untuk masa depan ekonomi
Dalam mengumumkan pelancaran nama baharu CMGP yang akan dikenali sebagai “InvestED”, Perdana Menteri berkata tenaga kerja yang berkemahiran tinggi dan berpengetahuan luas, terutamanya dalam pasaran modal adalah penting untuk ekonomi mampan.
“Kita perlu ketokohan tempatan yang berupaya memahami kerumitan pasaran, menjangka trend dan perubahan serta menyediakan penyelesaian inovatif pada setiap rintangan pasaran termasuk kewangan Islam.
“Dengan menyediakan peluang mengembangkan kemahiran dan pengetahuan dalam industri pasaran modal kepada graduan muda, program ini berupaya membina asas yang kukuh untuk pertumbuhan ekonomi masa depan Malaysia,” kata Perdana Menteri.
Oleh itu, katanya InvestED akan berperanan sebagai inisiatif unik yang menyatukan sektor kerajaan dan swasta untuk mewujudkan platform bagi kedua-dua pihak graduan dan majikan.
“Saya difahamkan, sebanyak 9,000 mahasiswa akan meraih manfaat pendedahan kepada peluang pekerjaan dalam industri pasaran modal dengan 600 orang akan terjamin mendapat pekerjaan dalam masa tiga tahun,” katanya.
Perdana Menteri yakin ini boleh dipertingkatkan lagi melalui penyertaan lebih banyak pemain industri yang bekerjasama dengan universiti.
“Saudari dan saudari bukan sahaja akan mendapat pengetahuan dan kemahiran yang berharga tetapi juga akan menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan negara kita.
“Pada masa yang sama, saya berharap program seumpama ini turut membantu pelajar daripada keluarga susah supaya mereka tidak tertinggal meraih manfaat peluang pekerjaan yang lebih baik.
“Ini cukup penting dan selaras dengan hasrat Malaysia MADANI,” katanya.
– BERNAMA










