GALERI GAMBAR : PM ANWAR ZIARAH WARIS MANGSA TRAGEDI NAHAS ELMINA


KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu dengan beberapa pelabur terkemuka di Putrajaya hari ini bagi meneroka peluang pelaburan strategik merentas sektor ekonomi utama.

Menerusi hantaran di laman Facebook, beliau berkata ia adalah sebagai ikhtiar untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi dan mendukung visi yang terkandung dalam Ekonomi MADANI.

“Kebijakan Ekonomi MADANI adalah sebuah kerangka wahana yang jelas dan komprehensif bagi memungkinkan sebuah tatanan (sistem) ekonomi negara yang mampan dan terangkum sebagai usaha dan upaya kerajaan dalam meningkatkan tahap kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia.

“Visi ini menekankan peri penting penyertaan sektor swasta dan pelabur untuk memacu pertumbuhan ekonomi, menggalak daya inovasi dan juga mewujudkan peluang pekerjaan yang berkualiti serta berdampak tinggi,” katanya.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata perjumpaan itu disertai beberapa pelabur yang berpengaruh di peringkat antarabangsa dan terkenal dengan sumbangan mereka kepada pembangunan ekonomi serta syarikat yang berjaya.

Antaranya pengasas bersama laman Facebook Eduardo Saverin dan Ketua Pegawai Eksekutif Bersama B Capital Raj Ganguly, Pengasas WM Partners Alejandro Weinstein serta Pengasas European Venture Funds Peter Kadas.

Anwar berkata kehadiran mereka bukan sahaja mempamerkan keyakinan terhadap Kerajaan Perpaduan dan prospek ekonomi negara malah membuktikan Malaysia mempunyai daya tarikan sebagai destinasi pelaburan antarabangsa.

Perdana Menteri berkata perjumpaan yang pertama seumpama itu membuka peluang untuk beliau dan pelabur terbabit berkongsi pandangan serta meneroka kerjasama bagi mencapai matlamat ekonomi negara.

“Perbincangan turut menyentuh soal peluang bagi meneroka pelaburan dalam sektor utama seperti teknologi dan inovasi, tenaga yang boleh diperbaharui, pembangunan infrastruktur, pelancongan serta hospitaliti, dan pembuatan,” katanya.

Beliau berkata sesi berkenaan turut berkisar mengenai usaha memupuk persekitaran bagi menggalakkan pelaburan langsung asing, memperkemas peraturan dan proses serta meningkatkan tatakelola selain memastikan kemampanan jangka panjang.

KUALA LUMPUR, 13 Ogos  — Kerajaan Perpaduan bertekad untuk bekerja keras dan lebih tekun berkhidmat untuk memenuhi keperluan rakyat, sebagaimana yang diterjemahkan menerusi keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Terengganu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan pimpinannya akan terus kekal dan kukuh, seiring hasrat membangun Malaysia MADANI dan Dasar Ekonomi MADANI.

“Insya-Allah, hari Isnin kita akan terus bertugas bukan sahaja seperti biasa tetapi lebih tekun dan keras bekerja supaya Malaysia mencapai kejayaan yang membanggakan,” kata Anwar pada sidang media selepas pengumuman rasmi keputusan pilihan raya berkenaan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta kepimpinan tertinggi parti Kerajaan Perpaduan.

Pada masa sama, Anwar berkata kerajaan menghormati keputusan PRN di Kelantan, Terengganu dan Kedah yang menyaksikan Perikatan Nasional (PN) mengekalkan kemenangan di negeri itu.

Perdana Menteri berkata kejayaan Kerajaan Perpaduan mengekalkan pentadbiran kerajaan negeri di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang adalah hasil muafakat rakan-rakan parti termasuk dari Sabah dan Sarawak yang turut memberikan dukungan.

Anwar berkata keputusan pilihan raya yang dicatatkan itu adalah keputusan rakyat dalam sistem demokrasi negara yang harus dihormati dan diterima dengan baik.

“Kalau ada permasalahan dan protes, buatlah (kemukakan petisyen) mengikut alur, hukum dan peraturan yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya.

Anwar turut mengingatkan semua parti sama ada yang menang atau kalah, untuk terus bersilaturahim dalam menjaga keamanan serta menumpukan perhatian mengangkat martabat negara dan membela nasib rakyat.

Perdana Menteri turut menzahirkan penghargaan kepada petugas SPR yang telah menjalankan tugas dengan baik serta anggota pasukan keselamatan khususnya Polis Diraja Malaysia yang membantu memastikan perjalanan pilihan raya berjalan lancar dan aman.

Keputusan PRN enam negeri itu menyaksikan Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang dimenangi PH dan BN, yang membentuk kerjasama sebagai Kerajaan Perpaduan, manakala Kelantan, Kedah dan Terengganu di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN).

— BERNAMA

GEORGE TOWN, 11 Ogos (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan hormat daripada Menteri Luar China Wang Yi yang mengadakan lawatan ke Malaysia dalam usaha meningkatkan kerjasama pertahanan dua hala.

Wang yang juga ahli Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC) dalam kunjungan itu mengadakan pertemuan empat mata dengan Anwar yang berlangsung selama 25 minit dari pukul 3.17 petang di Hotel Eastern and Oriental, di sini.

Anwar dan Wang kemudiannya turut mengadakan mesyuarat bersama Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing; Menteri Pengangkutan Anthony Loke; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang; dan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Pertemuan itu menandakan kepentingan hubungan perdagangan dua hala antara kedua-dua negara, yang menyaksikan China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia sejak 2009, dengan jumlah perdagangan sebanyak AS$110.6 bilion (RM488 bilion) pada 2022.

Dari segi pelaburan, China merupakan pelabur langsung asing terbesar di Malaysia pada tahun lepas dengan pelaburan berjumlah AS$12.5 bilion (RM55.16 bilion).

Jumlah eksport ke China meningkat 9.4 peratus kepada RM210.62 bilion (AS$47.84 bilion) pada 2022 manakala import dari China menyaksikan peningkatan 20.7 peratus kepada RM276.50 bilion (AS$62.78 bilion) pada tahun yang sama.

Tahun ini adalah ulang tahun ke-10 Perkongsian Strategik Komprehensif Malaysia-China dan kedua-dua negara juga akan menyambut ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik tahun depan, menandakan persahabatan yang lama terjalin dan kerjasama mantap dalam pelbagai sektor.

— BERNAMA

LANGKAWI, 11 Ogos — Kerajaan berusaha untuk menaikkan sedikit gaji penjawat awam menerusi Belanjawan MADANI kedua yang akan dibentangkan di Parlimen Oktober ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata ia sebagai langkah sementara, sehingga kajian menyeluruh berhubung skim gaji dan persaraan penjawat awam selesai dilakukan, yang dijangka pada tahun depan.

“Jadi sementara waktu saya dah bincang dengan Kementerian Kewangan, KSN (Ketua Setiausaha Negara) dan KPPA (Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam).

“Saya kata kalau begitu, sementara kajian ditingkatkan saya cuba dalam Belanjawan MADANI bulan Oktober ini, kita cuba naikkan dulu sedikit gaji (penjawat awam), sementara kita buat kajian menyeluruh yang boleh siap tahun depan,” katanya semasa berucap di program tinjauan mesra pelancongan dan perasmian Geopark Discovery Centre di sini, hari ini.

Anwar berkata adalah menjadi dasar kerajaan sekiranya ada kemampuan untuk membuat pelarasan semula gaji penjawat awam setiap 10 tahun dan ia sepatutnya telah dilakukan dua tahun lalu.

Namun, Perdana Menteri berkata kerajaan sebelum ini tidak melaksanakan perkara itu malah mesyuarat bagi membincangkan isu itu juga tidak dilakukan.

“Jadi bila kita adakan mesyuarat dan bila saya semak dengan JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) saya kata kenapa tidak ada mesyuarat lagi? Dia kata takda. Pada hal gaji penjawat awam ini tiap 10 tahun ikut keupayaan kita, kalau kita boleh naik sikit kena naik sebab inflasi tu naik juga sikit,” katanya.

Anwar berkata hasil mesyuarat bersama KSN, Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) dan KPPA perkara itu kemudian telah diteliti semula.

“Kita periksa semula fail, jadi saya selaku Menteri Kewangan kata kena ada keputusan gaji penjawat awam dinaikkan termasuk polis, tentera, penjawat-penjawat awam termasuk staf LADA (Lembaga Pembangunan Langkawi),” katanya.

Pada 13 Julai lalu, Perdana Menteri memaklumkan skim gaji penjawat awam akan disaran dinaikkan secara berperingkat berdasarkan keupayaaan ekonomi negara dengan cadangan itu akan dikemuka dalam mesyuarat bersama KSN Tan Sri Mohd Zuki Ali dan KPPA Datuk Dr Zulkapli Mohamed.

Sementara itu, Anwar memaklumkan kerajaan turut bersetuju untuk memberikan elaun seberang laut bagi penjawat awam bertugas di Langkawi seperti yang dinikmati oleh penjawat awam dari Sabah dan Sarawak yang bertugas di Semenanjung (bayaran insentif wilayah).

“Ada juga cadangan dia kata orang di Pulau Tuba sakit, nak mai (ke Langkawi) macam mana, jadi kita dah order ambulans laut, tapi saya tak setuju lancar sekarang (sebab Pilihan Raya Negeri),” katanya.

Menyentuh mengenai Langkawi, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata dalam usaha menjadikan pulau peranginan itu pesat membangun semua jabatan kerajaan dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) perlu diselaras bagi menjalankan program-program tertentu.

“Makna tiap syarikat kerajaan yang besar, TNB, Khazanah mesti perhati dan ada rancangan untuk mengangkat kedudukan Langkawi untuk menarik pelancong,” katanya.

Bagi kakitangan swasta di negara ini pula, Anwar berkata kerajaan sudah di peringkat akhir kajian untuk menyediakan peruntukan kewangan bagi membantu kenaikan gaji pekerja di sektor itu.

“Bagaimana dengan pekerja lain seperti kakitangan hotel, syarikat dan kilang sedangkan penjawat awam kita naik gaji. Maka saya minta Kementerian Ekonomi siapkan kertas kajian, ada tak negara guna duit kerajaan tolong gaji swasta, rupanya ada. Tidak mudah laksana dalam keadaan ekonomi sekarang tapi susah macam mana pun masalah dihadapi rakyat kena ada perubahan,” katanya.

— BERNAMA