TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS MAKAN MALAM DAN RAMAH MESRA ALUMNI MAJLIS BELIA MALAYSIA (MBM)


 

TEKS UCAPAN

 

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

 

SEMPENA

 

MAJLIS JAMUAN MAKAN MALAM DAN RAMAH MESRA ALUMNI MAJLIS BELIA MALAYSIA (MBM)

 

 

24 OKTOBER 2023 (JUMAAT) | 7.45 MALAM

 

DEWAN MERDEKA, PUSAT DAGANGAN DUNIA (WTC), KUALA LUMPUR

 

 

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Taala Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

 

Alhamdulillah,

Nahmaduhu Wa Nusalli Ala Rasoolihil Kareem

 

Saudara Shamsul Anuar (YB Dato’ Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah),

Presiden Alumni Majlis Belia Malaysia merangkap Timbalan Menteri Dalam Negeri;

 

Menteri dan Timbalan Menteri;

 

Saudara Izzat (Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid),

Presiden Majlis Belia Malaysia; dan

 

Rakan-rakan yang belum bersara dan nampak aktif semula dalam alumni ini.

 

 

  1. Alhamdulillah kita, syukur Ya Allah, kerana ini meruupakan ruang supaya semangat dan idealism yang kita gilap semasa kita memimpin belia itu harus kekal dan ada ruang untuk kita curahkan bakti walaupun dalam platform yang berbeza.

 

  1. Kita yang ada pengalaman dalam dunia mahasiswa, pelajar, belia, tentu merasakan bahawa suasana dan keghairahan dengan idealisme pada masa itu melakukan perubahan, penambahbaikan, senang dengan kebaikan, tidak senang dengan keterlanjuran daripada rasuah penyelewengan.

 

  1. Tetapi seperti biasa, kadang-kadang semangat itu bisa kukuh, bisa juga lumpuh. Maka ikhtiar seperti ini atau selain daripada platform untuk kita bergerak seperti mana disebut oleh saudara Shamsul Anuar dalam ucapan sebentar tadi untuk kita kekalkan secebis idealisme dulu untuk kita terjemahkan dalam kegiatan. Tertentunya kegiatan yang berbeza daripada dulu juga memelihara kebajikan sahabat-sahabat kita yang dulu aktif tapi sekarang kerana lebih dewasa, ada yang berkerusi roda, itu tentu diberikan perhatian. Maknanya pimpinan belia juga harus akui sumbangan yang lalu dan kemudian cuba meringankan beban melalui program-program kebajikan.
  2. Maka usul untuk mewujudkan Yayasan Belia Malaysia (YBM) seperti mana yang disampaikan oleh saudara Shamsul Anuar kepada saya tempoh hari adalah untuk memberikan kesempatan bukan sahaja melakukan kebajikan di luar tetapi juga memberikebajikan, mengiktiraf sumbangan jasa dan khidmat tokoh-tokoh muda. Tertakluk kepada keupayaan, keberkesanan dan kecekapan, saya luluskan dana permulaan RM 1 juta.

 

  1. Kita biasa dengan sejarah Majlis Belia Malaysia (MBM). Masa itu, dalam keadaan ledakan suara nyaring anak-anak muda menuntut perubahan dalam generasi yang disebut “rising expectations“, kemudian berasa kecewa kerana merosot cita-cita murni itu dan Kerajaan pada masa itu, saya masih ingat di bawah pimpinan Almarhum Tun Abdul Razak memberi ruang kepada anak muda melontarkan idea tanpa sekatan dalam Majlis Perundingan Belia Negara.

 

  1. Rakan-rakan yang bersama saya pada masa itu Datuk Jamil pun ada. Faham benar bahawa Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan masa itu, Tan Sri Hamzah Bin Datuk Abu Samah merupakan seorang yang sangat sabar dan beri ruang sepenuhnya bagi kita menyampaikan segala pandangan. Sebahagiannya serangan, sebagainya kritikal dan itu memberikan kesempatan bagi anak-anak muda yang mahu menegakkan kebenaran, keadilan, dan usulkan beberapa rancangan yang kemudian diberikan pertimbangan oleh bahagian Belia di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan ketika itu.

 

  1. Jadi saya harap semangat yang sama ada dan di bawah pimpinan Menteri YB Hannah Yeoh dan Timbalan Menteri YB Adam Adli saya lihat ada kesediaan untuk berbincang dengan lebih teliti supaya program-program itu sebahagiannya turut mengambil kira pandangan anak-anak muda dan sebahagianya dilaksanakan sendiri oleh badan-badan belia khususnya MBM.

 

  1. Jadi saudara-saudari, beralih kepada soal kenegaraan. Kita telah melontarkan falsafah Malaysia MADANI kerana meletakkan anjakan daripada perbincangan khusus soal pertumbuhan ekonomi yang sangat fundamental kepada soal ihsan, soal amanah dan soal nilai. Dan negara ini tidak hanya mengambil, menciplak acuan pertumbuhan ekonomi dari barat, Bank Dunia dan sebagainya.

 

  1. Sebahagiannya kita boleh manfaatkan, tetapi ada keistimewaan kita sendiri, ada keunikan kita sendiri sebagai negara dengan Islam sebagai agama persekutuan, dengan kekuatan budaya Melayu, dan dengan tamadun yang hebat. Dan kesediaan kita lebih inklusif untuk menerima kemajmukan, kepelbagaiannya yang ada, maka, integral dalam MADANI itu adalah juga soal nilai, soal unik budaya masyarakat yang memprihatinkan dari segi ihsan, dari segi amanahnya, dari segi rahmahnya selain daripada terikat dengan tuntutan ramai dari segi transformasi digital, dari segi teknologi maklumat, dan dari segi keupayaan kita mengangkat kekuatan ekonomi negara.

 

  1. Jadi mudah-mudahan dengan pencerahan itu, saudara-saudara yang mempunyai latar belakang gerakan idealism belia baik Persatuan Kelab-kelab Belia Malaysia (MAYC), Gerakan Belia 4B Malaysia, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Hindu Youth Council, Methodist Youth Fellowship, itu akan dapat terus bergabung, dan memberi makna serta mesej yang jelas kepada adik-adik dan anak-anak kita.

 

  1. Saya harap program itu akan diberi perhatian, mungkin saudara Shamsul Anuar, YB Datuk Mustapha Sakmud pun ada untuk mencari jalan bagaimana jabatan-jabatan dan kementerian-kementerian lain bukan sahaja Kementerian Belia dan Sukan memberikan ruang dan mengambil kira pengalaman pemimpin-pemimpin belia zaman lampau, bukanlah zaman lampau tidak, masih baru, masih muda semua, cuma rupa paras itu dah lain sikit itu sahaja (nada seloroh).

 

  1. Jadi saya minta kedua-dua Timbalan Menteri ini, bersama-bersama mungkin YB Adam Adli adakan ilmuan, cari jalan supaya ada ruang di mana mantan pimpinan belia itu dapat memanfaatkan kemudahan-kemudahan kebajikan Kerajaan dalam pelbagai kegiatan sebagai bentuk perniagaan dan usahawan. Ini yang penting.

 

  1. Kita ada ruang yang banyak tetapi kadang-kadang kelemahan mana-mana Kerajaan dan pengalaman kita juga ialah bukan wawasannya, bukan cetusan idea tetapi pelaksanaan itu, execute program itu. Jadi mudah-mudahan ini dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.

 

  1. Saya nak rumuskan dengan hanya menyatakan bahawa, lewat pagi tadi pulang dari Kaherah setelah beberapa hari, iaitu dua hari di Riyadh, dua hari di Turkiye, Istanbul dan setelah itu di Kaherah menemui pimpinan negara-negara Arab khususnya Raja Bahrain, Emir of Qatar, Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan (UAE) dan lama juga dengan Putera Raja dan Perdana Menteri Arab Saudi, Mohamed bin Salman. Kemudian dengan Recep Tayyip Erdoğan, Presiden Turkiye dan semalam dengan Presiden Mesir Abdel-Fattah al-Sisi untuk membicarakan soal Gaza, kesengsaraan yang sedang dihadapi dan kegetiran keparahan yang mungkin dialami.

 

  1. Saya syukur alhamdulillah kerana Malaysia yang agak jauh daripada dunia Arab dan agak tersisih sedikit selama ini, nampak diberikan perhatian dan penghormatan yang sangat tinggi. Saya ucap terima kasih kepada saudara-saudara. Kalau saudara baca liputan media massa yang diberikan, semua pimpinan itu memberi satu hingga dua jam perbincangan hati ke hati selain daripada perbincangan rasmi, mencurahkan semua maklumat yang perlu diketahui dan memberikan pengiktirafan tertinggi dan saya tentunya bertuah kerana saya diamanahkan memimpin satu negara hebat dengan rakyat yang cukup prihatin dan komited dalam perjuangan membela nasib rakyat Palestin.

 

  1. Sebentar lagi saya akan sampaikan ucapan dalam perhimpunan berkenaan, tetapi yang saya hendak sampaikan di sini adalah soal kemanusiaan. Sama ada ianya mengenai Palestin atau Afrika Selatan yang dulunya semasa Nelson Mandela itu. Malaysia, di antara yang paling ke depan sejak zaman Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Jadi kita harus konsisten dalam hal ini.

 

  1. Ada orang kata ini kerana menyentuh masalah umat Islam ya tentunya, kita prihatin tentang nasib umat Islam tetapi di Afrika Selatan, Apartheid, orang kulit putih menindas orang kulit hitam. Itu kita suarakan dengan cukup tegas dan landasan ini kita teruskan tetapi beritanya sangat menggusarkan kerana dalam perbincangan semua pimpinannya, kita hanya mampu menekankan supaya dihentikan serangan dan peperangan dan dipermudahkan bantuan kemanusiaan seperti perubatan, dan makanan kepada mangsa yang dizalimi.

 

  1. Tetapi jangan lupa isu pokoknya adalah isu Palestin, orang yang diusir, tanah yang dirampas dan kebebasan yang dinafikan, ada ketika mungkin ada penyelesaian. Selagi dunia tidak mengiktiraf perlunya wujud apa yang dikatakan negara Palestin yang bebas dan berdaulat.

 

  1. Saudara Shamsul Anuar dan rakan-rakan pimpinan, sekali lagi saya ucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada saudara dan saya ingin memberi jaminan bahawa pengalaman saya dan keberadaan saya di sini tentunya kerana sedikit sebanyak sumbangan rakan-rakan bersama selain daripada badan belia yang aktif baik PKPIM atau ABIM tetapi tentunya Majlis Belia Malaysia itu sangat sebati dengan jiwa saya.

 

Sekali lagi terima kasih.

Wassalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

 

 

TEKS UCAPAN  

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

SEMPENA

 

PERASMIAN KARNIVAL DEKAD BAHASA KEBANGSAAN DAN DEKAD MEMBACA KEBANGSAAN

 

24 OKTOBER 2023 (SELASA)

 

DEWN TUN CANSELOR UNIVERSITI MULTIMEDIA (MMU)

CYBERJAYA

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Alhamdulillah, Nahmaduhu Wa Nusolli Ala Rasoolihil Kareem.

 

YB Fadhlina Sidek,

Menteri Pendidikan;

 

YBhg. Datuk Dr. Zulkapli Mohamed,

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam;

 

YBhg. Datuk Dr. Anwar Ridhwan,

Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka;


Keluarga Dewan Bahasa dan Pustaka;

Sasterawan-Sasterawan Negara;

Ketua Polis Negara;

MMU University;

Tenaga pengajar; dan

Anak-anak yang dikasihi sekalian.

 

  1. Alhamdulillah kita panjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT kerana kita dapat bersama-sama dalam Karnival Dekad Bahasa Kebangsaan. Saya ucap tahniah kepada Kementerian Pendidikan, Dewan Bahasa dan Pustaka dan MMU University yang terus menyuburkan tradisi dan budaya ini untuk memberi makna tentang negara MADANI.

 

  1. Kita tentunya terpaksa menggapai langit, meneroka alam pemikiran baru, mencetuskan idea dan mengikuti perkembangan alam digital dan transformasi digital. Semua ini imperatif yang harus dikuasai, ditangani dengan sebijak mungkin dengan penguasaan pelbagai bahasa dan kecanggihan.

 

  1. Ya menggapai langit, meneroka alam pemikiran baru, mencetuskan idea, menguasai alam dan transformasi digital. Tetapi ingat, kita harus mengakar ke bumi. Bahasa ini adalah wahana, mengingatkan bangsa dan anak bangsa, sementara kita harus menerobos ke dalam pemikiran baru, kita harus kekal mengakar ke bumi.

 

  1. Dan ini peringatan kepada semua pimpinan termasuk pimpinan universiti, bahawa tuntutan zaman yang disebut ‘zeitgeist’ adalah untuk sentiasa mencari disiplin baru, memperkenalkan idea dan penemuan baru apatah lagi dengan alam digital. Malah dalam Belanjawan Negara baru-baru ini, saya mengusulkan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi untuk lebih agresif, lebih peka dan pantas melatih dan memberi pencerahan kepada anak-anak dalam bidang Artificial Intelligence. Lebih-lebih lagi setelah saya melawat Sheikh Mohamed bin Zayed University of Artificial Intelligence di Abu Dhabi. Semua itu diakui.

 

  1. Tapi saya ingin beri satu peringatan yang sangat penting. Janganlah sementara dengan keghairahan kita membuat penerokaan baharu dan menggapai langit, kita tinggalkan landasan akar bumi kita. Dan di antara pertimbangan yang penting adalah pemerkasaan bahasa dan budaya. Malah dalam MADANI itu sendiri, tumpuannya tentu pemerkasaan ekonomi. Termasuk juga bidang-bidang baharu seperti yang disebutkan tadi teknologi dan digital. Tetapi pemerkasaan ekonomi dan digital itu tidak mematangkan negara tanpa pemerkasaan budaya. Tunggak kepada pemerkasaan budaya ini adalah penguasaan bahasa yang baik.

 

  1. Benar ada usaha-usaha yang dilakukan dengan ikhtiar pelbagai pihak. Tetapi saya ingin memberi peringatan. Ini bukan pemasalahan di Malaysia, tetapi permasalahan zaman. Saya masih ingat awal 90-an, Amerika dikejutkan dengan karya pemikir “The Closing of The American Mind” membicarakan soal perubahan, teknologi tetapi menyatakan kegusaran, kerana kurangnya minat generasi muda untuk membaca. Dan ini sebelum asakan bertubi-tubi pengaruh media sosial yang memutuskan semua perkara dalam 2 minit, 3 minit atau 30 saat.

 

  1. Kadar percambahan maklumat begitu rupa. Minat anak-anak muda untuk menelaah, membaca, menghadam buku-buku itu sangat berkurangan. Ini kali pertama, katanya dalam sejarah Amerika Syarikat di mana generasi baru itu sudah terputus dari arus pemikiran sama ada karya klasik, karya falsafah, karya sejarah ulung.

 

  1. Seperti mana saya pernah singgung di Dewan Bahasa beberapa bulan yang lalu, ini mengingatkan saya kepada karya seorang pemikir yang juga sarjana terkemuka, Mortimer J. Adler yang turut menjadi di antara editor Ensiklopedia ataupun Great Book Series, Karya-Karya Agung Barat. Penyesalan beliau ialah kerana kecenderungan mencipta dan daya kreatif tanpa usaha membaca, menelaah dan menghadam karya-karya terdahulu. Jadi, katanya, seolah-olah ada lompongan yang menyebabkan tidak ada penerusan dari sejarah dan tamadun.

 

  1. Kita di Malaysia harus mengambil iktibar dari teguran dan kritikan sebegini. Dan tugas pendidik, guru serta pensyarah adalah untuk memberikan dorongan dan rangsangan supaya anak-anak lebih banyak membaca.

 

  1. Bagi yang biasa dengan pandangan Saidina Ali bin Abi Talib R.A, minat kepada ilmu ini merupakan satu keghairahan. Kata Saidina Ali, ladzatul ma’rifah, ma’rifah ilmu dan kebijaksanaan tapi dia ada rasa kelazatannya? Bukan kerana disiplin di fakultinya, bukan kerana mahu lulus peperiksaan semata-mata. Tidak ada minat membaca, membaca itu hanya sebagai kewajipan untuk lulus. Tetapi ladzatul ma’rifah itu maknanya minat dan kecintaan kepada ilmu, itu yang harus ditanam dan diasak sejak zaman muda dan saya harap budaya ini harus dihidupkan sebaik sahaja kita mampu membaca. Seandainya kita membaca, menelaah, menghadam, barulah kita dapat menguasai ilmu dengan lebih mendalam dalam semua bidang, insyaa-Allah.

 

  1. Kalau tidak, kita jadi intelektual picisan. Catat dan nukil dan pilih satu dua dan kita terus lontarkan idea itu dan kadang-kadang mengelirukan. Pantas berhukum hanya kerana membaca satu ayat atau membaca satu, mendengar satu tazkirah tanpa usaha untuk mendalami, melihat secara lebih terperinci dan mendalam.

 

  1. Jadi, inilah yang saya sebut relevannya dengan dekad membaca ini. Walaupun dalam konteks ini kita menekankan tentang penguasaan bahasa Melayu dan saya harap ini dapat kita hidupkan, walaupun ia satu hal yang sukar, saya tidak fikir mudah. Kerana zaman ini berubah dan minat membaca itu jauh lebih kurang di seluruh dunia. Dan harus ada satu asakan dari ibu bapa, guru dan pensyarah. Hanya dengan membaca boleh kita bezakan di antara maklumat, ilmu dan hikmah. Yang pernah dirumuskan oleh penyair Inggeris T.S. Eliot, perbezaan di antara information, knowledge and wisdom. Yang bercambah itu information, bukan semua maklumat atau information itu ilmu. Dan bukan semua ilmu tercatat itu dianggap dalam tingkat hikmah atau wisdom? Bagaimana kita boleh putuskan? Dengan mengkaji, mendalami, dan membaca.

 

  1. Seperkara lain yang saya nak tekankan ialah dalam dasar Kerajaan, saya juga bincang dengan Menteri Pendidikan dan dalam Jemaah Menteri, kadang-kadang ada kekeliruan, memang kita tekankan bahawa bahasa perdagangan antarabangsa itu adalah bahasa Inggeris. Tetapi, ada sikap yang saya rasa terlajak atau terpesong dari kalangan beberapa Jabatan. Baik pejabat awam, apa lagi universiti-universiti termasuk universiti swasta dan sektor swasta yang seringkali cuba meninggalkan asas perlembagaan, untuk berhubung dengan Jabatan-Jabatan Kerajaan dalam bahasa Kebangsaan. Jadi saya ingin peringatkan hal ini, kalau di kalangan syarikat tempatan dan universiti tempatan termasuk universiti swasta, arahannya ialah sesiapa sahaja menulis dalam bahasa selain dari bahasa kebangsaan, surat itu akan dipulangkan.

 

  1. Ini tidak menjadikan kita sempit. Saya sering kali mengingatkan rakan-rakan bahawa, saya tidak mungkin diminta mengajar di Georgetown University, Washington DC kalau tidak dapat menguasai bahasa Inggeris, jadi saya tidak remehkan. Tetapi, mengakar ke bumi, pemerkasaan budaya melalui bahasa sasteranya itu sesuatu yang integral dalam pembinaan bangsa. Jadi, jangan kita cuba remehkan dan saya harap peringatan ini diambil kira. Arahannya jelas, kita tidak akan melayani sebarang surat, setiap yang disampaikan oleh rakyat tempatan, syarikat tempatan dalam bahasa selain dari bahasa kebangsaan.

 

  1. Tapi hari ini juga kita bicarakan soal bahasa Kebangsaan dan tentunya dalam aspek penguasaan bahasa itu, peranan sastera dan puisi itu sangat penting. Dan kehadiran rakan-rakan Sasterawan Negara mudah-mudahan memberikan semangat kepada kita. Apa hebatnya sasterawan, penyair? Mereka ini agak lain, mereka unik. Mereka melakar kata dari pencernaan hati nurani dan dilakar dengan bahasa yang indah, ini bezanya. Dan tidak semua orang mampu berbuat begitu. Saya cuba tulis beberapa puisi, tak boleh masuk majalah. Kerana ada orang yang ada kekuatan sendiri. Penguasaan bahasanya baik, ilmu yang lebih mendalam. Tetapi, penulisannya itu dari yang disebutkan, curahan dan pencernaan hati nurani dilakar dengan bahasa yang indah, jadinya puisi atau prosa atau karya sastera atau novel.

 

  1. Jadi oleh yang demikian, terutama bagi yang kita iktiraf dan anugerah sebagai Sasterawan Negara, saya amat berharap buku-buku dan karya mereka itu dapat dibaca, ditelaah oleh generasi muda. Mereka juga hasil zaman masing-masing. Jadi, kalau umpamanya Rahman Shaari yang terakhir, sebelum itu, Zurinah Hassan, Muhammad Salleh tu lama sikit, tapi karya menarik kerana di antara yang saya terkesan ialah kerana kupasan Si Tanggangnya. Sebelum itu tentu ramai saudara-saudara maklum tentang Keris Mas, Tongkat Warrant kalau di Tanah Melayu.

 

  1. Jadi saya harap, usaha Dewan Bahasa Pustaka dapat diteruskan dan kita telah umumkan bantuan tambahan dalam Belanjawan MADANI baru-baru ini kepada Dewan Bahasa dan Pustaka, kepada Institut Terjemahan Negara dan apa sahaja yang perlu kita lakukan, kerana saya tidak mahu orang menganggap bahawa dalam keghairahan kita seperti saya sebut tadi, menggapai langit, meneroka alam pemikiran baru kita tertinggal landasan yang saya kata mengakar ke bumi.

 

  1. Jadi, saya harap semangat ini dapat diperhebatkan oleh universiti-universiti termasuk MMU, sekolah dan semua pusat pengajian tinggi harus memberikan galakan lebih daripada biasa dan Kerajaan insya-Allah akan berikan apa sahaja yang perlu untuk menambah usaha dan ikhtiar ke arah ini.

 

Terima kasih.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.


 

 

KAHERAH, 23 Okt (Bernama) — Masalah 60 pelajar dari Pahang yang tidak dapat meneruskan pengajian di Universiti Al-Azhar di sini, disifatkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai telah berjaya diselesaikan hasil perbincangannya bersama Sheikh Al-Azhar Prof Dr Ahmed El Tayeb.

Beliau yang membuat kunjungan hormat kepada Ahmed di Al-Azhar hari ini berkata masalah 60 pelajar berkenaan timbul, apabila mereka datang untuk belajar di universiti itu di sini tanpa mengikut prosedur ditetapkan universiti berkenaan, sehingga menyebabkan mereka ‘terkandas’ di Mesir.

“Jalur (saluran)  yang ditetapkan oleh Universiti Al-Azhar ialah kesemua itu melalui proses kedutaan. Oleh kerana tidak diikuti, 60 pelajar itu tersangkut.

“Bagaimanapun, saya telah mengemukakan rayuan dan Sheikh Al-Azhar bersetuju supaya 60 anak-anak Pahang itu diurus sesegera mungkin, dan Rektor Universiti Al-Azhar tadi telah memberi jaminan.

“Tetapi saya juga telah beri jaminan kepada mereka (Sheikh Al-Azhar) bahawa hal sebegini tidak akan berlaku lagi, insya-Allah, semua negeri diharap mematuhi peraturan sedia ada kerana ini syarat yang ditetapkan kerajaan Mesir dan Unversiti Al-Azhar, Alhamdulillah selesai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan Malaysia pada sidang akhbar pada akhir lawatan kerja dua harinya ke Mesir di sini hari ini. Turut hadir Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Duta Besar Malaysia ke Mesir Zamani Ismail.

Terdahulu, Anwar melakukan kunjungan hormat ke atas Ahmed dan ketibaan beliau di Al-Azhar disambut oleh Timbalan Sheikh Al-Azhar Prof Dr Muhammad Abdur-Rahman Al-Duwini.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata Sheikh Al-Azhar itu bersetuju untuk membuat kunjungan rasmi ke Malaysia, pada suku pertama tahun depan.

“Kunjungan beliau itu akan kita manfaatkan dengan penganjuran sidang Islam serantau, supaya kita mendapat mafaat daripada kehadiran dan gagasan beliau,” katanya.

Anwar berkata Malaysia bersama Al-Azhar, akan mengambil inisiatif untuk menganjurkan persidangan itu dan menugaskan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk menyelaraskan penganjurannya.

— BERNAMA

KAHERAH, 23 Okt (Bernama) — Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menasihatkan pasukan sukarelawan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Malaysia, yang ingin menyalurkan bantuan kepada mangsa kekejaman rejim Israel di Gaza, supaya menyalurkan bantuan berasaskan keperluan.

Perdana Menteri berkata walaupun beliau mengakui niat NGO dan pasukan sukarelawan berkenaan baik, namun perbincangan dengan pihak berkaitan perlu dibuat sebelum menyalurkan bantuan, bagi memastikan bantuan itu benar-benar bermanfaat kepada mangsa.

“Jangan beli ikut selera kita, ini masalah badan-badan yang menganjurkan, niatnya baik, tetapi kadang-kadang yang dibeli yang orang tidak perlukan atau dia tentukan, tidak boleh, kita kena dengar sendiri apa yang orang Gaza nak.

“Ubat, ubat pun ada beberapa jenis ubat, ubat mesti label dengan betul…Oleh yang demikian, ada beberapa kaedah yang harus dipatuhi. Kemudian makanan begitu juga, mereka tiada upaya masak, jadi (perlukan) makanan siap, dalam tin, ada yang beri maklumat kalau mi segera tu, dia tak makan.

“Jadi dalam hal ini, jangan beli sehingga kita tahu (apa yang rakyat Gaza perlukan),” katanya kepada wartawan Malaysia pada sidang akhbar pada akhir lawatan kerja dua harinya ke Mesir hari ini.

Anwar berkata demikian sebagai mengulas pertemuannya dengan Presiden Persatuan Bulat Sabit Merah Mesir Dr Ramy el-Nazer, yang turut dihadiri Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Duta Besar Malaysia ke Mesir Zamani Ismail dan Exco Mercy Malaysia Azura Ibrahim.

Sementara itu, Anwar mengingatkan badan-badan yang tidak berdaftar, tidak telus dan tidak memiliki akaun yang teratur, supaya tidak mengutip derma bagi tujuan kebajikan kerana ia akan merugikan masyarakat Gaza yang memerlukan.

Mengenai bantuan pakaian kepada masyarakat Gaza, Anwar berkata kerajaan Malaysia akan menghantar keperluan berkenaan menggunakan pesawat ke Mesir, sebelum menyerahkannya kepada Persatuan Bulan Sabit Merah untuk dihantar ke Gaza.

“Saya sebut dengan Presiden Mesir Abdel Fattah el-Sisi tadi, kita minta keizinan kerajaan Mesir dan  beliau telah memberi pengakuan untuk menyegerakan kelulusan (penghantaran bantuan) dan memindahkan kepada bulan sabit (Persatuan Bulan Sabit Merah) atau badan-bandan lain yang kita iktiraf,” katanya.

Mengenai lawatannya ke Riyadh, Turkiye dan Mesir, Anwar berkata banyak pengikitirafan diberikan kepada Malaysia semasa lawatannya, termasuk pihak media yang mengadakan temuramah eksklusif dengan beliau.

— BERNAMA

ISTANBUL – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan bertemu Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan petang ini, sebelum menamatkan lawatan kerja dua harinya ke negara itu.

Pagi ini, beliau dijadualkan bertemu Menteri Kewangan Turkiye Mehmet Simsek di Hotel Shangrila di sini sebelum bertemu Menteri Luar Turkiye Hakan Fidan dan Pengarah Pertubuhan Perisikan Kebangsaan Turki Ibrahim Kalin.

Pada 3 petang waktu tempatan (8 malam waktu Malaysia) Perdana Menteri dijadualkan untuk bertemu Presiden Turkiye, dengan antara topik utama perbincangan berkaitan konflik di Gaza.

Pertempuran baru-baru ini di Palestin yang melibatkan pejuang Hamas, pihak berkuasa di Gaza dan rejim Israel, telah mengakibatkan ribuan nyawa di kedua-dua belah pihak terkorban, sejak 7 Oktober

Anwar telah beberapa kali mengulangi komitmen Malaysia untuk bersolidariti dengan rakyat Palestin.

Perdana Menteri kemudiannya akan berlepas ke Mesir dan dijadualkan bertemu Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi.

Bernama

ISTANBUL, 23 Okt (Bernama) — Tempoh kunjungan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Istanbul untuk pertemuan dengan Presiden Recep Tayyip Erdogan mungkin singkat, namun sebagaimana kata Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, ia amat produktif.

Mesej utama yang disampaikan perdana menteri dalam pertemuan dengan presiden negara itu adalah betapa isu kemanusiaan serta nasib penduduk Palestin di rantau berkonflik di Gaza sentiasa menjadi perkara yang meruntun sanubari seluruh rakyat Malaysia, dan ada peranan yang boleh dimainkan Malaysia, Turkiye dan seluruh dunia.

Malaysia merupakan rakan dagangan terbesar Turkiye di ASEAN dengan jumlah perdagangan US$4.7 bilion (US$1=RM4.51) pada 2022, pertumbuhan 35 peratus dari 2021.

Keakraban hubungan Malaysia dan Turkiye berada di tahap amat baik ketika ini, dengan melihat kepada pertemuan dan perbincangan antara Anwar dan Erdogan yang telah berlangsung beberapa kali dalam tahun ini sahaja.

Dalam tempoh lawatan kerja tidak sampai 24 jam di Istanbul, Anwar telah mengadakan perjumpaan dengan Menteri Kewangan negara itu Mehmet Simsek, Menteri Luar Hakan Fidan dan Pengarah Pertubuhan Perisikan Kebangsaan Turki Ibrahim Kalin sebelum pertemuan dengan Erdogan.

Dalam setiap perjumpaan, terutama dalam perbincangan dengan Erdogan yang berlangsung kira-kira dua jam, selain perbincangan mengenai hubungan dua hala, kerjasama ekonomi dan perdagangan, perkara utama yang dibangkitkan Anwar adalah mengenai keganasan Israel dan isu kemanusiaan yang dilihat semakin terhakis di Gaza.

Selepas Turkiye, Anwar berlepas ke Mesir untuk satu lagi lawatan kerja dua hari.

Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan kedua-dua lawatan kerja itu mencerminkan komitmen Malaysia yang tidak berbelah bahagi mengenai isu Palestin khususnya bagi meringankan penderitaan dan kesengsaraan dialami penduduk Palestin akibat krisis di Semenanjung Gaza yang masih berterusan.

Semasa Malaysia terus gigih memperjuangkan hak rakyat Palestin, Anwar dalam sidang media di penghujung lawatan kerja di Turkiye, menyuarakan rasa kesal dengan beberapa negara barat yang dilihat dengan sengaja menutup mata terhadap isu kemanusiaan di rantau berkonflik itu.

Turkiye pada pandangan Anwar telah melangkah ke hadapan dalam memperjuangkan isu kemanusiaan di Gaza, apabila negara itu menghantar banyak bantuan perubatan ke kawasan konflik, meskipun menghadapi kesukaran untuk membawa bantuan ke kawasan pedalaman.

Terdahulu sebelum tiba di Turkiye, Anwar, dalam ucapannya pada Sidang Kemuncak Pertama ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) di Riyadh, mengetengahkan konflik semasa Palestin-Israel. GCC adalah pakatan politik dan ekonomi yang dibentuk oleh Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Bahrain, Oman, Qatar dan Kuwait.

Usai lawatan kerja di Turkiye, Anwar berlepas ke Mesir dan dijadual bertemu dengan Presiden Abdel Fattah El-Sisi.

Sebaik sahaja kakinya menjejak bumi Mesir, dalam ucapan yang disampaikan sempena Majlis Ramah Mesra dengan diaspora dan pelajar Malaysia di negara itu pada malam yang sama, mesej utama dibawakan oleh Anwar adalah ‘hentikan segera serangan di Gaza’.

— BERNAMA

RIYADH, 21 Okt (Bernama) — Putera Mahkota Mohammed bin Salman berkenan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia pada tahun depan, yang selaras dengan persetujuan Arab Saudi dan Malaysia untuk meningkatkan hubungan serta kerjasama ekonomi dan diplomatik, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu.

Beliau berkata Putera Mahkota Mohammed menganggap Malaysia sebagai rakan strategik dan bersetuju agar jalur ekonomi dan diplomatik kedua-dua negara diberi tumpuan yang serius.

“Dari segi ekonomi, baginda bersetuju kerjasama perdagangan dan pelaburan ditingkatkan manakala aspek diplomatik, ia meliputi isu pertahanan dan keselamatan.

“Justeru, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dipertanggungjawabkan untuk mengetuai jalur ekonomi manakala Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengetuai jalur diplomatik,” kata Perdana Menteri pada sidang media bersama wartawan Malaysia di sini.

Terdahulu, Putera Mahkota Mohammed yang juga Perdana Menteri Arab Saudi berkenan menerima menghadap Anwar untuk mengadakan pertemuan rasmi empat mata di Istana Al-Yamamah di sini.

Kemudian, Putera Mahkota Mohammed berkenan mengetuai Jemaah Menteri Arab Saudi untuk bertemu delegasi Malaysia yang diketuai Anwar termasuk Tengku Zafrul dan Zambry sebelum mereka dijemput menghadiri majlis santapan bersama baginda.

Anwar berkata Malaysia dan Arab Saudi sepakat agar tumpuan serius diberikan juga kepada kerjasama meningkatkan pelaburan dalam pelbagai bidang merangkumi pendidikan, pelancongan, teknologi maklumat serta teknologi tinggi seperti tenaga hijau di Arab Saudi.

Mengenai Sidang Kemuncak Pertama ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang berakhir pada Jumaat, Perdana Menteri berkata blok Asia Tenggara menjadi ikhtiar baharu bagi GCC untuk memacu pertumbuhan tinggi di rantau itu.

“Sinergi antara dua rantau itu tanpa campur tangan negara besar akan memberi kita peluang kerjasama dalam beberapa bidang termasuk tenaga hijau yang selaras dengan pelan perindustrian negara,” kata beliau.

— BERNAMA