PM ANWAR LANCAR SIMS UNTUK MUDAHKAN PENGURUSAN DATA TRANSAKSI DI SEPANJANG RANTAIAN BEKALAN MINYAK SAWIT

KUALA LUMPUR, 8 Nov (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini melancarkan Sistem Pengurusan Pintar Sawit (SIMS) yang direka untuk memudahkan pengurusan data transaksi di sepanjang rantaian bekalan minyak sawit.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata sistem yang dibangunkan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) itu membolehkan pengurusan maklumat yang komprehensif, meningkatkan kecekapan industri dan penjimatan kos.
“SIMS bertujuan untuk menggalakkan pengawalseliaan kendiri, mengurangkan pengawasan kerajaan, menyediakan ciri-ciri mesra pengguna, meningkatkan keselamatan dan menawarkan pandangan dalam membuat keputusan penting,” katanya ketika berucap pada majlis Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa 2023 (PIPOC 2023), anjuran MPOB di sini hari ini.
Sektor kelapa sawit memberikan sumbangan besar kepada ekonomi Malaysia dengan pendapatan eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit melonjak kepada RM137.89 bilion pada 2022 daripada RM108.52 bilion pada 2021.
Minyak sawit Malaysia menyumbang 31 peratus daripada eksport minyak sawit dunia, berjumlah 51 juta tan tahun lepas.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, industri kelapa sawit Malaysia telah berhadapan dengan pelbagai cabaran termasuk isu perdagangan, dakwaan palsu seperti buruh paksa di ladang, halangan perdagangan dan perubahan iklim, yang kesemuanya telah memberi impak kepada imej dan eksport produk minyak sawit.
Bagaimanapun, Kementerian Perladangan dan Komoditi tetap optimis bahawa isu ini akan ditangani dengan sewajarnya.
Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Fadillah Yusof.
Terdahulu, Anwar merasmikan PIPOC 2023, kongres dan pameran minyak sawit terbesar di dunia. Acara dwitahunan anjuran MPOB itu merangkumi empat persidangan serentak dan merupakan antara pameran terbesar yang mempamerkan teknologi, inovasi, produk dan perkhidmatan terkini dalam industri minyak sawit.
Tema tahun ini, ‘Navigating Uncertainties, Building Resilience’, amat relevan memandangkan ketidaktentuan global yang berterusan yang mendorong Malaysia menilai semula strategi dan pendekatannya dalam cara negara beroperasi.
— BERNAMA

PUTRAJAYA, 7 Nov (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata skim gaji baharu untuk penjawat awam akan diumum sebelum akhir tahun hadapan.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata beberapa garis panduan akan disediakan sebelum akhir tahun ini atau suku pertama 2024 agar skim gaji baharu itu dapat diumumkan sebelum akhir tahun hadapan.
Beliau berkata sebelum ini tiada kajian menyeluruh mengenai skim gaji penjawat awam dilakukan namun kerajaan ketika ini sedang melaksanakannya melalui Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
“Dasar kita selama ini ada kajian penyelarasan gaji setiap 10 tahun, ini nak mencecah masuk ke tahun ke-12.
“Sebelum ini tidak ada satu kajian menyeluruh tetapi sekarang saya dah umumkan (Kajian SSPA), kita akan lakukan,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian pada majlis Anugerah Inovasi Perdana Sektor Awam (AIPSA) 2023 anjuran Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) di sini malam ini.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Dr Zulkapli Mohamed dan Ketua Pengarah Mampu Datuk Rodzi Md Saad.
Perdana Menteri berkata kerajaan mengumumkan pemberian Bayaran Insentif Awal SSPA sebanyak RM2,000 kepada penjawat awam gred 56 dan ke bawah serta bayaran insentif RM1,000 kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen dan tidak berpencen memandangkan kajian itu mengambil masa kerana melibatkan semua jabatan.
Beliau mengumumkan perkara itu semasa pembentangan Belanjawan 2024 pada 13 Okt lepas dan bayaran insentif terbabit akan dibuat secara sekali gus pada akhir Februari tahun hadapan.
Dalam perkembangan lain, Anwar berkata Kerajaan Perpaduan merencanakan dasar yang jelas tertumpu ke arah mengangkat martabat ekonomi serta kesejahteraan rakyat dan negara dalam usaha mengubah keadaan ekonomi Malaysia supaya ada anjakan.
— BERNAMA








TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
MAJLIS ANUGERAH INOVASI PERDANA SEKTOR AWAM (AIPSA) TAHUN 2023
7 NOVEMBER 2023 (SELASA) | 8.30 MALAM
DEWAN PERDANA, PUSAT KONVESYEN ANTRABANGSA PUTRAJAYA (PICC)
Assalamualaikum Warahmatullahi Taala Wabarakatuh dan Salam Sejahtera
Alhamdu lillaahil lazeee anzala ‘alaa ‘abdihil kitaaba wa lam yaj’al lahoo ‘iwajaa.
Wa Nusalli Ala Rasoolilah Kareem.
Wa ‘ala alihi wasahbihi ajma’in.
Saudara YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi,
Timbalan Perdana Menteri;
YBhg. Tan Sri Mohd Zuki bin Ali,
Ketua Setiausaha Negara;
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam;
Ketua Pengarah MAMPU; dan
Menteri-menteri yang ramai, ini amat luar biasa semangatnya dan sokongan kepada penjawat awam.
- Hampir seluruh Jemaah Menteri, Timbalan-timbalan Menteri hadir untuk memberikan sokongan. Alhamdulillah. Saya belum tahu sama ada Jemaah Menteri yang lebih banyak pengaruh atau penjawat awam yang lebih banyak pengaruh sekarang (nada seloroh).
- Tetapi alhamdulillah, satu petanda yang baik. Dengan kerjasama yang jitu ini sangat perlu untuk mengangkat martabat negara ini melalui satu sinergi, gerak kerja di antara pimpinan politik terutama yang diangkat sebagai Menteri dan Timbalan Menteri dan penjawat awam.
- Seperti saudara-saudara sedia maklum bahawa pendirian saya tentang penjawat awam, dan satu hal yang saya hendak tekankan selain daripada mengalu-alukan kehadiran semua dalam majlis ini ialah kekuatan dan keupayaan kita melaksanakan agenda perubahan dalam negara MADANI, dan ini tentunya terletak pada tunggak utama iaitu keupayaan penjawat awam.
- Apa yang kita putuskan baru-baru ini bersama Jemaah Menteri dan juga Ketua Setiausaha Negara (KSN) ialah mengembalikan kekuatan induk dan menyerahkan tugas pelaksanaan lebih berkesan, tidak kepada konsultan luar tetapi kepada penjawat awam.
- Bagi memastikan tahap keupayaan dan keberkesanan itu, dalam mesyuarat bersama KSN dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) baru-baru ini, saya telah memutuskan supaya peruntukan yang cukup diberikan kepada tenaga muda dan juga yang berpengalaman di kalangan penjawat awam bagi menjalani latihan dan pendedahan sama ada di syarikat-syarikat swasta atau universiti-universiti terkemuka untuk menjalani kursus khas.
- Adalah lebih baik kita berbelanja lebih untuk melatih penjawat awam daripada menyelesaikan menggunakan cara yang singkat dengan melantik konsultan asing dengan kos yang terlalu tinggi.
- Saya telah meminta supaya KPPA menyegerakan perkara ini, maknanya kalau KPPA belum lagi mengenal pasti orang-orang untuk dikirim ke luar, itu salah dia bukan salah saya. Maksud saya, ada bidang-bidang yang saya katakan iaitu penerokaan alam dan disiplin baharu. Kita membicarakan soal transformasi digital tetapi tidak semua kepakaran itu sudah tersedia ada.
- Kita berbicara tentang transisi tenaga, semua ini menuntut kemahiran dan kepakaran baharu. Saya telah memberitahu kepada Jemaah Menteri dan juga KSN sebagai ketua bagi penjawat awam, saya ingin memberi peluang, anjakan daripada kecenderungan puluhan tahun yang lalu dan kembali kepada pengalaman dan asas yang awal.
- Kalau saya lihat, dalam negara kita, perubahan-perubahan dan pelaksanaan program banyak dinakhodai dan dikepalai oleh penjawat awam dengan kepakaran dalam kalangan penjawat awam. Umpamanya dalam bidang seperti digital transformation, artificial intelligence, energy transition, kita harus segera mengirim baik di peringkat tertinggi, peringkat pertengahan atau peringkat yang lebih muda ke luar negara sama ada diletakkan kepada syarikat- syarikat ataupun universiti-universiti utama dalam disiplin yang disebutkan itu.
- Saya memberi jaminan bahawa peruntukan untuk maksud diliburkan itu bukanlah kekangan kerana perbelanjaan kita untuk melantik konsultan setiap tahun itu mencecah bilion ringgit. Jadi tidak ada sebab mengapa kita diberikan peruntukan yang besar untuk mengenal pasti di semua lapangan bagi memastikan terdapat tahap keupayaan yang lebih dan mampu mengendali program-program Kerajaan yang baharu.
- Ini secara maksima yang saya boleh lakukan untuk menunjukkan keyakinan kita terhadap keupayaan penjawat awam dan membawa perubahan kepada negara MADANI. Bagi pelaksanaannya, saya minta untuk disegerakan. Kita ketepikan beberapa peraturan birokrasi dari segi menilai dan membuat penilaian, kita percepatkan dan saya rasa mulai awal tahun akan datang iaitu 2024, kita harus kirim sebanyak mungkin.
- Kalau belanjanya sekitar RM30 juta – RM40 juta ringgit itu, saya boleh pastikan Kementerian Kewangan boleh tambah supaya menyediakan anak-anak kita di pejabat awam. Perkara ini mendesak kerana dalam beberapa kunjungan kita, umpamanya baru-baru ini kita ke Abu Dhabi, University Mohamed bin Zayed iaitu university Artificial Intelligence yang pertama dimana fakulti, unit dan jabatan mempunyai artificial intelligence di merata dunia dan kita di universiti-universiti tempatan tentunya ada disiplin itu dan di ajar tetapi kita belum ada sebuah universiti khusus dengan kepakaran antarabangsa untuk mengendalikan dan melayakkan anak-anak kita dalam disiplin yang baharu.
- Jadi untuk negara kita, saya mencadangkan kepada Menteri Pendidikan Tinggi untuk membuka Fakulti Artificial Intelligence di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), tetapi itu persiapan untuk beberapa tahun akan datang.
- Oleh yang demikian, dalam bidang ini, bagi penjawat awam yang sedia ada, kita harus memberikan kepada mereka ruang kerana mereka mempunyai kemahiran dan pengalaman tetapi mereka memerlukan niche yang sedikit kerana ada beberapa penerokaan ilmu baharu, disiplin baharu yang harus dikuasai, maka saya fikir kursus selama 6 bulan atau satu tahun mungkin memadai tetapi saya tidak boleh putuskan, itu terserah kepada disiplin dan bidang yang mampu kita kuasai dan mungkin jawatankuasa di bawah KSN patut menetapkan bidang-bidang yang perlu dikirim.
- Ini termasuk agensi seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri, Kastam, Tentera, Polis dan soal cybersecurity kerana setelah mendengar beberapa laporan tempatan dan kemudian dengar pandangan daripada syarikat dalam bidang tersebut, saya bimbang. Kalau kita membiarkan keadaan seperti ini, kita hanya akan beralih untuk menyerahkan kepada syarikat swasta ataupun menggunakan konsultan.
- Jadi mengapa tidak, kita sediakan tenaga dalaman sendiri. Perubahan dan peluang ini patut disegerakan. Saya tidak boleh mengenal pasti, mungkin puluhan ataupun lebih daripada puluhan bidang-bidang yang harus diterokai dan pendedahan yang diperlukan oleh penjawat awam.
- Fokus ini saya berikan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan menyegerakan, kerana arahan ini saya sudah berikan beberapa bulan yang lalu. Jadi mungkin mereka katakan belum ada peruntukan. Maka pada malam ini saya beri jaminan kalau kadar peruntukan RM30 juta atau RM40 juta itu bukan masalah, kita akan segerakan supaya latihan diberikan.
- Selain itu, saya mahu memastikan agar adil meliputi semua disiplin baik komunikasi iaitu digital, atau pertanian atau yang dikatakan teknologi makanan ataupun cybersecurity, ketenteraan, kepolisian, soal sempadan dan tenaga.
- Baru-baru ini, saya berumpa dengan Perdana Menteri Netherlands, kami berbincang mengenai permasalahan tebatan banjir. Mungkin negaranya di antara negara yang paling berpengalaman dari sudut menangani permasalahan banjir. Jadi saya mencadangkan kepada beliau untuk mengirimkan pasukan dari Netherlands bagi pengalaman mereka tetapi lepas itu tentunya kita mengirim bukan sekadar lawatan sambil belajar, tidak saya tidak percaya lawatan sambil belajar seminggu dua (2) minggu ini, lebih baik bercuti. Kalau betul serius, maka adakan program 6 bulan atau satu tahun di mana diberikan peluang kepada rakan-rakan penjawat awam untuk meneliti, mengkaji dan membawa balik idea untuk dilaksanakan di negara kita. Mereka dengan beberapa orang itu akan memberi cadangan supaya memberikan kemudahan ekosistem yang kondusif, cukup untuk membawa agenda perubahan.
- Tadi saya bersama KSN ke Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Bangi dan saya ucapkan tahniah kepada Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kerja Raya kerana membuktikan bahawa jika kita fokus kepada masalah, ia boleh diselesaikan. Bayangkan masalah yang tertangguh puluhan tahun termasuk soal tandas sekolah itu boleh diselesaikan dalam masa beberapa bulan.
- Di sekolah yang saya pergi tadi, Jabatan Kerja Raya (JKR) telah menyiapkan projek baik pulih dan membangunkan blok untuk menggantikan kelas-kelas daif dalam masa 3 bulan, 3 hari sebelum 3 bulan. Ini saya salute kepada JKR dan Kementerian pendidikan.
- Ada kelemahan-kelemahan dan kelewatan itu kita harus perbaiki kerana kalau kita mahu mengangkat martabat, harakat dan darjat bangsa dan negara kita ini, ia mesti diubah daripada pendekatan yang lampau. Ini yang disebut dalam ayat – in uriidu illaa al-ishlaaha maa istatha’tu (Surah Hud: 88), iaitu perubahan sedaya upaya kita ke arah kebaikan. Mana ada kebaikan kalau tidak Itqan Fil Amal – Striving for Excellence.
- Jadi mudah-mudahan pendedahan yang kita perolehi itu akan membantu meningkatkan. Kita perlu bagi target supaya orang yang bawa, yang diberikan pendedahan dan latihan itu kembali dengan program.
- Tadi saya berkata kepada guru besar Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Bangi, kita sudah membaiki dan ada peruntukan. Jadi pada bulan Januari nanti, dalam mesyuarat pertama sekolah di kalangan guru-guru, saya minta mereka untuk memberikan cadangan supaya dapat dipertimbang oleh Kementerian Pendidikan dengan salinan kepada KSN dan saya iaitu, apakah cadangan untuk meningkatkan mutu pendidikan di sekolah kita sekarang. Jangan dibincangkan di sekolah perkara seperti pertelingkahan soal bahasa, agama, dan kaum tetapi pendidikan ini harus ditumpukan dalam bidang apa yang disebut democratization of access to quality education.
- Jadi kita berbalik kepada pangkalnya, dalam sistem pendidikan, membicarakan soal pendidikan bermutu dan berkualiti. Itu adalah asas dan guru-guru sehinggalah peringkat Kementerian Pendidikan diminta untuk fokus. Mulai Januari tahun hadapan, dalam usaha untuk meningkat mutu pendidikan di negara kita, sekiranya memerlukan reformasi maka lakukanlah perubahan, kalau ia merupakan anjakan, lakukan anjakan dan kalau ia memerlukan apa-apa perubahan yang mendesak mesti ada tekad.
- Politik itu biar kami, sementara tugas penjawat awam adalah untuk membuat perubahan. Kalau tidak, kita tidak akan dapat bersaing dengan negara lain dan dalam beberapa bidang kita akan ketinggalan.
- Saya sebut dalam beberapa majlis yang lalu, kalau kita lihat umpamanya. Laporan dari Boston Consulting Group (BCG) memperlihatkan graf pertumbuhan Malaysia itu membanggakan sekitar tahun 80-an dan 90-an. Ada kemajuan, pertumbuhan dan pelaburan, tetapi ia mendatar ketimbang perkembangan dengan Vietnam dan Indonesia walaupun nilai ambang mereka itu lebih rendah tetapi ia melonjak naik.
- Kita di tahap yang agak relatif tinggi tetapi mendatar selama beberapa lama, selama 20 tahun. BCG menggunakan kaedah yang disebut SEDA (Sustainable Economic Development Assessment) yang agak menyeluruh – kesihatan, pendidikan, keselesaan hidup, dan prasarana dalam semua bidang. Ini diukur dari satu kaedah yang sama bagi semua negara. Maka kita dapat lihat Vietnam, Thailand dan Indonesia semuanya meninggalkan kita. Kita semua bertanggungjawab untuk merobah dari keadaan mendatar ini supaya ada lonjakan.
- Saya bersyukur, alhamdulillah bersama rakan-rakan dan untuk menunjukkan kesetiaan kepada rakan-rakan, malam ini MAMPU meminta saya memakai baju Barisan Nasional. Begini banyak warna boleh dipilih, warna biru muda pun ada tetapi saya kena semak dengan Ketua Pengarah MAMPU. Gurau senda ya, hanya gurau (nada seloroh).
- Sekarang kita mempunyai jalinan kerjsama dengan parti-parti utama setelah terombang ambing beberapa bulan, sekarang nampaknya alhamdulillah politik negara kian stabil dan kita punya amanah untuk merencana dan meletakkan dasar jelas, kita tumpu ke arah mengangkat martabat ekonomi dan kesejahteraan rakyat dan negara. Kita mempunyai sekurang-kurangnya empat (4) tahun sebelum pilihan raya akan datang.
- Jadi saudara-saudari, bantulah dan mari kita bekerja sebagai satu pasukan untuk membawa perubahan ini. Beberapa agenda telah kita sediakan dan saya berharap sebagai permulaan kita akan laksanakan pelarasan gaji seperti yang telah saya umumkan baru-baru ini. Saya akui terdapat pelarasan gaji setiap 10 tahun tetapi ini sudah mencecah tahun ke-12.
- Sebelum ini tidak ada satu kajian menyeluruh tetapi sekarang saya dah umumkan, kita akan lakukan. Oleh kerana ini akan mengambil masa kerana melibatkan semua jabatan, maka sebab itulah saya umumkan elaun khas sementara dilaksanakan pelarasan gaji RM2,000 untuk semua penjawat awam dan RM1,000 untuk pesara dan saya ingat sebelum akhir tahun ini disambung dengan suku tahun pertama 2024, kita akan memberikan beberapa garis panduan supaya terikat dengan keupayaan kerajaan dan sebelum akhir tahun depan, kita boleh mengumumkan skim gaji yang baharu untuk penjawat awam di negara ini.
Sekian terima kasih.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) — Perkembangan ringgit dijangka tidak akan menjejaskan prospek pertumbuhan ekonomi negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata prestasi ringgit dan mata wang serantau lain terus didorong oleh faktor luaran terutamanya jangkaan bahawa kadar faedah Amerika Syarikat akan kekal tinggi untuk tempoh yang lama dan faktor geopolitik.
“Usaha kerajaan terhadap pembaharuan struktur termasuk inisiatif menerusi Pelan Induk Perindustrian Baru 2030 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga akan memperkukuh daya saing Malaysia.
“Ini akan meningkatkan daya tarikan negara terhadap pelabur asing, seterusnya membantu pengukuhan nilai ringgit secara lebih mampan,” katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Bilangan 6 Tahun 2023, di sini, hari ini.
Anwar berkata Bank Negara Malaysia (BNM) komited dalam usaha membendung kemeruapan yang berlebihan bagi memastikan pasaran pertukaran ringgit kekal teratur.
— BERNAMA

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang dipengerusikannya hari ini bersetuju terhadap tiga cadangan bagi menoktahkan kemiskinan tegar di negara ini.
Anwar berkata MTEN bersetuju supaya bantuan tunai khas secara bulanan akan dipertimbangkan untuk melepasi paras garis kemiskinan (PGK) makanan bagi isi rumah yang tidak berkemampuan menyertai aktiviti menjana pendapatan atas faktor umur dan kesihatan.
“Semua agensi dan kementerian menyemak dan mengemas kini data untuk mengesahkan jumlah penerima isi rumah miskin tegar yang telah dibantu dan menjana pendapatan melebihi PGK makanan dalam 2023.
Semua agensi perlu mengenal pasti isi rumah yang boleh menyertai program dalam tempoh berbaki tiga bulan dan diserapkan di dalam program-program yang ditawarkan mengikut kesesuaian,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat MTEN Bilangan 6 Tahun 2023, hari ini.
Menurut Perdana Menteri mesyuarat hari ini juga dimaklumkan mengenai status pelaksanaan dan usaha dalam menoktahkan miskin tegar serta cabaran-cabaran yang dihadapi.
Katanya banyak usaha dan program-program telah dilaksanakan oleh kerajaan dalam usaha membasmi kemiskinan tegar antaranya program terkait bantuan tunai bulanan, naik taraf kediaman, pemberian modal perniagaan, latihan kemahiran dan penjanaan pendapatan.
“Usaha-usaha ini telah pun dilaksanakan oleh pelbagai kementerian dan agensi dalam usaha menarik keluar rakyat dari belenggu miskin tegar,” kata Anwar.
Sementara itu, Anwar berkata mesyuarat telah meneliti dan mendapati bahawa perbelanjaan pembangunan sebenar semakin mengecil secara relatif setiap tahun, walaupun belanjawan menunjukkan peningkatan besar dan hal ini boleh memberi kesan jangka panjang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Menurutnya selain itu pelaksanaan projek pembangunan yang bermasalah dan mengalami kelewatan pelaksanaan telah menyebabkan peningkatan kos dan memberi kesan negatif terhadap ekonomi.
Anwar berkata mesyuarat berkenaan turut mendapati penentuan spesifikasi dan penilaian kos projek-projek teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sukar dilakukan dengan berkesan, dan proses semakan kos adalah sukar tanpa satu piawai anggaran kos.
Katanya keadaan itu boleh menyebabkan pertindihan kerja yang berulang dan kenaikan kos projek ICT.
Beliau berkata dalam hal ini kerajaan akan melaksanakan tindakan segera untuk menambahbaik proses-proses dalam pelaksanaan projek belanja pembangunan (DE).
Katanya ini termasuk pembentukan pasukan rentas kementerian iaitu Kementerian Ekonomi (KE), Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Kementerian Kewangan, Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dan jabatan-jabatan terbabit untuk menyemak dan menyediakan kerangka penambahbaikan untuk diluluskan secara bersepadu oleh kerajaan.
Anwar berkata tindakan lain ialah keputusan dasar ke arah desentralisasi dan pemberdayaan pelaksanaan projek dan kawalan peruntukan kepada agensi pelaksana yang diimbangi dengan tadbir urus yang ketat.
Katanya tindakan lain ialah keputusan dasar ke arah pemusatan pelaksanaan projek ICT dan penentuan spesifikasi/kos di MAMPU untuk mengawal kos ICT dan sebagai persediaan ke arah GovTech.
— BERNAMA




TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
PERJUMPAAN YAB PERDANA MENTERI BERSAMA WARGA JABATAN PERDANA MENTERI BAGI BULAN NOVEMBER 2023
6 NOVEMBER 2023 | 8.00 PAGI
DEWAN DE’ SERI ENDON, PUSPANITAPURI, PUTRAJAYA
Assalamualaikum Warahmatullahi Taala Wabarakatuh dan Salam Sejahtera
Alhamdu lillaahil lazeee anzala ‘alaa ‘abdihil kitaaba wa lam yaj’al lahoo ‘iwajaa Qaiyimal liyunzira baasan shadeedam mil ladunhu wa yubashshiral mu’minin Nahmaduhu Wa Nusalli Ala Rasoolilah Kareem Wa ‘ala alihi wasahbihi ajma’in
YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof,
Timbalan Perdana Menteri II;
YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama);
YB Datuk Armizan Mohd Ali,
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas);
YB Tuan Ramkarpal Singh A/L Karpal Singh,
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi);
YB Datuk Ugak Anak Kumbong,
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas).
YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki Ali,
Ketua Setiausaha Negara;
YBhg. Dato’ Dr. Zulkapli Mohamed,
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA); dan
YBhg. Datuk Awang Alik Jeman,
Timbalan Ketua Setiausaha Kanan (TKSUK)
Rakan-rakan yang saya muliakan.
- Saya mulakan dengan mukadimah doa. Kita bersyukur kerana turunnya kitab yang saling memperingati bahawa tradisi menimba ilmu itu bermula dengan semangat membaca Al-Quran.
- Pada Hari Keluarga yang lalu, saya menyebut tentang Abdullah Abdul Kadir Munshi (Abdullah Munshi), tatkala beliau melawat Melaka atas persoalan yang dibangkitkan oleh Stamford Raffles iaitu “apa yang dilakukan oleh anak-anak kecil, anak-anak Melayu di Melaka?”. Abdullah Munshi menjawab “mereka bermula dengan membaca Al Quran”. Maknanya sebaik sahaja kenal ibu bapa, mereka terus diminta untuk mengenali Allah dan membaca Al Quran. Kemudian tentunya, asas Bahasa Arab, Bahasa Melayu dan bahasa-bahasa lain.
- Tradisi itu harus kita dihidupkan bukan sekadar membaca Al-Quran tetapi mestilah hudan lin nas wa bayyinatin minal huda wal furqan kerana kekuatan Al-Quran itu adalah sebagai petunjuk kepada manusia dan dapat membezakan di antara yang baik dan yang buruk (penilaiannya – Furqan).
- Apa yang saya nak sampaikan ialah dalam simpang siur kerja, politik dan pentadbiran, kita harus mengekalkan asas untuk menimba ilmu, memperingatkan tentang adanya tanggungjawab kita Hablumminallah Walhablumminannas, tanggungjawab kepada Allah dan tangggungjawab kepada manusia.
- Kita sebut begini kerana dalam negara MADANI ini, kita tidak boleh lari daripada keyakinan dan kepercayaan yang menetapkan soal nilai dan akhlak. Kerana kalau kita tidak mendalami, kita hanya menyerahkan kepada beberapa kalangan yang kadang-kadang membuat penafsiran mengikut kefahaman mereka masing-masing.
- Pernah Islam itu menjadi teras kepada Sosialisme di dunia Arab yang dipanggil Istirakiyah Islamiyah. Teras Islam itu menjadi satu tunggangan bagi yang berkiblatkan sepenuhnya kepada barat termasuk satu kitab penting tentang An Imam in Paris dan beberapa tokoh ilmuan Mesir itu sendiri.
- Disebabkan itu dalam sejarah kebangkitan kesedaran dan kebangsaan Mesir, terdapat pertelagahan besar di antara Khalid Muhammad Khalid yang menulis sebuah buku tentang bagaimana kita harus mula dan berhadapan untuk mencari kemerdekaan, identiti dan jati diri bagi negara Mesir. Beliau menulis – Where do we begin? From where do we start? Min Huna Nabda’ (Dari sini kita mulai). Dari mana harus kita bermula tetapi natijahnya itu ke barat. Kalau negara Mesir hendak maju mesti kiblatnya itu ke arah barat, kata seorang Sheikh terkenal. Pengaruh seumpama ini juga ada dalam karya-karya awal di negara kita. Tidak ada salah untuk menimba beberapa pengalaman di barat tetapi jangan hilang Jati diri kita sebagai seorang Muslim, sebagai anak Malaysia dengan kebanggaan budaya dan tamadun Asia.
- Kemudiannya disambut oleh salah seorang tokoh Ikhwanul Muslimin ketika itu, Muhamamd Al Ghazali dengan meluncurkan siri tanggapan terhadap buku Khalid Muhammad Khalid menjadi Min Huna Na’lam (Dari sini kita tahu) – We begin with knowledge and wisdom. Itu jawapan beliau dalam terjemahan Bahasa Inggeris.
- Saya ingn sebutkan di sini bahawa berlaku perbenturan idea. Maksud perbenturan itu adalah percanggahan atau pertelingkahan atau pertembungan idea. Itu memang berlaku dan tidak ada salahnya kalau perbahasan itu seperti mana juga dalam doa tadi bilhikmati walmaw ‘izatil hasanati wa jaadilhum billatee hiya ahsan, yang bermaksud janganlah kita lupa bahawa perbezaan pendapat itu tidak semestinya menyebabkan kita pantas menghukum, mencela, menghina apa lagi memfitnah. Berbincanglah dengan baik kerana ini pendekatan Al-Quran yang disebut bil-hikmah.
- Apakah intisarinya? Supaya Malaysia ini, budayanya, usaha membina MADANI dan tamadun ini tidak lari daripada jati diri dan semangat yang boleh diangkat berdasarkan keyakinan kita yang berteraskan kepada nilai, kerana kalau Islam itu difahami dengan lebih mendalam, tidak timbul permusuhan antara kaum atau antara agama sebaliknya akan timbul kesedaran untuk bertoleransi, hormat-menghormati dan apa yang disebut di dalam Al-Quran, Lita’arafu. Al-Quran memilih satu istilah bukan setakat tolerance. Tolerance bermaksud sikap saling mengenali tetapi berbeza pendapat. Al-Quran menyatakan tentang perbezaan warna kulit dan kaum itu Lita’arafu (untuk arif, kenal, menyantuni, lebih memahami dan memuliakan perbezaan).
- Jadi saya tekankan disini kerana kadang-kadang dalam beberapa perkara, pertelingkahan kita terlalu tajam dan sebab itu saya katakan tunggak dan asas dalam pemikiran MADANI ini mesti soal nilai dan soal akhlak.
- Anything which is a philosophical treaties, on in the realm of ideas, its more complex and challenging. Sebab itu ia memerlukan perbincangan yang lebih dan saya berharap perkara ini daripada rakan-rakan, Ketua-Ketua Jabatan, Ketua Pengarah. Selain daripada kerja-kerja biasa, mukadimah itu harus ada sedikit penekanan tentang beberapa perkara asas kerana penjawat awam ini mempunyai satu tugas yang lebih daripada petugas dan profesional lain di luar kerana mereka mewakili satu pola pemikiran dan pembentukan idea yang lebih tinggi bukan sekadar menjalankan tugas-tugas biasa dalam Jabatan.
- Terkait dengan ini, saya menyebut sedikit tentang perkembangan mutakhir di Palestin yang amat merunsingkan kita kerana belum ada petanda Israel akan menghentikan serangan. Kalau saudara-saudara lihat umpamanya semua persoalan dalam media dominan antarabangsa menyebut, “Apakah kamu mengutuk serangan Hamas pada 7 Oktober?”, namun serangan 70 tahun tanpa kesudahan tidak pula di persoalkan.
- Sebab itu dalam ucapan-ucapan saya, saya tegaskan. Apabila Rusia menakluki wilayah dianggap miliknya di Ukraine, itu dianggap suatu yang tidak bertamadun kerana merampas negeri atau hak milik orang lain. Tetapi tindakan Israel yang terus mengembangkan wilayahnya setiap tahun dan ada yang diberikan umpamanya alasan di tebing barat itu tidak ada Hamas tetapi sudah lebih 4,000 korban sebelum 7 Oktober, perihal tersebut bukan suatu masalah.
- Mengapa dengan kecanggihan, pemikiran, memikir soal nilai, soal agama, orang begitu sekali terheret dengan sentimen kebencian satu sama lain?
- Kita telah menghubungi pemimpin-pemimpin dunia Arab dan Turki malah Iran untuk mengadakan perbincangan di kalangan pemimpin-pemimpin negara. Saya mengusulkan bahawa jangan hanya perkara ini dibincangkan di dikalangan pemimpin negara-negara Islam kerana negara seperti Brazil, Ireland, Rusia dan China juga mempunyai pendekatan yang lebih lunak.
- Bolivia punyai pendirian untuk mempertahankan hak kemanusiaan tetapi apabila dibincangkan dengan pemimpin-pemimpin, belum ada konsensus untuk membawa negara-negara luar Islam dalam perbincangan.
- Kita juga telah mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri Arab Saudi, Mohammad bin Salman serta Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan, dan keputusannya ialah untuk mengadakan dalam tempoh segera mungkin dalam satu atau dua hari ini untuk ditetapkan beberapa tarikh yang boleh mempertemukan pemimpin negara Islam.
- Apa yang positifnya disini? Yang positifnya adalah belum pernah isu Gaza atau Palestin dibahas dengan cara terbuka di dunia barat seperti yang berlaku sekarang. Perhimpunan-perhimpunan atau unjuk rasa yang difikir atau sebutan lazimnya adalah tunjuk perasaan itu adalah amat besar sekali di dunia barat atau Eropah. Kita menerima kunjungan dari beberapa negara dan Malaysia dalam sejarah mutakhir ini jarang mendapat kunjungan dari pemimpin negara luar.
- 2 minggu lalu, Mark Rutte, Perdana menteri Belanda telah membuat kunjungan hormat ke Malaysia. Kita berbincang dari segi ekonomi, masalah mengenai kelapa sawit. Saya tidak tahu bagaimana YAB Dato’ Sri Haji Fadillah boleh memujuk Mark Rutte untuk menanam pokok kelapa sawit yang sebenarnya pada masa sekarang terdapat kempen memboikot minyak kelapa sawit yang kuat di Eropah. Jadi ini memberi satu petunjuk yang sangat positif dan apabila beliau berjumpa dengan saya semasa makan tengahari, saya melihat beliau agak senang dengan tindakan tu dan tertarik dengan penjelasan oleh YAB Dato’ Sri Haji Fadillah.
- Maksudnya disini, kita tidak boleh menyerah terus dan perlu ada usaha untuk bergabung dengan Indonesia untuk menyatakan pendirian bersama. Saya sentuh juga soal Palestin dalam pertemuan empat (4) mata bersama Mark Rutte. Saya berkata, “saudara mewakili pandangan yang lebih demokratik, lebih prihatin tentang masalah kemanusiaan, jadi Janganlah memilih untuk berprasangka terhadap sesuatu kaum dan janganlah kejam terhadap Palestin.
- Satu perkara yang menarik diberitahu kepada saya ialah pada peringkat awal perang iaitu serangan Israel dengan dengan Hamas, dua pertiga penduduk Belanda menyokong Israel (Pro Israel), tetapi dalam 2 minggu yang lalu, dua pertiga telah secara terbuka menyatakan simpati dan sokongan kepada Palestin dan Gaza.
- Semalam, Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida berkunjung ke Malaysia. Seperti kita sedia maklum, Jepun bersama kita dari segi pelaburan dan persahabatan, tetapi dari segi dasar luar negara itu Jepun lebih ke arah barat khususnya Amerika Syarikat, mungkin kerana Geopolitik negara Jepun dekat dengan Korea Utara dan China. Tetapi dalam pertemuan itu, saya menggunakan juga ruang empat mata dengan mengupas pendirian kita dan sikap yang keras bahawa kita tidak menyokong keganasan.
- Saya beri contoh, satu wilayah di Osaka atau Hiroshima ditakluki oleh orang lain. Adakah kita mengharap penduduk-penduduk di Osaka dan Hiroshima itu hanya berdiam diri? Itu yang saya sebut dan tentunya beliau bantah. Inilah yang berlaku kepada Palestin. Seterusnya, saya berkata bom yang dilempar di Gaza sekarang ini, jauh lebih besar daripada kesan bom di Hiroshima.
- Jadi saya berkata bahawa sebagai pemimpin Jepun beliau tentunya terkesan sehingga sekarang dengan peristiwa di Hiroshima. Jadi dia jawab dengan tegas bahawa dia masih menyokong supaya dihentikan serangan dan ditambah peruntukan kemanusiaan.
- Hubungan dengan pemimpin-pemimpin negara juga membantu, umpamanya apabila saya berjumpa dengan Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi, dalam perbincangan empat mata itu saya terkesan dengan sentimennya. Saya meminta supaya diberikan keutamaan jika ada bantuan kemanusiaan dari Malaysia dan alhamdulillah beliau memegang pada janji beliau, pesawat Malaysia adalah antara yang paling cepat sampai dan diberi layanan dan berjaya menyeberang sempadan.
- Sebab itu saya kata, hubungan dua hala itu penting dan perlu ditingkatkan. Dalam beberapa hari ini, Naib Presiden Republik Rakyat China bakal membuat kunjungan ke Malaysia. Dalam siri lawatannya beliau dijadualkan melawat Kilang Proton di Tanjung Malim di samping program-program berkaitan pelaburan. Saya umum sasaran setengah juta kenderaan untuk pengeluaran. Mudah-mudahan dengan kehadiran beliau, dapat tingkatkan lagi usaha sama dan pelaburan serta Tanjung Malim dapat direalisasaikan sebagai sebuah bandaraya kenderaan automobil yang terbesar di rantau ini.
- Akhir kalam, saya ingin menekankan soal laporan Ketua Audit Negara. Saya mohon semua Ketua Jabatan meneliti bukan sahaja perkara yang disentuh mengenai Jabatan berkenaan tetap melihat keseluruhan usul dan cadangan untuk memperbaiki tatakelola. Ketirisan dan kerugian kepada negara itu mencecah bilion ringgit. Ini termasuklah cara kita atur subsidi sekarang yang mana:
(i) Subsidi ayam – RM100 juta sebulan. Diberi keuntungan kepada 3.5 juta orang asing dan juga kumpulan maha kaya yang menjadi pendebatan menarik di Parlimen; dan
(ii) Elektrik – 90% masih diberikan subsidi. Kita tarik subsidi bukan mengenakan cukai tambahan tetap tarik subsidi kepada golongan maha kaya iaitu 10% teratas.
- Kita telah jimat RM4 bilion lebih untuk elektrik dan RM1.2 billion setahun untuk ayam. Jadi apabila kita mengapungkan harga, harga ayam dilihat masih rendah iaitu RM9.40, tidak sampai harga siling yang ditetapkan.
- Jadi kebocoran ini berpunca daripada dasar yang belum dimuktamadkan untuk pelaksanaan penyasaran subsidi ataupun kerana yang ditegur oleh Ketua Audit Negara, itu harus diberi perhatian.
- Saya berharap agar KSN supaya semua ini diminitkan meminitkan perkara ini kepada Ketua-ketua Jabatan, Ketua Pengarah dan KSU. Perbincangan mengenai laporan Ketua Audit Negara harus disampaikan kepada KSN supaya dipastikan yang pertama, perkara ini dibincangkan dalam kerangka yang besar. Keduanya, secara khusus menyentuh atau menyinggung kedudukan di Jabatan. Dengan cara sedemikian tidaklah kesilapan dan masalah yang sama berulang pada tahun hadapan.
- Menyingkap tadbir urus beberapa tahun yang lalu, terdapat laporan mengenai jam yang sepatutnya berharga RM400 dikenakan harga RM4000, terdapat juga buku sekolah yang tidak sampai kepada pelajar walaupun bayaran telah dibuat. Perkara-perkara sebegini, sekiranya berlaku berulang kali kerana pemantauan kita lemah atau dengan kata lain kerja tanpa nilai (Excellence or attempting to achieve excellence without a soul).
- Mudah-mudahan ayat tesebut bukan sekadar menjadi slogan sahaja tetapi dapat dihayati. Terima kasih, demikian tazkirah pagi dan mudah-mudahan kita dapat tingkatkan usaha kita.
Wabillahitaufik Walhidayah, Wassalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
SPEECH
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PRIME MINISTER
FOR
MALAYSIA DIGITAL EXPO 2023
GRAND FINALE
6 NOVEMBER 2023 (MONDAY)
MITEC, KUALA LUMPUR
Assalamualaikum Warahmatullahi Taala Wabarakatuh dan Salam Sejahtera
YB Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil,
Menteri Komunikasi;
YB Teo Nie Ching,
Timbalan Menteri Komunikasi;
Keluarga MDEC; dan
Rakan-rakan yang saya muliakan.
- Saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Mahadhir Aziz dan keluarga MDEC yang menyelenggarakan acara pada hari ini yang bagi kita adalah suatu fokus yang utama dalam ekonomi MADANI. Kita membicarakan soal transformasi digital dan ia memerlukan satu pendekatan baharu atau anjakan dari kerangka pemikiran yang lama kepada suatu yang sangat mendesak.
- Kita harus belajar dari pengalaman negara-negara lain, negara maju, negara berkembang seperti Estonia dan beberapa negara lain. Saya mahu khususnya keluarga MDEC memerhati bukan sahaja meneroka keadaan yang mendesak dalam negara tetapi melihat perkembangan 10 tahun dahulu sehingga sekarang di negara-negara yang lain supaya kita tidak terlibat dalam beberapa kesilapan yang lalu dan kita tidak mampu melengah-lengahkan tindakan.
- Transformasi digital ini seolah-olah menggapai langit, bukan sahaja meneroka yang baharu tetapi menggapai yang betul-betul baharu, yang mencabar, yang belum selesa dan biasa di kalangan rakyat. Tetapi cabarannya juga adalah untuk mengakar di bumi sebab itu kita membicarakan tentang penglibatan ramai yang lebih inklusif supaya dalam menggapai langit itu, kita tidak meninggalkan rakyat di bawah terutama kawasan pendalaman dan miskin bandar.
- This happens to be our major challenge. We are embarking on a new technology, which is essentially a major challenge to most countries. That is why I have called upon MDEC and the Ministry to learn from the experience of the past in order to strive and ensure that we are able to compete. We cannot afford to repeat the mistakes of the initial players.
- We have therefore to embark and learn from the experience with many other countries, at the same time realize that in economy MADANI, the issue of active disposition, the concern about inequality, the need to be more inclusive in urban, rural, the heartland, the middle class, the urban poor, and those who have been essentially deprived from basic amenities. This is a major challenge, and I think the six weeks effort by MDEC in the MDX clearly did focus on this.
- I would implore that you do more because every time we accelerate the pace of changing development, at times the negative impact is, of course, growing inequality. Inequality is a major concern. There are strength in the American economy. The basic weakness is of course, the issue of inequality and I do not think in the MADANI concept of things, we should allow this to happen.Yes, there will be inequality, but gross inequality, abject poverty or grinding poverty is not something that we can condone in this country.
- Therefore, the challenge of digital transformation must cover areas that possibly has not been addressed satisfactorily by other countries. Malaysia’s prominence as a premium business and investment destination is evidenced, as said by YB Fahmi Fadzil just now, by our consistent ranking among South Asia’s top countries for launching startups and three of our cities have secured places in the Top 1000 of the Global Startup Ecosystem Index 2023.
- But I do not understand why we cannot have ten? Why must we confine ourselves and be lulled into this sort of complacency? Yes, we have achieved three. My next question is, why not ten? Why not Kuching and Kota Kinabalu, Johor bahru? and of course, Penang dan Ipoh is near Tambun.
- Globally we currently hold the 43rd position and we are resolutely aiming to break into the Top 20 by 2030. Many of my friends have alerted me, suggesting that it is rather too ambitious but it takes clarity in policies, determination and discipline.
- That is why I stress the moment I assume on the issue of governance. We have the capacity only if we are prepared to adjust or make major adjustments from the old ways of doing things – we say in a polite terms, the old business as usual, the leakages, the corruption, the slow pace of approvals, although we talk about accelerating the process, and even we talk about one stop agency, which I was really familiar with since the eighties and nineties.
- You know what it means, one stop agency? It stops there. So that is why last week’s cabinet I was suggesting that why do not you change this term, one stop agency, by putting some accelerate the process or whatever, so that it gives a real meaning. Instead of one stop agency, I do not know who coined it the phrase.
- Those of you familiar would certainly appreciate the concern of many. There is absolutely no reason why our ministries and bureaucrats tolerate this delay. We have good professionals, we have clear policies and guidelines. We have to therefore ensure that we are more efficient and accelerate the process of approvals.
- Now, we have attracted RM384 billion in digital investments and of course, impressive. But my next question is not why not have a trillion? Or 180,000 high value jobs? Unemployment is not a serious problem in this country, but we are churning out hundreds and thousands of graduates and therefore we have to again accelerate the process and not end with one stop agency.
Ladies and Gentlemen,
- We have firmly established as a global leader in global business, services, sector. Investments for this year and by 2025 is estimated to be about RM80 billion to RM90 billion and you have seen this last few weeks or last few months generic interest by not only the investing community but big investors from China, United States, Germany, we have Infineon from Germany, huge investments of EUR5 billion. We have from the States, China and also visits from prominent leaders.
- We had visits from Prime Minister of Netherlands the previous week and yesterday Prime Minister of Japan and this week with Vice President of China. We have therefore this added advantage seen as an important emerging economy. They have attracted interest not only by political leaders, but more so business community.
- What we need is to again, I need to reiterate the need to expedite the commercialization of research and innovation. Entities such as Khazanah, Malaysia Venture Capital Management Berhad, Cradle, Penjana Kapital have consistently provided assistance and investment opportunities.
- Corporate giants like Petronas and Maxis are actively supporting both seed stage and rising star companies. Funding and mentorship opportunities are abundant through venture capital firms and accelerators which collaborate closely with international entities.
- Now, the Malaysia Digital Expo 2023 is a testament to our unwavering commitment to realizing our digital economy ambitions. It encapsulates the core values of the MADANI economic framework. Our vision is resolute, to establish a growth economy that is not only sustainable but also inclusive, aligning with the essence of Malaysia MADANI and the fundamental pillars of the MADANI Economic framework which encompasses the New Industrial Master Plan, the National Energy Transition Roadmap, roadmap and numerous economic growth and foreign direct investments initiatives.
- Our ultimate aim, of course to translate our vision into tangible value underpinned by resounding impact. Now, the challenges of course in its deliverables. Meaningful impact that elevates the quality of life of every Malaysian and their loved ones. Our digital economy stands as one of Malaysia’s key economic pillars ot only in matter of contributing substantial 23.2% to our nation’s GDP, but the challenge is of course to ensure that we emerge as a successful nation and digital transformation is a key strategy in this regard.
- Now, in the third quarter of 2022, the digital economy garnered USD15.7 billion in investments and this is one of the fastest growing sectors. The Malaysia Digital National Strategic initiative on the pivotal sectors of trade, agriculture, services, smart cities, healthcare, finance, content, tourism and the Islamic digital economy, which we are giving special focus not only in terms of what is referred by the Minister in terms of halal, but to explore new avenues, new potentials, new windows that can be seen to be a major and leading player in the Islamic finance and Islamic economy.
- In the 2024 budget, I presented an initiative to propel the growth of digital innovations and next generation technologies and it is again an effort to ensure that we become an innovation driven economy.
- So the experts are here. I am giving, of course more general prescriptions because I do not think I am able to compete with you in terms of that level of expertise. So to ensure that I remain relevant, I make it general.
- Anyway, thank you very much and I am very appreciate of the efforts of the Ministry and MDEC in particular. Of course, rejoice with the extent of interest and support by those present and those have been following this session. It is an important event in my mind, but I must reiterate that much more need to be done.
- The challenge is to MDEC is to make sure that every single Malaysian in every single village and district in the urban poor is not deprived of this opportunity to participate In this new technology.
Terima kasih.
Wabillahitaufik Walhidayah
Wassalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

PUTRAJAYA, 6 Okt (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta semua ketua jabatan, ketua pengarah dan ketua setiausaha meminitkan segala perbincangan membabitkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) sebelum diserahkan kepada Ketua Setiausaha Negara.
Berucap pada majlis perjumpaan Perdana Menteri dengan warga Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini, Anwar berkata LKAN itu perlu diteliti semula bagi memperbaiki tata kelola pentadbiran, selain dapat mengenal pasti dan membantu mengurangkan ketirisan dalam pentadbiran negara.
“Saya minta ketua-ketua jabatan teliti bukan sahaja yang disentuh mengenai jabatan, tetapi lihat seluruh usul cadangan untuk perbaiki tata kelola dan saya akan cadangkan kepada KSN supaya semua ini diminitkan.
“Pertamanya supaya dipastikan dapat dibincang kerangka besar isu laporan dan teguran Ketua Audit Negara, dan keduanya secara khusus yang menyentuh kedudukan di jabatan. Dengan cara sedemikian, tidaklah diulang masalah sama,” katanya.
Berucap pada majlis perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM), di sini hari ini beliau berkata langkah meminitkan perbincangan membabitkan LKAN berkenaan juga penting untuk kedudukan jabatan berkaitan bagi memastikan masalah yang digariskan tidak berulang.
“Kita sejak dulu sudah mengulas mengenai LKAN, ada masalah yang terus berlaku. Kalau baca laporan beberapa tahun lepas, jam yang patut RM400, dikenakan bayaran RM4,000. Ada buku sekolah tidak sampai kepada pelajar tetapi dibayar.
“Perkara seperti ini kadang-kadang ia berulang kerana pemantauan kita lemah dan saya katakan itu kerja tanpa nilai,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata penjawat awam boleh memberikan penekanan terhadap perkara asas mendalami ilmu dan menimba pengalaman di barat, namun jangan sampai hilang jati diri sebagai seorang Muslim dan anak Malaysia.
“Penjawat awam mewakili satu pola pemikiran dan pembentukan idea yang lebih tinggi dari sekadar menjalankan tugas-tugas biasa dalam jabatan,” katanya serta menambah bahawa kumpulan itu mempunyai satu tugas yang lebih berbanding profesion lain.
— BERNAMA
