KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) — Konsep Perumahan Inklusif MADANI akan menjadi teras pembangunan kediaman mampu milik di negara ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata ia bermula dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi menyediakan rumah untuk pelbagai golongan sasar di ibu kota yang akan turut dilaksanakan bersama agensi lain kerajaan.
“Dalam hal ini, kerajaan komited menjayakan agenda perumahan bagi membolehkan rakyat Malaysia tanpa mengira kumpulan pendapatan mendiami perumahan yang selesa dan harmoni bagi mendukung pembentukan masyarakat MADANI melalui komuniti berkualiti serta kohesif,” katanya di laman Facebook hari ini.
Terdahulu, Anwar mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perumahan Mampu Milik Negara Tahun 2023 bagi membincangkan isu perumahan antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri serta pemain industri yang menyentuh isu nasib rakyat seperti pembinaan dan baik pulih kediaman.
Pada mesyuarat itu, Perdana Menteri berkata beliau bersetuju dengan sasaran penyediaan 500,000 unit rumah mampu milik dalam Rancangan Malaysia Ke-12 selain menekankan kepentingan supaya pencapaian tersebut dapat terus membawa manfaat kepada rakyat.
“Sekali lagi saya telah memberi penekanan kepada usaha mempercepat tempoh kelulusan pembangunan supaya dapat memangkinkan pelaburan dan memperbaiki tahap memudah cara perniagaan di Malaysia. Ini akan menarik dan memudah cara pemaju untuk menyediakan lebih banyak perumahan mampu milik,” katanya.
Mesyuarat itu turut dihadiri oleh Menteri Besar, Ketua Menteri, Exco Perumahan Negeri, Menteri Kabinet serta wakil agensi penyedia perumahan yang terdiri daripada Agensi Kerajaan Persekutuan, Negeri dan Badan Berkanun selain pihak pemaju perumahan swasta.
— BERNAMA
Similar Posts:
- TIDAK PERLU DARURAT BENCANA, HUJAN SEMAKIN BERKURANGAN – PM ANWAR
- SUBSIDI BERSASAR : PM ANWAR BERI JAMINAN KEPENTINGAN PIHAK INDUSTRI TURUT DIBERI PERHATIAN
- PM ANWAR PENGERUSIKAN MESYUARAT KHAS MAJLIS TINDAKAN SARA HIDUP NEGARA
- KERJASAMA ERAT KERAJAAN PERSEKUTUAN, NEGERI PAHANG TERUS DIPERKUKUH – PM ANWAR
- MDEC, DEPA METERAI MOU PERKUKUH KERJASAMA EKONOMI DIGITAL MALAYSIA-THAILAND