SEREMBAN, 27 Julai — Jasa guru dalam mendidik serta mencorak pelapis dan generasi pemimpin negara adalah besar dan perlu dihargai seluruh lapisan masyarakat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata walaupun terdapat satu atau dua laporan mengenai kesalahan guru, ia tidak mewakili ratusan ribu guru secara keseluruhannya.
“Nyala rasa dalam mengajar ini perlu terpancar dalam hati nurani dengan penuh kasih sayang, sebab itu saya beritahu Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, dalam media dan media sosial, kalau ada laporan berkenaan kesalahan satu atau dua guru tetapi ia tidak mewakili ratusan ribu guru.
Memang ada, dalam ramai-ramai guru takkan tiada yang salah, sebab itu saya masih tekankan, liputan media itu harus adil, majoriti guru itu berjasa,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Guru-Guru Peringkat Negeri Sembilan di Dewan Majlis Bandaraya Seremban di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Pada majlis itu Anwar turut menyampaikan Anugerah Guru MADANI Negeri Sembilan 2023, Anugerah Pemimpin Pendidikan MADANI Negeri Sembilan 2023.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata Kementerian Pendidikan sentiasa diberi keutamaan kerana pendidikan merupakan asas kepada bidang lain seperti ekonomi, kemampanan, ehsan dan rahmah.
Anwar berkata ketika beliau mengambil alih sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, hutang negara adalah RM1.5 trilion tetapi peruntukan Kementerian Pendidikan tidak dipotong kerana ia adalah pelaburan masa depan.
“Sebaik sahaja saya ambil alih pada bulan November tahun lalu, bentangkan Belanjawan MADANI, jumlah peruntukan terbesar yang dibuat oleh Kerajaan Perpaduan (adalah) kepada Kementerian Pendidikan (yang) memperoleh RM2 bilion tambahan,” katanya.
Selain itu Anwar berkata kemudahan sekolah serta tandas rosak di seluruh negara perlu diselesaikan sebelum akhir tahun ini dengan peruntukan yang disediakan lebih RM1 bilion.
“Saya mahukan tindakan segera, percepatkan tender, saya panggil semua pegawai daerah dari seluruh negara dan kata berikan tumpuan kepada sekolah…sebelum Disember tahun ini saya tidak mahu satu sekolah pun ada masalah tandas dan kemudahan asas,” katanya.
— BERNAMA