PERUTUSAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
HIMPUNAN KOMUNITI DAN MAHASISWA MALAYSIA MADANI BERSEMPENA PERKAMPUNGAN MENARA GADING KEBANGSAAN 2023
22 JULAI 2023 (SABTU)
UNIVERSITI MALAYA
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Alhamdulillah, Nahmaduhu Wa Nusalli Ala Rasoolihil Kareem.
YB Fadhlina Sidek,
Menteri Pendidikan;
Saudara Ahmad Farhan,
Presiden PKPIM;
Tetamu-tetamu yang saya muliakan; dan
Anak-anak yang dikasihi sekalian.
- Saya sempat menghadiri Persidangan Antabangsa Tamil Sedunia sebelum bertemu dengan anak-anak. Saya tekankan di situ bahasa Melayu bahasa rasmi, semua rakyat Malaysia harus menguasai tapi tidak ada percanggahan bila masyarakat India, Tamil mahu meningkatkan mutu penguasaan bahasa mereka masing-masing dan ini merupakan pendekatan kita. Inilah maksud MADANI, lita’arafu untuk menyantuni mereka dan menunjukkan bahawa pimpinan Islam itu adil. Prinsip pokoknya soal bahasa, soal agama, penghayatan Islam, soal hak keistimewaan dan juga Raja-Raja Melayu yang termaktub dalam perlembagaan itu tidak dipertikai, dan yang lain itu boleh kita teruskan. Jadi kita tidak boleh melayani sosok yang kadang-kadang melampau.
- Saya luluskan RM5 juta, RM1 juta untuk persidangan, RM2 juta untuk penyelidikan Bahasa Tamil di Jabatan Pengajian India, dan RM2 juta untuk kegiatan di sekolah. Pembelajaran Bahasa Tamil untuk sekolah menengah sekarang ini syaratnya 15 orang minima, saya turunkan kepada 10, jadi kita tambah RM2 juta untuk itu. Nanti orang yang tidak suka saya akan kata, “tengok Anwar dia sudah tinggalkan kepentingan Bahasa Melayu, dia tolong Bahasa Tamil.” Pemikiran begini memecah-belahkan dan sebenarnya bertentangan kerana yang kita lulus untuk pengembangan Bahasa Melayu itu ratusan juta dan alasannya kerana bahasa rasmi maka penyelidikan sasteranya, budayanya dan terjemahan bahasa karya-karya besar dunia harus diteruskan.
- Ini adalah satu contoh, kadang-kala sukar untuk kita menyantuni dan bagaimana perkara ini boleh dipermainkan untuk memenuhi selera orang-orang yang memperalatkan politik untuk menekan sebahagian atau mengadu domba. Ini cabaran kita dan saya sebut kepada mereka tadi masyarakat India, bahawa kalau rakyat ini bangkit terutama anak-anak muda kita hendak pilih untuk buat apa? Hendak terus bergaduh, hendak berpecah-belah antara kaum ataupun dengan landasan yang jelas sepertimana kerajaan perpaduan MADANI.
- Sebab itu dalam kerajaan saya sebarkan banyak kepada semua ahli Jemaah Menteri, “Adabul iftilah fiil Islam”, karya Taha Jabir al-Alwani. Saya beri kepada semua ahli Jemaah Menteri kerana saya hendak orang Islam itu baca, tahu dan kuasai ilmunya. sementara orang bukan Islam faham bahawa Islam ini jangan dimusuhi. Kalaupun dia tidak jadi orang Islam tetapi sekurang-kurangnya dia hormat, dia tahu bahawa ada adab ikhtilaf, perbezaan pendapat dalam agama yang dikupas dengan baik. Berbeza dengan orang yang mencaci, maki-hamun dan fitnah setiap hari sehingga menjadi satu budaya dan kebiasaan, kadang-kala atas nama Islam. Jadi biarlah, orang boleh menilai perbezaan ini.
- Kemudian Kementerian Pendidikan, saya minta supaya kupas terjemahkan dan edar kitab Syarah Matan Arbain Imam Nawawi, Hadis 40 supaya hadis matannya dan syarahnya itu dibaca oleh rakyat terbanyak. Ini penerbitan kerajaan. Jadi tentunya golongan yang terlalu liberal, pendidikan sekular akan menentang usaha-usaha ini. Tetapi saya kata kalau kita biarkan tahap kefahaman begitu dangkal, maka yang digunakan agama itu musuh sahaja, tahunya hendak hukum orang sahaja. Perangainya tidak elok sangat tetapi suka untuk menghukum orang, marah, sindir, fitnah, dan hina orang semata-mata. Sebab itu asas ilmu itu penting. Pengalaman dalam PKPIM itu yang menjadikan keunikan serta keistimewaan gerakan mahasiswa kerana kita mula dengan kajian.
- Saya masih ingat beberapa buku awal Muhammad Asad, iaitu ‘Islam at the Crossroads’ (Islam di Persimpangan Jalan), beliau merupakan seorang pemikir Yahudi yang berasal daripada Liverpool wiz, memeluk agama Islam dan berada lama di Pakistan menulis tentang “Islam di Persimpangan Jalan.” Kita mula dengan tradisi ilmu, tradisi aqliah, tradisi akrab untuk melayakkan diri kita menjadi pembicara umat. Kalau tidak yang kita menang hanya jeritan, fitnah, meninggalkan nilai dan akhlak kerana terdorong dengan semangat atau fahaman asabiyag kabilah sehingga meninggalkan prinsip perjuangan ini.
- Demikianlah ucapan saya kerana saya hendak menyambut Mufti Besar India, Sheikh Abu Bakr Ahmad yang telah dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah 2023 peringkat antarabangsa, merupakan seorang ulamak besar serta satu-satunya yang masih hidup yang punyai penguasaan ilmu hadis sahih Bukhari yang sangat tinggi. Beliau mengupas syarah puluhan tahun dan menghafal, membaca dan memberi syarah kepada hadis-hadis sahih Bukhari, jadi saya undang beliau ke rumah rasmi. Malam ini, beliau akan luncurkan dan sampaikan syarahan, kupasan syarah sahih Bukhari.
- Tentunya saudara-saudara dengar berbeda daripada apa yang didengar di luar. Inilah yang saya anjurkan. Seri Perdana, rumah rasmi Perdana Menteri itu adalah penuh dengan kegiatan ilmu dan kalau orang tanya mengapa banyak sangat ilmu karya-karya Islam dan dengan kemantapan muftinya, Sheikh Ammar dan pelbagai, itu kerana saya punyai tanggungjawab untuk bersama meningkatkan mutu kefahaman Islam di kalangan masyarakat. Saya gembira, alhamdulillah syukur kerana tengok kebangkitan anak muda, dan tahniah kepada Saudara Farhan dia sebagai presiden PKPIM, lebih baik daripada banding dengan saya jadi presiden PKPIM dulu.
- Masa berubah, dahulu kita meneroka dalam keadaan teraba-raba dan sekarang berbeda kerana ada ustaz dan pensyarah-pensyarah yang terus membantu. Jadi tentunya keupayaan kita lebih dan di bawah Menteri Pendidikan dan Menteri Pendidikan Tinggi memang kita buka ruang yang terbuka luas. Semasa saya, ya ada ruang tetapi banyak sekatan dan selepas itu langsung tidak terbuka. Saya mengajar di Georgetown University, Amerika Syarikat dan sebelum itu Oxford University dan memang kalau dilihat Amerika itu ada kuliah bergilir di Stanford Universiti, Harvard dan sebagainya. Tapi tidak boleh masuk universiti tempatan, itu keadaan dulu. Alhamdulillah, keadaan sekarang sudah baik, jadi jangan kita mengeluh, jangan kita berleter, gunakan kemudahan itu manfaatkan supaya dapat meningkatkan mutu perjuangan rakyat supaya hidup itu biar berjasa.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
22-Julai-2023-HIMPUNAN-KOMUNITI-DAN-MAHASISWA-MALAYSIA-MADANI-BERSEMPENA-PERKAMPUNGAN-MENARA-GADING-KEBANGSAAN-2023Download
Similar Posts:
- COVID-19: MALAYSIA TIDAK DISKRIMINASI PELANCONG ASING, UTAMAKAN KESIHATAN RAKYAT
- PM SARAN GOLONGAN MUDA BANGKIT SEBAGAI KEKUATAN BAHARU MALAYSIA MADANI
- DENGAR PENDAPAT PAKAR NAMUN JANGAN SESEKALI ABAI PANDANGAN RAKYAT BIASA – PM ANWAR
- PERBINCANGAN INTELEKTUAL UNTUK RESPONS KEPADA ISLAMOFOBIA – PM ANWAR
- ISU MONOPOLI IMPORT BERAS TIDAK HARUS DIPOLITIKKAN, USAHA BERNIAT BANTU PESAWAH MISKIN – PM