TEKS UCAPAN EKONOMI MADANI : MEMPERKASA RAKYAT

 

TEKS UCAPAN

YAB DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

EKONOMI MADANI: MEMPERKASA RAKYAT

 

27 Julai 2023 (Khamis ) | 9:00 pagi | Suruhanjaya Sekuriti

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ ۚ وَكَفَىٰ بِاللَّهِ شَهِيدًاوَأُصَلِّي وَأُسَلِّمُ عَلَى رَسُولِهِ الَكَرِيمِ وَعَلَى ءَالِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ

 

Salutasi

 

Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi

Timbalan Perdana Menteri

 

Ahli-ahli Jemaah Menteri

 

YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki bin Ali

Ketua Setiausaha Negara

 

Seterusnya saudara-saudari rakyat Malaysia yang dikasihi.

 

(I)            MUKADIMAH

 

  1. Perkongsian mengenai Ekonomi MADANI telah ditelusuri bersama pakar ekonomi, perancang dan penjawat awam. Kerangka kebijakan tersebut diperkemas setelah mendapat pandangan kaum pekerja, petani, golongan wanita, peneroka dan belia dalam siri wacana berterusan. Walhasil, pertemuan di masjid, warung dan universiti cukup mengesankan.

 

  1. Ikhtiar yang ingin diperkenalkan ini merupakan perencanaan baharu melibatkan pelbagai sektor dan aspek ekonomi. Perancangan ini meliputi langkah-langkah ke arah peningkatan pemacuan ekonomi, menggalakkan pelaburan dan memperkukuh industri tempatan supaya lebih inovatif dan berdaya saing serta mampu dilonjakkan ke pasaran global.

 

  1. Ekonomi rakyat menjurus kepada setiap golongan masyarakat dari pedagang dan pengusaha kepada penjawat awam dan golongan profesional dan pekerja serta rakyat miskin bandar, desa dan pedalaman. Usaha Kerajaan juga adalah untuk menyediakan bantuan serta dukungan kepada yang memerlukan agar semua mampu mengecap nikmat pembangunan ekonomi negara secara saksama.

 

  1. Sayugia diingatkan gesaan awal saya buat rakyat dari ruang Masjid Putrajaya agar menggalas tanggungjawab dengan penuh amanah dan adil. Saya merujuk kepada warkah unggul dari Saidina Ali AS kepada Gubernur Mesir Malik Ashtar.

 

وَلْیکنْ أَحَبَّ الْاُمُورِ إِلَیک أَوْسَطُهَا فِی الْحَقِّ، وَأَعَمُّهَا فِی الْعَدْلِ، وَأَجْمَعُهَا لِرِضَی الرَّعِیةِ، فَإِنَّ سُخْطَ الْعَامَّةِ یجْحِفُ بِرِضَی الْخَاصَّةِ، وَإِنَّ سُخْطَ الْخَاصَّةِ یغْتَفَرُ مَعَ رِضَی الْعَامَّةِ. وَلَیسَ أَحَدٌ مِنَ الرَّعِیةِ أَثْقَلَ عَلَی الْوَالِی مَؤُونَةً فِی الرَّخَاءِ، وَأَقَلَّ مَعُونَةً لَهُ فِی الْبَلاَءِ، وَأَکْرَهَ لِلْاِنْصَافِ، وَأَسْأَلَ بِالْاِلْحَافِ، وَأَقَلَّ شُکْراً عِنْدَ الْاِعْطَاءِ،

 

“Buatlah sesuatu itu tepat pada masanya dan kena pada tempatnya. Apabila kata sepakat telah dicapai, janganlah kamu mencuba menyuarakan pendapat peribadi kamu dan janganlah kamu lalai melaksanakan kewajiban yang harus dipikul kerana orang ramai akan sentiasa memerhatikan kamu dan kamu bertanggungjawab terhadap segala-gala yang kamu lakukan untuk rakyat”.

 

(Petikan warkah Saidina Ali as kepada Gubernur Mesir Malik Ashtar)

 

  1. Permuafakatan di antara Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak telah menjelmakan negara bangsa baru Malaysia lebih enam dasawarsa lalu. Maka, wajar buat generasi kini menyingkap kembali ikrar keramat Perdana Menteri pertama Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

 

“Bahawa Malaysia atas izin dan kehendak Allah Rabbil’ Alamin, akan kekal menjadi sebuah Negara demokrasi yang merdeka lagi berdaulat serta berasaskan kebebasan dan keadilan dan senantiasa mempertahankan serta memelihara keamanan dan kesentosaan rakyatnya, dan mengekalkan keamanan antara segala bangsa.”

(Pemasyuran Malaysia, 16 September 1963)

  1. Kalimat akar seperti demokrasi, kebebasan, keadilan, keamanan segala bangsa perlu dihadam dan menjadi teras kehidupan. Demikianlah dengan gagasan Malaysia MADANI yang berhasrat memaknai ikrar keramat tersebut. Kematangan kita bernegara menuntut kematangan dan kemantapan kita menimba pengajaran dari Sahafah Madinah atau Perjanjian Madinah yang dimeterai antara pelbagai kabilah – Arab, Muhajirin dan Ansar serta penganut Islam, Kristian dan Yahudi yang bernaung di bawah Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

 

  1. Lantaran itu, rakyat digesa untuk memilih perpaduan, menghayati semangat insaniah dan bertekad menegak keadilan bagi seluruh umat dan

 

(II)          TANTANGAN EKONOMI NEGARA & EKONOMI RAKYAT

 

  1. Malaysia menikmati kepesatan pembangunan sejak 1960-an yang menghasilkan purata pertumbuhan melebihi 7% setiap tahun (1960 – 1980). Ketika itu, rakyat menikmati limpahan hasil kerana pertumbuhan ekonomi dan peningkatan pendapatan adalah seiring. Krisis Kewangan Asia 1997-1998 telah melebarkan jurang perbedaan antara pertumbuhan ekonomi dan pendapatan. Kesenjangan pendapatan terus melebar.

 

  1. Dua dasawarsa sebelum dan selepas 1998 menyaksikan penyusutan purata pertumbuhan ekonomi dengan ketara. Angka pelaburan merosot ketimbang peratusan Kadar Dalam Negara Kasar (KDNK). Sumber ekonomi baru yang boleh mencambah pertumbuhan belum muncul secara ketara kerana ekonomi masih tertumpu pada aktiviti domestik tanpa benar-benar meraih manfaat pasaran global. Sektor perdagangan hanyalah sebahagian kecil daripada ekonomi dengan pertumbuhan yang lebih bergantung pada perbelanjaan isi rumah dan perbelanjaan Kerajaan.

 

  1. Hakikatnya, kita telah terperangkap dalam kitaran ekonomi yang merbahaya; kos tinggi, gaji rendah, keuntungan rendah dan kurang nilai daya saing.

 

  1. Akibat peningkatan pendapatan yang tidak sepadan dengan lonjakan ekonomi, separuh isi rumah terbawah terbeban dengan hutang. Kerajaan juga menghadapi dilema yang sama. Faedah pertumbuhan perlu diagih secara seimbang dan gaji atau upah rakyat mesti setimpal dengan hasil kerja mereka. Purata gaji dan upah tenaga kerja masih rendah yakni sekitar 35%.

 

  1. Seperti yang sering saya singgung, defisit belanjawan berterusan sejak 1998 dengan angka hutang dijangka mencecah lebih 60% ketimbang KDNK 2023 akan memberi kesan yang parah kepada ekonomi negara. Negara terbeban dengan hutang yang membengkak dan 16% hasil negara diperuntukkan hanya untuk melunaskan hutang. Gejala ini dikhuatiri akan mengekang keupayaan kita menumpu kepada pembangunan yang akan menjamin keselesaan rakyat termasuk pelaburan awam serta penjanaan kebolehupayaan ekonomi.

 

  1. Pendapatan Garis Kemiskinan disemak semula pada 2019, dan berikutan pandemik COVID-19, tahap kemiskinan melonjak ke dua angka. Dimusykilkan adalah kerana gejala ini telah menyebabkan kesenjangan melebar dan muncul golongan mahakaya ketimbang jumlah kemiskinan yang bertambah dengan simpanan yang kian mengecil.

 

  1. Laporan Survei Gaji dan Upah 2021 yang mendedahkan kemelut akibat gaji yang rendah, khususnya menyangkut golongan muda berumur 24 tahun ke bawah. Gaji bagi separuh pekerja Malaysia kurang daripada RM2,250 sebulan. Belia khususnya graduan berhak meraih pendapatan bermakna. Keadaan ini tentunya mengkhawatirkan dan negara yang bertanggungjawab perlu merangka program bagi mengatasinya.

 

  1. Hakikatnya apa yang diuar-uarkan dari cita-cita Wawasan 2020 dan janji-janji muluk sebelumnya tidak tercapai. Setelah mengambilkira keretakan struktur ekonomi yang ditambah dengan kelemahan tatakelola dan ketelanjuran elit pemerintah, ia menuntut kita melakukan perubahan atau anjakan yang bermakna.

 

  1. Amat dikesalkan andaikata terdapat kalangan yang mahu mempertahankan amalan bobrok dan dasar yang telah terbukti menyebabkan negara menggelongsor ke bawah atau hampir kecundang. Saya mahu mengajak semua rakan-rakan, pimpinan politik, pengusaha dan peniaga, penjawat awam, pekerja dan rakyat keseluruhannya untuk lebih jujur dan berani menerima kenyataan baharu. Kita perlukan sebuah wadah ekonomi yang tuntas dan segar. Kita perlukan sebuah kerangka ekonomi yang baharu.

 

(III)        EKONOMI MADANI: MEMPERKASA RAKYAT

 

Saudara-saudaraku tercinta,

Bayangkan masa depan tanah air kita, masa depan dipacu perpaduan yang utuh,

Malaysia yang maju, Malaysia yang terangkat sebagai tatanan yang adil dan saksama, Malaysia yang tersohor negara merdeka dan berjaya.

 

  1. Kita belajar daripada pengalaman lampau yang positif, yang mendewasakan. Kemajmukan dan kesatuan telah terbukti mengalahkan kelompok kecil yang memilih untuk mendamba permusuhan dan perpecahan. Kita punyai industri yang meletakkan asas untuk bersaing di pentas global, sama ada kelapa sawit, minyak dan gas, elektronik dan sistem kewangan Islam.

 

  1. Saya mencadangkan Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat sebagai wadah mengangkat semula darjat dan martabat negara ini dengan menstruktur semula ekonomi ke arah Malaysia sebagai peneraju ekonomi di rantau Asia Tenggara. Ini akhirnya akan memberi limpahan hasil kepada rakyat untuk menikmati kehidupan yang lebih bermutu.

 

  1. Ia perihal mengangkat semula darjat dan martabat negara ini dengan dua tumpuan utama iaitu menstruktur semula ekonomi ke arah Malaysia sebagai peneraju ekonomi Asia; dan akhirnya memberi limpahan hasil kepada rakyat untuk menikmati kehidupan yang lebih berkualiti.

 

  1. Ini merupakan sebuah rencana menyeluruh dan teliti bagi menghadapi pelbagai tantangan saat ini mencakupi:

 

  • isu-isu jangka panjang terkait daya saing dan daya tarikan negara sebagai destinasi pelaburan; dan juga

 

  • isu-isu semasa yang perlu segera ditangani seperti kenaikan kos sara hidup yang mengesankan rakyat.

 

  1. Seperti semua maklum, pelbagai ikhtiar telahpun mula dilaksanakan khususnya di bawah Belanjawan MADANI 2023 dan siri pengumuman rasmi sejak pentadbiran saya mengambil alih Kerajaan.

 

  1. Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat akan menjadi induk kepada beberapa lagi dasar khusus yang akan diumumkan kelak antaranya termasuklah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12.

 

  1. Ekonomi MADANI menetapkan sasaran jangka pendek yang sudahpun digerakkan bagi menangani isu-isu segera yang mengesankan rakyat. Ini termasuklah:

       i. Menyegerakan pelaksanaan projek sekolah dan klinik daif. Pelbagai usaha kita lakukan: tambah peruntukan, mudahkan tatacara perolehan                 serta turunkan kuasa pelaksanaan bagi mempercepat pelaksanaan projek-projek sekolah dan klinik daif.

       ii. Menoktahkan kemiskinan tegar tahun ini juga. Usaha telah digerakkan melalui Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) supaya isi rumah miskin tegar              punyai peluang meningkatkan pendapatan mereka, dan tidak hanya semata-mata menerima bantuan tunai langsung. Konsep Payung RAHMAH                 turut diperkenalkan dan akan terus diperkukuh bagi menangani cabaran kos sara hidup.

 

Payung RAHMAH diketahui sebagai cetusan idea Allahyarham saudara Salahuddin Ayub. Semua yang mengenali beliau amat terkesan sekali dengan pemergian tokoh hebat ini. Kerja keras dan kesungguhan beliau dalam menangani beban sara hidup rakyat akan menjadi pembakar semangat untuk kita semua melakukan yang terbaik untuk Malaysia tercinta.

 

  1. Pada masa yang sama, Ekonomi MADANI turut menetapkan tujuh (7) penanda aras sebagai sasaran jangka sederhana yang mahu dicapai sebelum 10 tahun:

 

    Pertama:   Malaysia berada di kedudukan antara 30 ekonomi terbesar di dunia;

 

         Kedua:      Indeks Daya Saing Global di tangga ke-12 teratas dunia;

 

        Ketiga:      Peratusan pendapatan buruh mencapai 45% daripada jumlah keseluruhan pendapatan; (nota: sasaran RMKe-12 adalah 40%                                      menjelang 2025)

 

   Keempat:  Kadar penyertaan wanita dalam tenaga buruh mencapai 60%;

 

     Kelima:     Indeks Pembangunan Manusia di tangga 25 teratas dunia.

 

  Keenam:   Indeks Persepsi Rasuah di tangga 25 teratas dunia; dan

 

   Ketujuh:   Kemampanan fiskal dengan defisit fiskal mencapai 3% atau lebih rendah.

 

  1. Bagi mencapai hasrat ini, berikut merupakan ikhtiar serta kebijakan baharu yang bakal kita laksanakan.

 

(IV)       TUMPUAN 1: MALAYSIA SEBAGAI PENERAJU EKONOMI ASIA

 

  1. Ekonomi MADANI adalah untuk membawa Malaysia menjadi Peneraju Ekonomi Asia. Bagi mencapai hasrat ini, struktur ekonomi perlu dirombak.

 

  1. Antara isu yang membelenggu sistem ekonomi termasuklah masalah sektor perindustrian yang menguncup sebelum masanya. Umpamanya, sektor pembuatan telah merosot di bawah paras 25% kepada KDNK. Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP) yang bakal diumumkan pada bulan hadapan akan memacu semula perindustrian dan memangkin ekonomi baharu.

 

  1. Dalam jangka masa pendek, Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 yang bakal dibentangkan di Parlimen akan memberi ruang untuk Kerajaan membuat penilaian semula dan menyusun keutamaan, termasuk mengadun sebuah pertumbuhan jangka sederhana dengan dasar fiskal yang lebih mampan.

 

a.   Agenda Serantau (ASEAN)

 

  1. Malaysia perlu meneladani negara-negara yang dahulunya jatuh, tetapi tangkas dan bangkit semula di hadapan. Mahu tidak mahu, kita mesti menjadi jaguh ekonomi serantau. Kita perlu punyai minda global dan mengutama pengantarabangsaan ekonomi. Dengan demikian, kita mampu mencapai sasaran yang ditetapkan untuk muncul sebagai 30 ekonomi terbesar di dunia dalam jangka masa sederhana.

 

  1. Jika kita hanya berpuas hati dengan keadaan sekarang, ekonomi akan terus mencatat pertumbuhan antara 4 hingga 5%. Namun, jika kita berusaha gigih dan melaksana pembaharuan, kita mampu mencapai 5.5%, malah saya percaya adalah tidak mustahil untuk kita menghasilkan pertumbuhan 6%.

 

  1. Untuk merealisasikan sasaran besar ini:

 

  • Kita perlu membentuk integrasi ekonomi yang lebih besar dengan negara jiran lebih-lebih lagi dunia sedang berdepan dengan kekangan rantaian bekalan. Maka, kita perlu melahirkan lebih banyak syarikat tempatan yang berdaya saing tinggi untuk menembusi pasaran rantau ASEAN.

 

  • Usaha kita sekarang perlu melangkaui perjanjian perdagangan bebas. Misalnya melalui diplomasi perdagangan dan pengaturan strategik yang boleh mengembangkan integrasi pasaran bilateral dan multilateral serta memudahkan pergerakan barang, modal, modal insan dan perkongsian teknologi dengan negara jiran.

 

  • Selama ini, kita tertumpu kepada aktiviti sektor utama seperti elektrikal dan elektronik (E&E) dan kimia secara keseluruhan. Melangkah ke depan, misi baharu perindustrian di bawah NIMP akan menumpukan aktiviti dengan nilai tambah tinggi atau kecanggihan ekonomi. Misalnya, kluster di Pulau Pinang perlu menumpukan kepada aktiviti E&E bernilai tinggi seperti Integrated Circuit (IC) design. Sektor kimia pula, perusahaan petrokimia serta oleokimia perlu memberi tumpuan kepada aktiviti pembuatan kimia khusus (specialty chemicals).

 

  • Kerajaan akan memperkenalkan insentif cukai berasaskan pencapaian bagi mendukung dan memberi ganjaran kepada syarikat yang menumpukan aktiviti berdampak tinggi.

 

b.   Malaysia Sebagai Destinasi Pelaburan

 

  1. Kita mesti melaksanakan pembaharuan supaya Malaysia dapat tergolong antara 12 ekonomi terbaik di dunia dari segi daya saing dan “ease of doing business”. Maka, seharusnya diuar-uarkan ke seluruh pelosok dunia bahawa, Malaysia terbuka dan bersedia menerima kehadiran para pelabur dan perniagaan.

 

  1. Alhamdulillah, setakat ini beberapa syarikat telah menzahirkan komitmen pelaburan antaranya Sumitomo Corporation, Tesla, Rongsheng dan Samsung Engineering.

 

  1. Kita perlu memperhebat usaha bagi memastikan lebih banyak lagi memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan. Tumpuan akan diberikan bagi:

 

  • Memperkukuh agensi galakan pelaburan di bawah MIDA dengan tumpuan untuk mempergiatkan usaha menarik pelaburan dengan memudah cara urusan pelabur secara lebih proaktif;

 

  • Mengkaji semula insentif pelaburan supaya tertumpu kepada galakan pelaburan yang menjana pekerjaan berpendapatan tinggi serta daripada sumber tempatan; dan

 

  • Menaik taraf kawasan perindustrian dengan prasarana lengkap serta meningkatkan pembangunan modal insan bagi memenuhi keperluan pelabur. Antaranya sektor petrokimia di Kerteh, Terengganu dan ; pusat data di Sedenak, Johor dan industri hiliran getah di Kuala Nerang, Kedah. Sebagai permulaan, RM100 juta disediakan bagi usaha melengkapkan infrastruktur kawasan perindustrian terutamanya prasarana berkonsepkan hijau.

 

  1. Pada masa yang sama, pelaburan langsung domestik (DDI) turut ditetapkan sebagai salah satu petunjuk prestasi utama (KPI) bagi pencapaian pelaburan negara.

 

c.   Perniagaan: Syarikat Pemula – PMKS – Firma Tersenarai

 

  1. Kita perlu mengantarabangsakan syarikat pemula dan PKS tempatan. Kerajaan akan menumpukan usaha yang menyokong hasrat ini. Antaranya termasuklah:

 

Pertama:   melahirkan lebih banyak syarikat berjaya seperti Aerodyne dan Les Copaque melalui galakan kepada syarikat pemula dan PKS Bumiputera menceburi bidang pertumbuhan baharu. GLC dan GLIC perlu terus memacu pelaburan DDI dan menyokong pembangunan vendor tempatan dalam sektor strategik, seperti E&E, ekonomi digital dan aeroangkasa; dan

 

Kedua:      meningkatkan pembiayaan bagi memacu pertumbuhan eksport termasuk Program Pembangunan Syarikat Pertengahan serta Geran Pembangunan Pasaran (MDG) oleh MATRADE dengan peruntukan tambahan 20 juta ringgit.

 

  1. Pasaran modal juga perlu lebih rancak dengan membawa lebih banyak penyenaraian syarikat seterusnya melahirkan ‘unicorn’ tempatan baharu. Sistem perbankan dan pasaran modal hendaklah bertindak pantas dalam memenuhi keperluan pembiayaan perniagaan. Suruhanjaya Sekuriti akan membangunkan Dasar Pembaharuan Pasaran Kewangan dengan:

 

  • memudah cara pelaburan rakyat biasa (retail investors);

 

  • menarik lebih ramai pelabur untuk membiayai PMKS serta aktiviti pertumbuhan baharu negara; dan

 

  • meningkatkan tahap daya saing pasaran modal pada peringkat antarabangsa.

 

  1. Langkah awal juga telah dilaksanakan mulai bulan ini (Julai 2023), antaranya pengurangan duti setem atas transaksi saham yang tersenarai di Bursa Malaysia. Selanjutnya, langkah tahun ini termasuk memastikan pelaburan lebih mampu milik melalui penurunan saiz lot dagangan dan membolehkan perdagangan saham pecahan. Suruhanjaya Sekuriti juga akan membolehkan peralihan automatik untuk syarikat-syarikat yang tersenarai di pasaran ACE ke Pasaran Utama Bursa Malaysia.

 

  1. Malaysia menduduki tangga ke-20 dunia berdasarkan Laporan Ekosistem Syarikat Pemula Global 2023 dengan nilai ekosistem syarikat pemula Malaysia mencecah AS$46 billion bagi tempoh separuh pertama 2020 sehingga 2022. Melangkah ke hadapan, Kerajaan akan:

 

Pertama:    Kerajaan bersama dengan GLIC akan melabur RM1 bilion dana tambahan secara padanan dengan dana swasta bagi menyokong syarikat pemula tempatan dan mendorong technopreneur. Ini termasuk memastikan penyediaan dana bagi setiap fasa syarikat berpertumbuhan tinggi;

 

Kedua:      memperluas pelaksanaan program seperti Corporate Hackathon dan MYHackathon di bawah Pelan Hala Tuju Ekosistem Startup Malaysia (SUPER) 2021-2030 bagi mendekatkan rakyat dan syarikat pemula untuk mengatasi masalah yang dihadapi; dan

 

Ketiga:      memperuntukkan tambahan RM100 juta bagi mempergiatkan ekosistem R&D&C&I (penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi) dengan tumpuan kepada keperluan industri, tenaga boleh baharu, keterjaminan makanan serta aktiviti pertumbuhan baharu.

 

Ini juga sebahagian daripada usaha untuk mencapai Gross Domestic Expenditure on R&D (GERD) sebanyak 3.5% kepada KDNK menjelang tahun 2030 dan meningkatkan kedudukan kepada 20 teratas dalam Global Innovation Index (GII) menjelang 2025;

 

  1. Untuk memacu reformasi ekonomi digital, pelaksanaan Digital ID akan disegerakan bagi mengembangkan perniagaan dalam talian dan aplikasi berkaitan. Geran padanan digitalisasi akan ditambah RM100 juta bagi membantu PMKS menyegerakan peralihan model perniagaan kepada lebih digital.

 

d.   Peneraju Ekonomi Islam Global

 

  1. Usaha pembangunan negara yang holistik dan MADANI tidak mungkin tercapai tanpa sistem kewangan yang adil, ihsan dan berlandaskan maqasid syariah. Alhamdullilah, kita punyai sistem kewangan Islam yang serba lengkap. Sejak penubuhan Bank Islam 40 tahun lalu dan Lembaga Tabung Haji 60 tahun lalu, kewangan Islam kita diiktiraf sebagai terbaik dunia oleh penganalisis bebas. Hari ini, bahagian pasaran perbankan Islam daripada jumpah pembiayaan adalah sebanyak 44.5% (RM974.1 billion). Pasaran modal Islam pula kekal sebagai komponen utama pasaran modal Malaysia, menyumbang 64.3% (RM2,322 billion).

 

  1. Kendatipun begitu, setelah sekian lama kewangan Islam bertapak, kita perlu berubah kepada suatu yang lebih mampan dan berkesan. Dengan kata lain, kita hendaklah berhijrah daripada bukan sahaja Halal tetapi lebih dari itu, kepada Halal dan Tayyib. Alhamdullilah, usaha telah dimulakan BNM dan Suruhanjaya Sekuriti yang merangka arus Halalan Tayyiban ini melalui Malaysia International Islamic Financial Centre (MIFC) dengan kerjasama industri dan ekosistem kewangan Islam termasuk lembaga zakat & wakaf, sistem perbankan & pasaran saham Islam & sukuk.

 

  1. Usaha ini akan lebih menekankan pembiayaan ekuiti termasuk venture capital, equity crowdfunding dan ekonomi digital Islam, kewangan sosial Islam termasuk zakat, wakaf dan sadaqah, serta kaedah blended finance yang mengunakan dana daripada sumber yang lebih luas. Pembaharuan kewangan Islam juga bakal memanfaatkan pertumbuhan dana alam sekitar, sosial dan tatakelola (ESG) sedunia.

 

  1. Insya-Allah usaha-usaha ini akan dapat memantapkan lagi sistem kewangan Islam di Malaysia seterusnya memperkukuh kedudukan kita sebagai peneraju ekonomi Islam global.

 

e.   Usahawan Mikro dan Sektor Tidak Formal

 

  1. Kira-kira 79% PMKS terdiri daripada perniagaan mikro. Walaupun kebanyakannya ialah pemilik tunggal atau mewarisi perniagaan keluarga, mereka punyai potensi berkembang lebih besar dan menembusi pasaran luar andai diberi dorongan dan kemudahan sewajarnya.

 

  1. Belanjawan MADANI 2023 mengandungi lebih 70 inisiatif untuk perniagaan mikro dan kecil yang tertumpu kepada akses pinjaman dan jaminan pembiayaan. Banyak lagi yang mesti dilakukan. Kementerian Ekonomi telah memulakan pelaksanaan Inisiatif Pendapatan Rakyat bertujuan untuk memperkukuh rantaian bekalan perniagaan.

 

  1. Kerajaan amat mengalu-alukan syarikat pemula Malaysia seperti PolicyStreet, Dropee, Lapasar, dan Funding Societies yang boleh menjadi agen perubahan sektor PMKS melalui penyediaan pembiayaan alternatif seperti equity crowdfunding.

 

  1. Usahawan PMKS bergantung kepada permintaan domestik bagi meningkatkan hasil. Kejayaan pelaksanaan Program eBeliaRahmah (eBR), bukan sahaja memanfaatkan 2 juta belia, malah membantu sektor perniagaan menjana pendapatan mereka di samping membina sebuah masyarakat cashless.

 

  1. Melihat akan kejayaan dan impak besar program e-tunai kepada masyarakat, Kerajaan bersetuju untuk menawarkan kredit e-tunai sebanyak RM100 kepada semua rakyat dewasa Malaysia yang berpendapatan RM100,000 setahun dan ke bawah.

 

  1. Bilangan penerima yang layak dianggarkan melebihi 10 juta rakyat iaitu merangkumi golongan B40 dan M40 dengan dana sekitar
    RM1 bilion
    .

 

f.     Pertumbuhan Hijau Demi Ketahanan Iklim 

 

  1. Pembangunan rendah karbon penting bagi mengubah landskap ekonomi yang lebih mampan. Insya-Allah, petang ini akan diluncurkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional Malaysia (NETR). Matlamatnya adalah untuk mempercepat peralihan tenaga dan mengubah cara tenaga dijana di Malaysia demi memjamin ketahanan iklim.

 

  1. Antara ikhtiar utama termasuklah meningkatkan kapasiti penjanaan tenaga boleh baharu, pemasangan panel solar di bangunan Kerajaan, serta dasar perdagangan tenaga boleh baharu melalui sistem pasaran elektrik. Kita wajar mencontohi usaha Sarawak memperintiskan kenderaan menggunakan tenaga hidrogen serta CCUS (Carbon Capture, Utilisation & Storage). Kerajaan bercadang menyediakan insentif khusus bagi menggalak aktiviti pertumbuhan hijau baharu sebegini.

 

g.   Penggunaan Tanah & Keterjaminan Makanan

 

  1. Malaysia kaya dengan khazanah alam dan mempunyai hutan tertua di dunia. Sektor perladangan dan industri hiliran merupakan sumber penting ekonomi, namun kita perlu menilai semula pendekatan kita terhadap penggunaan tanah. Setakat ini, sejumlah 5.7 juta hektar tanah digunakan bagi tanaman kelapa sawit dan hampir 2 juta hektar lagi bagi tanaman getah.

 

  1. Salah satu ikhtiar adalah untuk mencipta aset biodiversiti dalam pasaran perdagangan karbon melalui usaha pemuliharaan dan penghutanan semula.

 

  1. Bagi menambah baik Tahap Sara Diri (SSL) serta meningkatkan keterjaminan makanan, Kerajaan akan memberi tumpuan kepada:

 

  • menambah keluasan tanaman tetapi mengoptimum penggunaan tanah-tanah perladangan sedia ada;

 

  • meningkatkan daya tahan sektor agromakanan melalui aplikasi teknologi pertanian bagi meningkatkan produktiviti untuk manfaat petani kecil. Ini termasuklah pendekatan pertanian regeneratif, tanaman berdaya tahan iklim serta penggunaan teknologi AI;

 

  • Kerajaan telah umumkan komitmen menambah baik infrastruktur pengairan kawasan MADA di Kedah & Perlis bagi meningkatkan produktiviti pengeluaran padi kepada 5 musim dalam tempoh 2 tahun melibatkan prasarana bernilai RM3 bilion;

 

  • Bagi menyediakan sokongan kepada industri makanan tempatan untuk meningkatkan pengeluaran, sejumlah RM200 juta disediakan di bawah Agrobank untuk membantu menyediakan kemudahan pembiayaan khususnya untuk aplikasi teknologi moden untuk pertanian.

 

(V)         TUMPUAN 2: PENINGKATAN DARJAT HIDUP RAKYAT

 

Saudara-saudari,

 

  1. Dengan pulangan hasil daripada sasaran ekonomi negara yang lebih tinggi, maka tumpuan kedua Kerajaan adalah untuk meningkatkan kualiti hidup seluruh rakyat Malaysia. Ini merangkumi keperluan perlindungan sosial untuk semua, pekerjaan dengan gaji bermakna serta perkongsian kekayaan bagi membina sebuah masyarakat yang lebih saksama dan sejahtera.

 

  1. Mengambil kira pendapatan dan kekayaan negara selama ini yang tertumpu kepada kumpulan atasan atau golongan elit mahakaya, penting supaya hasil negara yang meningkat kelak turut diagihkan secara saksama kepada golongan berpendapatan rendah dan menengah.

 

a.   Peluang Pekerjaan dengan Gaji Bermakna

 

  1. Kejayaan pembaharuan struktur ekonomi perlu dihitung setakat mana ia mampu mewujudkan lebih banyak pekerjaan dengan gaji yang bermakna kepada rakyat Malaysia.

 

  1. Kadar upah dan gaji buruh berbanding jumlah keseluruhan pendapatan di Malaysia adalah sebanyak 32.4% bagi tahun 2022. Bagi mencapai perkongsian ekonomi yang lebih seimbang, Kerajaan akan melaksanakan dasar yang menyokong peningkatan upah berbanding KDNK kepada tahap 45% selaras dengan tahap negara lebih maju.

 

  1. Antara usaha termasuklah kajian semula tahap gaji minimum serta memperkenalkan undang-undang yang menjamin persekitaran kerja yang selamat dan selesa. Selain pelaksanaan gaji minimum, Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sumber Manusia sedang memperhalusi model gaji progresif ke arah kenaikan pendapatan yang lebih terangkum. Peningkatan pendapatan selaras dengan produktiviti adalah kritikal bagi memastikan tahap kualiti hidup yang bermakna dalam menangani cabaran kos sara hidup.

 

  1. Kita juga perlu mengurangkan kebergantungan pada buruh asing kurang mahir yang menyumbang kepada nilai gaji keseluruhan yang rendah. Ini juga mengurangkan moral dan insentif majikan untuk berinovasi dan meningkatkan tahap berdaya saing. Kerajaan berhasrat melaksanakan levi pekerja asing berperingkat (tiered foreign worker levies), iaitu sebahagian peningkatan hasil levi akan dikhususkan untuk program automasi serta latihan untuk pekerja tempatan.

 

b.   Kesaksamaan Peluang

 

  1. Kita mengakui bahawa majoriti rakyat termiskin ialah kaum Melayu dan Bumiputera; ini perlu kita bantu. Tetapi kita juga punyai kelompok kecil kaum lain yang hidup melarat. Maka, setiap rakyat Malaysia tanpa mengira jantina, kaum atau latar belakang perlu mempunyai peluang yang saksama bagi mengecap kejayaan yang bermakna sama ada dalam kerjaya atau perniagaan mereka. Kita mahu setiap insan di Malaysia berpotensi meraih peluang yang saksama dalam mewujudkan kemakmuran di negara ini.

 

  1. Atas prinsip keadilan sosial, kita perlu memberi peluang yang saksama khususnya melibatkan pemberian bantuan yang lebih kepada golongan yang terpinggir. Selaras dengan itu, pemberian biasiswa dan pendidikan sekolah berasrama penuh akan mengutamakan golongan berpendapatan rendah. Pengalaman saya sewaktu Menteri Pendidikan dahulu adalah dengan mewujudkan sebuah sekolah di Cheras bagi membantu pelajar miskin. Saya memegang pada prinsip bahawa hanya melalui pendidikan berkualiti rakyat berupaya dikeluarkan daripada belenggu kemiskinan.

 

  1. Bagi mendukung peluang keusahawanan, program latihan dan pembiayaan akan dipergiatkan untuk golongan sasar, termasuk wanita dan belia. Sukacita diumumkan, Kerajaan akan menambah lagi peruntukan RM400 juta untuk pinjaman mikro di bawah agensi termasuk SME Corp, Tekun, MARA dan Teraju.

 

  1. Bagi mengurangkan jurang pembangunan antara wilayah serta antara negeri maju dan kurang membangun, Kerajaan akan melaksanakan dasar perindustrian mengikut geografi iaitu pengkhususan aktiviti dan pelaburan mengikut wilayah supaya sejajar dengan kelebihan serta tahap pembangunan setiap wilayah. Misalnya, mengukuhkan pembangunan industri hiliran minyak dan gas di Sabah dan Terengganu atau meningkatkan aktiviti nilai tambah elektronik di Kulim dan Bayan Lepas.

 

  1. Lembah Klang akan terus dibangunkan supaya berdaya saing sebagai antara pusat bandar utama di Asia. Tumpuan akan terus diberikan untuk meningkatkan daya huni (liveability) Lembah Klang dan kemampanan bandar supaya mampu berperanan sebagai hab rantau ASEAN bagi syarikat terkemuka. Sebahagian daripada pembaharuan Kuala Lumpur adalah untuk membangun semula Bangunan Sultan Abdul Samad dan persekitarannya selaras dengan Pelan Induk Strategik Daerah Kreatif dan Kebudayaan Kuala Lumpur supaya memanfaatkan warisan sejarahnya untuk mewujudkan tarikan pelancongan moden.

 

  1. Kerajaan akan terus memperkukuh pembangunan Iskandar Malaysia di Johor melalui pewujudan zon khas kewangan yang berdaya saing bagi menarik pelabur antarabangsa dan pekerja berpengetahuan menetap di Malaysia. Kemudahan yang akan ditawarkan kepada syarikat dan individu yang layak antaranya pemberian insentif cukai kadar cukai khas, pemberian kadar cukai 15% kepada pekerja berpengetahuan dan kemudahan laluan pantas di imigresen untuk memudah cara kemasukan golongan berkepakaran dari luar negara.

 

  1. Jurang jantina dalam pasaran buruh juga harus dirapatkan. Kita tidak boleh menafikan penyertaan buruh wanita masih di tahap rendah sekitar 55.5%, ketimbang lelaki, 80.9%. Perlunya usaha tuntas dari aspek perundangan dan kawal selia serta program sokongan bagi menggalakkan para ibu untuk kembali bekerja.

 

  1. Ini termasuk menangani isu sistemik seperti kerja-kerja penjagaan tanpa gaji, diskriminasi jantina serta dasar sokongan keluarga. Sebagai salah satu inisiatif Ekonomi Penjagaan (Care-Economy), usaha segera termasuklah menyediakan pusat jagaan kanak-kanak mampu milik yang dilihat berupaya meningkatkan kadar penyertaan wanita di alam pekerjaan. Kerajaan juga akan memudah cara proses pendaftaran dan memperluas program pemutihan taska dan pusat penjagaan kanak-kanak yang belum berdaftar di seluruh negara dengan peruntukan RM10 juta.

 

  1. Banyak lagi yang perlu dilakukan bagi memastikan tahap penyertaan yang lebih tinggi oleh wanita di alam pekerjaan. Matlamatnya kita adalah untuk meningkatkan kadar penyertaan buruh wanita untuk mencecah 60% supaya lebih setanding dengan ekonomi serantau.

 

c.   Jaringan Perlindungan Sosial Untuk Semua

 

  1. Saya beri jaminan Kerajaan ini akan memastikan semua rakyat Malaysia akan dilindungi, pada bila-bila masa. Kerajaan akan memperluas jaringan perlindungan sosial untuk semua bagi melindungi rakyat sekiranya berlaku hal-hal tidak diingini. Anak-anak kecil mungkin kehilangan ibu bapa tanpa diduga. Golongan dewasa, berdepan pengangguran dan kecederaan atau penyakit, termasuk warga emas.

 

  1. Tiga tunjang Program Perlindungan Sosial yang menyeluruh merangkumi:

 

a) Pencegahan melalui Insurans Sosial. Kerajaan telah menyediakan peruntukan RM100 juta bagi tahun 2023 untuk menyediakan 80% geran bagi membiayai caruman PERKESO pekerja gig. Walau bagaimanapun menurut data KWSP, lebih 40% tenaga buruh tidak mendapat perlindungan untuk simpanan persaraan sewajarnya terutamanya melibatkan pekerja tidak formal. Oleh itu, dicadangkan diperluaskan liputan perlindungan KWSP dan PERKESO ke atas populasi umur bekerja secara berperingkat mengikut fasa.

 

b) Kemampanan Simpanan Persaraan. Penambahbaikan akan dilakukan bagi memastikan tahap simpanan persaraan yang mencukupi untuk menampung kehidupan rakyat Malaysia yang akan menempuh alam persaraan.

 

c) Perlindungan melalui Bantuan Sosial. Pelbagai program bantuan tunai dan program Rahmah akan diteruskan dan ditambah baik untuk memastikan jaringan keselamatan sosial terus ditingkatkan.

 

  1. Kerajaan akan terus mengukuhkan sistem insurans pekerjaan serta program latihan semula bagi menyediakan penganggur dengan pekerjaan. Pendekatan ini selaras dengan peralihan daripada melindungi pekerjaan kepada melindungi pekerja (from protecting jobs to protecting the worker) dalam konteks ekonomi yang cepat berubah.

 

d.   Reformasi Perkhidmatan Kesihatan

 

  1. Akses kepada Kesihatan dan Pendidikan berkualiti merupakan keutamaan pertama Kerajaan dan peruntukan akan ditingkatkan sejajar dengan kemampuan kewangan Kerajaan. Selaras dengan itu, Kerajaan berhasrat untuk meningkatkan kedudukan Malaysia ke tangga ke-25 dalam UN Human Development Index yang mengambil kira keberhasilan kesihatan dan pendidikan. Kemampanan sistem kesihatan amat penting bagi menjamin kesejahteraan rakyat yang hakiki. Sepertimana disarankan dalam Kertas Putih Kesihatan, Kerajaan komited ke arah sasaran 5% KDNK untuk perbelanjaan perkhidmatan kesihatan dengan mengoptimumkan sistem kesihatan awam dan swasta.

 

  1. Kertas Putih Kesihatan merangkumi strategi untuk tempoh 15 tahun bermatlamat mewujudkan sistem kesihatan yang lebih mampan, berdaya tahan dan berkualiti ke arah meningkatkan tahap kesejahteraan rakyat dan akses kepada kesihatan buat semua. Antara pendekatan yang akan diambil termasuklah penjagaan kesihatan di tahap primer yang bersifat keseluruhan masyarakat (whole of society).

 

  1. Penyediaan akses kesihatan yang berkualiti ini dizahirkan dengan pembinaan Pusat Kawalan Penyakit Negara dengan nilai kos projek
    RM305 juta di Negeri Sembilan yang berperanan bukan sekadar sebagai pusat rujukan penyakit tetapi juga sebagai kemudahan mempersiapkan negara dalam menghadapi sebarang kemungkinan pandemik pada masa akan datang.

 

  1. Selain itu, anjakan paradigma baharu termasuklah peralihan pendekatan kesihatan awam daripada merawat pesakit kepada pencegahan penyakit iaitu sifat kendiri rakyat akan diperkasakan bagi mengekalkan, melindungi dan menambah baik kesihatan kendiri.

 

e.   Reformasi Pendidikan dan Sumber Manusia

 

  1. Pendidikan ialah hak asasi setiap rakyat. Kita mesti memastikan langkah terbaik bagi menangani peningkatan bilangan anak-anak yang tercicir daripada sistem pendidikan. Kemahiran asas membaca, menulis, mengira dan menaakul diberi penekanan agar anak-anak kita tidak ketinggalan.

 

  1. Kerajaan akan terus menyediakan persekitaran sekolah yang selesa serta kemudahan yang terbaik buat anak-anak. Pelbagai usaha telah kita lakukan: khususnya menambah peruntukan, mudahkan tatacara perolehan serta menurunkan kuasa pelaksanaan (decentralisastion) bagi mempercepat pelaksanaan projek-projek sekolah dan menambah baik sekolah-sekolah daif.  Pada masa yang sama, projek JENDELA diteruskan bagi memastikan semua sekolah dilengkapi dengan internet.

 

  1. Sekian lama, pendidikan bersifat penawaran (supply driven). Supaya lebih mantap memenuhi keperluan pembangunan, sistem pendidikan negara perlu lebih berminda permintaan (demand driven) terutamanya dalam mengeratkan kerjasama dengan industri dan majikan, terutamanya dalam pelaksanaan TVET, seperti lama dilaksanakan di institusi PSDC.

 

  1. Menyedari hakikat bahawa kita kini hidup dalam ekonomi global yang sentiasa berubah dan mencabar, maka perlunya sebuah pendekatan pembelajaran sepanjang hayat yang lebih progresif untuk semua rakyat Malaysia. Kita perlu menyediakan laluan pembelajaran sepanjang hayat dalam apapun kemahiran yang ingin rakyat pelajari, sama ada di universiti, institusi TVET, mahupun kemahiran micro credentials yang diperlukan.

 

  1. Untuk tujuan ini, Kerajaan melalui PERKESO menyediakan peruntukan sebanyak RM42 juta bagi Program Bina Kerjaya iaitu program peningkatan kemahiran (upskilling) untuk pekerja tidak formal, termasuk pekerja gig dengan kelayakan SPM dan ke bawah.

 

f.     Infrastruktur dan Pengangkutan Awam

 

  1. Penyatuan pengurusan pengangkutan awam darat supaya semua aset sedia ada dapat dioptimumkan dengan menumpukan usaha membina rangkaian pengangkutan awam antara bandar dan dalam bandar yang lebih baik; serta menambah baik isu jaringan terakhir (last mile connectivity) melalui kaedah cekap kos termasuk bas elektrik.

 

  1. Bagi menambah baik jaringan kesalinghubungan udara untuk rakyat dan pelancong, Kerajaan telah mengumumkan hasrat untuk melaksanakan pembesaran lapangan terbang Pulau Pinang dan Subang. Kerajaan juga komited untuk menambah baik prasarana pengangkutan bagi bandar utama termasuk pelaksanaan Bas Rapid Transport di Johor Bharu dan LRT di Pulau Pinang. Pelaksanaan MRT3 di Lembah Klang juga akan diteruskan pelaksanaannya setelah memastikan kos projek yang munasabah untuk Kerajaan.

 

g.   Kemudahan Asas

 

  1. Kerajaan ini berikrar memastikan semua rakyat menikmati akses yang universal dari segi infrastruktur asas sama ada bekalan air atau elektrik. Rakyat di kawasan desa wajar punyai perkhidmatan asas bertaraf dunia. Setakat 2022, 97% penduduk Malaysia mempunyai akses kepada bekalan air terawat.

 

  1. Namun, sebahagian penduduk di Kelantan dan Sabah tidak mempunyai akses kepada bekalan air yang konsisten dan berkualiti. Kerajaan Perpaduan komited menangani isu ini dan bersetuju untuk menyediakan keseluruhan RM800 juta tambahan bagi penyelesaian jangka pendek untuk kedua-dua negeri ini.

 

  1. Selain itu, Kerajaan akan menyegerakan pelaksanaan projek tebatan banjir, seperti di Kelantan, Pahang, Selangor dan Johor demi melindungi masyarakat setempat daripada ditimpa bencana banjir.

 

h.   Perumahan Mampu Milik untuk Semua

 

  1. Perumahan juga merupakan keperluan asas yang mesti diberi tumpuan. Terdapat ketidakpadanan antara penawaran bekalan rumah baharu dan tahap kemampuan pada sudut permintaan.

 

  1. Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan sedang mengusahakan Pelan Tindakan Perumahan Negara yang antaranya merangkumi keperluan bekalan rumah berpandukan metrik seperti catuan harga rumah median untuk pendapatan median. Penyediaan perumahan awam turut diteruskan di samping merancakkan pasaran sewa sebagai usaha memenuhi keperluan perumahan.

 

  1. Kerajaan mendengar keluh kesah rakyat berkaitan hasrat untuk memiliki rumah pertama yang tertangguh kerana tidak mampu menyediakan deposit pembelian rumah. Maka, Kerajaan menambah baik skim pinjaman di bawah Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) dengan menyediakan jaminan pembiayaan sehingga 120% dari harga rumah bernilai sehingga RM300,000. Jaminan 120% akan membolehkan semua kos-kos pemilikan rumah ditampung melalui pinjaman termasuk jumlah pembiayaan pokok, yuran guaman, yuran penilaian dan insurans serta pembelian perabut dan kos ubahsuai. Sehubungan itu, jaminan Kerajaan sehingga RM5 bilion akan disediakan.

 

(VI)       TATAKELOLA BAIK BAGI MENGEMBALI KEYAKINAN

 

  1. Kerangka ini hanya berhasil dengan dukungan dan kepercayaan semua pihak terhadap Kerajaan. Hanya dengan tatakelola yang baik serta sistem penyampaian perkhidmatan yang tangkas sahaja yang mampu merealisasikan hasrat ini. Pembaharuan struktur, sistem dan institusi perlu dilakukan segera kerana ini yang akan menggerakkan Malaysia ke sasaran yang ingin dicapai.

 

  1. Peralihan Kerajaan Persekutuan kali pertama dalam sejarah secara aman selepas 61 tahun pada 2018 tidak dapat dicapai tanpa kematangan institusi. Apabila kita membentuk Kerajaan Perpaduan selepas PRU 15, ia ternyata satu detik penting yang membuktikan kematangan dalam menghidupkan demokrasi.

 

  1. Reformasi Parlimen yang diusahakan sejak 2018 akan dipertingkatkan. Dewan Rakyat perlu diberi peranan yang lebih luas – serta menilai prestasi cabang eksekutif dan akauntabiliti badan-badan berkanun yang dibiayai oleh dana awam. Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen telah dibentuk dan peranan mereka dalam perundangan dan pengawasan akan ditetapkan melalui pindaan kepada Peraturan Tetap. Kerajaan juga telah memperkenalkan Sesi Pertanyaan Perdana Menteri untuk membolehkan interaksi secara langsung antara Perdana Menteri dengan Ahli Yang Berhormat Kerajaan dan Pembangkang.

 

  1. Kerajaan akan terus bekerjasama dengan Parlimen, termasuk cadangan pemansuhan sebarang akta yang mungkin mempunyai tujuan pada masa lalu tetapi kini sudah lapuk malah bercanggah dengan hasrat Malaysia MADANI.

 

  1. Bagi menjamin ketelusan, kebebasan media juga harus diangkat dan diperkasakan. Ini penting sebagai usaha untuk memberikan rakyat berita dan maklumat yang adil dan benar di samping menangani semua jenis pembohongan jahat dan berita palsu yang boleh menyemai perpecahan dan ketidakpercayaan.

 

  1. Saya amat teruja untuk mengatakan bahawa Kerajaan telah memulakan revolusi digital. Kerajaan akan memudah cara penyampaian perkhidmatan dan memanfaat sepenuhnya agenda pendigitalan ke tahap tertinggi.

 

  1. Urusan seharian akan mudah dan di hujung jari sama ada untuk membayar bil, memfailkan cukai, atau memperbaharui pasport dan lesen dilaksanakan secara dalam talian. Untuk memperkasa usaha ini, Kerajaan akan menubuhkan GovTech Malaysia dengan meningkatkan keupayaan Kerajaan untuk menerajui usaha meningkatkan kualiti data awam, inovasi awam, dan perkhidmatan awam.

 

  1. Bagi mencapai objektif Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat, faktor kejayaan utama ialah pelaksanaan. Sehubungan dengan itu, bagi memperkukuh dan melaksanakan pembaharuan sistem penyampaian perkhidmatan awam, penekanan akan diberikan kepada:

 

i. Pengukuhan pemantauan dan penyelesaian masalah berbangkit;

 

ii. Pelaksanaan tangkas dalam melaksanakan pembaharuan; dan

 

iii. Tatakelola terbaik tanpa menjejaskan kesegeraan pelaksanaan.

 

  1. Pasukan petugas STAR yang diterajui Tan Sri KSN telahpun melaksanakan penyelesaian masalah seperti kesesakan di hospital serta kelewatan pembaikan sekolah daif. Pendekatan ‘Think Big, Start Small, Scale Fast’ akan terus diamalkan bagi memperintiskan pendekatan baharu.

 

  1. Ke arah menyokong pertumbuhan ekonomi, penyampaian perkhidmatan Kerajaan akan terus dimudah cara. Antaranya urusan imigresen akan dipermudah termasuk melonggarkan syarat MM2H serta memudah cara kemasukan pelancong secara VOA (Visa on Arrival).

 

  1. Kerajaan terus komited untuk menyelaraskan gaji penjawat awam melihat kepada kemampuan kewangan Kerajaan. Maka, sementara kajian gaji dan elaun diperincikan, Kerajaan akan menyediakan bantuan khas penghargaan sebanyak RM300 kepada penjawat awam gred 56 dan ke bawah serta RM200 kepada pesara Kerajaan termasuk pesara berpencen, penerima pencen terbitan, pesara KWSP, pesara bersara pilihan dan belum menerima pencen, veteran berpencen serta veteran tidak berpencen. Bantuan khas ini akan memanfaatkan 1.3 juta penjawat awam termasuk lantikan kontrak serta lebih sejuta pesara. Dengan pemberian permulaan ini diharap penjawat awam akan terus berusaha gigih untuk menyokong hasrat melaksanakan pembaharuan Ekonomi MADANI, memberi perkhidmatan terbaik sekali gus membantu ruang fiskal Kerajaan agar hasrat Kerajaan untuk merealisasikan gaji baharu perkhidmatan awam menjadi kenyataan.

 

  1. CSO tidak lagi boleh dianggap hanya memberi perkhidmatan sosial, tetapi boleh terlibat dalam aktiviti komersial dan pengembangan ekonomi. Terdapat banyak model perusahaan sosial yang menghasilkan produk yang menjana pendapatan masyarakat.

 

  1. Melangkah ke hadapan, lebih banyak insentif dan layanan cukai akan ditawarkan bagi mengembangkan sektor perusahaan sosial menjadi sektor ekonomi yang bermakna. Kita juga perlu menilai semula konsep perkongsian awam-swasta (PPP) sedia ada untuk menjadi perkongsian dermawan-awam-swasta (PPPP).

 

a.   Reformasi Fiskal dan Tadbir Urus

 

  1. Keutamaan saya yang paling utama dalam tempoh terdekat adalah untuk membina semula kapasiti fiskal negara. Kami semua sedia maklum berkenaan situasi hutang negara. Sekiranya tidak dilakukan sebarang pembaharuan, kita akan berhadapan dengan krisis yang sangat serius, yang pastinya akan menjejaskan struktur negara.

 

  1. Hasil cukai tidak dapat menampung perbelanjaan operasi, dan kita perlu meminjam untuk perbelanjaan pembangunan. Peratusan hasil cukai ketimbang KDNK telah menurun; iaitu 12% kepada KDNK, paling rendah dalam kalangan negara-negara serantau.

 

  1. Kita juga membelanjakan banyak wang untuk pelbagai subsidi dan kebanyakan faedah subsidi ini tiris kepada mereka yang bukan kumpulan sasar. Kita memerlukan mekanisme subsidi yang lebih cekap dan bersasar supaya jumlah pendapatan yang terhad dibelanjakan untuk mereka yang paling memerlukannya.

 

  1. Walaupun pembaharuan fiskal diperlukan, Kerajaan ini menjamin tidak akan sekali-kali mengabaikan nasib rakyat dalam menghadapi cabaran kos sara hidup dan akan terus menyediakan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

 

(VII)     PENUTUP

 

  1. Kerangka Ekonomi MADANI ini adalah untuk memperkasa seluruh entiti negara bermula dari Rakyat, Kerajaan, pertubuhan bukan Kerajaan dan sektor swasta. Kita semua perlu bertekad  merangkul seluruh kekuatan dan tenaga bagi menjayakan iltizam ini.

 

  1. Setiap kementerian mulai hari ini akan mengumumkan ikhtiar-ikhtiar yang lebih khusus bagi memperkukuh inisiatif baharu Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat

 

  1. Pada masa yang sama, usaha memperkasa ekonomi negara agar rakyat lebih mandiri dalam menghadapi cabaran semasa akan tetap berterusan dan terus ditambah baik. Malah, denyut nadi dan aspirasi rakyat segenap Malaysia akan tetap menjadi perhatian Kerajaan Perpaduan ini.

 

  1. Ekonomi juga punya sisi budaya dan komitmen manusiawi melalui penegakan moral ekonomi. Ekonomi tidak dapat dibangun semata-mata dengan institusi, teknologi dan infrastruktur. Pembangunan ekonomi memerlukan dukungan the right culture atau budaya yang tepat. Ia memerlukan dukungan etos kerja yang kuat, nilai motivasi serta moral yang tinggi. Malah lebih daripada itu ianya memerlukan kekuatan rohaniah-spiritual dalam wacana pengurusan ekonomi konvensional, kerana menerusi kekuatan moral serta ruhaniah-spiritual inilah adalah pembawa barakah hasanatan fi al-dunya dan hasanatan fi al-akhirah yang diaspirasikan melalui Malaysia MADANI.

 

  1. Akhirul kalam, izinkan saya berkongsi petikan daripada Shihāb al-Dīn al-Nuwayrī, The Ultimate Ambition in the Arts of Erudition.

 

“The leader must spread out a carpet of justice for his people, erect a tent of security, and fly the banners of forbearance with their fluttering tassels. He must pour out rivers of charity for them, restraining the hands of iniquity from reaching them, while showering them with the rain clouds of noble deeds. The most important of all the aforementioned qualities is justice.”

 

  1. Saya dengan sukacita meluncurkan EKONOMI MADANI: MEMPERKASA RAKYAT.

 

Sekian, terima kasih.

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.