PUTRAJAYA, 26 Julai — Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini hari ini bersempena lawatan negara beliau ke Malaysia selama tiga hari bagi membincangkan langkah-langkah untuk menyemarakkan lagi hubungan dua hala kedua-dua negara.
Marcos disambut Anwar sejurus ketibaannya di Perdana Putra, yang menempatkan Pejabat Perdana Menteri pada pukul 3.23 petang dan menandatangani buku pelawat sebelum menuju tingkat lima bangunan itu untuk perbincangan dengan Anwar.
Kedua-dua pemimpin dijangka bertukar-tukar pandangan mengenai hubungan dua hala, serantau dan isu antarabangsa yang menyentuh kepentingan bersama semasa lawatan sulung Marcos ke Malaysia.
Mesyuarat itu juga akan mengenal pasti bidang kerjasama baharu dalam ekonomi antara kedua-dua negara dengan antara sektor tumpuan ialah pertanian, keterjaminan makanan, ekonomi digital dan pelancongan.
Turut hadir ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang dan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul.
— BERNAMA
Similar Posts:
- PM ANWAR IBRAHIM DIBERI SAMBUTAN RASMI DI ISTANA KEPRESIDENAN BOGOR
- PM ANWAR TERIMA ANUGERAH IJAZAH KEHORMAT UNIVERSITI FILIPINA
- TIGA PERJANJIAN LIBATKAN EKONOMI HIJAU, DIGITAL, KESELAMATAN SIBER DIMETERAI DI SINGAPURA – PM ANWAR
- PM ANWAR TERIMA KUNJUNGAN HORMAT MENTERI LUAR SINGAPURA
- PM, SULTAN BRUNEI ADAKAN PERTEMUAN, TINGKATKAN HUBUNGAN DUA HALA