PM ANWAR MAHU SISTEM PEROLEHAN ASET TENTERA DIROMBAK 


KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu sistem perolehan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dirombak bagi memastikan tiada lagi pihak luar akan dapat mengaut komisen yang keterlaluan daripada proses perolehan aset.

Beliau berkata rombakan itu harus dibuat kerana kesiapsiagaan kelengkapan aset pertahanan negara seperti kapal, pesawat dan kereta kebal  tidak selaras dan sejajar dengan pertumbuhan ekonomi serta kedudukan geopolitik dan strategik Malaysia.

“Mengapa saya pilih sebut perkara ini kepada saudara sekalian kerana bagi veteran, bagi pasukan tentera dan tentunya bagi kita semua rakyat, kesiapsiagaan negara dalam bidang pertahanan itu adalah urusan yang penting.

Jadi kita anjurkan (sarankan) kepada pimpinan tentera bahawa sistem perolahan mesti dirombak, tidak boleh lagi campur tangan daripada pihak luar.

“Ketua-ketua turus dipertanggungjawabkan untuk memilih kapal perang, pesawat, kereta kebal dan kelengkapan lain yang terbaik dan tidak lagi mengulangi kerenah, merompak melalui komisen keterlaluan sehingga kelengkapan kita ini kurang keupayaan untuk medan pertahanan yang mantap,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Pemerkasaan Usahawan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Wisma Perwira ATM, di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata dalam menjaga kestabilan dan keamanan negara, keupayaan aset pertahanan adalah satu perkara yang tidak boleh dimungkiri (dipandang remeh), walaupun beliau pasti ada pihak yang akan meremehkan usaha kerajaan menambah peruntukan perbelanjaan bagi memperkasakan keupayaan ATM.

“Saya ingin beritahu di sini, tanggungjawab kita ialah untuk memberikan satu gambaran dan dasar serta menetapkan dasar agar keupayaan keselamatan dan pasukan pertahanan negara lengkap dan mantap.

Jadi hentikan cara dan amalan lama. Saya tidak peduli walaupun kita disanggah (dilawan) di luar kerana kita bicara (bertegas) tentang soal tatakelola rasuah dan komisen berlebihan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata dalam pada pasukan tentera dan badan berkuasa lain bertungkus lumus menjaga keselamatan negara, adalah wajar juga untuk kemudahan asas dan kebajikan golongan berkenaan ditambah baik bagi menghargai pengorbanan yang dilakukan.

Oleh itu, sebagai Menteri Kewangan, Anwar memaklumkan beliau telah meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM200 juta tahun ini untuk menaik taraf kelengkapan dan rumah daif pasukan tentera, serta RM40 juta untuk perumahan polis termasuk di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom).

“Kalau tidak, kita minta mereka mempertahankan negara tetapi kita masih dengar kemudahan-kemudahan asas yang tidak lengkap,” kata beliau pada majlis itu yang turut dihadiri Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan.

— BERNAMA

PUTRAJAYA, 31 Julai (Bernama) — Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini berkenan berangkat ke Istiadat Perbarisan sempena Sambutan Hari Pahlawan 2023 di Dataran Pahlawan Negara di sini.

Istiadat sambutan Hari Pahlawan anjuran Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkonsepkan perbarisan statik melibatkan enam detasmen terdiri daripada PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM), pesara serta bekas anggota polis.

Acara dimulakan dengan lagu Negaraku diiringi 21 das tembakan meriam yang disempurnakan oleh anggota ATM, dan diikuti dengan pemeriksaaan kawalan kehormatan utama oleh Al-Sultan Abdullah.

Perbarisan Hari Pahlawan melibatkan 18 pegawai dan 652 anggota lain-lain pangkat daripada PDRM dan ATM yang diketuai oleh Supt Mohd Rezuan Juragan.

Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hassan dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Hadir sama Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Affendi Buang dan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.

Istiadat kemudian diteruskan dengan tiupan Paluan Akhir yang dikenali sebagai ‘last post’ dengan menurunkan Jalur Gemilang diikuti dengan deklamasi sajak berjudul ‘Pahlawanku’ disampaikan oleh Sarjan Roseshini Kasim dan Pegawai Waran I Yomen Morzelan Md Jusoh.

Pantomim khas oleh PDRM turut dipersembahkan pada istiadat itu yang berkisarkan kepada tragedi berdarah di Lahad Datu, Semporna Sabah sedekad lalu, namun kali ini mengisahkan pencerobohan di Kampung Air Sri Jaya, Simunul, Semporna, Sabah.

Bertajuk Op Daulat Kampung Simunul, persembahan pantomim hasil karya Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Seri Hazani Ghazali itu membawakan kisah tragedi hari kedua pencerobohan pengganas Sulu di Kampung Simunul atau Kampung Air Simunul selepas serangan berlaku di Kampung Tanduo.

Suasana sedih dan pilu terserlah di wajah Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah serta beberapa tetamu kehormat ketika menyaksikan persembahan pantomim yang dipersembahkan oleh 150 pegawai dan anggota polis serta ahli keluarga pegawai dan anggota polis yang terkorban dalam tragedi berdarah itu.

Yang di-Pertuan Agong turut berkenaan mencemar duli menyantuni ahli keluarga mangsa yang terkorban selepas persembahan tamat.

Sambutan Hari Pahlawan pada setiap 31 Julai merupakan antara usaha dan keprihatinan kerajaan dalam mengenang jasa perwira tanah air yang gugur ketika mempertahankan kedaulatan negara

— BERNAMA

KUALA LUMPUR, 30 Julai — Kerajaan meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM50 juta bagi memperluas konsep Rahmah yang diusahakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peruntukan tambahan itu membolehkan kementerian memastikan rakyat di setiap Dewan Udangan Negeri (DUN) seluruh negara mendapat manfaat daripada konsep berkenaan.

“Saya mahu perjuangan Rahmah ini diperluaskan…kementerian ada mengusulkan kalau boleh kita perluas di kawasan DUN, saya akan pastikan untuk menyegerakan pelaksanaan ini berperingkat dan kita luluskan tambah RM50 juta.

Kita lakukan ini kerana ia menyentuh secara langsung golongan berpendapatan rendah kerana tidak ada makna bicara soal rahmah, tiada makna bicara soal perjuangan, tiada erti bicara soal ihsan, belas kasihan dan prihatin kalau soal makanan mereka (rakyat) pun tidak terjamin,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada majlis penutupan Hari Pengguna Kebangsaan 2023 di Pavilion Bukit Jalil, di sini hari ini.

Anwar turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan inisiatif itu kerana berjaya memaknai erti ihsan dan rahmah yang diketengahkan menerusi konsep Malaysia MADANI dan  mahu mereka mempertahankan rekod yang dipamerkan agar rakyat terus mendapat manfaatnya.

Beliau percaya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh dan pegawai di kementerian yang terlibat dalam membawa agenda itu ke hadapan.

“Pertahankan rekod dan tekad lagi. Ada kejayaan awal yang dilakukan dan perbelanjaan juga tinggi serta kerjasama ramai syarikat yang saya tak dapat nak sebut kerana ramai sekali.

Saya beritahu Salahuddin (Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub) sebelum ini bila kerajaan ambil inisiatif Rahmah dan disambut oleh restoran, kedai dan toko-toko, saya sangat rasa terharu dan kita patut adakan satu majlis penghargaan kepada mereka,” kata Anwar.

Salahuddin, yang merupakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup meninggal dunia pada 23 Julai lepas.

Semasa hayatnya beliau  amat komited dalam memperjuangkan nasib rakyat terutama berkaitan kos sara hidup.

Kementerian yang diterajuinya itu menggerakkan inisiatif Payung Rahmah dengan pelbagai program untuk membantu golongan sasar antaranya Jualan Rahmah iaitu program jualan murah sepanjang tahun 2023 oleh pasar raya besar dan pasar raya dan Bakul Rahmah yang menyasarkan sumbangan berbentuk bakul makanan (keperluan harian) bernilai RM100.

Barangan keperluan itu adalah beras, gula, minyak masak, tepung, susu pekat, bihun dan telur yang akan disumbangkan oleh rakan strategik kepada kumpulan sasar.

Menu Rahmah pula adalah program kementerian itu bersama rakan strategik yang terdiri daripada Pengusaha Kedai Makanan (Bermasak) dan Persatuan Pengusaha Restoran dan Gerai Makanan dalam usaha kerajaan membantu serta mengurangkan kos sara hidup terutama golongan miskin tegar dalam kalangan B40.

— BERNAMA

SHAH ALAM, 29 Julai — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu program memperingati Rasulullah SAW seperti Majlis Darul Ehsan Berselawat 2.0 yang diadakan di Selangor diteruskan ke seluruh pelusuk negara.

Beliau berkata ini kerana program seumpama itu berupaya mengetuk pintu hati ummah untuk mengingati dan mencintai junjungan Nabi Muhammad SAW.

“Terima kasih kepada Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari yang memeriahkan Selangor dengan gegaran selawat dan selepas Selangor, kita akan jelajah seluruh negara selepas Pilihan Raya Negeri,” katanya ketika berucap pada Majlis Darul Ehsan Berselawat 2.0 di Stadium Tertutup Malawati malam ini.

Perdana Menteri berkata negara MADANI pimpinan beliau ditegakkan dengan nilai dan akhlak mengikut contoh Nabi Muhammad SAW dan seharusnya kesedaran untuk mengingati serta berselawat kepada baginda disebarkan ke seluruh Malaysia yang tercinta.

Majlis Darul Ehsan Berselawat 2.0 anjuran Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) dengan kerjasama Pertubuhan Damai dan Cinta Insani (Pendamai) merupakan kesinambungan program pertama pada 14 Jan lepas yang mendapat sambutan menggalakkan.

Acara selawat dan zikir munajat malam ini turut menampilkan ulama serta pendakwah terkenal seperti Sheikh Abu Zaki, Ustaz Neezam Al-Banjari dan Ustaz Dr Ahmad Farkhurrazi yang menarik lebih 5,000 hadirin.

— BERNAMA