TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS PELUNCURAN PEMBINAAN STESEN PERTAMA ECRL

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Alhamdulillah Nahmaduhu wa nusolli ‘ala rasoolil Kareem.

YAB Dato’ Bentara Kanan Ustaz Dato’ Haji Ahmad bin Yakob

Menteri Besar Kelantan

YB Anthony Loke

Menteri Pengangkutan

YB Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

Menteri Dalam Negeri

YB Tuan Nik Nazmi bin Nik Ahmad

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam

YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki bin Ali

Ketua Setiausaha Negara

Rakan rakan dari syarikat yang terlibat dalam pembangunan ECRL, para pimpinan dan rakan-rakan yang hadir.

  1. Alhamdulillah, hari ini kita mencatat satu lagi sejarah, iaitu pelancaran satu projek besar dalam negara yang dinamakan ECRL. ECRL merupakan projek rasaksa yang melibatkan kerjasama penuh Kerajaan Negara China. Dalam rundingan saya dengan pimpinan Negara China baru-baru ini turut membincangkan tentang permasalahan kos tenaga kerja. Justeru, pelan pembangunan ECRL ini sangat penting. Pertama, aspek pengurusan dan keputusan keputusan projek-projek baru yang lain itu harus lebih telus mengikut peraturan-peraturan tatakelola yang ketat.
  1. Kedua, mengambil kira peluang penyelidikan R&D dan latihan kepada anak tempatan dan peluang-peluang kontrak yang sederhana atau kecil kepada syarikat-syarikat tempatan. Perkara ini akan ditekankan dalam projek-projek berikut dan saya suka cerita kerana perkara ini telah pun dipersetujui.
  1. ECRL ini akan menjadi pemangkin, pencetus perubahan pembangunan bagi negeri yang dianggap terpisah daripada perkembangan pusat pertumbuhan di Lembah Klang. Jadi, oleh itu saya tekankan apa yang dijelaskan oleh saudara Anthony Loke bahawa kerajaan negeri dan Majlis Perbandaran harus juga bersama bukan sahaja memanfaatkan kemudahan ini tetapi mencari jalan dan kaedah baru bagaimana boleh mencetuskan perubahan melalui pelaburan baharu dengan menggunakan peluang yang ada melalui sistem pengangkutan. Bukan sahaja pengangkutan untuk orang ramai, rakyat tetapi juga pengangkutan dari segi bahan-bahan, pengeluaran, pertanian dan industri. Saya ucap terima kasih kepada saudara saya YAB Ustaz Haji Ahmad Bin Yakob, Setiausaha Kerajaan Negeri, seluruh jentera kerajaan negeri kerana mengikuti perkembangan dan liputan kemajuan peojek ini. Projek ECRL di negeri Kelantan telah mencatat satu rekod yang baik kerana kerjasama yang diberikan khususnya dalam proses pengambilan tanah begitu cepat dan efisyen.
  1. Saya begitu tertarik dengan pemilihan Tunjong yang menjadi kawasan tumpuan. Pertama, beberapa Pejabat Kerajaan Persekutuan dan Ibu Pejabat Kontijen Polis akan dibangunkan di sini. Ini akan memberi ruang dan kesempatan bagi daerah ini menjadi perhatian dan mudah-mudahan boleh dimanfaatkan hasil projek-projek pembangunan untuk pertumbuhan sosioekonomi masyarakat setempat kerana kalau kita lihat relatif negeri-negeri Pantai Timur sedikit ketinggalan.
  1. Oleh yang demikian, Kerajaan Persekutuan terus bertekad untuk menambah peruntukan dan kemudahan kepada negeri-negeri khususnya Kelantan. Beberapa projek telah dikenalpasti untuk membantu membangunkan negeri Kelantan agar tidak ketinggalan dengan negeri-negeri lain. Saya akan menyebut beberapa keputusan baharu lebih daripada apa yang diumumkan dalam Belanjawan MADANI tahun lalu, khususnya projek projek yang saya percaya akan dapat membantu membangunkan negeri Kelantan.
  1. Selain itu, amat penting Menteri bagi kita untuk menetapkan kaedah tertentu dalam rangka dua (2) atau tiga (3) tahun sebelum siapnya perjalanan ECRL sepenuhnya. Mesti ada perancangan yang teliti untuk memastikan ada corak perubahan yang lebih ketara di Pantai Timur, khususnya di Kelantan kerana dalam perbincangan kita bersama pelabur-pelabur termasuk Negara China turut disebut tentang kurangnya perhatian diberikan kepada negeri Terengganu dan Kelantan. Jika menyebut soal pelabuhan, keretapi antara pengangkutan yang mudah untuk mengangkut barang-barang hasil pengeluaran dari Kelantan sama ada hasil pertanian ataupun industri.
  1. Jadi sebab itu kita harus ada beberapa tindakan segera yang lebih agresif untuk menarik pelabur dengan menjamin beberapa insentif baharu dan proses kelulusan yang lebih cepat. Antara perkara yang dikeluhkan dalam projek ECRL khususnya dari kalangan pelabur merupakan perkara yang sama dibangkitkan dalam rundingan bersama pihak Negara China baru-baru ini iaitu ease of doing Business. Insentif sudah ada, kemudahan sudah ada tetapi kecepatan kelulusan itu yang menjadi masalah kerana terlalu banyak kerenah dan perkara ini boleh diselesaikan sekiranya Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri mempunyai jalinan kerjasama yang lebih akrab sudah pasti akan dapat memudahkan segala urusan terlibat.
  1. ECRL sendiri telah melibatkan lebih 2100 syarikat tempatan dan ini termasuk syarikat kontrak perunding pembekal sejak 2017. Jadi, andaian yang mengatakan bahawa projek ini dimonopoli sepenuhnya dari Negara China tidak sepenuhnya benar walaupun sepertimana saya sebut tadi dalam rundingan kita dengan Kerajaan China dan syarikat-syarikat semua projek-projek baru kita hendak kekalkan supaya ruang dan peluang kerja sivil, kontrak dan konsultan dan lain-lain dapat diberikan kepada pekerja tempatan. Syarikat Geely umpamanya bersetuju supaya memberikan peluang latihan kepada anak tempatan termasuk anak Melayu. Pada peringkat awal mereka akan membawa 300 yang akan dilatih dalam bidang pengkhususan yang tidak diperolehi di sini.
  1. Pendekatan yang diambil oleh pimpinan Kerajaan Perpaduan adalah lebih jelas dan lebih telus, terutama dalam meningkatkan kos yang munasabah agar tidak terlalu tinggi kerana ini akan melibatkan penambahan kos tambang. Justeru, perlu ambil kira walaupun kemudahan yang disediakan begitu cantik dan canggih, namun sekiranya kos terlalu tinggi tanpa kawalan mungkin akan membebankan rakyat. Sebab itu beberapa dasar yang kita teliti mengambil kira hal-hal yang sedemikian.
  1. Jadi, sekali lagi saya ucapkan terima kasih dan penghargaan bukan sahaja kepada masyarakat di Tunjong tetapi juga di Kota Bharu, Kelantan. Ini adalah suatu berita baik, kerana bukan sahaja soal ECRL tetapi yang saya nak tekankan di sini ialah kesan sampingan ECRL. Saya juga telah serahkan kepada pimpinan pusat untuk mencari jalan dan peluang pelaburan. Sebagaimana saudara Anthony Loke tahu sewaktu lawatan kita di China baru-baru ini, kita sebut keupayaan negeri-negeri supaya mereka maklum bahawa banyak lagi peluang pelaburan ada di Malaysia dan bukan hanya tertumpu di Pantai Barat atau di Lembah Klang sahaja. Justeru, tindakan susulan harus diambil oleh Kerajaan Negeri atau pimpinan negeri. Saya percaya dengan kerjasama yang akrab di antara pimpinan Negeri dan pimpinan Persekutuan kita akan dapat melakansanakan pembangunan yang lebih merata dan lebih adil.
  1. Dengan lafaz bismillahirrahmannirrahim saya melancarkan projek pertama pembinaan stesen pertama ECRL Tunjong di Bandar Baharu Tunjong.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Sekian.

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.