KENYATAAN MEDIA
YAB PERDANA MENTERI
MESYUARAT MAJLIS PELABURAN NEGARA BIL 1/2023
19 Mei 2023
Kerajaan komited untuk menambahbaik dan memperkasakan ekosistem serta lanskap pelaburan negara bagi meningkat dan mengekalkan pelaburan langsung asing (Foreign Direct Investment – FDI) dan juga domestik (Domestic Direct Investment – DDI). Sehubungan itu, Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) Bil 1/2023 telah bersetuju untuk menambah baik ekosistem Agensi Penggalakan Pelaburan (Investment Promotion Agency – IPA) negara dengan melaksanakan satu inisiatif yang, antara lainnya, akan menyelaras fungsi dan peranan koridor ekonomi wilayah berkaitan pelaburan.
Langkah ini amat penting dalam memastikan pendekatan menyeluruh kerajaan dari segi aktiviti penggalakan pelaburan negara secara lebih tersusun, cekap dan teratur. Ini juga akan memastikan Malaysia dapat mengoptimumkan sumber sedia ada bagi mengatasi isu pertindihan tanggungjawab di antara IPA sekaligus menjamin penyampaian perkhidmatan IPA yang lebih berkesan. Tadbir urus IPA juga merupakan faktor penting bagi pelabur membuat keputusan dan menilai Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan.
Perkara ini dibincangkan semasa Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) Bil 1/2023 yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri dan diadakan buat pertama kali selepas diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2023 pada 24 Februari 2023. Anggota tetap Majlis terdiri daripada Menteri Kewangan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri; Menteri Ekonomi; Gabenor Bank Negara Malaysia dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan. MPN berperanan sebagai badan eksekutif tertinggi dalam merencanakan agenda berkaitan pelaburan sekaligus memastikan tadbir urus pelaburan negara diperkasakan. MPN juga bertanggungjawab untuk menangani isu dan cabaran utama dalam pelaksanaan projek-projek pelaburan, terutamanya yang melibatkan pelaburan strategik dan berimpak tinggi bagi memastikan kelancaran pelaksanaan projek-projek tersebut.
Dalam usaha untuk menyelaras aktiviti penggalakan pelaburan dengan lebih berkesan dan meningkatkan keupayaan IPA dari segi keutamaan strategik, fungsi, sumber manusia, ciri organisasi dan dasar tadbir urus, penyusunan semula ekosistem IPA negara akan dimulakan dengan pelan penyelarasan fungsi dan peranan IPA secara berfasa. Sehubungan itu, MPN juga bersetuju untuk memperkasakan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sebagai agensi penggalakan pelaburan utama negara.
Pengukuhan fungsi penyelenggaraan akaun dan pemantauan oleh IPA serta pemusatan pelaporan maklumat terkini pelaburan di bawah satu platform atau dashboard tunggal juga akan menangani isu-isu pelabur secara tangkas serta menyokong penggubalan dasar untuk pembangunan industri, insentif galakan pelaburan dan memudahcara perjalanan pelabur serta fasilitasi pelaburan yang berkesan.
Hasrat ini adalah selaras dengan teras strategik di bawah Dasar Pelaburan Baharu (NIP) berteraskan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) yang menggariskan keperluan untuk menilai semula lanskap IPA negara agar lebih terancang sekaligus memudahkan perjalanan pelabur.
Mesyuarat MPN yang pertama ini juga turut membincangkan mengenai pemantauan projek-projek pelaburan khususnya hasil potensi pelaburanmenerusi program Misi Penggalakan Perdagangan dan Pelaburan yang diketuai oleh YAB Perdana Menteri dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri. Jumlah pelaburan yang diluluskan dalam pelbagai sektor ekonomi bagi Suku Pertama (S1) tahun 2023 adalah RM71.4 bilion, iaitu peningkatan 59.7% berbanding dengan S1 2022 (RM44.7 bilion), merangkumi 1,265 projek yang berpotensi menjana hampir 24,000 pekerjaan bagi rakyat Malaysia. Butir-butir lanjut mengenai pelaburan yang diluluskan setakat 31 Mac 2023 adalah seperti di Lampiran 1.
Sehubungan itu, MPN dijadualkan untuk bersidang sekurang-kurangnya empat (4) kali setahun agar setiap inisiatif dan program pelaburan dapat dipantau dan dinilai keberkesanannya. Kerajaan komited untuk memastikan setiap pelaburan yang diluluskan akan dilaksanakan, dan seterusnya akan memberi impak positif kepada pertumbuhan ekonomi negara. Kerajaan yakin dasar dan strategi yang digubal akan memperkasakan ekosistem pelaburan dan merancakkan aktiviti pelaburan untuk terus memacu pertumbuhan ekonomi negara serta mengembalikan kedudukan negara sebagai destinasi pelaburan utama di rantau ini.
ANWAR IBRAHIM
19 Mei 2023
Similar Posts:
- KERAJAAN AKAN PASTIKAN REFORMASI STRUKTUR EKONOMI YANG TERATUR — PM ANWAR
- TIGA PERJANJIAN LIBATKAN EKONOMI HIJAU, DIGITAL, KESELAMATAN SIBER DIMETERAI DI SINGAPURA – PM ANWAR
- MDEC, DEPA METERAI MOU PERKUKUH KERJASAMA EKONOMI DIGITAL MALAYSIA-THAILAND
- MALAYSIA, FILIPINA TERUS TEROKA KERJASAMA DALAM PELBAGAI SEKTOR
- PERDANA MENTERI ADAKAN PERTEMUAN DENGAN RAKYAT MALAYSIA DI BRUNEI