MALAYSIA, FILIPINA TERUS TEROKA KERJASAMA DALAM PELBAGAI SEKTOR

BERITA TERKINI

 

MANILA, 1 Mac (Bernama) — Malaysia dan Filipina bersetuju untuk terus meneroka kerjasama dalam pelbagai sektor dalam usaha mempertingkat hubungan dua hala kedua-dua negara ke tahap yang lebih tinggi.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerjasama dua hala Malaysia dan Filipina adalah dalam pelbagai sektor yang antara lain merangkumi perdagangan dan pelaburan, pendidikan, kesihatan serta pertanian.

“Kami turut membincangkan bidang-bidang untuk kerjasama lanjut. Sektor baharu dan penting seperti industri halal, keterjaminan makanan dan ekonomi digital adalah antara bidang utama yang saya sarankan sebagai potensi kerjasama,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar bersama dengan Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr selepas mengadakan mesyuarat dua hala di Istana Malacanang hari ini. 

Terdahulu, pesawat khas yang membawa Anwar serta isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, tiba di Pangkalan Udara Villamor di sini bagi memulakan lawatan rasmi dua hari ke Filipina.

Anwar berkata kedua-dua negara turut bersetuju untuk meneruskan Mesyuarat Suruhanjaya Bersama ke-8 yang akan diterajui Menteri Luar masing-masing tahun ini pada tarikh yang sesuai. 

Perdana Menteri juga bercakap mengenai langkah mempererat silaturahim rakyat kedua-dua negara selain meneruskan pertukaran budaya dan pelancongan.

“Saya mengiktiraf peranan diaspora Filipina di Malaysia serta sumbangan mereka kepada ekonomi kedua-dua negara dan sebagai anggota pengasas ASEAN dan kawasan pertumbuhan ASEAN Timur iaitu Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina, hala tuju serantau Filipina dan Malaysia adalah berpaksikan ASEAN,” katanya. 

Menyentuh isu Laut China Selatan, Anwar berkata beliau telah membincangkannya dengan Marcos dan berkongsi pandangan sama mengenai perkara itu. 

“Memandangkan isu ini adalah rumit, kita harus mencuba dan melibatkan diri serta menyatakan pendirian di peringkat pelbagai hala antara ASEAN supaya kita mempunyai pendekatan yang komprehensif dan mencapai penyelesaian memuaskan bagi masalah yang sudah lama tertangguh ini,” katanya. 

Perdana Menteri turut meluahkan kebimbangan mengenai isu perbalahan di Myanmar yang masih tidak selesai sehingga turut menjejaskan Malaysia susulan jumlah pelarian yang ramai. 

Beliau berkata jumlah pelarian Myanmar di Malaysia telah melebihi 200,000 orang. 

“Presiden Marcos telah mengulangi keperluan konsensus lima perkara namun saya menyarankan untuk meneroka kaedah baharu bagi memujuk junta Myanmar agar berusaha dan bekerjasama sebagai satu pasukan dalam ASEAN serta menyelesaikan isu yang tertangguh dan tidak boleh dianggap sebagai isu dalaman semata kerana ia menjejaskan keselamatan serta kesejahteraan rantau ini, ” katanya. 

— BERNAMA

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.