BERITA TERKINI
KUALA LUMPUR, 8 Feb (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengucapkan selamat menjalankan tugas kepada Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang dihantar ke Turkiye untuk menyertai misi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di negara itu.
Menerusi catatan di Facebook, beliau turut mendoakan semoga usaha pasukan berkenaan dipermudahkan.
Semalam, pasukan berkenaan yang dianggotai anggota SMART, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam (APM) selamat tiba di Turkiye pada 11 pagi (waktu Malaysia) bagi menyertai misi SAR di wilayah terjejas bencana gempa bumi.
Pada awal pagi Isnin, gempa bumi berukuran 7.8 pada skala Richter melanda daerah Pazarcik di wilayah Kahrananmaras dan menggegarkan beberapa wilayah lain termasuk Gaziantep, Sanliurfa, Diyarbakir, Adana, Adiyaman, Malatya, Osmaniye, Hatay serta Kilis.
Menurut laporan media, setakat semalam tragedi itu telah meragut lebih 5,000 nyawa di Turkiye dan Syria.
— BERNAMA
Similar Posts:
- GEMPA BUMI: PM ANWAR HUBUNGI PRESIDEN ERDOGAN
- GEMPA BUMI: MALAYSIA SUMBANG LEBIH US$2 JUTA UNTUK TURKIYE, SYRIA
- DANA BANTUAN MALAYSIA KE TURKIYE DAN SYRIA SETAKAT INI RM20 JUTA – PM ANWAR
- PM ANWAR BERLEPAS KE TURKIYE BERI SOKONGAN MORAL KEPADA PRESIDEN
- PM ANWAR BANGGA DENGAN PASUKAN PENYELAMAT MALAYSIA DI TURKIYE