KERAJAAN SOKONG PENUBUHAN SYARIKAT INOVATIF DAN BERPERTUMBUHAN TINGGI – PM ANWAR

BERITA TERKINI

 

KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan pimpinannya memberi komitmen dan menyokong penubuhan syarikat inovatif dan berpertumbuhan tinggi tempatan melalui peningkatan pelaburan dalam syarikat teknologi di bawah Belanjawan 2023. 

Menerusi catatan di Facebooknya hari ini, Anwar berkata perkara itu beliau disampaikan dalam perbincangan secara maya bersama pengasas dan ketua pegawai eksekutif daripada 10 syarikat antaranya Aerodyne, Carsome dan Inari Amerton, semalam.

“Pertemuan ini merupakan sebahagian daripada siri libat urus Belanjawan 2023 bersama-sama industri.

“Perbincangan terkait tentang potensi besar syarikat-syarikat pemula di Malaysia dan keperluan campur tangan dasar kerajaan dalam memperkukuh ekosistem syarikat pemula terutamanya bagi aspek pembiayaan, pembangunan bakat dan insentif fiskal,” katanya.

Anwar berkata Malaysia mempunyai bakat untuk membina syarikat inovatif berpertumbuhan tinggi yang seterusnya berupaya menjana pekerjaan berpendapatan tinggi untuk rakyat negara ini.

Selaras dengan teras daya cipta dalam visi Malaysia Madani, beliau berkata Belanjawan 2023 akan menggalakkan pelaburan berteraskan pengetahuan dan inovasi.

Menurut catatan itu, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Khazanah akan melabur lebih RM1 bilion dalam syarikat pemula tempatan yang inovatif dan berpertumbuhan tinggi.

— BERNAMA

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.