PERSAHABATAN PERIBADI ANWAR, SULTAN BRUNEI BANTU PERCEPAT PERANCANGAN KEDUA-DUA NEGARA

BERITA TERKINI

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Jan (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim  percaya persahabatan peribadi antara beliau dan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah akan membantu mempercepatkan pelaksanaan pelbagai perancangan melibatkan kedua-dua negara. 

“Bila kepimpinan negara dengan persahabatan yang erat…(jika ada perancangan) saya akan tanya progres, akan pantas (pelaksanaannya).

“Tuanku banyak tengok dan mengikuti perkembangan (di Malaysia). Hubungan persahabatan itu penting, hubungan kita baik…aspek peribadi. Sepanjang saya dalam kesusahan, Tuanku sering lahirkan keprihatinan,” katanya kepada media Malaysia pada akhir lawatan beliau ke Brunei di sini hari ini.

Katanya perkara itu boleh dilihat dalam lawatan rasmi dua hari beliau sejak semalam.

“Saya rasa ada hubungan istimewa di situ, Tuanku dapat melihat persahabatan peribadi dan kekeluargaan yang bantu memperkukuh dan memperkemas hubungan dua hala,” katanya.

Terdahulu Sultan Hassanal Bolkiah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri yang dalam rangka lawatan rasmi selama dua hari ke Brunei, di Istana Nurul Iman di sini hari ini.

Anwar turut mengadakan pertemuan empat mata dengan Sultan Hassanal Bolkiah.

Perdana Menteri dan Sultan Brunei kemudian menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dengan Agensi Pelaburan Brunei (BIA).

Anwar berkata dengan kejayaan dalam hubungan kedua-dua negara ketika ini, ia menunjukkan hubungan dua hala itu berada pada tahap yang cukup tinggi.

Katanya sewaktu pertemuan empat mata itu, ada dibincangkan bahawa isu seperti pembangunan persempadanan harus dipesatkan selain pelaburan ditingkatkan.

“Ini untuk rakyat…perniagaan, pelaburan itu penting. Baginda tekankan (kerjasama dengan) BIA disegerakan untuk lihat peluang dan kesempatan, kesesuaian pelaburan. Ketiga, baginda tekankan kemungkinan segerakan isu berkaitan cari gali minyak membabitkan Petronas jika perlu, untuk kawasan-kawasan dibuat secara Joint Development Authority (JDA),” katanya.

Perdana Menteri berkata selain itu, dalam soal ibu kota baharu Indonesia, Nusantara, diharapkan adanya sinergi kepentingan Malaysia terutama di sempadan Sabah dan Sarawak.

“ ….melibatkan peruntukan tambahan, lalu lintas pelancongan, pergerakan tiga negara (Malaysia, Indonesia dan Brunei), insentif kerajaan Sarawak untuk teruskan jalan darat. Tuanku teruja, yakin dapat tingkatkan hubungan kerjasama,” katanya.

Sementara itu, Anwar berkata kerajaan Sabah dan Sarawak membangkitkan peranan Bandar Seri Begawan sebagai pusat penerbangan antarabangsa dan berharap untuk menambah penerbangan ke Bandar Seri Begawan sebagai hab untuk subrantau.

— BERNAMA

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.