KEDATANGAN 2024 DIHARAP BERI SUASANA LEBIH CERAH, POSITIF KEPADA RAKYAT – PM ANWAR


KUALA LUMPUR, 31 Dis (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengharapkan kedatangan Tahun Baharu 2024 akan memberi suatu suasana lebih cerah dan positif kepada rakyat dengan Kerajaan Perpaduan akan menumpukan usaha terhadap pembangunan ekonomi demi kesejahteraan mereka.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata usaha memacu pertumbuhan ekonomi negara ini akan terus menjadi tumpuan kerajaan bagi meredakan kesusahan rakyat daripada pelbagai aspek seperti inflasi, pengangguran dan kos sara hidup, selain menjamin perkhidmatan mutu pendidikan dan kesihatan.

Dalam hal itu, Anwar menggesa Jemaah Menteri, barisan pegawai kanan, agensi  penguat kuasa, badan keselamatan, penjawat awam serta sektor swasta supaya meningkatkan usaha menjadikan Malaysia sebagai negara yang hebat dan gagah di rantau ini.

“Kita melabuh tirai menutup tahun 2023, wajar saya mulakan dengan memberikan sedikit rumusan mengulangi apa yang telah disampaikan kepada umum bahawa kedudukan prestasi pertumbuhan ekonomi masih bertahan kepada empat peratus.

Ini antara terbaik, tetapi ada lagi nikmat dan kejayaan, umpamanya penurunan inflasi kurang daripada dua peratus, penurunan kadar pengangguran yang sangat rendah,” katanya menerusi video yang dikongsikan di Facebook beliau malam ini.

Bagaimanapun, Anwar berkata beliau tidak mahu terpukau dengan angka dan data berkenaan kerana ukuran sebenarnya ialah kemaslahatan, kebajikan serta kesejahteraan rakyat dan kos sara hidup yang dihadapi oleh rakyat ketika ini masih perlu ditangani.

Perdana Menteri berkata tumpuan penuh terhadap usaha memacu pertumbuhan ekonomi perlu dilakukan dengan membetulkan tatakelola dalam kepimpinan serta pentadbiran awam.

Pada masa yang sama, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kastam Diraja Malaysia dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kerana berjaya melaksanakan tugas mereka dengan berkesan.

Sementara itu, Anwar berkata bagi memastikan setiap dasar kerajaan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan, kaedah penyampaian perkhidmatan yang lama tidak boleh lagi diguna pakai, sebaliknya perlu  diperbaiki dan ia termasuk mempercepatkan proses kelulusan setiap jabatan seolah-olah menghadapi isu keselamatan dan keadaan darurat.

Beliau berkata hanya dengan cara ini, ekonomi boleh dipacu dan menjadikan Malaysia sebuah negara yang berdaya saing.

Sementara itu, Anwar berkata soal perpaduan dan keselamatan rakyat terus menjadi antara cabaran yang perlu diberikan keutamaan dengan memastikan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan melibatkan kedudukan agama Islam, kedaulatan Raja-Raja Melayu, hak keistimewaan Bumiputera serta Bahasa Melayu tidak diganggu.

“Semangat perpaduan untuk memeluk keseluruhan rakyat daripada pelbagai kaum dan agama, itu tugas hakiki yang tidak boleh disangkal ataupun diringankan. Kalau ini dapat kita capai, kita boleh beralih daripada permasalahan titik bengik yang tidak berkesudahan,” katanya.

Sepanjang tahun ini, Anwar berkata Kerajaan Perpaduan berjaya bekerja sebagai satu pasukan dan ia adalah berkat satu sistem politik yang stabil yang baru dicapai setelah negara dilanda suasana ketidaktentuan selama beberapa tahun.

“Hasil pandangan dan nasihat dan pedoman Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu khususnya  keputusan dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, kita telah dapat mengharungi dengan bergaya dan berjaya (menghadapi segala cabaran).

…dengan kekuatan dan kestabilan kita dapat bekerja sebagai satu pasukan dan menangani isu-isu yang asas untuk rakyat dan negara,” kata Perdana Menteri.

— BERNAMA

KUALA LUMPUR, 30 Dis (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendukung penuh titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mengingatkan rakyat khususnya yang bukan beragama Islam agar menghormati dan tidak mencampuri urusan berkaitan hal ehwal agama Islam di negara ini.

Perdana Menteri menerusi catatan di Facebook hari ini juga meminta mereka yang bukan beragama Islam untuk menulis kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) jika mempunyai sebarang kemusykilan.

“…sekiranya terdapat sebarang kemusykilan dan bagi mengelak sebarang kekeliruan, pihak bukan Islam boleh menulis kepada MKI untuk meleraikan sebarang kekusutan dalam suasana yang harmoni dan beradab,” menurut catatan itu.

Semalam, Sultan Sharafuddin selaku Pengerusi MKI bertitah demikian susulan cadangan Ahli Parlimen Beruas Datuk Ngeh Koo Ham supaya kerajaan melantik pakar daripada orang bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) menggubal undang-undang Islam.

Sultan Selangor turut bertitah bahawa MKI memegang amanah dan tanggungjawab bagi melaksanakan segala hal ehwal berkaitan umat Islam serta dianggotai oleh pakar-pakar yang arif dalam pelbagai bidang khususnya melibatkan undang-undang dan agama Islam.

Justeru, baginda mengharapkan agar ahli politik khususnya yang bukan beragama Islam untuk tidak terus-menerus mencampuri urusan hal ehwal agama Islam.

— BERNAMA

KUALA LUMPUR, 28 Dis (Bernama) — Kerjasama antara semua jentera Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri sangat dituntut dalam menghadapi musibah banjir termasuk di Kelantan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Alhamdulillah, kerjasama kedua-dua pihak ketika ini telah menjadikan proses membantu mangsa banjir berjalan lancar demi keselesaan rakyat,” katanya menerusi hantaran di akaun Facebook malam ini.

Perdana Menteri berkata beberapa projek baharu turut diumumkan dalam lawatannya ke Pasir Mas hari ini sebagai langkah mengatasi masalah banjir iaitu meluluskan pembinaan benteng sementara bagi Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok di Rantau Panjang bernilai RM6 juta.

Selain itu, Kerajaan Kelantan bersetuju segerakan proses pengambilan tanah bagi projek PLSB Sungai Golok Fasa 2 serta proses perolehan bagi lima projek baharu tebatan banjir di Kelantan bernilai RM910.52 juta akan dimulakan tahun depan.

“Moga segala dirancang ini bermanfaat dan membantu menyelesaikan masalah banjir yang berlaku,” katanya.

— BERNAMA

PUTRAJAYA, 23 Dis (Bernama) — Kestabilan politik dalam negara pada masa ini akan membolehkan Kerajaan Perpaduan memberikan fokus terbaik untuk membangun dan mengembangkan ekonomi negara ke tahap yang lebih baik pada tahun hadapan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan menumpukan usaha untuk mempertingkatkan pelaburan domestik dan menarik lebih banyak pelaburan dari luar bagi merancakkan dan mengembangkan lagi ekonomi negara.

“Fokus (kerajaan) kepada kekuatan ekonomi sama ada pelaburan domestik, pelaburan luar dan ini ada kaitan umpamanya dari segi tatakelola, kemudahan menjalankan perniagaan, kecepatan, kepantasan, kelulusan selain mengurangkan karenah birokrasi.

“…program ekonomi ni dia ada kaitan dengan isu yang saya sebut negara MADANI. Jadi keutamaan kita (pada tahun hadapan) mengurus negara ini, membetulkan, memperbaiki dan meningkatkan (ekonomi),” katanya dalam Sesi Dialog Perdana Menteri Bersama Ketua Pengarang serta Pengarang Kanan Media Elektronik, Cetak dan Dalam Talian, di sini hari ini.

Anwar berkata selain itu kerjasama yang diterima daripada Ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan juga secara tidak langsung membantu pentadbirannya lebih tersusun dan berkesan.

Perdana Menteri berkata walaupun pengalaman setahun menerajui pimpinan disifatkannya amat mencabar, namun beliau berbangga kerana jentera parti yang bersama dalam Kerajaan Perpaduan nampak memberi kerjasama penuh.

“Langkah kita ambil sama ada tatakelola, menentang rasuah, menetapkan syarat-syarat ketelusan dalam perolehan dan program-program MADANI, ekonomi serta program-program lain tu nampak tidak menghadapi masalah,” katanya yang juga Menteri Kewangan.

Selain ekonomi, katanya kerajaan juga akan memastikan penguasaan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris terus diperkasakan di bawah sistem pendidikan negara.

“Peralihan tenaga dan transformasi digital memerlukan satu anjakan paradigma yang cukup kuat termasuk apa yang saya bicarakan tentang bahasa Melayu yang mantap dan keutamaan diberikan kepada bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan mulai tahun hadapan,” katanya.

Anwar dalam masa yang sama turut melahirkan kebimbangan terhadap orientasi pemikiran kolot berasaskan fahaman perkauman sempit serta mempolitikkan kefahaman Islam sehingga menimbulkan pemikiran yang agak jumud selain pantas menghukum seseorang.

“Saya sekali lagi tegaskan kita kena ada had. Berbicara itu bebas, terangkan tentang soal agama itu bebas, tapi kalau kita sampai mudah menghukum, mengkafirkan dengan mudah, itu harus tunduk kepada undang-undang dan peraturan,” katanya.

— BERNAMA

TOKYO, 18 Dis (Bernama) — Rakyat Malaysia di Jepun berpeluang bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada majlis minum petang diaspora Malaysia yang diadakan di Hotel Imperial di sini hari ini.

Seramai 416 tetamu terdiri daripada pelajar dan individu yang bekerja dan menetap di Jepun hadir pada majlis itu.

Pada majis itu, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz telah meluangkan masa untuk memberikan ucapan kepada tetamu yang hadir sementara menanti ketibaan Perdana Menteri dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Anwar dan Dr Wan Azizah tiba kemudian selepas menghadap Maharaja Naruhito dan Maharani Masako di Istana Imperial.

Perdana Menteri dalam ucapannya kepada rakyat Malaysia di Jepun menyentuh mengenai perkembangan di tanah air dan keperluan rakyat untuk mengubah minda dan membebaskan diri mereka daripada permusuhan kaum dan agama yang menjejaskan perpaduan.

“Hentikan permusuhan kaum dan agama dan gunakan kaum dan agama itu untuk memperkukuh hubungan. Dengan itu baru kita boleh bangunkan Malaysia baharu yang boleh kita banggakan sebagai sebuah negara yang penting dan utama di rantau kita,” katanya.

Perdana Menteri juga ditanya mengenai kesulitan memperbaharui pasport kerana mereka perlu datang ke kedutaan di Tokyo (dari bandar lain di Jepun) dan apakah yang Malaysia telah lakukan untuk menangani perubahan iklim.

Mengenai isu pasport, Anwar berkata beliau akan melihat perkara itu dan mengenai perubahan iklim, perkara itu telah ditangani antaranya menerusi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

Ketika ditanya oleh seorang pelajar pascasiswazah tajaan JPA apabila mereka pulang ke tanah air, mereka melihat diri mereka terlebih layak dan gaji mereka tidak sepadan dengan kelayakan, Anwar berkata keadaan di Malaysia adalah tidak seburuk seperti yang disangka dan kerajaan sedang berusaha untuk meningkatkan pendapatan semua.

Seorang pelajar tajaan MARA pula menyuarakan kebimbangannya bahawa pelajar yang dihantar ke Jepun antaranya untuk mempelajari kebudayaan Jepun dan mempamerkan kebudayaan Malaysia tetapi kini tidak dapat direalisasikan kerana ramai yang memilih untuk menetap dan bekerja di Jepun selepas menamatkan pengajian.

Anwar berkata mereka digalakkan untuk bekerja di luar negara terutama untuk membolehkan mereka belajar budaya kerja Jepun tetapi harus pulang dan menyumbang kepada negara bila tiba masanya.

Sementara itu dalam sidang media pada majlis berkenaan, Anwar berkata pengalaman beliau dan isteri menghadap Maharaja dan Maharani Jepun merupakan suatu memori yang indah.

Beliau berkata pada awalnya sesi menghadap itu dirancang selama 20 minit tetapi dilanjutkan selepas Maharaja menunjukkan minat yang mendalam dalam pelbagai aspek mengenai Malaysia.

— BERNAMA

TOKYO, 18 Dis (Bernama) — Lawatan kerja Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jepun sempena sidang kemuncak peringatan ASEAN-Jepun berjaya menarik potensi pelaburan bernilai RM6.56 bilion.

Anwar berkata pertemuan beliau dengan pelbagai pihak di Jepun termasuk rakan sejawatannya Fumio Kishida jelas menunjukkan bahawa hubungan Malaysia-Jepun kini menyaksikan anjakan baharu dari segi kerjasama pelaburan, perdagangan, pendidikan dan teknologi.

“Lawatan ke Jepun berjaya dan membanggakan, berjaya menarik potensi pelaburan bernilai RM6.56 bilion,” katanya pada sidang akhbar mengakhiri lawatan beliau ke Jepun, di sini, hari ini.

Menurutnya, ia merupakan tambahan kepada potensi pelaburan bernilai RM23 bilion semasa lawatan delegasi Malaysia ke Jepun sebelum ini pada Jun. Potensi pelaburan kumulatif daripada lawatan ke Jepun pada tahun ini berjumlah RM29.56 billion.

Tiga syarikat korporat Jepun Rohm Wako, NEC Co Ltd dan Mitsui & Co yang telahpun mempunyai pelaburan di Malaysia juga menunjukkan kesediaan untuk menambah pelaburan mereka.

Perdana Menteri berkata potensi pelaburan itu adalah kemungkinan dalam bentuk pelaburan baharu ataupun mengembangkan pelaburan sedia ada.

Pada Sabtu lepas Anwar mengadakan pertemuan bersemuka dengan tiga syarikat korporat tersebut serta sesi persidangan meja bulat dengan pelbagai peneraju industri di negara matahari terbit itu.

Mengenai sektor yang terlibat dalam potensi pelaburan bernilai RM6.56 bilion itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dalam sidang akhbar yang sama berkata ia melibatkan sektor tenaga boleh baharu, elektrik dan elektronik, kimia dan ekonomi digital.

Menurut Anwar, pelabur Jepun kini lebih yakin dengan Malaysia dan media negara tersebut juga banyak menyiarkan reviu positif tentang Malaysia.

 Syarikat Jepun termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menunjukkan minat yang sangat menggalakkan termasuk Rohm Wako yang mempunyai pelaburan di Kota Bahru, Kelantan.

Anwar berkata beliau memberi jaminan kepada syarikat itu bahawa kerajaan akan menyediakan prasarana yang perlu untuk membolehkan mereka menambah pelaburan besar peringkat kedua.

“Memandangkan mereka sudah lama melabur di situ (Kelantan) dan kini menunggu lampu hijau kerajaan persekutuan sama ada pelaburan boleh dikembangkan, saya berikan galakan yang kuat dan permintaan itu akan diselaraskan oleh MITI agar hal ini dapat dibuat secepat mungkin.

“Mereka juga puas hati dengan disiplin dan etika kerja masyarakat di situ yang mana ia merupakan satu lagi daya tarikan kepada pelabur,” katanya.

— BERNAMA

TOKYO, 16 Dis (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan kepada pelabur Jepun bahawa walaupun kerajaan Madani hanya baru berusia setahun, ia stabil, dengan dasar yang sangat jelas untuk memacu pertumbuhan Malaysia.

Beliau berkata demikian pada persidangan meja bulat dengan ketua-ketua industri di Tokyo, selepas sesi pertemuan bersemuka dengan tiga syarikat utama Jepun.

“Kami telah memikirkan cara bagaimana untuk menangani peralihan tenaga, termasuk tenaga boleh baharu di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu yang menggariskan apa yang ingin kami capai dan misi kami,” katanya.

Anwar berkata Malaysia juga sedang menumpukan kepada transformasi digital.

“Saya di sini untuk mendengar pandangan anda, tentang perkara yang perlu dilakukan untuk memudahkan atau mempercepatkan proses libat urus dan pelaburan,” katanya.

Anwar, yang sedang dalam rangka lawatan selama lima hari ke Jepun berkata beliau kagum dengan sokongan yang ditunjukkan terhadap Malaysia semasa sesi persidangan meja bulat itu yang disertai 25 syarikat.

Antara peserta yang menyertainya termasuklah Masaya Hasegawa, pengasas Shinzen Energy; Kunio Yamada, pengerusi dan ketua pegawai eksekutif Rohto Pharmaceutical; Hidehiro Yokoo, pegawai eksekutif kanan Denso Corporation; Takeshi Saito, presiden  ENEOS Holdings dan Nobuhiko Murakami, pengerusi Toyota Tsusho Corporation.

Terdahulu, Perdana Menteri mengadakan pertemuan dengan eksekutif kanan tiga syarikat multinasional utama Jepun iaitu ROHM WAKO Co. Ltd, yang diketuai pengerusinya Datuk Yoshioka Yosuke; NEC Co. Ltd oleh naib presiden kanan Matsuki Toshiya dan Mitsui & Co oleh presiden dan ketua pegawai eksekutifnya Kenichi Hori.

Anwar diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Luar Negeri Datuk Seri Mohamad Hasan.

Semasa pertemuan itu, beliau memberi jaminan kepada para peserta bahawa masih ada banyak peluang yang tersedia bagi pelabur Jepun di Malaysia.

Sementara itu, Tengku Zafrul, dalam ucapan perasmiannya semasa persidangan meja bulat berkata acara tersebut menekankan komitmen Malaysia untuk meletakkan asas yang lebih kukuh bagi hubungan ekonomi dan dua hala pada masa depan.

Beliau juga memaklumkan mengenai penubuhan Pusat Memudah Cara Pelaburan Malaysia (IMFC) yang memulakan operasinya pada 1 Dis lepas sebagai pusat sehenti untuk pelabur menjalankan perniagaan di Malaysia.

Sementara itu, Anwar berterima kasih kepada Persatuan Alumni Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) Malaysia kerana membantu mengatur mesyuarat dan sesi persidangan meja bulat hari ini yang memberi peluang kepada ketua-ketua industri Jepun untuk berinteraksi secara langsung dengan beliau.

Jepun telah menjadi rakan dagang keempat terbesar Malaysia sejak 2015.

Pada 2022, perdagangan Malaysia dengan Jepun bernilai RM181.51 bilion (US$41.21 bilion) atau 6.4 peratus daripada keseluruhan jumlah perdagangan negara.

Setakat Jun 2023, sejumlah 2,778 projek oleh syarikat Jepun telah dilaksanakan di Malaysia dengan pelaburan berjumlah RM91.89 bilion (US$27.43 bilion).

— BERNAMA