BANGI, 17 Mac — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mencuba sendiri Menu Rahmah yang diperkenalkan di institusi pengajian tinggi ketika singgah makan tengah hari di Kafeteria Randau Rasa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini.
Singgah makan tengah hari sambil beramah mesra dengan masyarakat sebelum menunaikan solat Jumaat di masjid berhampiran adalah rutin mingguan PM Anwar sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada 24 November lepas.
Pada kesempatan itu, PM Anwar dilihat mencuba beberapa Menu Siswa Rahmah yang disediakan antaranya ikan keli sambal, sayur dan ikan goreng.
Selain wakil pelajar, Perdana Menteri turut ditemani Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman serta barisan kepimpinan tertinggi dan pengurusan universiti.
Menu Siswa Rahmah adalah inisitiaf Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang ditawarkan pada harga serendah RM3.50 dan sehingga kini sebanyak 20 universiti awam (UA) seluruh negara serta politeknik telah menawarkan menu tersebut sekali gus memberi manfaat kepada kira-kira 320,000 pelajar UA daripada kumpulan keluarga B40.
Selesai menjamu selera, PM Anwar kemudiannya menyertai warga UKM menunaikan solat Jumaat di Masjid Universiti Kebangsaan Malaysia yang terletak kira-kira 500 meter dari Kafeteria Randau Rasa.
— BERNAMA
KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengucapkan terima kasih dan penghargaan di atas kepercayaan dan sokongan yang jelas kepadanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata kerajaan hari ini telah membawa satu Usul Undi Percaya terhadap Perdana Menteri dan berjaya membuktikan keabsahan dukungan majoriti Ahli Dewan Rakyat.
“Kini masa untuk bekerja dan menjelmakan perubahan yang didambakan rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Terdahulu Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun membuktikan keabsahannya sebagai Perdana Menteri ke-10, apabila Usul Undi Percaya terhadapnya diluluskan dengan lebih suara bersetuju pada hari pertama Persidangan Dewan Rakyat Parlimen ke-15 hari ini.
Keabsahan Ahli Parlimen Tambun itu disahkan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul, yang mengumumkan keputusan tersebut selepas undian suara dibuat sebaik 13 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang selesai membahaskannya.
Terdahulu usul itu dikemukakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan disokong seorang lagi Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
— BERNAMA