BANGI, 17 Mac — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mencuba sendiri Menu Rahmah yang diperkenalkan di institusi pengajian tinggi ketika singgah makan tengah hari di Kafeteria Randau Rasa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini.
Singgah makan tengah hari sambil beramah mesra dengan masyarakat sebelum menunaikan solat Jumaat di masjid berhampiran adalah rutin mingguan PM Anwar sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada 24 November lepas.
Pada kesempatan itu, PM Anwar dilihat mencuba beberapa Menu Siswa Rahmah yang disediakan antaranya ikan keli sambal, sayur dan ikan goreng.
Selain wakil pelajar, Perdana Menteri turut ditemani Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman serta barisan kepimpinan tertinggi dan pengurusan universiti.
Menu Siswa Rahmah adalah inisitiaf Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang ditawarkan pada harga serendah RM3.50 dan sehingga kini sebanyak 20 universiti awam (UA) seluruh negara serta politeknik telah menawarkan menu tersebut sekali gus memberi manfaat kepada kira-kira 320,000 pelajar UA daripada kumpulan keluarga B40.
Selesai menjamu selera, PM Anwar kemudiannya menyertai warga UKM menunaikan solat Jumaat di Masjid Universiti Kebangsaan Malaysia yang terletak kira-kira 500 meter dari Kafeteria Randau Rasa.
— BERNAMA
KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberikan penghormatan terakhir kepada pengasas Public Bank Bhd mendiang Tan Sri Teh Hong Piow di Nirvana Center Kuala Lumpur di sini.
Perdana Menteri tiba di pusat peringatan itu pada 4.50 petang dan menandatangani buku takziah sebelum meluangkan masa kira-kira 15 minit bersama keluarga mendiang.
Anwar menerusi hantaran di laman Facebook rasminya sebelum ini menyifatkan pemergian mendiang sebagai satu kehilangan besar buat sektor perbankan dan negara.
Teh meninggal dunia pada 10.20 pagi Isnin pada usia 92 tahun. Mendiang mengasaskan Public Bank pada 1965 ketika berusia 35 tahun.
Beliau dilantik sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) dan pengarah urusan bank itu sejak memulakan operasi perniagaan pada 6 Ogos 1966.
Teh melepaskan jawatan CEO dan dilantik semula sebagai pengerusi bukan eksekutif pada 1 Julai 2002 sebelum bersara pada 31 Dis 2018.
— BERNAMA