BANGI, 17 Mac — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mencuba sendiri Menu Rahmah yang diperkenalkan di institusi pengajian tinggi ketika singgah makan tengah hari di Kafeteria Randau Rasa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini.
Singgah makan tengah hari sambil beramah mesra dengan masyarakat sebelum menunaikan solat Jumaat di masjid berhampiran adalah rutin mingguan PM Anwar sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada 24 November lepas.
Pada kesempatan itu, PM Anwar dilihat mencuba beberapa Menu Siswa Rahmah yang disediakan antaranya ikan keli sambal, sayur dan ikan goreng.
Selain wakil pelajar, Perdana Menteri turut ditemani Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman serta barisan kepimpinan tertinggi dan pengurusan universiti.
Menu Siswa Rahmah adalah inisitiaf Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang ditawarkan pada harga serendah RM3.50 dan sehingga kini sebanyak 20 universiti awam (UA) seluruh negara serta politeknik telah menawarkan menu tersebut sekali gus memberi manfaat kepada kira-kira 320,000 pelajar UA daripada kumpulan keluarga B40.
Selesai menjamu selera, PM Anwar kemudiannya menyertai warga UKM menunaikan solat Jumaat di Masjid Universiti Kebangsaan Malaysia yang terletak kira-kira 500 meter dari Kafeteria Randau Rasa.
— BERNAMA
KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan misi mencari dan menyelamat mangsa insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm dekat jalan menghubungkan Batang Kali dengan Genting Highlands dilakukan secara rapi dan sistematik oleh semua jabatan kerajaan.
“Mohon doa rakyat Malaysia agar misi ini dapat dipermudahkan dan saya sendiri akan turun ke lokasi malam ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Anwar berkata beliau dimaklumkan beberapa menteri terlibat akan turun ke lokasi pada pagi ini dan menasihatkan mereka agar tidak mengganggu kerja-kerja mencari dan menyelamat.
Setakat ini, lapan maut manakala 60 orang lagi berjaya diselamatkan dalam kejadian tanah runtuh awal pagi ini.
Ketika ini operasi mencari dan menyelamat mangsa sedang giat dilakukan oleh pasukan penyelamat termasuk menggunakan khidmat unit anjing pengesan (K9) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) dari Bukit Sentosa, Ampang, Pandan, Kota Anggerik, Kajang dan Andalas serta Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM).
— BERNAMA