BANGI, 17 Mac — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mencuba sendiri Menu Rahmah yang diperkenalkan di institusi pengajian tinggi ketika singgah makan tengah hari di Kafeteria Randau Rasa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini.
Singgah makan tengah hari sambil beramah mesra dengan masyarakat sebelum menunaikan solat Jumaat di masjid berhampiran adalah rutin mingguan PM Anwar sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada 24 November lepas.
Pada kesempatan itu, PM Anwar dilihat mencuba beberapa Menu Siswa Rahmah yang disediakan antaranya ikan keli sambal, sayur dan ikan goreng.
Selain wakil pelajar, Perdana Menteri turut ditemani Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman serta barisan kepimpinan tertinggi dan pengurusan universiti.
Menu Siswa Rahmah adalah inisitiaf Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang ditawarkan pada harga serendah RM3.50 dan sehingga kini sebanyak 20 universiti awam (UA) seluruh negara serta politeknik telah menawarkan menu tersebut sekali gus memberi manfaat kepada kira-kira 320,000 pelajar UA daripada kumpulan keluarga B40.
Selesai menjamu selera, PM Anwar kemudiannya menyertai warga UKM menunaikan solat Jumaat di Masjid Universiti Kebangsaan Malaysia yang terletak kira-kira 500 meter dari Kafeteria Randau Rasa.
— BERNAMA
KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Kenderaan dinaiki Anwar dilihat memasuki perkarangan Istana Negara melalui Pintu 1 pada 8.22 pagi.
Selepas sesi menghadap hampir sejam, beliau kemudian beredar meninggalkan perkarangan Istana Negara pada 9.15 pagi. Anwar dijadualkan menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah di Istana Kinta pada 10 pagi.
Semalam, Anwar dilaporkan berkata perbincangan mengenai pelantikan barisan Kabinet kini hampir selesai dan berharap ia dapat diumumkan dalam masa terdekat dan beliau akan menghadap Al-Sultan Abdullah di Istana Negara pada 8 pagi hari ini.
— BERNAMA