BANGI, 17 Mac — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mencuba sendiri Menu Rahmah yang diperkenalkan di institusi pengajian tinggi ketika singgah makan tengah hari di Kafeteria Randau Rasa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini.
Singgah makan tengah hari sambil beramah mesra dengan masyarakat sebelum menunaikan solat Jumaat di masjid berhampiran adalah rutin mingguan PM Anwar sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada 24 November lepas.
Pada kesempatan itu, PM Anwar dilihat mencuba beberapa Menu Siswa Rahmah yang disediakan antaranya ikan keli sambal, sayur dan ikan goreng.
Selain wakil pelajar, Perdana Menteri turut ditemani Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman serta barisan kepimpinan tertinggi dan pengurusan universiti.
Menu Siswa Rahmah adalah inisitiaf Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang ditawarkan pada harga serendah RM3.50 dan sehingga kini sebanyak 20 universiti awam (UA) seluruh negara serta politeknik telah menawarkan menu tersebut sekali gus memberi manfaat kepada kira-kira 320,000 pelajar UA daripada kumpulan keluarga B40.
Selesai menjamu selera, PM Anwar kemudiannya menyertai warga UKM menunaikan solat Jumaat di Masjid Universiti Kebangsaan Malaysia yang terletak kira-kira 500 meter dari Kafeteria Randau Rasa.
— BERNAMA
KUALA LUMPUR, 23 Dis (Bernama) — Malaysia dan Australia hari ini menyatakan komitmen masing-masing untuk mengeratkan hubungan dua hala di bawah Kerjasama Strategik Komprehensif (CSP), kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar yang menerima panggilan telefon daripada rakan sejawatnya, Perdana Menteri Australia Anthony Albanese berkata, kedua-dua negara turut bersetuju mengukuhkan kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan dan pelaburan, pendidikan, pertahanan, serta hubungan sesama rakyat.
Beliau berkata Australia adalah rakan rapat dan penting bagi Malaysia, malah pada 2021, dua negara berkenaan meningkatkan hubungan dua hala melalui kerjasama strategik kepada CSP.
“Ini merupakan interaksi pertama kami berdua sejak saya memegang tampuk pentadbiran bulan lepas. Australia merupakan rakan dagangan ke-13 terbesar Malaysia pada tahun lepas dengan nilai dagangan berjumlah RM52.28 bilion (USD13.76 bilion),” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Dalam hantaran sama, rakaman video perbualan telefon antara Anwar dan Albanese berdurasi 2.50 minit turut dipaparkan.
Dalam perbualan itu, Anwar turut memaklumkan Kerajaan Perpaduan pimpinannya adalah stabil malah sudah mendapat lebih dua pertiga sokongan di Dewan Rakyat dan mahu memfokuskan kepada memacu ekonomi negara.
Albanese turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Anwar atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10, selain menyifatkan pelantikan beliau sebagai pemimpin utama kerajaan sebagai satu inspirasi menerusi sikap daya tahannya (resiliency) dalam kehidupan dan politik.
Pada 24 Nov lepas, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-10.
— BERNAMA