BANGI, 17 Mac — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mencuba sendiri Menu Rahmah yang diperkenalkan di institusi pengajian tinggi ketika singgah makan tengah hari di Kafeteria Randau Rasa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini.
Singgah makan tengah hari sambil beramah mesra dengan masyarakat sebelum menunaikan solat Jumaat di masjid berhampiran adalah rutin mingguan PM Anwar sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada 24 November lepas.
Pada kesempatan itu, PM Anwar dilihat mencuba beberapa Menu Siswa Rahmah yang disediakan antaranya ikan keli sambal, sayur dan ikan goreng.
Selain wakil pelajar, Perdana Menteri turut ditemani Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman serta barisan kepimpinan tertinggi dan pengurusan universiti.
Menu Siswa Rahmah adalah inisitiaf Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang ditawarkan pada harga serendah RM3.50 dan sehingga kini sebanyak 20 universiti awam (UA) seluruh negara serta politeknik telah menawarkan menu tersebut sekali gus memberi manfaat kepada kira-kira 320,000 pelajar UA daripada kumpulan keluarga B40.
Selesai menjamu selera, PM Anwar kemudiannya menyertai warga UKM menunaikan solat Jumaat di Masjid Universiti Kebangsaan Malaysia yang terletak kira-kira 500 meter dari Kafeteria Randau Rasa.
— BERNAMA
KUALA LUMPUR, 20 Dis (Bernama) — Kerajaan Perpaduan bersetuju untuk meneruskan pemberian Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) Tambahan Khas 2023 sebanyak RM100 kepada semua penjawat awam gred 11 hingga 56, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata kerajaan juga bersetuju memberikan Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak RM700 kepada 1.3 juta penjawat awam gred 56 ke bawah dan sebanyak RM350 kepada satu juta pesara kerajaan.
“Kerajaan Perpaduan ini amat berterima kasih atas kesungguhan yang tidak berbelah bahagi anggota awam dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
“Kerajaan memang silih berganti, tetapi penjawat awam kekal setia dan dedikasi demi negara,” kata beliau ketika membentangkan peruntukan khas (Bajet Mini) di Dewan Rakyat hari ini.
Rang Undang-undang Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 itu melibatkan perbelanjaan perkhidmatan membabitkan wang sejumlah RM107,718,676,650.
Di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini, beberapa inisiatif diumumkan untuk penjawat awam antaranya tambahan khas RM100 dalam Bayaran KGT mulai Januari depan dan pemberian BKK Tahun 2023 sebanyak RM700 pada Januari.
Sebelum ini, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) turut menyeru kerajaan baharu di bawah pimpinan Anwar supaya mengekalkan semua inisiatif untuk penjawat awam yang telah diumumkan kerajaan terdahulu.
Presidennya Datuk Adnan Mat dilaporkan berkata inisiatif yang telah diumumkan melalui Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-18 pada 30 Ogos dan pembentangan Bajet 2023 pada 7 Nov lepas, adalah suatu yang telah dijanjikan oleh kerajaan selaku majikan kepada penjawat awam.
— BERNAMA
Similar Posts:
- PENJAWAT AWAM DISERU BAWA PERUBAHAN KEMBALIKAN MALAYSIA KE TAHAP GEMILANG
- KERAJAAN AKAN BERI TUMPUAN KEPADA SEKTOR PERKHIDMATAN DALAM BELANJAWAN 2023
- PM MAHU PENJAWAT AWAM KENDALI TUGAS BESAR
- TERAP ELEMEN AMANAH, KEPERCAYAAN DALAM KERJA BERPASUKAN
- JANGAN AMAL BUDAYA SELESA, TEKAD LAKSANA PERUBAHAN UNTUK NEGARA – PM