BANGI, 17 Mac — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mencuba sendiri Menu Rahmah yang diperkenalkan di institusi pengajian tinggi ketika singgah makan tengah hari di Kafeteria Randau Rasa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini.
Singgah makan tengah hari sambil beramah mesra dengan masyarakat sebelum menunaikan solat Jumaat di masjid berhampiran adalah rutin mingguan PM Anwar sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada 24 November lepas.
Pada kesempatan itu, PM Anwar dilihat mencuba beberapa Menu Siswa Rahmah yang disediakan antaranya ikan keli sambal, sayur dan ikan goreng.
Selain wakil pelajar, Perdana Menteri turut ditemani Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman serta barisan kepimpinan tertinggi dan pengurusan universiti.
Menu Siswa Rahmah adalah inisitiaf Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang ditawarkan pada harga serendah RM3.50 dan sehingga kini sebanyak 20 universiti awam (UA) seluruh negara serta politeknik telah menawarkan menu tersebut sekali gus memberi manfaat kepada kira-kira 320,000 pelajar UA daripada kumpulan keluarga B40.
Selesai menjamu selera, PM Anwar kemudiannya menyertai warga UKM menunaikan solat Jumaat di Masjid Universiti Kebangsaan Malaysia yang terletak kira-kira 500 meter dari Kafeteria Randau Rasa.
— BERNAMA
KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) — Kerajaan akan mengambil langkah dan pendekatan antara lainnya menarik pelaburan yang berkualiti, beralih kepada ekonomi rendah karbon, mempertingkat perlindungan sosial dan memantapkan daya tahan fiskal bagi memastikan reformasi struktur ekonomi negara dapat dijelmakan dengan teratur.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah-langkah ini adalah bertujuan untuk merancakkan pertumbuhan serta memperkukuh asas ekonomi negara.
“InshaAllah, langkah-langkah ini akan dilaksanakan dengan dukungan Bank Negara Malaysia (BNM) dan semua jabatan yang berkaitan,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook beliau hari ini,
Terdahulu hari ini Perdana Menteri bersama kedua-dua timbalan menteri kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan dan Steven Sim serta para pegawai kanan kementerian berkunjung ke bank pusat untuk mendengar taklimat mengenai prospek, cabaran serta tumpuan dasar ekonomi negara pada masa ini.
Anwar berkata semasa taklimat tersebut BNM memaklumkan mengenai keadaan ekonomi negara yang kembali mengukuh pasca pandemik COVID-19.
“Namun, kerajaan mesti memikirkan cabaran semasa kepada ekonomi negara dengan mengambil kira risiko seperti pertumbuhan global yang lembab, konflik dan masalah geopolitik di peringkat antarabangsa yang terus memburuk serta gangguan kepada rantaian bekalan makanan.
“Kerajaan akan bertindak segera dengan pendekatan jangka pendek dan jangka panjang bagi mendepani permasalahan ini,” katanya.
Sementara itu, BNM menerusi ciapan di laman Twitter rasminya berkata pihaknya juga menggariskan kepentingan pembaharuan struktur supaya Malaysia dapat menarik lebih banyak pelaburan berkualiti, mewujudkan peluang pekerjaan yang menghasilkan pendapatan yang baik untuk rakyat dan mengukuhkan sistem perlindungan sosial negara.
“Dengan cabaran yang kita hadapi kini, Malaysia perlu memberikan keutamaan untuk menjamin masa hadapan, sama ada melalui ekonomi digital atau peralihan yang teratur kepada ekonomi yang lebih lestari.
“BNM akan terus melaksanakan mandat bagi menggalakkan ekonomi yg lebih mampan untuk Malaysia,” kata bank pusat.
— BERNAMA
Similar Posts:
- TIGA PERJANJIAN LIBATKAN EKONOMI HIJAU, DIGITAL, KESELAMATAN SIBER DIMETERAI DI SINGAPURA – PM ANWAR
- PM GUNA BEG FAIL SONGKET SARAWAK BAWA DOKUMEN BELANJAWAN 2023
- BELANJAWAN 2023 AMBIL KIRA CABARAN EKONOMI SEMASA – PM ANWAR
- KERAJAAN AKAN BERI TUMPUAN KEPADA SEKTOR PERKHIDMATAN DALAM BELANJAWAN 2023
- KERAJAAN KOMITED PASTIKAN KELANGSUNGAN HIDUP RAKYAT – ANWAR