BANGI, 17 Mac — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mencuba sendiri Menu Rahmah yang diperkenalkan di institusi pengajian tinggi ketika singgah makan tengah hari di Kafeteria Randau Rasa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini.
Singgah makan tengah hari sambil beramah mesra dengan masyarakat sebelum menunaikan solat Jumaat di masjid berhampiran adalah rutin mingguan PM Anwar sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada 24 November lepas.
Pada kesempatan itu, PM Anwar dilihat mencuba beberapa Menu Siswa Rahmah yang disediakan antaranya ikan keli sambal, sayur dan ikan goreng.
Selain wakil pelajar, Perdana Menteri turut ditemani Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman serta barisan kepimpinan tertinggi dan pengurusan universiti.
Menu Siswa Rahmah adalah inisitiaf Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang ditawarkan pada harga serendah RM3.50 dan sehingga kini sebanyak 20 universiti awam (UA) seluruh negara serta politeknik telah menawarkan menu tersebut sekali gus memberi manfaat kepada kira-kira 320,000 pelajar UA daripada kumpulan keluarga B40.
Selesai menjamu selera, PM Anwar kemudiannya menyertai warga UKM menunaikan solat Jumaat di Masjid Universiti Kebangsaan Malaysia yang terletak kira-kira 500 meter dari Kafeteria Randau Rasa.
— BERNAMA
PUTRAJAYA, 22 Dis (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu agensi kerajaan menghentikan penganjuran majlis besar-besaran serta pembelian pakaian baharu bagi sesuatu majlis untuk mengelak pembaziran perbelanjaan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata sekiranya amalan itu dapat dihentikan, peruntukan yang digunakan untuk tujuan tersebut dapat disalurkan kepada golongan yang memerlukan.
“Tiap agensi perlu mengurangkan pembaziran, menghentikan pembaziran. Mengurangkan acara-acara yang meriah dan megah.
Ada jabatan-jabatan umpamanya, tiap kali majlis atau perayaan, akan ada pakaian baharu, batik baharu dan beberapa persiapan baharu. Saya katakan, kita akan hentikan amalan ini,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan 2022 (HPPK2022) di sini hari ini.
Anwar berkata sekiranya perlu untuk membuat pembelian pakaian baharu bagi sebarang majlis, ia boleh dikhususkan untuk diedarkan kepada kakitangan gred rendah sahaja.
“Kalau nak bagi, sediakan kepada yang miskin, pekerja gred rendah atau golongan B40. Jangan beri kepada saya, menteri dan ketua setiausaha,” katanya.
Beliau berkata langkah itu mungkin disifatkan perkara kecil namun dapat dimanfaatkan sekumpulan besar golongan miskin di negara ini.
“Ada orang kata ini perkara kecil (seperti) saya tolak kereta Mercedes, saya tidak ambil gaji, tetapi semua yang kecil ini jika dihentikan, maka peruntukan dapat dipulangkan kepada rakyat miskin,” katanya.
— BERNAMA
Similar Posts:
- KERAJAAN TUMPU USAHA TURUNKAN HARGA BAHAN MENTAH – PM ANWAR
- SUBSIDI BERSASAR : PM ANWAR BERI JAMINAN KEPENTINGAN PIHAK INDUSTRI TURUT DIBERI PERHATIAN
- BELANJAWAN 2023 AMBIL KIRA CABARAN EKONOMI SEMASA – PM ANWAR
- MALAYSIA SAMBUT BAIK PEMBANGUNAN NUSANTARA – PM ANWAR
- PM MAHU PENJAWAT AWAM KENDALI TUGAS BESAR