PM, SULTAN BRUNEI ADAKAN PERTEMUAN, TINGKATKAN HUBUNGAN DUA HALA

Berita Terkini

PUTRAJAYA, 28 Nov (Bernama) — Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah bersama Pengiran Muda ‘Abdul Mateen Bolkiah hari ini mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memperkukuhkan hubungan Malaysia-Brunei Darussalam.

Sultan Hassanal Bolkiah yang berkenan memandu sendiri kenderaan yang dinaiki bersama anakanda Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan Anwar dari Pangkalan Tentera Udara Malaysia, Subang, tiba di perkarangan Kompleks Seri Perdana pada 12.25 tengah hari.

Menurut kenyataan Kementerian Luar, Lawatan Khas Sultan Hassanal Bolkiah ke Malaysia hari ini untuk menilai kemajuan kerjasama sedia ada antara Malaysia-Brunei Darussalam di samping meneroka potensi baharu bagi meningkatkan hubungan serta kerjasama yang boleh memanfaat kedua-dua negara.

Ini merupakan pertemuan julung kali antara baginda dan Anwar yang dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 pada 24 Nov lepas. 

Sebelum majlis bermula, Mufti Kerajaan Brunei Darussalam Ustaz Awang Abdul Aziz Juned memimpin bacaan doa. 

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Selepas itu, Sultan Hassanal Bolkiah dan Pengiran Muda ‘Abdul Mateen serta delegasi Brunei diraikan dalam satu majlis santapan tengah hari.

Anwar dan Sultan Brunei meluangkan masa hampir sejam dalam pertemuan tersebut.

Pemimpin kedua-dua negara itu kemudian bertukar cendera kenangan sebelum mengakhiri pertemuan.

— BERNAMA 

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.