Teks Ucapan Sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) Ke-77

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB
PERDANA MENTERI

SEMPENA
PERHIMPUNAN AGUNG PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (UNGA) KE-77

23 SEPTEMBER 2022 | JUMAAT | 4.00 PETANG
NEW YORK

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Dunia,

1. Pertama sekali, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Tuan Yang Terutama kerana dipilih sebagai Presiden Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Sesi ke-77. Saya yakin, dengan kepemimpinan Tuan Yang Terutama, sesi kali ini dapat berjalan dengan cekap dan berkesan. Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada Presiden yang terdahulu, Tuan Yang Terutama Abdulla Shahid, kerana menunjukkan kepimpinan yang cemerlang dalam Sesi ke-76, meskipun berhadapan dengan pelbagai kekangan dan cabaran.

2. Malaysia menyambut baik tema yang dipilih bagi Perhimpunan Agung PBB pada tahun ini, iaitu “Suatu Detik Perubahan: Penyelesaian Transformatif kepada Cabaran Bersaling Kait”. Kami percaya tema ini amatlah bersesuaian dengan situasi yang sedang kita lalui bersama.

Tuan Presiden,

3. Apabila kita mendengar komitmen yang tinggi serta ikrar untuk bekerjasama pada Perhimpunan Agung lepas, ia memberikan harapan kepada dunia. Banyak kenyataan telah dikeluarkan, yang memberi harapan termasuk kepada saya bahawa semangat sebuah Keluarga Dunia berupaya mengenepikan perbezaan yang wujud dalam kalangan kita.

4. Komitmen itu membolehkan kita bangkit semula daripada pandemik serta mengharungi cabaran-cabaran yang kita hadapi secara bersama. Namun, semangat yang optimis ini kian pudar. Saya bimbang melihat cabaran yang masih tidak dapat ditangani dan malahan semakin buruk. Banyak cabaran masih tidak dapat ditangani.

5. Iktibar utama yang kita pelajari dari pandemik COVID-19 ialah kita tidak boleh lari daripada setiap cabaran yang melanda. Sifat mementingkan diri tanpa mempedulikan kesan terhadap pihak lain hanya akan menimbulkan ketidakpercayaan dalam jalinan kerjasama antarabangsa.

Sistem Monetari dan Kewangan Antarabangsa

6. Dalam dunia yang saling terkait, dasar dan keputusan sesetengah negara mampu memberi kesan kepada negara lain. Misalnya, dalam mendepani cengkaman inflasi yang melanda dunia, dasar monetari dan penetapan kadar faedah oleh sesebuah negara turut memberi impak kepada negara-negara lain.

7. Di sinilah kerjasama dan penyelarasan antara negara perlu dipertingkatkan, bagi mencapai matlamat kesejahteraan ekonomi yang lebih adil untuk semua.

8. Dalam struktur kewangan dan monetari antarabangsa yang masih didominasi oleh beberapa kuasa besar, serta dalam keadaan pemulihan ekonomi dunia, keputusan dasar monetari domestik perlu diselaraskan dengan mengambil kira realiti serta keperluan negara-negara membangun.

9. Sehubungan itu, Malaysia menggesa Negara-Negara Anggota PBB untuk mewujudkan Mekanisme Kerjasama Monetari Antarabangsa bagi membina sistem yang lebih efektif, adil serta mampu mengimbangi keperluan pembangunan sejagat.

Konflik Global

Tuan Presiden,

10. Keamanan dan kestabilan adalah penting dalam mengharungi setiap cabaran besar masa kini; baik krisis perubahan iklim, kemiskinan global mahupun kesan pandemik berterusan. Sehebat manapun perancangan kita, ia tidak akan bertahan daripada kemusnahan dan pembaziran yang disusuli dengan peperangan moden. Inilah kebenaran yang tidak seharusnya kita lupa.

11. Konflik akan hanya mengakibatkan kesan negatif kepada seluruh dunia. Disebabkan konflik, kita kini berdepan dengan pelbagai masalah seperti kekurangan zat dan sumber makanan.

12. Mendepani isu ini, Malaysia menyeru semua negara untuk memberi penekanan kepada isu sekuriti makanan bagi menjamin sumber makanan yang mencukupi untuk semua.

Tuan Presiden,

13. Piagam PBB dan undang-undang antarabangsa wujud untuk mengalakkan penyelesaian damai bagi pertikaian antara negara. Piagam dan undang-undang ini menetapkan had sesebuah negara dalam mengejar kepentingan diri sendiri. Berdasarkan prinsip itu, Malaysia menentang pencabulan undang-undang antarabangsa, termasuk prinsip kedaulatan dan integriti wilayah sesebuah negara.

14. Apabila tercetusnya konflik, semua pihak bertanggungjawab untuk meredakan ketegangan dan memberi keutamaan kepada keselamatan dan nyawa orang awam. Pada masa yang sama, pihak yang bertelagah perlu kembali ke meja perundingan untuk menghentikan konflik secepat mungkin.

15. Malaysia tidak bersetuju dengan tindakan pengasingan sesebuah negara daripada pertubuhan antarabangsa. Langkah sedemikian bertentangan dengan prinsip multilateralisme dan menghalang dialog.

Keadaan di Ukraine

16. Harga yang perlu dibayar untuk sesebuah peperangan adalah tinggi nilainya. Ini dibuktikan dengan situasi yang dialami oleh Ukraine. Kesannya bukan sahaja dideritai oleh rakyat dan negara itu, malah turut dirasai dunia. Konflik ini telah mengancam keamanan, keselamatan global, ekonomi dan menggugat sekuriti makanan.

17. Malaysia mengalu-alukan perwujudan koridor laluan laut yang membolehkan penghantaran bijirin dari Ukraine. Ini merupakan satu langkah positif dalam menangani masalah sekuriti makanan.

18. Dalam hal ini, Malaysia ingin mengulangi ketegasan agar semua negara, terutamanya kuasa-kuasa besar, supaya mengelak daripada mewujudkan blok pengasingan, yang hanya akan mendorong dunia ke kancah perang dingin. Dunia perlu sedar keamanan hanya boleh dicapai melalui dialog dan rundingan.

Situasi di Wilayah Palestin Yang Diduduki (OPT)

19. Bagi Wilayah Palestin Yang Diduduki (OPT), Malaysia kecewa dengan pendudukan secara kejam oleh Israel yang berlarutan sejak sekian lama. Rakyat Palestin terus hidup dalam belenggu dasar-dasar diskriminasi Israel. Penempatan haram semakin berleluasa. Ini bertentangan dengan undang-undang antarabangsa, termasuk resolusi 2334 Majlis Keselamatan. Hak paling asas rakyat Palestin terus dinafikan.

20. Justeru, Malaysia berpandangan kuasa-kuasa besar perlu bersikap jujur dalam menyelesaikan isu kekejaman yang dihadapi rakyat Palestin.

21. Pendirian tegas itu harus diambil oleh PBB, bagi memastikan krisis yang telah berlarutan di bumi Palestin sejak sekian lama dapat diselesaikan segera.

22. Apa yang berlaku hari ini, kebanyakan negara begitu cepat bertindak dalam kes yang berlaku di Ukraine. Malaysia mahu tindakan yang sama harus diambil bagi menyelesaikan isu di Palestin. Israel perlu berhenti menjadi sebuah entiti Apartheid!

Hidup bersama dalam budaya damai

23. Walaupun kita masih diancam konflik antara negara, kita tidak boleh mengabaikan krisis lain yang berlaku di seluruh dunia. Tunjang kekuatan kepada dunia yang bebas konflik ialah hidup bersama dalam budaya damai. Malaysia, sebagai sebuah negara yang berbilang kaum, budaya dan agama, sentiasa menyokong padu dan memperjuangkan konsep kewujudan bersama yang aman antara pelbagai bangsa, kepercayaan dan budaya.

Keadaan di Myanmar

Tuan Presiden,

24. Di rantau Asia Tenggara, Malaysia telah memainkan peranan penting dalam penyelesaian konflik. Sebagai contoh, Malaysia terlibat dalam proses damai antara Kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) sejak tahun 2001. Selain itu, Malaysia juga sentiasa proaktif membantu menyelesaikan pelbagai krisis dan konflik serantau.

25. Namun demikian, Malaysia kecewa dengan situasi di Myanmar sejak tercetusnya rampasan kuasa pada bulan Februari 2021. Amat mendukacitakan, apabila Majlis Keselamatan tidak mengambil sebarang tindakan serius dalam menangani situasi ini. Malah ada yang melihat Majlis Keselamatan lepas tangan dan menyerahkannya kepada ASEAN.

26. Malaysia kecewa tiada kemajuan bermakna dalam pelaksanaan ‘Kesepakatan Lima Perkara’ ASEAN terutamanya oleh pihak junta Myanmar. Dalam acuannya sekarang, ‘Kesepakatan Lima Perkara’ ASEAN ini tidak boleh diteruskan lagi. Justeru, kesepakatan ini perlu diberi nafas baharu dan diperhalusi berdasarkan rangka kerja, jangka masa dan matlamat akhir yang lebih jelas. Sesungguhnya, yang lebih penting ialah aspirasi rakyat Myanmar perlu dipenuhi.

27. Krisis politik di Myanmar juga telah memburukkan lagi keadaan berjuta-juta pelarian Myanmar termasuklah pelarian etnik Rohingya. Walaupun Malaysia bukan negara yang menandatangani Konvensyen Status Pelarian 1951 dan Protokol 1967, Malaysia, atas dasar kemanusiaan, menerima hampir 200,000 pelarian Rohingya.

28. Oleh demikian, adalah menjadi tanggungjawab kesemua negara, termasuk negara peserta konvensyen turut mengambil lebih ramai pelarian bagi ditempatkan di negara masing-masing. Pada masa yang sama, Malaysia amat menekankan peri pentingnya dunia menangani punca utama krisis Rohingya. Saya percaya bahawa isu ini tidak akan diselesaikan selagi krisis di negara tersebut berterusan.

Reformasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu

Tuan Presiden,

29. Konflik dan krisis yang berlaku di dunia ini termasuk di Ukraine, Palestin dan Myanmar, tidak dapat diselesaikan akibat kepincangan sistem tadbir urus global dan PBB.

30. Masalah yang paling besar di PBB adalah Majlis Keselamatan. Kuasa veto seringkali disalahgunakan untuk memihak kepada kuasa dunia yang memilikinya. Ia tidak demokratik dan melanggar prinsip hak asasi manusia. Ini menyebabkan konflik yang berlaku tidak dapat diselesaikan oleh mana-mana wakil tetap Majlis tersebut.

31. Selaras dengan prinsip satu negara satu undi, sekarang adalah masanya kuasa veto dihapuskan. Sebagai organisasi yang membawa semangat dan lambang demokrasi kepada dunia, PBB perlu kembali kepada landasan penubuhannya.

Tindakan Iklim

Tuan Presiden,

32. Perubahan iklim merupakan masalah sejagat yang melibatkan kita semua. Pada tahun lepas sahaja, Malaysia telah dilanda banjir paling serius dalam sejarah, yang mengakibatkan kerugian dianggarkan mencecah USD1.4 bilion (RM6.1 bilion).

33. Ramai terkorban dan hampir 100,000 lagi terpaksa dipindahkan ke pusat penempatan sementara. Situasi ini bukan sahaja berlaku di Malaysia malah di beberapa negara lain. Jelas sekali, langkah-langkah mitigasi dan adaptasi perlu diteruskan.

34. Hakikatnya, negara maju memikul tanggungjawab untuk meningkatkan bantuan kepada negara membangun, dengan memenuhi komitmen menyediakan peruntukan USD100 bilion setahun tanpa syarat. Ini dapat merealisasikan tindakan terhadap perubahan iklim yang sepatutnya dilaksanakan sejak tahun 2020.

Pembangunan Mapan

Tuan Presiden,

35. COVID-19 telah merencatkan usaha kita dalam mencapai Matlamat Pembangunan Mapan (SDG). Di sini, saya berdiri bagi pihak negara membangun menegaskan bahawa pelaksanaan dan kejayaan pembangunan sosioekonomi yang lebih hijau dan mapan akan dicapai dengan sahutan janji yang saksama dan inklusif.

36. Hakikatnya, teknologi baharu menjadi penggalak kepada sesebuah negara untuk beralih kepada tenaga boleh diperbaharui. Namun begitu, teknologi baharu ini perlulah bersifat mampu milik oleh negara-negara membangun.

37. Dalam hal ini, Malaysia komited dalam menjalankan tanggungjawab dan peranannya bagi memastikan pemuliharaan dan kelestarian alam sekitar. Dalam konteks ini, pelbagai langkah telah dilaksanakan oleh Malaysia. Sebagai contoh:

(i) Dalam industri sawit, Malaysia telah memperkenalkan standard Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO) untuk memenuhi keperluan bagi tujuan pembangunan mapan;

(ii) Malaysia komited untuk mengurangkan pelepasan Gas Rumah Hijau, sebanyak 45 peratus berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030. Dalam hal ini, Malaysia meletakkan sasaran bagi mencapai 31 peratus penggunaan tenaga boleh diperbaharui, menjelang 2025. Malaysia juga komited untuk mencapai status negara sifar pelepasan Gas Rumah Hijau seawal tahun 2050;

(iii) Dasar Tenaga Negara 2022-2040 telah dilaksanakan di Malaysia, pada 19 September 2022, bagi meningkatkan daya tahan ekonomi makro dan jaminan bekalan tenaga;

(iv) Malaysia telah bersetuju menubuhkan Pusat SDG Negara bagi mempergiatkan program dan memantau kemajuan SDG.

38. Sebagai satu daripada hanya 17 negara yang memiliki kepelbagaian-bio di dunia, Malaysia sedar akan tanggungjawab untuk mempertahankan dan memelihara sumber asli kepada generasi yang bakal mewarisi dunia ini. Semasa Sidang Kemuncak Bumi pada 1992, Malaysia telahpun berikrar untuk mempertahankan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada hutannya.

39. Selepas tiga dekad, hari ini Malaysia masih mempunyai 54 peratus kawasan hutan di seluruh negara. Peratusan ini akan bertambah berikutan langkah penghutanan semula yang agresif oleh Malaysia.

40. Bukan sahaja Malaysia, bahkan dunia perlu peka terhadap usaha mencapai Matlamat Pembangunan Mapan 2030. Sehubungan itu, Malaysia mengalu-alukan penganjuran Forum Politik Peringkat Tinggi berkaitan Pembangunan Mapan (HLPF) pada tahun hadapan. Usaha ini tepat pada masanya kerana ia memberi peluang kepada kita untuk melihat semula apa yang telah dicapai dan apa yang boleh ditambah baik demi kebaikan Keluarga Dunia.

Tuan Presiden,

41. Kita semua berkongsi kebimbangan yang serupa terhadap semua isu yang telah saya bangkitkan tadi.

42. Malaysia kekal optimistik. Saya menyeru negara-negara anggota untuk melaksanakan peranan masing-masing dalam mengatasi cabaran yang kita hadapi. Namun kita harus melakukannya bersama-sama seperti sebuah keluarga besar – Keluarga Dunia.

43. “Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh; United we stand, divided we fall”, selagi kita bersatu padu dan teguh bersama dalam memikul beban ini, saya pasti kita akan berjaya.

44. Hari ini, saya mengajak komuniti antarabangsa bekerjasama dengan mengamalkan semangat Keluarga Dunia, dalam menghadapi cabaran global.

Dengan lafaz Bismillahirrahmaanirrahim,

Tuan Presiden,

Malaysia akan terus memberi komitmen sepenuhnya.

Sekian, terima kasih.

Wabillahi Taufik Wal Hidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.