Teks Ucapan Sempena Majlis Perasmian GENTARI Sdn Bhd

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB
PERDANA MENTERI

SEMPENA

MAJLIS PERASMIAN GENTARI SDN BHD

15 SEPTEMBER 2022 | KHAMIS | 8.30 MALAM
DEWAN 8, TINGKAT 4, KLCC


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran saya panjatkan ke hadrat ALLAH SWT kerana dengan limpah kurnia dan keizinan-Nya, kita dapat bersama-sama pada Majlis Perasmian GENTARI Sdn Bhd.

2. Terlebih dahulu, tahniah dan syabas diucapkan kepada Tan Sri Mohd Bakke Salleh, Pengerusi PETRONAS dan Datuk Tengku Muhammad Taufik, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS merangkap Pengerusi GENTARI serta seluruh warga GENTARI dan PETRONAS atas penubuhan syarikat GENTARI.

3. Terima kasih kerana mengundang saya untuk merasmikan majlis yang amat bermakna pada malam ini yang bakal memberi manfaat kepada Keluarga Malaysia.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

4. Perasmian GENTARI merupakan satu detik yang bersejarah kerana kewujudannya sangat signifikan dalam membantu Malaysia mencapai matlamat negara iaitu pelepasan gas rumah kaca (GHG) bersih sifar pada tahun 2050 seperti digariskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.

5. Bagi mencapai matlamat ini, Dasar Tenaga Negara (DTN) akan dilancarkan tidak lama lagi sebagai komitmen Kerajaan untuk peralihan tenaga bagi mengurangkan pembebasan karbon.

6. Sehubungan itu, pelancaran GENTARI pada malam ini seiring dengan usaha kerajaan ke arah merealisasikan sasaran DTN menerusi inisiatif mobiliti hijau, tenaga boleh baharu, serta hidrogen sebagai sumber tenaga utama.

7. Ia juga meningkatkan daya saing Malaysia di peringkat antarabangsa dalam bidang tenaga hijau ke arah mencapai Agenda Pembangunan Mampan 2030.

8. Namun begitu, bagi merealisasikan matlamat-matlamat ini, pendekatan strategik berikut perlu diambil:

Pertama, kita tidak boleh mengamalkan sikap ‘business as usual’, jika ingin berjaya beralih kepada penggunaan tenaga lestari. Ini kerana sikap sebaliknya ibarat kita hanya berpeluk tubuh dalam menangani perubahan iklim.

Kedua, kita perlu bertindak segera secara menyeluruh, dan melibatkan segenap masyarakat, untuk mengurangkan pelepasan karbon secara ketara menjelang tahun 2030.

Ketiga, PETRONAS sebagai syarikat milik negara berperanan sebagai pemangkin penggunaan sumber tenaga hijau di Malaysia.

Keempat, usaha sama erat antara entiti tempatan dan global amat diperlukan untuk mengurangkan faktor kos, bagi memacu penerimaan tenaga boleh baharu dan tenaga baharu.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

9. Sebagai pemain tenaga global, PETRONAS mampu menjadi pemangkin perubahan dalam peralihan tenaga hijau di Malaysia berdasarkan skala impaknya.

10. Saya berbesar hati kerana PETRONAS terus menyokong usaha penyahkarbon negara terutama mengumumkan hasratnya untuk mencapai Pelepasan Sifar Bersih Karbon menjelang 2050.

11. Sejajar dengan aspirasi ini, PETRONAS telah memulakan beberapa langkah awal seperti berikut:

Pertama, mengurangkan pelepasan gas rumah kaca sebanyak 25 peratus dalam operasi eksplorasi huluan, pembangunan dan produksi pada separuh pertama 2022 berbanding tempoh sama tahun lalu.

Kedua, menubuhkan GENTARI untuk mempercepatkan penerimaan dan pengkomersialan tenaga hijau di Malaysia, melalui penyelesaian rendah karbon khasnya tenaga boleh baharu, hidrogen dan mobiliti hijau.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

12. Pengangkutan merupakan salah satu daripada sektor penting dalam mengurangkan penghasilan karbon. Oleh itu, tumpuan GENTARI terhadap Mobiliti Hijau adalah sejajar dengan hasrat mencapai sasaran bandar rendah karbon menerusi teknologi seperti kenderaan elektrik (EV) dan hibrid.

13. Penggunaan EV adalah salah satu langkah untuk mempercepatkan pengurangan pelepasan karbon dalam sektor pengangkutan negara.

14. Bagi menggalakkan penggunaan EV, kerajaan akan membangunkan dasar yang lebih komprehensif dan berjangka panjang merangkumi subsidi tambahan serta pengecualian cukai.

15. Saya dimaklumkan GENTARI telah mencatatkan kejayaan awal dalam bidang mobiliti hijau, seperti:

· Penyediaan 20 unit kenderaan elektrik dua roda di Malaysia dan 239 unit kenderaan elektrik tiga roda di India melalui model Kenderaan-sebagai-Perkhidmatan (VaaS).
· Pemasangan 125 kemudahan pengecasan di India dan 68 di Malaysia setakat ini.

· Inisiatif VaaS telah berjaya mencapai perjalanan sejuta kilometer bersih di India, bersamaan dengan pengurangan pelepasan karbon sebanyak 83.4 tan. Saya pasti kejayaan ini dapat dicapai di Malaysia tidak lama lagi.

· Saya melihat impak perkembangan ini cukup positif bagi Malaysia kerana GENTARI komited mengembangkan lagi kemudahan pengecasan di sepanjang lebuh raya dan kawasan-kawasan lain di Malaysia.

16. Pengecas EV Gentari ini dilengkapi dengan sistem ‘Digital Out-of-Home. Saya dimaklumkan, selain satu inovasi baharu, Suria KLCC juga merupakan hab pengecas EV terbesar di Malaysia.

17. Dengan mempercepatkan penyediaan kemudahan pengecasan, GENTARI boleh membantu meningkatkan penggunaan EV di negara ini.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

18. Dalam aspek tenaga boleh baharu pula, kerajaan akan bekerjasama dengan semua pihak terlibat untuk menyelesaikan cabaran teknikal dan kos bagi memajukan industri ini.

19. Malah Kerajaan akan meningkatkan geran promosi dan subsidi sedia ada untuk pengkomersialan serta penggunaan tenaga boleh baharu bersama teknologi berkaitan.

20. Dalam masa yang sama, semua dasar berkaitan sektor tenaga akan dikaji semula termasuk manfaat Akses Pihak Ketiga (TPA) terhadap infrastruktur grid bagi memastikan hasrat ini dapat dicapai.

21. Saya dimaklumkan Gentari telah berjaya mencapai 1.1 Giga Watt (GW) kapasiti tenaga boleh baharu di Malaysia dan di luar negara termasuk pemasangan bumbung solar tunggal terbesar di Universiti Teknologi PETRONAS dengan kapasiti tenaga 7.4 Mega Watt Peak (MWp). Syabas dan tahniah.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

22. Kerajaan sentiasa menitikberatkan pembangunan sumber hijau dengan aspirasi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara rendah karbon.

23. Bagi mencapai hasrat tersebut, satu lagi bentuk tenaga hijau yang akan menjadi tumpuan Kerajaan adalah hidrogen, yang mampu menjadi pengubah industri.

24. Meskipun ia merupakan suatu industri yang baharu, Petronas telah mengorak langkah untuk meneroka sumber tenaga ini berikutan medium yang fleksibel dalam pemindahan tenaga merentas sektor.

25. Dalam meningkatkan penggunaan hidrogen, saya yakin GENTARI mampu mengenal pasti serta membangunkan kluster ekonomi hidrogen di Malaysia, seterusnya menjadikan negara kita sebagai hab eksport hidrogen yang kompetitif di rantau ini.

26. Difahamkan GENTARI telah menandatangani 12 Memorandum Persefahaman dengan penggiat sektor hidrogen antarabangsa dalam memanfaat kelebihannya sebagai penggerak utama tenaga hijau ini.

27. Bagi sektor ini, Kerajaan juga akan menggalakkan lebih banyak usaha sama antara negara bagi memudahkan perkongsian teknologi dan amalan terbaik.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

28. Kerajaan menyedari bahawa pada abad ke-21, tenaga yang boleh diperbaharui dan sektor tenaga mampan serta teknologi hijau akan menjadi teras pertumbuhan ekonomi bagi semua negara.

29. Saya juga ingin tegaskan bahawa pembangunan sumber tenaga hijau harus dijadikan keutamaan dan bukan lagi sebagai satu pilihan dalam setiap perancangan dasar Kerajaan pada masa akan datang.

30. Akhir kata, saya berharap GENTARI akan terus menyumbang kepada peralihan tenaga negara dalam usaha mencapai aspirasi Pelepasan Sifar Bersih Karbon menjelang 2050.

31. Dengan kata-kata dan hasrat tersebut dan saya dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, merasmikan Gentari Sdn Bhd.

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.