Teks Perutusan Sempena Hari Kebangsaan 2022

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB PERDANA MENTERI

SEMPENA
PERUTUSAN HARI KEBANGSAAN 2022

30 OGOS 2022 | SELASA | 9.00 MALAM

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Segala puji dan rasa syukur dirafakkan ke hadrat ALLAH SWT kerana dengan rahmat dan inayah-Nya, Keluarga Malaysia mampu mengecapi nikmat kemerdekaan dalam tempoh 65 tahun lamanya.

2. Tahun ini, kita meraikan sambutan kemerdekaan atas semangat Keluarga Malaysia – Teguh Bersama.

3. Izinkan patik dan seluruh rakyat Malaysia menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al- Musta’in Billah.

4. Sesungguhnya Kebawah Duli Tuanku umpama payung yang melindungi dan menyatukan seluruh rakyat tidak mengira kaum, agama dan fahaman politik.

5. Alhamdullilah, pada tahun ini, Keluarga Malaysia di seluruh negara kembali berpeluang meraikan sambutan kemerdekaan secara besar-besaran, sebagai sebuah masyarakat yang harmoni dan sejahtera.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

6. Malaysia kini signifikan di mata dunia, malah telah membuktikan pencapaian ekonomi dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), sebanyak 8.9 peratus bagi suku kedua tahun ini. Pencapaian yang direkodkan ini merupakan yang terbaik di Asia Tenggara.

7. Keyakinan kepada ekonomi negara juga jelas dalam kalangan pelabur antarabangsa. Untuk separuh pertama 2022, pelaburan langsung asing (FDI) mencatat aliran langsung bersih lebih tinggi bernilai RM 41.7 bilion berbanding RM 23.3 bilion sebelum pandemik.

8. Momentum pemulihan ekonomi bukan sekadar pertumbuhan KDNK, tetapi pemulihan pasaran kerja apabila kadar pengangguran menurun daripada 5.3 peratus pada Mei 2020 kepada 3.8 peratus pada Jun 2022.

9. Perkembangan ekonomi yang memberangsangkan pada hari ini antara lain adalah hasil daripada dasar fiskal yang mengembang melalui Bajet 2022, dasar monetari yang kekal akomodatif serta pembukaan semula ekonomi sepenuhnya dan sempadan antarabangsa.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

10. Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak kan datang melayang. Rahmat dan nikmat kemerdekaan yang kita kecapi pada hari ini adalah hasil perjuangan titisan darah, keringat dan air mata.

11. Tidak terhitung banyaknya nyawa yang terkorban dan tidak terkira nilai kerugian harta benda dalam mencapai sebuah erti kemerdekaan.

12. Ketika perjuangan menentang penjajahan Portugis, Belanda, Inggeris, dan Jepun, ramai pejuang yang aulia rebah demi mempertahankan pertiwi.

13. Nama-nama seperti Mat Kilau, Datuk Dol Said, Tok Janggut, Datuk Bahaman, Tok Gajah, Rentap, Datuk Maharajalela, Dato’ Sagor, Haji Abdul Rahman Limbong, Datu Mat Salleh, Rosli Dhobi adalah antara tokoh yang telah berkorban demi tanah air tercinta.

14. Mat Kilau pernah berpesan; perjuangan mesti diteruskan oleh generasi muda, jangan biar tanah air tergadai, jangan sesekali mudah dipicit sehingga terbelah dua.

15. Kalau beragama, jangan sekadar pakaiannya (Syariat), biar tentu bersih juga tubuhnya (hakikat). Kalau belajar, jangan sekadar ilmunya, biar tentu kukuh juga adabnya. Kalau beramal, jangan sekadar ayatnya, biar tentu juga berbulat dengan rahsia-Nya. Itulah antara amanat Pahlawan Mat Kilau yang boleh dijadikan sebagai azimat.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

16. Semangat seperti ini perlu digilap kepada generasi baharu supaya mengenal sejarah pahlawan negara di samping menyedarkan pemimpin bangsa ke arah landasan yang betul menurut tuntutan dan ajaran agama.

17. Semangat dan perjuangan yang telah wujud sejak dulu, terus mengalir dan diterjemahkan dalam Rundingan Kemerdekaan pada tahun 1956, di Kota London.

18. Nilai kemerdekaan inilah akhirnya, yang telah berjaya memupuk perpaduan dalam kalangan Keluarga Malaysia yang berbilang kaum, bangsa dan agama, selain integrasi nasional silang budaya merentasi Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

19. Tiada ungkapan yang dapat dizahirkan untuk menggambarkan sanjungan dan rasa terima kasih ke atas perjuangan serta pengorbanan pejuang negara terdahulu termasuklah anggota keselamatan, tentera dan polis.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

20. Di era modenisasi ini, bentuk penjajahan tidak lagi sama seperti era kolonial. Justeru, jika kita tidak mempertahankan kemerdekaan yang diperjuangkan oleh wira-wira terdahulu, maka sejarah mungkin akan berulang dan kita kembali dijajah semula.

21. Bentuk penjajahan moden yang muncul ketika ini dan semua negara di dunia terkena dampaknya, yakni penjajahan baharu dalam bidang ekonomi, teknologi dan budaya. Anasir luar ini menggunakan pelbagai cara untuk menjajah semula dalam bentuk yang lebih canggih.

22. Meskipun ancaman penjajahan baharu ini bukanlah dari segi fizikal, namun ianya sangat berbahaya dan merupakan cara paling mudah untuk menjarah minda dan jati diri bangsa, seterusnya mampu menghancurkan sesebuah negara.

23. Hanya rasa cinta kepada negara membolehkan kita terus bekerjasama dan bersatu padu untuk mempertahankan nilai-nilai kedamaian, keamanan dan kemerdekaan bagi membangun dan menjaga kedaulatan kita.

24. Adat bersaudara, saudara dipertahankan; Adat berkeluarga, keluarga dilindungi; Adat berkampung, kampung dijaga; Adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan; Sesungguhnya kita semua satu keluarga; Keluarga Malaysia penyambung warisan.

25. Selamat menyambut dan meraikan Hari Kebangsaan 2022. Keluarga Malaysia – Teguh Bersama. Dirgahayu Tanah Airku!

MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.