Kenyataan Media Berkaitan Persidangan Inovasi Malaysia 2022

KENYATAAN MEDIA
YAB PERDANA MENTERI


PERSIDANGAN INOVASI MALAYSIA 2022


Saya telah merasmikan Persidangan Inovasi Malaysia 2022, sebuah platform percambahan fikiran untuk mengumpulkan hasil ciptaan pereka cipta tempatan serta membincang dan mengupas idea baharu berkaitan penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (R&D&C&I), yang memainkan peranan penting dalam mempercepat pembangunan sosioekonomi Keluarga Malaysia.

Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (EPU, JPM) bersama United Nations Development Program (UNDP) dan tujuh Kementerian iaitu Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KETSA) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah bergabung tenaga menjayakan persidangan pada hari ini yang berfokus kepada:

Menggalakkan diskusi berkaitan pengkomersialan dan inovasi dengan memberi tumpuan khusus kepada inisiatif pelaburan, pelebaran jaringan serta menyediakan ruang untuk percambahan cetusan idea baharu ke arah merancakkan aktiviti R&D&C&I.

Menyediakan ruang dan peluang bagi menggalakkan kerjasama pelbagai pihak melalui perkongsian maklumat, pengalaman serta amalan terbaik dalam kalangan agensi kerajaan, masyarakat umum, sektor swasta, syarikat pemula, usahawan teknologi, komuniti saintifik dan pereka cipta termasuk di peringkat akar umbi dan B40.

Persidangan ini dilaksanakan berdasarkan tiga tema utama yang sejajar dengan keperluan sosio-ekonomi negara pada masa kini iaitu Pertanian Lestari dan Sekuriti Makanan, Komuniti Mampan dan Bandar Hijau serta Perniagaan Mampan.

Tema ini juga mendokong objektif Rancangan Malaysia Ke-12
(RMKe-12), yang bermatlamat untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2025.
Pendigitalan, penerimagunaan teknologi dan inovasi adalah penting bagi mencapai pertumbuhan ekonomi yang mampan. Oleh itu, bagi tujuan menyokong pembangunan inovasi di Malaysia, dalam tempoh 2021 hingga 2022, iaitu semasa Rolling Plan 1 dan 2 di bawah RMKe-12, Kerajaan telah meluluskan 99 projek dan program R&D&C&I dengan kos berjumlah RM5.6 bilion.

Kerajaan juga akan meningkatkan pengkomersialan dan memacu inovasi untuk menghasilkan lebih banyak produk dan penyelesaian berasaskan industri serta mempunyai nilai ditambah yang tinggi. Bagi tujuan ini, semua aktiviti R&D&C&I akan dijajarkan dengan keutamaan negara. Aspek pengkomersialan akan diberi penekanan dengan memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus jumlah perbelanjaan R&D adalah kepada penyelidikan pembangunan eksperimental.

Saya percaya bahawa persidangan hari ini akan menyediakan ruang dan peluang bagi menggalakkan kerjasama pelbagai pihak melalui perkongsian maklumat, pengalaman dan amalan terbaik dalam kalangan agensi Kerajaan, masyarakat umum dan sektor swasta. Usaha ini akan memperkukuhkan lagi ekosistem bagi menggalakkan pelaburan dalam bidang R&D&C&I yang berimpak tinggi.

#KeluargaMalaysia
#BekerjaBersamaRakyat

DATO’ SRI ISMAIL SABRI YAAKOB
2 OGOS 2022

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.