Kenyataan Media Berkaitan Pelantikan Semula Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki Bin Ali Sebagai Ketua Setiausaha Negara

KENYATAAN MEDIA
PEJABAT PERDANA MENTERI


PELANTIKAN SEMULA TAN SRI DATO’ SERI MOHD ZUKI BIN ALI SEBAGAI KETUA SETIAUSAHA NEGARA


Adalah dimaklumkan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta’in Billah atas perakuan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam telah memperkenankan pelantikan semula YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki bin Ali sebagai Ketua Setiausaha Negara secara kontrak.

Lantikan tersebut adalah selama 2 tahun berkuat kuasa mulai 11 Ogos 2022 hingga 10 Ogos 2024.

Pelantikan semula YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki bin Ali adalah atas kepentingan negara kerana perkhidmatan beliau sebagai Ketua Setiausaha Negara masih diperlukan.

YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki bin Ali, 60, yang dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara sejak 31 Disember 2019 merupakan seorang yang berpengalaman luas dalam perkhidmatan awam.

Beliau yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan dari Nanyang University, Singapura pernah berkhidmat di Kementerian Kewangan, Kementerian Pelajaran, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Selain itu, beliau pernah bertugas di Istana Negara dan Jabatan Perdana Menteri serta pernah menjawat jawatan sebagai Setiausaha Persekutuan Sarawak dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan.

#KeluargaMalaysia
#BekerjaBersamaRakyat

PEJABAT PERDANA MENTERI
11 OGOS 2022

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.