Kenyataan Media Berkaitan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Bil. 6/2022

KENYATAAN MEDIA
YAB PERDANA MENTERI


KERAJAAN KOMITED MENINGKATKAN PERTUMBUHAN EKONOMI MELALUI PEMBANGUNAN TEKNOLOGI SERTA MEMBANGUNKAN BAKAT BERKUALITI


Saya telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi yang membincangkan dua perkara utama, iaitu berkaitan teknologi maju dalam meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan bakat bagi memenuhi keperluan pasaran.

Kerajaan komited untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi. Ia berpaksikan penerimagunaan teknologi baharu serta penciptaan dan pembangunan teknologi tempatan di samping terus berusaha membangunkan bakat masa hadapan bagi pertumbuhan yang inklusif dan mampan.

1. Mesyuarat hari ini bersetuju dengan cadangan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) supaya langkah intervensi diambil bagi meningkatkan kedudukan Malaysia berada di antara 20 teratas dunia dalam Indeks Inovasi Global (Global Innovation Index). Ini selari dengan sasaran Kerajaan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12).

Selain itu, satu langkah strategik inovasi akan diwujudkan bagi meningkatkan pengkomersialan teknologi dan inovasi negara berikutan ketidakpadanan bidang tersebut dengan kehendak industri.

2. Mesyuarat turut mengambil maklum akan cabaran dan situasi semasa mengenai bakat sedia ada berdasarkan keperluan industri.

Pertama, negara menghadapi cabaran dalam mencipta peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

Kedua, cabaran untuk mengekalkan dan menarik bakat berkemahiran. Negara berdepan dengan saingan daripada negara- negara maju yang menawarkan gaji yang lebih tinggi untuk menarik bakat berkemahiran ke sektor-sektor yang berpotensi tinggi.

Mesyuarat bersetuju untuk meneliti semula dasar-dasar yang melibatkan sumber manusia dan modal insan di semua kementerian berkaitan secara menyeluruh bagi menangani cabaran pasaran buruh.

Kerajaan sentiasa berusaha memastikan negara sentiasa bergerak maju kehadapan seiring dengan perubahan teknologi dan memenuhi keperluan semasa pasaran buruh bagi menjamin kesejahteraan Keluarga Malaysia.

#KeluargaMalaysia
#BekerjaBersamaRakyat

DATO’ SRI ISMAIL SABRI YAAKOB
22 Ogos 2022

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.