Teks Ucapan Sempena Perutusan Khas Hari Raya Aidiladha 2022

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB PERDANA MENTERI

SEMPENA PERUTUSAN KHAS
HARI RAYA AIDILADHA

9 JULAI 2022

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia,

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillah hil Hamd.

1. Segala puji-pujian bagi Allah SWT, selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga serta para sahabat Baginda.

2. Alhamdulillah, Aidiladha yang besar ertinya kepada Keluarga Malaysia beragama Islam, dapat kembali diraikan sepenuhnya selepas dua tahun kita berdepan dengan pandemik COVID-19.

3. Kisah agung junjungan mulia Nabi Ibrahim Alaihissalam dan anakanda, Nabi Ismail Alaihissalam adalah iktibar yang perlu dihayati oleh seluruh Keluarga Malaysia dalam kita mendepani cabaran kehidupan seharian.

4. Aidiladha memberi pengertian yang amat besar kepada umat Islam. Ia berkait rapat dengan keinsafan, pengorbanan, kebersamaan dan kesyukuran.

5. Maka, dengan nilai-nilai ini kita dapat meneruskan kehidupan yang lebih harmoni di sebalik pelbagai ketidaktentuan dunia yang berlaku pada hari ini.

6. Malah semangat toleransi yang berasaskan konsep Tasamuh dalam Islam menjadi salah satu elemen penting untuk mengekalkan perpaduan dan kesejahteraan Keluarga Malaysia.

7. Sikap berlapang dada membolehkan kita terus maju membangun dan mencegah diri daripada perbalahan yang hanya akan merugikan ummah.

8. Nilai Tasamuh ini turut tersemat erat dalam urusan ibadah haji. Ianya tidak membezakan status dan darjat sesama insan, malah ia menggambarkan sebuah keluarga besar yang rukun, aman damai dan bersatu padu.

9. Kesanggupan berkorban harta kekayaan bagi membantu yang daif adalah kebajikan yang diseru oleh Islam. Ia adalah simbol ketaatan, ketakwaan dan kehambaan kita kepada Maha Pencipta.

10. Aidiladha juga mengajar kita mensyukuri nikmat yang dikurniakan Allah SWT dan berkorban untuk membantu yang memerlukan dan menginsafi nasib mereka yang lebih daif dengan melakukan kebajikan agar yang miskin tidak terpinggir.

11. Ia selari dengan konsep Keluarga Malaysia yang saya cetuskan pada Ogos tahun lalu iaitu bagi memastikan tidak ada Keluarga Malaysia yang ketinggalan atau “no one will be left behind”.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

12. Hari ini, seluruh dunia berhadapan dengan cabaran ekonomi yang antara lain berpunca daripada konflik geopolitik dan perubahan iklim global.

13. Ia menjejaskan kehidupan seharian kita semua. Namun begitu, Kerajaan sentiasa mendengar dan memahami denyut nadi seluruh Keluarga Malaysia.

14. Kerajaan pada masa kini sedaya upaya berusaha untuk menangani impak inflasi global termasuk menubuhkan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi.

15. Pasukan ini berperanan menyatukan semua kementerian dan agensi-agensi berkaitan bagi menyelesaikan kesulitan yang dihadapi oleh Keluarga Malaysia dengan segera.

16. Namun Kerajaan tidak dapat melakukannya sendirian. Justeru, saya menyeru seluruh Keluarga Malaysia bersama- sama berganding bahu menanganinya.

17. Ini adalah jihad kita bersama untuk memastikan ekonomi negara kembali pulih.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

18. Pada ketika ini, lebih 14,000 jemaah Malaysia menjadi tetamu Allah SWT di Tanah Suci Mekah. Saya mendoakan kesemua mereka dipermudahkan urusan dan dikurniakan haji yang mabrur.

19. Pada masa yang sama, perbezaan fahaman politik antara kita harus diketepikan, buktikan keinsafan dan kesyukuran kita dengan bersama-sama dalam meningkatkan martabat agama kita, serta memupuk hubungan yang baik dengan rakan-rakan kita daripada keturunan dan agama yang lain.

20. Akhir sekali, marilah kita berdoa semoga dengan semangat pengorbanan yang diamalkan oleh Keluarga Malaysia, kita mampu menjadikan tanah air ini kalis cabaran, kukuh dan terus maju mendepani apa jua situasi dan cabaran mendatang.

21. Di kesempatan ini, saya, isteri serta seisi keluarga ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh Keluarga Malaysia beragama Islam walau di mana sahaja anda berada.

Sekian.

Wabillahi-taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Allahu Akbar,

Allahu Akbar,

Allahu Akbar,

Walillahilhamd.

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.