Kenyataan Media Berkaitan Mesyuarat Pertama Majlis Sosial Negara 2022

KENYATAAN MEDIA
YAB PERDANA MENTERI


MESYUARAT PERTAMA MAJLIS SOSIAL NEGARA 2022


Hari ini, saya telah mempengerusikan Mesyuarat Pertama Majlis Sosial Negara (MSN) 2022 yang dihadiri oleh YB Menteri-menteri Kanan, Menteri dan Timbalan Menteri berkaitan serta pegawai-pegawai kanan Kementerian, Jabatan dan Agensi yang terlibat.

Kerajaan amat mengambil berat tentang soal pemerkasaan kanak-kanak lepasan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi menjamin masa depan golongan itu. Mereka yang berusia 18 tahun lazimnya tidak lagi ditanggung oleh JKM menyebabkan ada dalam kalangan mereka tercicir.

Untuk itu satu pasukan khas akan diwujudkan dengan disertai oleh agensi-agensi Kerajaan bagi menyediakan laluan khas kepada kanak- kanak lepasan institusi JKM untuk melanjutkan pelajaran baik dalam bidang kemahiran mahupun akademik.

Pada masa yang sama, syarikat-syarikat berkaitan kerajaan atau Goverment Linked Company (GLC) akan bertanggungjawab menyediakan dana pendidikan dan dana penempatan serta laluan kerjaya, manakala Yayasan Kebajikan Negara (YKN) menjadi penjamin bagi membantu kanak-kanak lepasan institusi yang tiada dokumen dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara.

PERKESO dan MARA berperanan dalam menyediakan latihan serta peluang pekerjaan selepas mereka tamat pengajian. Kesemua bantuan ini akan diselaraskan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Mesyuarat pada hari ini juga bersetuju mewujudkan Gender Focal Team (GFT) di setiap Kementerian dan agensi dalam usaha untuk meneroka potensi wanita dalam ekonomi dan mengarus perdana gender dalam setiap perancangan, pelaksanaan dasar dan inisiatif.

Untuk itu GFT akan mempunyai sekurang-kurangnya tujuh orang ahli bagi mengkoordinasi dan melaksanakan inisiatif untuk mencapai kesaksamaan gender.

Sementara itu, mesyuarat turut menzahirkan kebimbangan terhadap kes jenayah siber yang semakin meningkat. Sejak 2016 sehingga 2021 dilaporkan terdapat hampir 82,000 kes penipuan siber melibatkan jumlah kerugian sebanyak RM2.21 bilion.

Menyedari tahap kesedaran yang masih rendah dalam kalangan masyarakat tentang risiko penipuan dalam talian, Inisiatif Pembangunan Pelan Induk Kesedaran Keselamatan Siber bagi Menangani Isu Penipuan Siber diwujudkan. Ia bagi melahirkan warga siber yang berpengetahuan dan bertanggungjawab serta melindungi masyarakat daripada menjadi mangsa penjenayah siber.

Sementara itu, Rang Undang-Undang Antigangguan Seksual (RUU AGS) 2021 yang telah diluluskan di Dewan Rakyat pada 20 Julai 2022 membuktikan komitmen Kerajaan dalam menangani isu gangguan seksual di negara ini.

#KeluargaMalaysia
#BekerjaBersamaRakyat

DATO’ SRI ISMAIL SABRI YAAKOB
28 JULAI 2022

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.