Kenyataan Media Berkaitan Bantuan Segera Untuk Mangsa Banjir di Baling, Kedah

KENYATAAN MEDIA
YAB PERDANA MENTERI


BANTUAN SEGERA UNTUK MANGSA BANJIR DI BALING KEDAH


Saya yang kini berada dalam lawatan rasmi ke Turki atas jemputan TYT Recep Tayyip Erdoğan, Presiden Tukiye telah menerima berita duka mengenai banjir kilat di Lembangan Sungai Kupang dan Sungai Tiak, Baling Kedah pada petang semalam.

Bencana ini telah meragut tiga nyawa dan menjejaskan seramai 1,490 orang mangsa yang melibatkan 112 Ketua Isi Rumah (KIR). Tiga buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka iaitu PPS SMK Jerai, PPS Surau An Nur dan PPS SMK Agama Al Khiriah.

Justeru, saya telah mengarahkan Tan Sri Mohd Zuki Ali, Ketua Setiausaha Negara untuk menyelaraskan bantuan segera kepada semua mangsa yang terlibat.
Bantuan-bantuan awal kepada setiap KIR tersebut ialah:

i. Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1000
ii. Bantuan Barang Keperluan Asas sebanyak RM2,500
iii. Bantuan Barangan Elektrik sebanyak RM500
iv. Pembaikan rumah.

Setiausaha Politik saya, Dato’ Mohammad Anuar bersama pihak Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah menyampaikan BWI kepada semua KIR pada hari ini termasuk tiga waris mangsa yang telah meninggal dunia sebanyak RM10,000 seorang.

Kesemua bantuan awal ini melibatkan peruntukan kewangan sebanyak RM500,000.00.

Kebanyakan rumah yang terkesan dengan musibah ini mengalami kerosakan dan sebanyak 25 buah rumah telah musnah sama sekali.

Saya telah mengarahkan semua agensi Kerajaan yang terlibat untuk mengenal pasti kerosakan dan pembaikan yang perlu dilakukan untuk memastikan mangsa-mangsa tragedi ini ada tempat berteduh yang selesa selepas ini.

Bantuan-bantuan lain akan disusuli dengan segera termasuklah kerja-kerja pembersihan kawasan dan projek-projek tebatan banjir yang kritikal. Kerajaan Persekutuan terus komited untuk menyediakan peruntukan yang sewajarnya bagi perkara ini.

Saya akan memastikan kebajikan dan keselamatan mangsa-mangsa ini akan diberi perhatian yang sepenuhnya dengan kerjasama erat daripada semua pihak baik dari Kerajaan Persekutuan mahupun Kerajaan Negeri.

#KeluargaMalaysia
#BekerjaBersamaRakyat

DATO’ SRI ISMAIL SABRI YAAKOB
5 JULAI 2022

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.