Teks Ucapan Sempena Persidangan Ulama’ Asia Tenggara 2022

TEKS UCAPAN PERDANA MENTERI
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB

SEMPENA
PERSIDANGAN ULAMA’ ASIA TENGGARA 2022

30 JUN 2022 | 3.00 PETANG SUNWAY RESORT SUBANG JAYA SELANGOR

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia

1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT dengan izin dan limpah kurnia-Nya, dapat kita berhimpun bersama-sama dalam Persidangan Ulama’ Asia Tenggara 2022 pada petang ini.

2. Saya mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Muslim World League (Rabitah al-Alam al-Islami), yang bertindak sebagai penganjur persidangan bertemakan UNITY.

3. Kita rasa berbangga dan bertuah kerana Muslim World League telah memilih Malaysia sebagai tuan rumah persidangan, yang sudah tentu satu pengiktirafan kepada negara kita, yang menonjolkan Islam sebagai satu agama yang harmoni, selamat dan sejahtera dalam masyarakat berbilang kaum dan agama.

Tuan-tuan dan puan-puan hadirin yang dihormati sekalian,

4. Saya dimaklumkan bahawa persidangan ini turut disertai perwakilan negara-negara luar khususnya dalam kalangan ulama dan Ilmuwan Islam. Selamat datang saya ucapkan kepada semua.

5. Kehadiran perwakilan luar negara ini membuktikan keseriusan pihak penganjur dalam meningkatkan solidariti Islam dan ummah serta memainkan peranan mengharmonikan hubungan antara umat Islam dan pelbagai golongan masyarakat.

6. Persidangan ini diadakan ketika umat Islam masih berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk pertikaian sesama sendiri, provokasi pihak tertentu dan Islamophobia atau pandangan prejudis terhadap Islam.

7. Saya berpendapat, penyelesaiannya perlu dicari dan ini memerlukan komitmen dan kerjasama semua pihak supaya kesucian agama Islam dan solidariti ummah dapat dipertahankan.

Tuan-tuan dan puan-puan hadirin yang dihormati sekalian,

8. Islam merupakan agama yang membawa rahmat, meliputi keseluruhan aspek kehidupan manusia.

9. Malah, Islam sentiasa menyeru kepada kebaikan, meningkatkan solidariti serta mahabbah (kasih sayang sesama manusia) selaras dengan konsep Tasamuh yang bermaksud ‘tolerans’ atau berlapang dada.

10. Konsep ini yang turut bermakna bersikap menerima dan damai terhadap sebarang keadaan yang dihadapi, telah ditekankan oleh Kerajaan supaya menjadi sebahagian daripada amalan kehidupan Keluarga Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

11. Ini kerana konsep Tasamuh turut mengutamakan nilai kebersamaan, selaras dengan konsep Keluarga Malaysia yang mampu menjadikan masyarakat di negara ini menghargai dan memahami nilai perbezaan.

12. Tasamuh mampu menjadi alat untuk menyatupadukan warga Islam dan dunia, seharusnya konsep ini diterapkan dalam kalangan negara yang mempunyai bangsa dan budaya majmuk dan diperluaskan sehingga ke peringkat dunia.

Tuan-tuan dan puan-puan hadirin yang dihormati sekalian,

13. Kita telah diingatkan apabila berlakunya sesuatu perselisihan faham, umat Islam perlu kembali kepada tuntutan agama. Sebarang perbezaan pendapat perlu diselesaikan secara berhemah dan beretika.

14. Sebenarnya bibit-bibit perpecahan boleh ditangani sekiranya kita kembali kepada ajaran yang paling asas, iaitu berpegang kepada al- Quran dan al-Sunnah.

15. Mukjizat al-Quran secara keseluruhan menyerlahkan semangat kesatuan, dan salah satu falsafah kesatuan yang Kerajaan pilih ialah Keluarga Malaysia, satu istilah yang bertepatan dengan ajaran dari al- Quran dan sunnah Rasulullah.

16. Konsep Keluarga Malaysia ini mampu disempurnakan oleh para ulama dan Ilmuwan Islam dengan memberi pendekatan ertikata kesatuan melalui Konsep Keluarga berlandaskan Islam.

17. Kerajaan sedar ulama dan Ilmuwan Islam memainkan peranan yang penting bagi memastikan landasan yang dipilih bertepatan dengan jalan yang lurus, siratul mustaqim.

18. Justeru kita sentiasa mengalu-alukan pandangan dan nasihat ulama serta Ilmuwan Islam demi kesejahteraan Keluarga Malaysia di dunia dan di akhirat.

Tuan-tuan dan puan-puan hadirin yang dihormati sekalian,

19. Baru-baru ini, dunia Islam digemparkan dengan isu penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW di India melalui tindakan yang bersifat provokasi sehingga menggugat keharmonian masyarakat berlainan agama di negara berkenaan.

20. Insiden berkenaan mendapat bantahan bukan sahaja daripada umat Islam di India, tetapi juga masyarakat antarabangsa termasuklah Malaysia.

21. Tindakan menghina Rasulullah SAW merupakan perkara yang amat sensitif dan menjadi kewajipan seluruh masyarakat Islam untuk bertindak balas tetapi ia perlu dilakukan mengikut kerangka tuntutan agama.

22. Ini adalah untuk mengelakkan kita terperangkap dengan mainan pihak tertentu yang ingin mencetuskan permusuhan antara penganut pelbagai agama.

23. Begitu juga tentang kezaliman rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin yang ditindas secara berterusan dan dibunuh dengan kejam tanpa adanya sebarang usaha untuk menghalang dan membawa pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

24. Ketika lawatan saya ke Amerika Syarikat tempoh hari, saya telah membangkitkan supaya isu kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin dihentikan dengan segera.

Tuan-tuan dan puan-puan hadirin yang dihormati sekalian,

25. Perpaduan dan kesatuan ummah perlu menjadi keutamaan umat Islam, sepertimana dianjurkan oleh prinsip Fiqh Keutamaan (fiqh awlawiyyat) berikutan meningkatnya ancaman terhadap kesucian Islam kebelakangan ini.

26. Pengukuhan perpaduan dan kesatuan ummah hendaklah berasaskan kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah. Pendekatan ini penting bagi memastikan dakwah dan penyampaian ajaran Islam bertepatan dengan kehendak Islam, bersifat wasatiyah dan memberi rahmat kepada sekalian alam.

27. Umat Islam perlu disedarkan bahawa usaha merealisasikan perpaduan ini perlu merentasi tembok pelbagai aliran pemikiran dan ideologi. Tumpuan utama adalah kemaslahatan ummah serta menolak fahaman pelampau dan ekstrem.

28. Justeru, semua ulama dan ilmuwan Islam perlu berbincang, bermuafakat, bersatu dan menggembleng pemikiran masing-masing bagi menghasilkan penyelesaian kepada cabaran yang dihadapi umat Islam seluruh dunia.

29. Kita jalin dan kukuhkan kembali perpaduan dengan ikatan kasih sayang dan toleransi sebagai satu ummah.

Tuan-tuan dan puan-puan hadirin yang dihormati sekalian,

30. Mengambil semangat dan kekuatan perhimpunan hari ini, besar harapan saya agar seluruh ulama dan Ilmuwan Islam dapat mencari kata sepakat dan memainkan peranan efektif ke arah kesatuan dan mewujudkan khaira ummah.

31. Saya juga berharap semua input dan pandangan yang dibincangkan sepanjang persidangan ini dapat diterjemahkan kepada satu usaha yang dapat mengukuhkan lagi perpaduan dalam kalangan umat Islam di seluruh dunia.

32. Dengan kata-kata tersebut, saya dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim merasmikan Persidangan Ulama ’Asia Tenggara 2022.

Sekian

Wabillahitaufiq Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Terima Kasih.

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.