Teks Ucapan Sempena Majlis Perasmian Permulaan Pengorekan Terowong Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL)

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB PERDANA MENTERI

SEMPENA
MAJLIS PERASMIAN PERMULAAN PENGOREKAN TEROWONG ECRL DENGAN KAEDAH MESIN PENGOREK TEROWONG (TBM)

23 JUN 2022 | 2.30 PETANG
TAPAK PEMBINAAN TEROWONG BERKEMBAR GENTING

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT dengan izin dan kurnia-Nya, kita dapat bersama-sama pada Majlis Perasmian Permulaan Pengorekan Terowong Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) menggunakan kaedah Mesin Pengorek Terowong (TBM) yang terbesar di Asia Tenggara.

2. Tahniah saya ucapkan kepada pihak pengurusan dan warga kerja Projek ECRL atas penganjuran majlis ini di tapak pembinaan Terowong Berkembar Genting.

3. Projek ECRL ini melibatkan jarak jajaran 665 kilometer (km) merentasi empat buah negeri merupakan satu pencapaian bersejarah negara.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

4. Pelaksanaannya menelan kos RM50.27 bilion dan telah menyaksikan tahap kemajuan projek sebanyak 30 peratus sehingga bulan Mei lalu dan ia dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2026.

5. Pengorekan Terowong Genting sepanjang 16.39 km ini merupakan satu-satunya daripada penggerudian 59 terowong menggunakan kaedah TBM berbanding kaedah gerudi dan letup bagi terowong-terowong sebelum ini.

6. Mesin TBM buatan China seberat 1,600 tan ini mampu menembusi Banjaran Titiwangsa di sepanjang kawasan Bukit Tinggi menghubungkan Bentong, Pahang dengan Terminal Bersepadu Gombak , yang menjadi pintu masuk utama ke ibu negara.

7. Pembinaan Terowong Berkembar Genting ini adalah antara komponen utama Projek ECRL kerana ia dapat melengkapkan ‘jambatan darat’ atau landbridge bagi pengangkutan kargo dari Pelabuhan Kuantan ke Pelabuhan Klang.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

8. Pengorekan Terowong Berkembar Genting ini akan selesai dalam tempoh 2 1/2 tahun hingga 3 tahun, menjadikannya terowong rel terpanjang di rantau ini.

9. Penggerudian terowong bermula dengan penembusan Terowong Paka sepanjang 1.1 kilometer pada 9 April 2021, enam bulan lebih awal berbanding jadual asal.

10. Tujuh buah terowong di Terengganu dan Pahang yang berukuran antara 190 meter hingga 1.1 kilometer setiap satu, telahpun selesai.

11. Pengorekan Terowong Kuantan sepanjang 2.8 kilometer antara Dungun di Terengganu dan Mentakab di Pahang pula dijangka selesai pada suku keempat tahun ini.

12. Kira-kira 128 kilometer jajaran ECRL akan melibatkan penyediaan jambatan atau jajaran bertingkat untuk mengelak gangguan kepada hidupan liar dan risiko berlaku banjir akibat musim tengkujuh.

13. Sebuah lagi struktur utama yang turut dibina di bawah fasa pembinaan di Pahang adalah jambatan ‘Super Major Bridge’ sepanjang 3.88 kilometer menyeberangi Sungai Kuantan.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

14. Projek ECRL ini akan mempunyai 20 buah stesen iaitu 10 buah stesen penumpang dan selebihnya stesen gabungan penumpang dan kargo, menghubungkan bandar raya, bandar-bandar, taman-taman perindustrian dengan lebih efektif serta meningkatkan sistem pengangkutan awam di kawasan luar bandar.

15. Perkhidmatan ECRL ini yang berkelajuan 160km sejam, juga dihubungkan dengan LRT Kelana Jaya Line di ITT Gombak, sekali gus mengurangkan masa perjalanan ke Kota Bharu, Kelantan kepada empat jam berbanding purata tujuh jam melalui jalan raya atau sehingga 12 jam ketika musim perayaan.

16. Dijangka beroperasi pada bulan Januari 2027, ia akan menawarkan jalinan pengangkutan lebih moden, selamat, dan efisien ke Pantai Timur.

17. Sehubungan itu, saya meminta Kementerian Pengangkutan (MOT) berbincang dengan pihak berkepentingan bagi merangka kadar tambang perkhidmatan ECRL yang amat berpatutan seperti kadar tambang perkhidmatan KTM ETS yang mesra rakyat.

18. Jajaran ECRL ini juga dapat menghubungkan dengan perkhidmatan KTMB di tiga buah stesen pertukaran iaitu Temerloh di Pahang, Serendah dan Jalan Kastam di Selangor.

19. Justeru, kemasukan ‘Pintasan Serendah’ sebagai sebahagian dari skop Projek ECRL bagi perkhidmatan KTMB, akan melengkapkan penubuhan hab kargo nasional atau transhipment hub di Serendah.

20. Perkhidmatan ECRL dan KTMB juga bakal membentuk jajaran rel bersepadu menghubungkan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dan Pelabuhan Pulau Pinang; Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan Pelabuhan Kuantan, serta Iskandar Malaysia dan Pelabuhan Tanjung Pelepas di selatan.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

21. Kerajaan juga difahamkan bahawa pihak Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) bakal menjana pendapatan sampingan yang dapat menampung kos pengoperasian dan bayaran balik pinjaman pembinaan Projek ECRL dari China EXIM Bank.

22. Sehubungan itu, sebuah syarikat usaha sama dengan nisbah kepentingan 50:50 antara MRL dan China Communications Construction Company (CCCC) sedang dirancang penubuhannya bagi menjayakan pengendalian operasi perkhidmatan ECRL termasuk menanggung kos dan risiko operasi secara bersama.

23. Syarikat usaha sama ini bakal menyediakan bantuan teknikal dan memperhebatkan pemindahan teknologi kereta api serta bersama-sama mengendali dan menyelenggarakan ECRL untuk jangka masa panjang.

24. Projek ECRL ini menyaksikan penglibatan lebih daripada 1,500 buah syarikat tempatan terdiri daripada kontraktor, pembekal dan perunding.

25. Ini sejajar dengan persetujuan antara MRL dan CCCC untuk melantik subkontraktor dan pembekal tempatan bagi sekurang-kurangnya 40 peratus daripada kerja-kerja sivil projek ini yang dianggarkan bernilai sehingga RM10 bilion.

26. Setakat bulan April 2022, lebih RM7 bilion nilai kontrak kerja-kerja sivil telah ditawarkan kepada subkontraktor dan pembekal tempatan bagi projek ECRL di negeri- negeri Pantai Timur.

27. Pihak CCCC juga bersetuju memberi perhatian khas kepada pelantikan kontraktor kecil yang bersaiz Gred G1- G3 bagi memberi manfaat langsung kepada mereka.

28. Sebuah ‘Jawatankuasa Khas Penyertaan Kontraktor Tempatan dan Bumiputera Projek ECRL’ telah ditubuhkan bagi memantau dan memastikan penyertaan efektif syarikat-syarikat tempatan yang berkelayakan.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

29. Projek ECRL ini berpotensi melahirkan lebih ramai warga tempatan yang berkemahiran dalam bidang industri rel melalui Program Latihan Kemahiran Industri ECRL (PLKI- ECRL).

30. Oleh itu warga tempatan disarankan supaya merebut peluang menjalani program latihan teknikal PLKI-ECRL yang dijangka membuka peluang pekerjaan kepada 5,000 anak muda dari Pantai Timur.

31. Seramai 1,800 pelatih akan diserapkan bagi fasa pembinaan ECRL dan baki 3,200 pelatih untuk fasa pengendalian operasi.

32. Justeru, Kerajaan yakin PLKI-ECRL yang dilaksanakan bersama-sama rakan kongsi seperti Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN), Akademi Binaan Malaysia (ABM) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP), akan berjaya melahirkan lebih ramai pakar dalam bidang rel.

33. Keyakinan ini disokong oleh sasaran keperluan 23,000 tenaga kerja semasa tempoh puncak pembinaan projek yang dijangka bermula pada tahun 2023.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

34. Projek ECRL ini merupakan antara elemen penting yang akan menyempurnakan sektor pengangkutan negara dan seterusnya memberi keselesaan kepada Keluarga Malaysia.

35. Menjadi hasrat Kerajaan supaya projek ini menjadi pencetus perubahan atau “game changer” dan dapat disiapkan secepat yang boleh bagi membawa pelbagai limpahan manfaat kepada negara.

36. Akhir kata, saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor atas sokongan dan kerjasama erat dalam membangunkan Projek ECRL ini.

37. Dengan l afaz Bismillahirrahmanirrahim, saya menyempurnakan Majlis Perasmian Permulaan Pengorekan Terowong ECRL yang menggunakan kaedah TBM.

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.