Teks Ucapan Sempena Majlis Perasmian Perayaan Jubli Emas Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI YAAKOB PERDANA MENTERI

SEMPENA

MAJLIS PERASMIAN PERAYAAN JUBLI EMAS FAKULTI UNDANG-UNDANG, UNIVERSITI MALAYA

17 JUN 2022 (JUMAAT) | 3:00 PETANG DEWAN TUNKU CANSELOR, UNIVERSITI MALAYA

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Terlebih dahulu, marilah kita sama-sama merafak kesyukuran ke hadrat Allah SWT dengan limpah rahmat dan kurnia-Nya, dapat kita berkumpul di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya (UM) bagi menghadiri Perasmian Perayaan Jubli Emas, Fakulti Undang- Undang Universiti Malaya.

2. Sesungguhnya, majlis ini amat bermakna bukan hanya kepada warga Fakulti Undang-Undang UM, malah kepada diri saya dan seluruh warga alumni fakulti kita. Ia merupakan manifestasi kejayaan Fakulti Undang-undang dalam melahirkan tokoh-tokoh yang mencorakkan landskap perundangan negara.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

3. Lima puluh tahun yang lalu, negara menyambut kelahiran sebuah institusi pendidikan tinggi yang penting dengan wujudnya Fakulti Undang-undang di UM. Pada awalnya, bidang pendidikan undang-undang sepenuhnya mengikut acuan Barat. Sistem pendidikan ini telah dijadikan milik kita setelah berjaya mengadaptasikannya.

4. Walaupun kita masih negara Common Law, namun prinsip-prinsip, doktrin, pemakaian dan pelaksanaan undang-undang telah dibuat berdasarkan semangat Malaysia sebagai sebuah negara yang merdeka.

5. Perkembangan ini merupakan sesuatu yang signifikan kerana jika dibandingkan dengan disiplin ilmu lain, ilmu undang-undang mempunyai ikatan yang sangat rapat dengan ‘fabrik sosial’.

6. Kita berterima kasih kepada pelopor-pelopor pendidikan undang- undang di zaman penubuhan fakulti seperti Profesor Ungku Abdul Aziz, Dato’ Rajasooria, Profesor Tan Sri Ahmad Ibrahim, Profesor Tan Sri Visu Sinnudurai, Dato’ Nik Abdul Rashid dan ramai lagi yang telah berusaha dan menyumbang kepada pendidikan undang-undang serta perkembangan perundangan di negara kita.

7. Marilah kita, sama-sama sedekahkan bacaan Al-Fatihah buat mereka yang telah meninggalkan kita semua, dan bertafakur sejenak. Al-Fatihah.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

8. Hasil daripada wawasan dan kebijaksanaan mereka, penubuhan Fakulti Undang-Undang UM dilihat berjaya menjadi pemangkin kepada bidang guaman, badan kehakiman dan seterusnya pembangunan negara.

9. Fakulti Undang-Undang UM telah membuka pintu buat pertama kalinya kepada pelajar-pelajar pada bulan September 1972, dengan matlamat untuk membina negara melalui profesion undang-undang yang dididik dalam negara.

10. Saya merupakan salah seorang mahasiswa undang-undang daripada kohort kesembilan yang menjejak kaki ke universiti ini pada tahun 1980. Kemudian saya menjadi pengamal undang- undang dan bertugas sebagai peguamcara dan peguambela di Mahkamah Tinggi Malaya.

11. Ini adalah satu kenangan yang tidak dapat saya lupakan. Saya dapat melihat rakan-rakan seangkatan saya turut hadir pada petang ini. Pengalaman menjadi sebahagian daripada fakulti ini, merupakan detik manis buat kita semua.

12. Saya masih ingat, mahasiswa fakulti undang-undang ketika itu, mewakili pelbagai latar belakang, pelbagai demografi dari kampung dan bandar, dari taraf ekonomi yang berbeza-beza menimba ilmu di bawah satu bumbung.

13. Hari ini, kita dapat menyaksikan kejayaan Alumni Fakulti Undang- Undang UM dalam badan kehakiman, sektor perundangan, pentadbiran negara, politik tanah air, badan korporat, pendidikan negara, institusi antarabangsa dan lain-lain.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

14. Sebenarnya tanpa kita sedari tiga tiang seri yang penting kepada sistem demokrasi negara dipimpin oleh Alumni Fakulti Undang- Undang UM;

Badan Eksekutif dipimpin oleh saya sebagai Perdana Menteri, dan saya adalah produk Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya.

Badan Kehakiman diketuai oleh Yang Amat Arif Tun Tengku Maimun Tuan Mat, Ketua Hakim Negara yang merupakan produk Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya.

Badan Legislatif diketuai oleh Yang Berhormat Tan Sri Azhar Azizan Harun, yang merupakan Yang di-Pertua Dewan Rakyat juga adalah produk Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya.

15. Malah, badan perundangan, Jabatan Peguam Negara diterajui oleh Yang Berbahagia Tan Sri Idrus Harun juga produk Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya.

16. Ini adalah satu pencapaian dan sejarah bagi Fakulti Undang- Undang Universiti Malaya dalam menyumbang kepada pembangunan negara. Saya berharap kejayaan Fakulti Undang- Undang UM melahirkan ramai profesional yang hebat dan ternama tidak hanya ternoktah di sini, sebaliknya terus cemerlang untuk melakar sejarah dalam dan luar negara.

17. Saya harap ini menjadi rangsangan kepada semua adik-adik pelajar Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya yang hadir pada hari ini untuk meneruskan legasi Fakulti Undang-Undang.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

18. Kerajaan telah dan akan melaksanakan transformasi undang- undang secara signifikan. Saya telahpun mengarahkan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri untuk mengkaji dan meneliti undang-undang sedia ada, termasuk 147 undang-undang yang telah lapuk.

19. Transformasi undang-undang ini perlu dilakukan segera kerana keadaan telahpun berubah dan undang-undang juga perlu bergerak dan berubah mengikut keadaan semasa . Penambahbaikan ini juga akan menjamin kesejahteraan Keluarga Malaysia.

20. Sebagai contoh, teknologi digital hari ini semakin pesat membangun. Dalam konteks ini, undang-undang yang sedia ada tidak relevan dengan ledakan teknologi digital, bahkan agak terkebelakang dengan perubahan semasa.

21. Akta sedia ada iaitu Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 misalnya, hanya melibatkan penguatkuasaan terhadap kegiatan judi di premis dan bukannya secara dalam talian.

22. Seperti yang kita sedia maklum, beberapa langkah proaktif kerajaan dalam memperkasakan undang-undang di Malaysia, antaranya;

Cadangan Pemansuhan hukuman mati mandatori

Ramai yang keliru tentang pemansuhan hukuman mati mandatori yang diumumkan baru-baru ini, seolah-olah hukuman mati telah dihapuskan.

Kerajaan tidak menghapuskan hukuman mati, tetapi bergantung kepada kuasa dan budi bicara hakim untuk menentukan sama ada pesalah tersebut dijatuhkan hukuman mati ataupun hukuman pilihan yang lain.

Firman Allah S.W.T dalam Surah al-Maidah, Ayat 32:
Yang bermaksud: “Dan sesiapa yang menyelamatkan nyawa seseorang manusia, maka seolah-olah dia telah menyelamatkan kehidupan manusia semuanya.”

RUU Anti Lompat Parti

Tindakan melompat parti, terutamanya pasca-Pilihan Raya Umum ke-14 telah merencatkan proses demokrasi berperlembagaan di Malaysia.

Sehubungan itu, Rang Undang-undang ini adalah mustahak untuk menjamin kestabilan dan integriti politik selepas PRU15. Penyediaan Rang Undang-Undang ini oleh Jawatankuasa Pilihan

Khas telah berada di peringkat akhir dan bakal dibentangkan di Parlimen pada bulan Julai nanti.

RUU Dana Sumbangan Politik

Usaha memantapkan integriti politik turut merangkumi aspek- aspek lain termasuk pengawal seliaan dana sumbangan politik. Pengawal seliaan ini boleh meningkatkan ketelusan sumbangan politik di negara kita.

Ini dapat mengurangkan risiko rasuah, serta apa-apa penyalahgunaan kuasa yang berkaitan dengannya.

Doktrin Pengasingan Kuasa dan Hubungan Antara Eksekutif dan Kehakiman

Dalam sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan, tiga institusi penting menjadi tiang seri iaitu badan Legislatif atau Parlimen, Eksekutif atau kerajaan dan Kehakiman. Ketiga-tiga institusi ini mempunyai peranan masing-masing dan kita perlu menghormati setiap badan ini.

Setiap dasar yang digubal oleh Kerajaan berpaksikan roh dan semangat kebersamaan dengan mengambil kira kepentingan setiap agama, kaum dan seluruh Keluarga Malaysia.

Begitu juga undang-undang yang dilulus oleh Dewan Rakyat, ianya dibahas dengan roh dan semangat yang sama oleh Ahli-ahli Dewan Rakyat.

Justeru, badan Kehakiman perlu mengambil roh dan semangat yang sama ketika membuat intepretasi kepada undang-undang berkenaan.

Sebagai seorang yang berlatar belakangkan undang-undang, saya menghormati doktrin pengasingan kuasa di antara Eksekutif, Legislatif, dan Kehakiman.

Dalam hal ini, Kerajaan memberi jaminan bahawa kebebasan badan kehakiman dan legaslatif akan terus terpelihara.

Pembaharuan Parlimen

Bagi memastikan badan legaslatif dapat berfungsi dengan sempurna, Kerajaan sedang membantu institusi ini untuk membuat transformasi.

Sebagai contoh, kerajaan telahpun melakukan perubahan dalam Parlimen apabila kita menubuhkan 16 Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen berbanding hanya lima sahaja sebelum ini.

Akta Perkhidmatan Parlimen yang telah dimansuhkan pada tahun 1993 untuk mengurus pentadbiran dan kewangan Parlimen akan diperkenalkan semula bagi memperkasakan peranan Parlimen.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

23. Saya mendengar dan mengambil maklum hajat PARFUM untuk menubuhkan klinik bantuan guaman. Saya amat menyokong cadangan murni ini, kerana ia senada dengan misi saya dan kerajaan untuk sentiasa membantu Keluarga Malaysia yang memerlukan bantuan guaman.

24. Tahniah kepada PARFUM kerana prihatin dengan Keluarga Malaysia yang tidak berkemampuan untuk menanggung kos khidmat guaman. Justeru, sukacita saya mengumumkan;

● Penubuhan Yayasan Tan Sri Ahmad Ibrahim

Yayasan ini ditubuhkan bersempena dengan nama Tan Sri Ahmad Ibrahim sebagai menghargai sumbangan tokoh perundangan yang bukan hanya disegani dan diiktiraf di Malaysia bahkan juga di peringkat antarabangsa.

Untuk merealisasikan hasrat murni ini, Kerajaan bersetuju memperuntukkan RM1 juta bagi tujuan penubuhan Yayasan Tan Sri Ahmad Ibrahim.

● Mewujudkan Tabung Kebajikan Keluarga Malaysia

Tabung kebajikan ini akan membantu proses pembelajaran para siswazah Fakulti Undang-Undang UM daripada keluarga B40 dengan lebih lancar, demi mencapai kejayaan akademik yang lebih cemerlang.

Untuk itu, hari ini, saya mengumumkan kerajaan memperuntukkan sebanyak RM500 ribu sebagai dana permulaan Tabung Kebajikan Keluarga Malaysia.

● Pembangunan semula ASEAN Legal Information Portal

ASEAN Legal Information Portal akan dikenali dengan nama baharu iaitu ASEAN Law Guide.

Saya juga ingin mengumumkan, Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM500 ribu bagi merealisasikan tujuan ini.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

25. Sebelum saya mengakhiri ucapan, saya ingin mengucapkan tahniah kepada PARFUM, kerana berjaya menganjurkan beberapa program yang bukan hanya memberi manfaat kepada ahli dan bekas graduan tetapi juga kepada mahasiswa di fakulti ini.

26. PARFUM adalah wadah untuk mahasiswa dan golongan yang bergiat secara profesional dalam dunia perundangan, sama ada dalam sektor awam atau swasta.

27. Akhir kata, saya mendoakan agar Fakulti Undang-Undang UM akan terus maju dan berkembang pesat untuk membina tenaga pemikir serta pelaksana undang-undang negara untuk tempoh lima puluh tahun yang akan datang.

28. Dengan hasrat itu, saya dengan lafaz Bismillahhirrahmanirrahim merasmikan Perayaan Jubli Emas 50 Tahun, Fakulti Undang- Undang, Universiti Malaya.

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Peluasan Projek MRT

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.