Teks Ucapan Sempena Majlis Perasmian Minggu TVET Negara Tahun 2022

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB PERDANA MENTERI

SEMPENA MAJLIS PERASMIAN
MINGGU TVET NEGARA TAHUN 2022

20 JUN 2022 (ISNIN)
10.00 PAGI
POLITEKNIK SULTAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH, SHAH ALAM, SELANGOR

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah perkenan dan izin-Nya, kita dapat bersama-sama pada Majlis Perasmian Minggu Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Negara 2022.

2. Terlebih dahulu setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) kerana sudi menjemput saya merasmikan program yang julung kali diadakan ini.

3. Bilangan pelajar aliran vokasional dan teknikal di negara maju adalah tinggi. Di Jerman misalnya, TVET dianggap salah satu sistem pendidikan utama, sehingga 70 peratus pelajarnya memasuki aliran vokasional.

4. Senario ini juga terdapat di negara-negara maju di Asia seperti Korea Selatan yang berjaya bangkit dengan pantas daripada kemusnahan perang untuk muncul sebagai kuasa besar ekonomi hasil pengukuhan pendidikannya termasuk bidang TVET.

5. Dengan menjadikan kedua-dua negara ini sebagai contoh, amat signifikan untuk Kerajaan menetapkan TVET sebagai antara perkara yang perlu diberikan keutamaan bagi memacu pembangunan ekonomi negara.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

6. TVET juga dikenal pasti sebagai salah satu daripada 14 pemacu perubahan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe- 12) kerana sudah sampai masa TVET menjadi pilihan utama para belia dalam mempersiapkan diri mereka untuk masa depan seperti mana negara maju lain.

7. Justeru, pelbagai strategi telah digariskan termasuk menangani isu pertindihan dan merombak tadbir urus TVET, mempromosikan jenamanya selain meningkatkan kualiti program dan mewujudkan pangkalan data.

8. Kerajaan turut memperkukuhkan penawaran program berorientasikan industri dan memperhebatkan penglibatan industri secara aktif bagi menyediakan graduan yang menepati keperluan mereka.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

9. Kesedaran orang ramai terhadap pekerjaan sektor TVET yang memerlukan kemahiran spesifik dan menawarkan sumber pendapatan tinggi sudah meningkat tetapi belum mencapai tahap yang disasarkan.

10. Dalam usaha memperkasakan TVET, penjenamaan dan reputasinya perlu dipertingkatkan dan ini memerlukan usaha lebih jitu bagi mengukuhkannya secara holistik.

11. Sehubungan itu, anjakan paradigma mesti dilakukan bagi meningkatkan persepsi positif dengan sokongan ibu bapa, belia dan industri terhadap TVET.

12. Terdapat banyak platform media sosial yang boleh dimanfaatkan secara optimum bagi mempromosikan TVET termasuk memaparkan kejayaan graduan dan alumni TVET, sekaligus menjadikannya sebagai kerjaya pilihan.

13. Saya juga menyeru pihak industri supaya menjadi rakan kongsi strategik dengan turut mempromosikan TVET kepada Keluarga Malaysia seperti menonjolkan peluang kerjaya dalam industri dan membenarkan pelajar membuat lawatan ke industri mereka.

14. Saya percaya, langkah ini dapat meningkatkan daya tarikan ramai, sekali gus menjadikan TVET pemangkin utama dalam melahirkan tenaga kerja tempatan yang berkemahiran tinggi seperti mana negara maju yang lain.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

15. Seperti YB Dato’ Sri Dr Noraini sebutkan tadi, Agenda Pemerkasaan TVET yang diterajui Majlis TVET Negara (MTVET) menggariskan beberapa inisiatif yang berimpak besar dan strategik.

16. Antara yang telah berjaya direalisasikan ialah pewujudan Hab Kolaborasi TVET (TCH) dan penubuhan Badan Koordinasi TVET Kerajaan-Industri (GITC atau Government-Industry TVET Coordination Body).

17. Hari ini, satu lagi pencapaian bakal dicipta, iaitu pelancaran Pelan Penjenamaan TVET Nasional, dan penganjuran Sambutan Minggu TVET Negara yang merupakan antara tindakan dalam Pelan Penjenamaan TVET Nasional.

18. Begitu juga dengan pemilihan tarikh 2 Jun sebagai Hari TVET Negara yang wajar disambut setiap tahun bagi menghargai sumbangan pelbagai pihak berkaitan TVET. Tarikh itu juga bersempena penubuhan Politeknik Ungku Omar, yang merupakan institusi penyedia TVET terawal negara sejak 1969.

19. Saya difahamkan sambutan Minggu TVET Negara tahun ini telah bermula sejak Sabtu lepas dengan pengisian yang bermanfaat seperti seminar dan forum melibatkan pelbagai kementerian, penyedia TVET awam dan swasta serta pihak industri.

20. Selain itu, program bersama Ikon TVET dan pameran berkaitan peluang pendidikan dan kerjaya dalam TVET turut disediakan, termasuk temuduga mencari kerja secara terbuka.

21. Saya ingin melihat sekurang-kurangnya 55 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melanjutkan pengajian dalam program TVET menjelang 2025, seperti yang ditetapkan dalam RMKe-12.

22. Sehubungan itu, aspek akreditasi, pengiktirafan dan pensijilan program TVET harus ditambah baik. Pendedahan perlu dilaksanakan seawal usia muda supaya anak-anak kita lebih celik tentang potensi laluan kerjaya TVET.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

23. Kerajaan telah melaksanakan pelbagai bentuk intervensi bagi menyediakan peluang pendidikan yang lebih luas untuk Keluarga Malaysia, termasuk mengadakan Program Penajaan Pendidikan.

24. Secara umumnya, terdapat beberapa strategi penajaan pendidikan yang telah dilaksanakan seperti pinjaman pendidikan, pinjaman boleh ubah, dermasiswa, biasiswa dan bantuan kewangan.

25. Dalam konteks program hari ini, keprihatinan Kerajaan terhadap TVET diserlahkan dengan pembiayaan yang tinggi, di mana 80 peratus penyedia TVET awam menawarkan program TVET secara percuma.

26. Bagi tahun 2019 hingga 2021, sebanyak 171,412 program TVET di peringkat Diploma dan Sarjana Muda telah ditawarkan.

27. Bagi meningkatkan motivasi dan galakan pelajar untuk memilih bidang TVET, Kerajaan bersetuju melaksanakan Program Dermasiswa B40 TVET, khusus untuk pelajar B40 yang mengikuti pengajian dalam bidang TVET di IPTA bawah seliaan KPT tahun ini.

28. Pengambilan pertama akan melibatkan 1,000 orang pelajar dan Kerajaan menjangkakan program ini melibatkan implikasi kewangan berjumlah RM36.41 juta bagi setiap pengambilan.

29. Saya yakin, program ini menawarkan lebih banyak peluang kepada anak-anak Keluarga Malaysia, terutamanya daripada kumpulan B40 mendapat akses pendidikan di peringkat lebih tinggi, seterusnya membina kerjaya dalam bidang TVET. Insya- Allah.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

30. Saya mengucapkan tahniah sekali lagi kepada KPT dan JPPKK serta semua pihak yang menjayakan sambutan Minggu TVET Negara ini. Semoga sambutan ini akan menjadi titik tolak kepada usaha mencorak semula landskap TVET negara agar setanding dengan negara maju yang lain.

31. Saya berharap pada tahun-tahun akan datang, sambutan Minggu TVET Negara dilakukan secara bergilir-gilir dalam kalangan 11 kementerian penyedia TVET yang lain.

32. Tokoh-tokoh luar negara juga boleh diundang untuk berkongsi pengalaman mereka dalam memperkasakan TVET. Semua pihak berkaitan juga perlu menggunakan platform MTVET secara lebih aktif.

33. Dengan hasrat tersebut, dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim saya dengan sukacitanya mengisytiharkan 2 Jun sebagai Hari TVET Negara dan merasmikan Sambutan Minggu TVET Negara Tahun 2022.

34. TVET pilihan Keluarga Malaysia!

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.