Teks Ucapan Sempena Majlis Penyerahan Kunci Residensi Wilayah Keluarga Malaysia (RWKM) Residensi SkyAwani 3

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB PERDANA MENTERI

SEMPENA
MAJLIS PENYERAHAN KUNCI RESIDENSI WILAYAH KELUARGA MALAYSIA (RWKM) RESIDENSI SKYAWANI 3

18 JUN 2022 | 3.00 PETANG JALAN SANTUARI, SETAPAK
WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah, syukur kehadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya, kita dapat berkumpul petang ini pada majlis Penyerahan Kunci Residensi Wilayah Keluarga Malaysia (Residensi SkyAwani 3).

2. Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) kerana menjemput saya ke majlis ini yang penuh bermakna bagi Keluarga Malaysia terutamanya yang berpendapatan sederhana rendah atau M40 untuk memiliki kediaman sendiri pada harga mampu milik.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

3. Residensi SkyAwani 3 dibina di atas tanah berkeluasan 4.55 ekar dan menawarkan tiga blok bangunan setinggi 52 tingkat yang menempatkan 1,905 unit kediaman pada harga RM300,000 seunit.

4. Setiap unit mempunyai tiga buah bilik tidur, dua buah bilik air dengan keluasan 800 kaki persegi dan sebuah petak tempat letak kereta berbumbung.

5. Kediaman mampu milik ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti kolam renang, gimnasium, bubble jet jaccuzzi, gelanggang bola keranjang dan dewan serbaguna.

6. Saya difahamkan, pemaju turut menyediakan kawasan permainan kanak-kanak yang hanya boleh didapati dalam projek kediaman mewah yang harganya melebihi RM500,000 seunit.

7. Ini merupakan satu nilai tambah (added value) yang dilakukan oleh pemaju bagi penduduk yang mendiami kediaman mampu milik ini untuk kesejahteraan Keluarga Malaysia.

8. Selain itu, Residensi SkyAwani 3 mempunyai SkyBridge yang diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai SkyBridge Kediaman Tertinggi di Malaysia iaitu 170.55 meter.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

9. Semua unit Residensi SkyAwani milik SkyWorld menerima pengesahan kualiti standard QLASSIC dari Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) untuk kategori rumah mampu milik di Malaysia.

10. Ini bermakna kualiti kemahiran kerja pembinaannya telah mencapai piawaian yang ditetapkan oleh CIDB melalui prinsip pemeriksaan kali pertama selaras dengan objektif “Do Things Right the First Time and Every Time”.

11. SkyWorld telah melancarkan Residensi Wilayah Keluarga Malaysia SkyAwani 1 hingga 5 dengan unit kediaman berjumlah 6,236 yang sudah terjual sehingga tahun ini.

12. Syarikat SkyWorld juga merancang untuk membangunkan unit kediaman siri Awani bagi menyahut seruan Kerajaan ke arah menyediakan sejumlah 500,000 unit rumah mampu milik dalam Rancangan Malaysia Ke-12.

13. Kerajaan menyambut baik komitmen pihak pemaju dalam menjayakan program ini dan membantu merealisasikan aspirasi Kerajaan untuk menyediakan rumah mampu milik untuk warga kota, khasnya.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

14. Sehingga bulan Mei 2022, sejumlah 67,944 unit kediaman di bawah projek Residensi Wilayah Keluarga Malaysia, yang melibatkan 104 projek di Wilayah Persekutuan telah mendapat kelulusan pembinaan.

15. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 97 buah projek adalah di Kuala Lumpur, tiga projek di Putrajaya dan empat projek di Labuan.

16. Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) turut memperkenalkan program baharu, iaitu rumah untuk disewa sebagai transit yang dikenali sebagai Council Home.

17. Ini bagi membantu golongan berpendapatan rendah B40 menyewa mengikut kemampuan sebelum mampu membeli rumah sendiri.

18. KWP menyasarkan pembinaan sebanyak 5,000 unit Council Home dalam tempoh 5 tahun antara tahun ini hingga 2027.

19. Sehingga bulan April tahun ini, sebanyak 10 tapak telah dikenal pasti untuk pembinaan Council Home di Wilayah Persekutuan dan projek yang siap sepenuhnya adalah di Sungai Udang, Segambut berjumlah 1,251 unit.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

20. Kerajaan sentiasa memastikan kediaman yang ditawarkan kepada Keluarga Malaysia memenuhi keperluan semasa serta persekitaran yang selesa, kondusif, mesra keluarga serta praktikal selain mampu dimiliki sejajar dengan wawasan Satu Keluarga Satu Rumah.

21. Justeru Kerajaan melalui Rancangan Malaysia Ke-12 serta Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) telah menggariskan langkah-langkah segera dan jangka panjang untuk merealisasikan hasrat tersebut.

22. Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) juga telah memperkenalkan program Home Ownership Programme (atau HOPE) bagi melihat ekosistem lebih menyeluruh dalam penyediaan perumahan, pembiayaan perumahan serta program-program yang dapat membantu Keluarga Malaysia untuk memiliki rumah sendiri.

23. Sekali lagi saya ucapkan tahniah kepada SkyWorld Development Group, Kementerian Wilayah Persekutuan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program hari ini.

24. Dengan hasrat tersebut, saya dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim merasmikan Majlis Penyerahan Kunci Residensi Sky Awani3.

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.