Teks Ucapan Sempena Majlis Pelancaran Pembukaan MRT Laluan Putrajaya Fasa 1

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB PERDANA MENTERI

SEMPENA
MAJLIS PELANCARAN PEMBUKAAN MRT LALUAN PUTRAJAYA FASA SATU

16 JUN 2022 | 10.00 PAGI STESEN MRT KAMPUNG BATU KUALA LUMPUR

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Terlebih dahulu, saya ingin melahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana dapat bersama-sama berkumpul pada pagi ini untuk merasmikan projek Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya Fasa Satu.

2. Syabas dan tahniah kepada pihak Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Kementerian Kewangan (MOF) serta agensi-agensi Kerajaan yang lain kerana bekerjasama menjayakan projek ini.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

3. Sektor pengangkutan merupakan pemacu pertumbuhan negara dan penyediaan sistem pengangkutan yang berkualiti amat penting bagi mencapai aspirasi negara maju.

4. Negara maju bukan hanya mencatat pertumbuhan ekonomi yang kukuh, malah turut memiliki perkhidmatan dan rangkaian pengangkutan yang efisien bagi meningkatkan gaya hidup rakyatnya.

5. Selaras dengan teras Dasar Pengangkutan Negara, sememangnya menjadi hasrat utama Kerajaan untuk menyediakan sistem pengangkutan awam yang selamat, cekap, mampan dan boleh dipercayai, bagi Keluarga Malaysia.

6. Penyediaan pengangkutan juga akan dipertingkatkan supaya Keluarga Malaysia menikmati akses lebih baik kepada perkhidmatan ketersambungan yang lancar seperti dirancang dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).

7. Ini juga merupakan antara agenda utama yang dilaksanakan Kerajaan bagi memulihkan dan menstabilkan ekonomi negara serta memastikan kesejahteraan hidup Keluarga Malaysia.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

8. Lima tahun dahulu, MRT Laluan Kajang telah dibuka untuk menghubungkan kawasan Sungai Buloh ke Kajang, Selangor dan projek rangkaian rel berkaitan kini semakin diperluas dan dimanfaatkan ramai penduduk Lembah Klang.

9. Kemudahan laluan MRT Putrajaya ini, misalnya akan terus menjadi pemangkin ke arah mengeratkan hubungan antara komuniti penduduk terutamanya yang tinggal berdekatan dengan jajaran.

10. Rakyat juga akan lebih mudah bergerak dan berulang-alik ke tempat kerja, bersosial dan mengakses kemudahan awam yang lain.

11. Melalui pembukaan laluan ini, Kerajaan yakin kawasan sepanjang jajaran seperti Jinjang, Sungai Buloh, Kepong dan Bandar Sri Damansara akan membangun lebih pesat, setara dengan kawasan-kawasan di bandar lain.

12. Laluan ini juga dijangka mencetus dan merancakkan semula pembangunan di kawasan-kawasan yang lama atau yang belum dibangunkan sebelum ini.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

13. Sempena pembukaan rasmi MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu, saya dengan sukacitanya mengumumkan pemberian perkhidmatan percuma bagi semua pengangkutan awam di bawah kendalian RapidKL iaitu MRT, LRT,f BRT, Monorel serta bas RapidKL selama sebulan bermula hari ini.

14. Saya berharap Keluarga Malaysia yang terlibat mengambil kesempatan mencuba perkhidmatan pengangkutan awam ini dan meletakkan kenderaan masing-masing di Park N Ride dan #JomNaikMRT.

15. MRT Laluan Putrajaya yang dibangunkan dalam dua fasa, menyediakan perkhidmatan kepada lebih kurang 2 juta penduduk di koridor bermula dari kawasan Kwasa Damansara ke Putrajaya, pusat pentadbiran kerajaan.

16. MRT Laluan Fasa Satu melibatkan perjalanan dari Kwasa Damansara hingga Kampung Batu manakala Laluan Fasa Dua yang kini hampir siap sepenuhnya, melibatkan laluan dari Kampung Batu ke Putrajaya.

17. Laluan Fasa Dua akan melalui kawasan strategik termasuk Pusat Bandar Kuala Lumpur dengan stesen bawah tanah seperti Titiwangsa, Hospital Kuala Lumpur, Ampang Park, Persiaran KLCC dan Tun Razak Exchange (TRX).

18. MRT Laluan Putrajaya sepanjang 57.7 kilometer ini mempunyai 36 buah stesen terdiri daripada 27 buah stesen bertingkat dan sembilan buah stesen bawah tanah. Jumlah keseluruhan bagi pembinaan jajaran ini adalah sebanyak RM30.53 bilion.

19. Pihak MRT juga kini dalam perancangan untuk menambah empat lagi stesen baharu pada masa akan datang agar akses kepada pengangkutan awam dapat terus ditingkatkan.

20. Pembukaan sepenuhnya MRT Laluan Putrajaya dijangka mencatat bilangan awal penumpang harian melebihi 104,000 orang. Ini diharap dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas yang kini menghantui Kuala Lumpur.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

21. Bagi perasmian MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu hari ini, kemudahan ini akan membolehkan para pengguna menikmati pertukaran perkhidmatan yang lancar ke MRT Laluan Kajang melibatkan platform aras sama di stesen Kwasa Damansara.

22. Bas perantara dan bas GoKL juga akan disediakan di stesen bagi menyambungkan destinasi pertama dan terakhir.

23. Akhir kata, saya ingin mengucapkan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan projek yang bakal memberi manfaat kepada Keluarga Malaysia.

24. Dengan hasrat ini, saya dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, menyempurnakan perasmian MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu.

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Peluasan Projek MRT

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.